‘Kebersihan Sebahagian Daripada Iman.’ Tiada Larangan Dalam Islam Menyapu Sampah Pada Waktu Malam

Share

‘Kebersihan sebahagian daripada iman.’ Tiada larangan dalam islam menyapu sampah pada waktu malam seperti yang dimomokkan oleh kebanyakan orang.

Ramai yang percaya bahawa menyapu sampah pada waktu malam akan membawa kesusahan dan kesempitan dalam hidup. Ternyata ia hanya sekadar kepercayaan bukannya larangan dalam agama Islam.

Ikuti penerangan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang isu menyapu sampah di malam hari akan membawa kepada kemiskinan.

Artikel Berkaitan:

‘Terpaksa Tinggal Di Masjid Nabawi, Harap Bantuan Orang Ramai.’ 5 Keluarga Terkandas Di Madinah Angkara Habib Shah Firdaus

Kebersihan Sebahagian Daripada Iman

Soalan:

Benarkah menyapu rumah pada malam hari membawa kepada kemiskinan? Sebabnya saya pada waktu siang, saya bekerja, jadinya waktu malam sahaja masa yang ada untuk mengemas rumah. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:
Secara umumnya tidak ada larangan dalam Islam untuk menyapu dan membersihkan rumah pada waktu malam.

Bahkan sebaliknya kita dituntut untuk menjaga kebersihan rumah dan tempat tinggal kita pada bila-bila masa.

Hal ini kerana Islam sangat prihatin terhadap soal menjaga kebersihan dan bersuci. Ini kerana kebersihan merupakan sebahagian daripada ciri-ciri orang beriman.

Tiada Larangan Dalam Islam

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Malik al-Asy‘ari bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Bersuci itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri keimanan.”
Riwayat Muslim (223)
Begitu juga terdapat hadith lain yang menggalakkan atau menggesa untuk membersihkan rumah-rumah, dan ia jelas disebut sebagai salah satu ciri orang Mukmin dan meninggalkannya pula adalah salah satu ciri orang Yahudi.

Terdapat riwayat daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنّ اللهَ طيِّبٌ يحبُّ الطَّيِّبَ، نظيفٌ يحبُّ النَّظافةَ، كريمٌ يحبُّ الكرمَ جوادٌ يحبُّ الجودَ فنظِّفوا أفنيتَكُم ولا تشبَّهوا باليَهودِ

Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu baik dan mencintai kebaikan, bersih dan menyukai kebersihan, mulia dan mencintai kemuliaan, pemurah dan menyukai kedermawanan. Oleh itu, bersihkanlah halaman rumahmu dan janganlah menyerupai orang Yahudi.”

Riwayat al-Tirmizi (2799) dan beliau menilainya sebagai gharib kerana di dalamnya terdapat perawi bernama Khalid bin Ilyas dan dia dinilai sebagai dha’if.

Syu‘aib al-Arna’ut pula menyatakan dalam Takhrij Zad al-Ma‘ad (4/256), di dalamnya terdapat perawi bernama Khalid bin Ilyas dan dinyatakan dalam al-Taqrib, matruk al-hadith (orang yang ditinggalkan hadithnya).

Bahkan Dr. Muhammad ‘Abd al-Sami‘, Mudir Idarah al-Furu‘ al-Fiqhiyyah dan Ahli Jawatankuasa Fatwa di Dar al-Ifta’ ketika ditanya mengenai adakah menyapu rumah pada waktu malam membawa kepada kefakiran?

Beliau menyebutkan bahawa dibolehkan untuk membersihkan rumah pada waktu malam dan tidak ada apa-apa akibat dalam melakukan hal tersebut, serta hukumnya tidak haram sebagaimana yang disangkakan oleh sebahagian orang.

Beliau menambah lagi dalam jawapannya itu, begitulah juga halnya membersihkan kawasan perniagaan pada waktu malam. Hal ini kerana tidak ada dalam agama apa-apa yang melarang daripada melakukannya dalam apa jua keadaan.

Menyapu Sampah Pada Waktu Malam

Kami berpendapat selama mana ia kotor dan ada kemampuan oleh tuan rumah atau amah, maka boleh dibersihkan siang ataupun malam.

Kami melihat Masjid Nabawi dan Masjidil Haram dibersihkan siang dan malam begitu juga hotel-hotel. Tiada nas yang sahih lagi sarih yang melarang untuk menyapu rumah sama ada malam, siang, pagi dan petang.

Pepatah Arab menyebut:

النَّظَافَةُ مِنَ الَايْمَانِ

Maksudnya: “Kebersihan sebahagian daripada iman.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kashoorga: Umum mengetahui bahawa orang-orang tua dahulu banyak kiasan, jadi barangkali mungkin mereka hanya berpesan agar anak-anak mengemas rumah di siang hari melakukan pekerjaan lain.

Sumber: Maktabah Al-Bakri

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Published by
Syazwani Mehat