Baru ini kecoh di youtube “suara” ikan paus menjerit sehingga timbul kaitan ia antara petanda dunia nak kiamat.
Bunyi dan raungan ikan paus ini dianggap luar biasa sehingga ia dikaitkan dengan hari kiamat yang pasti terjadi namun bila tarikhnya hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Di dalam surah Al-Naml ada dinyatakan, bahawa pada hari berlakunya kiamat, tiupan sangkakala akan berlaku.
Tiupan sangkakala ini telah dinyatakan di dalam al-Quran melalui firman Allah SWT:
وَيَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ فَفَزِعَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۚ وَكُلٌّ أَتَوْهُ دَاخِرِينَ
Maksudnya: Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah – gerun gementar – makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah; dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh. Surah al-Naml (87).
Kejadian tiupan sangkakala ini berlaku sebanyak dua peringkat mengikut pendapat kebanyakan ulama’, iaitu:
Pertama, tiupan sangkakala akan menggegarkan hingga mematikan seluruh makhluk melainkan yang termaktub dalam kalangan mereka yang terkecuali.
Kedua, sesuai dengan kehendak Yang Maha Esa, ditiupkan sekali lagi oleh Malaikat Israfil dengan tiupan yang membangkitkan manusia. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah SWT di dalam kitabnya:
وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ
Maksudnya: Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).Surah al-Zumar (68) (Mufti Wilayah Persekutuan).
Mengupas video ini, Ustaz Elyas Ismail dalam siaran secara langsung semalam menjelaskan, jeritan suara ikan paus di beberapa kawasan lautan di luar negara itu menimbulkan tanda tanda.
“Ada kata jeritan biasa saja (sebab memang ikan paus mengeluarkan bunyi) tapi yang agak peliknya ada di kalangan orang ramai mendakwa jeritan itu ada kena mengena dengan tanda-tanda nak kiamat.
Sebabnya, kata mereka, tanda dunia nak kiamat sebab ikan paus pun dah menjerit-jerit. Peliknya ada yang mempercayai hal ini.
“Kawan-kawan yang dihormati sekali, apa tanda bunyi suara ikan paus ke, memang tak disebut di dalam hadith pun. Jadi yang kita pelik tu, dapat sumber dari mana? Lainlah hadith ada menyebut tentang jumlah orang perempuan lebih ramai dari orang lelaki, itu kita tahu dah.
“Dalam hadith ada sebut ini juga. Antara tanda nak kiamat itu berlaku, banyaknya berlaku gempa bumi, penularan wabak atau penyakit-penyakit yang pernah menimpa orang terdahulu akan berlaku kembali.
“Ataupun wujudnya golongan anak yang menjadi tuan kepada ibu bapanya, zina berleluasa, apabila orang jahil diajukan soalan tentang agama. Itu memang ada tanda-tanda nak kiamat. Orang yang ada sifat amanah disifat sebagai pengkhianat, orang bodoh mula bercakap atau bersuara.
“Tapi jeritan ikan paus ini memang tak ada tuan puan. Walau bagaimana pun kena ingat, semua hal-hal berkaitan kiamat ini hanya dalam pengetahuan Allah SWT sahaja. Kita jangan nak memandai-mandai. Nak kiamat dah nie, nak kiamat dah nie.
“Mungkin ada orang kaitkan manusia dan kerosakan dan keruntuhan akhlak itu mungkin. Hah, sebab bila dunia nak kiamat nie, macam-macam perlakuan yang pelik-pelik akan berlaku. Tapi kalau bunyi suara ikan nie, kita tak boleh nak terima benda-benda macam tu.
“Dalam Quran Allah SWT berfirman, “mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya? Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia.
(Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Surah Al-Araaf ayat 187).
“Kita nie diajar supaya apa persiapan kita menjelang akhir kiamat tu. Itu paling penting,” katanya lagi.
Ini video yang viral ini.