Esok 10 Muharram merupakan hari Asyura yang mana kita sangat digalakkan berpuasa. Terdapat banyak kelebihan dan fadhilat pada 10 Muharram berdasarkan nas dan hadis yang sahih.
Berikut adalah kelebihan dan fadhilat 10 Muharram seperti yang dirungkai melalui portal Mufti Wilayah Persekutuan untuk pengetahuan kita semua.
Kata Ibn Abbas R.Anhuma apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata :
مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ
Maksudnya : Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari hari yang lain melainkan hari ini – iaitu hari ‘Asyura –Riwayat al-Bukhari (2006)
Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: Ini menunjukkan bahawa puasa ‘Asyura lebih afdhal berbanding hari hari lain untuk berpuasa selepas Ramadhan. Zahir hadis Muslim pula menunjukkan bahawa puasa pada hari ‘Arafah lebih afdhal berbanding puasa pada hari ‘Asyura. Dikatakan hikmahnya adalah kerana puasa ‘Asyura dinisbahkan kepada Musa AS manakala puasa ‘Arafah pula dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh yang demikian, puasa ‘Arafah lebih afdhal. [Fath Al-Bari. Dar Al-Salam, 4/315]
Di dalam al-Sahihain dari Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ وَجَدَهُمْ يَصُومُونَ يَوْمًا، يَعْنِي عَاشُورَاءَ، فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ، وَهْوَ يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى، وَأَغْرَقَ آلَ فِرْعَوْنَ، فَصَامَ مُوسَى شُكْرًا لِلَّهِ. فَقَالَ “ أَنَا أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ ”. فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ.
Maksudnya : Rasulullah SAW tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka : Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah SAW : Aku lebih utama ke atas Musa berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut. Riwayat Al-Bukhari (3397), Muslim (3/149-150)
Kata al-Imam al-Maziri: Perkhabaran golongan Yahudi tidak diterima. Ada kemungkinan bahawa Nabi SAW diwahyukan kepadanya akan kebenaran mereka terhadap apa yang mereka ucapkan atau telah mutawatir perkhabaran tersebut sehingga baginda mengetahuinya. Inilah pendapat yang terpilih di sisi Al-Imam Al-Nawawi Rahimahullah. [Al-Nawawi. Syarah Sahih Muslim, 7/204]
Dari Abu Qatadah : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda SAW :
أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Maksudnya : Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu. Riwayat Muslim (1162)
Kata Abdul Wahhab bin al-Khaffaf di dalam Kitab Al-Siyam: Telah berkata Qatadah: Dikatakan bahawa puasa ‘Asyura adalah kaffarah (pengampun dosa) bagi lelaki yang mengabaikan zakat hartanya. [Lathaif al Ma’arif. Al-Maktab Al Islami, hlm.101]
Disebut di dalam kitab Al-Durr Al-Manthur karya Al-Imam Al-Suyuthi sebuah riwayat dari Abdul Wahhab Al-Khaffaf, dari Sa’id, dari Qatadah beliau berkata :
Kami berbincang bahawa hari yang Allah menerima taubat Adam padanya adalah pada hari ‘Asyura. Dan Adam diturunkan ke dunia juga adalah pada hari ‘Asyura. [Al-Durr Al-Manthur. Dar al-Fikr, 1/146]
Dalam pada itu terdapat beberapa fakta yang perlu kita ketahui mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram. Antaranya:
Pertama: Pembunuhan Al-Husayn RA
Tragedi menyayat hati ini benar-benar berlaku dalam kalendar Islam sepertimana yang telah dikhabarkan oleh para ulama’. Al-Imam al-Zahabi (wafat 748H) Rahimahullah di dalam kitabnya al-Siyar: “Terbunuh pada hari ‘Asyura tahun 61 hijrah”. [Siyar A’lam al-Nubala’. 1985. Muassasah al-Risalah, 3/318]
Begitu juga telah berkata Ibn Taimiyah (wafat 728H): “ dan al-Husayn semoga Allah meredhainya dan melaknat siapa yang membunuhnya terbunuh pada hari ‘Asyura, tahun 61 hijrah.” [Majmu’ al-Fatawa. 1995. Majma’ al-Malik Fahd li Tiba’ah al-Mashaf al-Syarif, 4/505]
Kita sebagai Ahli Sunnah wa al-Jama’ah pasti merasa sedih dengan musibah yang melanda umat Islam ini yang mana dengannya juga telah terbuka pintu-pintu fitnah yang lebih besar buat umat Islam. Namun, kesedihan kita ini perlulah didasari dengan aqidah yang benar agar kesedihan ini tidak meletakkan kita ke dalam kancah kesesatan.
Kedua: Kisah Nabi Nuh AS & Bubur ‘Asyura
10 Muharram juga tidak terlepas dalam memperkatakan tentang bubur ‘Asyura yang mana kisahnya itu diambil daripada peristiwa Nabi Nuh AS selepas diselamatkan dari banjir besar.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan