Persoalan darah haid, istihadah atau nifas memang tidak dapat dielakkan di kalangan wanita lepas bersalin atau keguguran. Mereka biasanya akan melalui satu tempoh pendarahan atau keluar darah kotor sebagai proses pembersihan dalaman secara biologi. Maha Besar Allah, ini semua adalah satu proses menakjubkan.
Namun amat penting bagi para ibu yang lepas bersalin atau gugur dapat kenal pasti darah yang keluar itu sama ada darah haid, istihadah atau nifas.
Islam ada menetapkan tempoh tertentu untuk klasifikasikan ia darah nifas atau sebaliknya.
Artikel berkaitan: Cara Mandi Wajib Setelah Haid, Apa Perkara Wajib Sunat
Artikel berkaitan: Zikir Laa Ila Ha Illa Anta, Subhaanaka Innii, Kuntu Minazzolimin, Mudahkan Isteri Bersalin. Suami Pun Patut Amalkan!
Setiap wanita mempunyai ciri biologi berbeza, maka akan ada perbezaan tempoh nifas. Bagi mengelakkan kekeliruan, kita dapatkan penjelasan ustaz Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil agar tiada lagi bimbang di hati.
Soalan:
Saya ada kemusykilan. Saya baru sahaja keguguran. Kandungan sekitar 12 minggu. Saya diberitahu oleh doktor bahawa darah yang keluar selepas keguguran mengambil masa 1 – 2 minggu.
Soalan saya adakah darah yang keluar selepas hari ke 15 dikira sebagai darah istihadah dan saya wajib untuk mandi dan menunaikan solat?
Atau sebaliknya. Mohon pencerahan dari ustaz sebab ramai sangat yang memberikan saya jawapan yang berbeza beza. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih.
Jawapan:
Secara ringkas wanita yang keguguran hukumnya sama seperti wanita yang bersalin. Oleh itu darah yang keluar selepas keguguran dikira sebagai darah nifas.
Berikut sedikit perincian mengenai hukum hakam mengenai darah nifas menurut mazhab Syafi’ie:
Kadar minimum bagi nifas ialah satu percikan(majjah) darah yang keluar selepas bersalin walaupun sedikit.
Tempoh normal/kebiasaan bagi darah nifas ialah 40 hari. Manakala tempoh maksimum untuk darah nifas ialah 60 hari.
Berikut adalah beberapa permasalahan yang berkaitan dengan darah nifas:
Contohnya darah terhenti pada hari ke 45, kemudian timbul semula pada hari ke 55, maka darah yang keluar dari hari ke 55 masih dikira sebagai nifas. Namun jika masih berterusan lebih dari 60 hari ia dikira istihadah.
Contohnya darah nifas Siti terhenti pada hari ke 20 kemudian datang semula pada hari kemudian iaitu hari ke 31, maka ia masih dikira sebagai darah nifas.
Contohnya apabila Siti terputus darah nifas pada hari ke 20, kemudian darah muncul kembali selepas 15 hari iaitu hari ke 36, maka darah ini dikira sebagai darah haid bukan lagi darah nifas.
Contohnya darah keluar selama 63 hari kemudian berhenti pada hari 64 dan darah muncul kembali pada hari 65 maka ia dikira bermulanya kitaran darah haid. Manakala hari 61 ke 63 ialah darah istihadah.
Jika seorang wanita setelah melahirkan anak namun tidak kelihatan darah nifas yang keluar walaupun setitik seperti proses “caesarean birth”.
Kemudian setelah beberapa hari darah pun keluar. Dalam keadaan melihat kepada dua situasi:
Sebagai contoh: Siti tidak melihat darah keluar walau sedikit pun selepas bersalin, namun darah mula keluar pada hari ke 16 selepas melahirkan anak, maka darah ini dikategorikan sebagai darah haid bukan darah nifas.
Semoga penjelasan ini dapat membantu ibu atau wanita yang keguguran untuk kenal pasti status darah istihadah atau nifas.
Wallahu A’lam