Dengan komitmen kewangan untuk keluarga dan perbelanjaan seharian, persoalan tentang ‘cukup ke belanja bila dah bayar zakat’ selalu berlegar di fikiran golongan ini. Ada yang merasakan mereka tidak mampu menunaikan kewajipan ini walaupun hakikatnya sudah memenuhi syarat sebagai pembayar zakat.
Skuad Cukup Ke yang terdiri daripada personaliti remaja terkenal Hero dan Dewi Remaja iaitu Safwan Nazri, Aniq Suhair, Shaza Bae selain Bella Zahir serta Dai Luqman akan mengupas tentang isu ini, di samping membuktikan kecukupan untuk membayar zakat dalam kewangan yang terhad anak muda. Ia sekali gus menunjukkan tanggungjawab ini bukanlah satu bebanan sebaliknya cara untuk kita berkongsi rezeki dan menyucikan hati dari sifat tamak dan kedekut.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
9 Jenis Zakat Wajib Kita Dilunaskan Bila Cukup Syaratnya
Secara umumnya, zakat yang diterjemahkan dari bahasa Arab bererti pertumbuhan, berlipat ganda, atau bertambah. Perkataan ‘zakat’ juga membawa maksud kesuburan, penyucian, dan penuh keberkatan (baraqah).
Kewajipan berzakat ini terangkum dalam rukun Islam seiring dengan solat dan puasa yang wajib dilaksanakan oleh individu beragama Islam.
Namun tak dinafikan masih ramai yang memahami zakat hanya setakat zakat fitrah. Sedangkan hakikatnya terdapat lapan lagi jenis zakat yang perlu difahami dan lunaskan oleh umat Islam bila cukup syaratnya.
Secara umumnya syarat wajib mengeluarkan zakat adalah Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab, cukup haul dan harta yang berkembang. Bila mana cukup syarat yang dinyatakan zakat-zakat berikut wajib dikeluarkan.
Zakat Pendapatan
Zakat pendapatan timbul daripada konsep zakat al-mal al-mustafad (zakat harta perolehan). Konsep al-mal al-mustafad bermaksud mewajibkan zakat ke atas mana-mana harta perolehan dari hasil usaha, secara ringkasnya ia diperoleh dengan sebabnya tersendiri seperti gaji, upah kerja, elaun, hadiah dan lain-lain.
Para fuqaha telah mewajibkan zakat ke atas hasil pendapatan dan gaji. Ini kerana pendapatan merupakan sebuah harta yang berkembang dan boleh membawa perolehan yang lumayan.
Zakat Perniagaan
Manakala zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada yang melibatkan barangan atau perkhidmatan.
Zakat perniagaan merupakan suatu tanggungjawab yang wajib ditunaikan ke atas mereka yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Syarat pertama, Muslim.
Manakala perniagaan yang mempunyai pemilikan bercampur antara Muslim dengan bukan Muslim, hanya bahagian pemilikan dan kepentingan orang islam sahaja yang dikenakan zakat.
Di samping itu, syarat khusus lainnya kepada kewajipan zakat perniagaan adalah sempurna milik, cukup nisab, cukup haul, niat berniaga serta barang perniagaan dan perkhidmatan yang halal.
Zakat Wang Simpanan
Wang merupakan harta cair yang boleh digunakan dalam hal pertukaran, ukuran nilai dan tabungan. Malah, wang sama ada berbentuk kertas, syiling atau sebagainya setaraf dengan emas dan perak sebagai satu bentuk kekayaan yang memberi kuasa membeli.
Wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, serta lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan diwajibkan zakat sekiranya memenuhi syarat-syaratnya.
Zakat Saham
Saham adalah satu bentuk aset kewangan yang baharu yang tidak wujud pada zaman dahulu. Saham mewakili pemilikan sebahagian daripada modal syarikat yang mana turut membawa kepada keuntungan atau kerugian.
Umumnya, memiliki dan berurusniaga dengan saham adalah dibenarkan di sisi syarak, asalkan ianya terhindar dari aktiviti haram seperti riba, gharar, judi dan arak. Para ulama telah menetapkan saham itu wajib dizakatkan oleh kerana nilai dan kekayaan seseorang boleh dibentuk dengan aktiviti jual-beli atau memiliki saham.
Zakat KWSP
Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga diwajibkan zakat (setelah memenuhi syarat-syaratnya) kerana konsepnya sama seperti wang simpanan, cuma perbezaannya simpanan di KWSP tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya seperti akaun simpanan biasa, justeru ia tidak memenuhi syarat “Sempurna Milik”.
Namun syarat “Sempurna Milik” akan dipenuhi sejurus apabila pencarum diberi kebenaran untuk mengeluarkannya (sama ada sudah capai umur atau pengeluaran lain yang dibenarkan dibawah Skim Pengeluaran KWSP).
Kewajipan zakat juga tertakluk kepada jenis-jenis pengeluaran yang dibuat berpandukan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.
Zakat Emas
Islam memandang emas sebagai simbol kekayaan harta yang berharga dan mampu berkembang. Pada masa dahulu emas diguna sebagai wang dalam urusan jual beli.
Emas-emas ditempa menjadi kepingan berbentuk syiling (dinar) dan juga dibentuk menjadi barang perhiasan wanita. Oleh sebab keistimewaan yang dimilik oleh emas dan menjadi ukuran kekayaan maka Islam mewajibkan zakat ke atas emas.
Zakat yang dikenakan ke atas emas termasuklah yang berbentuk emas perhiasan dipakai (tertakluk kepada kadar uruf 800gm), emas yang disimpan dan juga emas pelaburan.
Zakat Perak
Logam perak (silver) merupakan logam yang berharga dan berguna. Pada masa dahulu, perak telah digunakan sebagai alat tukaran (wang) dalam urusan jual beli.
Walaupun kegunaan perak pada zaman moden telah berubah berbanding zaman dahulu, namun fizikalnya yang masih kekal sebagai alat simpanan nilai dan simbol kekayaan seseorang.
Justeru kewajipan syariat zakat ke atas perak kekal termaktub dan seharusnya ditunaikan oleh orang Islam apabila memenuhi syarat-syaratnya. Zakat yang dikenakan ke atas perak termasuklah yang berbentuk syiling perak, jongkong perak, perkakasan dibuat daripada perak, barang perhiasan dibuat daripada perak serta barang kemas perak dan sebagainya.
Zakat Pertanian
Kewajipan menunaikan zakat pertanian telah disebutkan dalam al-Quran dan hadis.
Bila mana Allah mengarahkan manusia untuk menunjukkan rasa syukur atas nikmat yang telah diberikan, maka sudah tentulah umat Islam yang beriman menunaikannya dengan mengeluarkan zakat dari sebahagian dari hasil tanam-tanaman mereka.
Zakat Fitrah
Zakat fitrah ialah zakat yang wajib ditunaikan pada bulan Ramadan. Perintah menunaikan zakat fitrah bermula pada tahun kedua Hijrah, iaitu tahun diwajibkan puasa pada bulan Ramadan untuk mensucikan orang Islam yang berpuasa dari kata-kata dan perbuatan yang tidak berguna.
Sebenarnya, zakat fitrah berbeza dari zakat harta kerana ia merupakan kewajipan ke atas individu-individu, sedangkan zakat harta merupakan kewajipan kepada harta-harta yang dimiliki.
Oleh sebab itu, tidak disyaratkan pada zakat fitrah seperti apa yang disyaratkan pada zakat harta, seperti nisab, haul dan sebagainya.
Kesimpulannya, amalan berzakat secara tak langsung boleh membiasakan diri pengeluarnya supaya bersifat pemurah. Amalan itu juga boleh membuang sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil.
Amalan berzakat merupakan suatu bentuk pembersihan harta dan penyucian jiwa bagi pengeluar zakat. Ia juga dapat menambah keberkatan harta dan tidak sesekali akan menguranginya.
Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Maksudnya: “Zakat itu tidak mengurangi harta.” [HR Muslim]
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Da’i Luqman Perjelas Konsep & Proses Zakat Bersama Hero & Dewi Remaja, Alhamdulillah Semuanya Terjawab. Ingatkan Sukar, Tapi Sebenarnya Mudah
Sekiranya ada di antara kita masih mempunyai rasa ‘berat hati’ untuk mengeluarkan zakat, perkongsian daripada Da’i Luqman bersama pelakon, Shaza Bae dan Aniq Suhair mungkin dapat mengubah perspektif anda.
Menurut Da’i Luqman, zakat merupakan antara salah satu cara untuk menyucikan diri.
“Ada kalanya kita terlepas pandang apabila tidak bersungguh-sungguh atau sambil lewa ketika bekerja padahal, gaji kita dibayar penuh setiap bulan.
“Jadi, salah satu cara kita menyucikan diri dan harta adalah dengan membayar zakat. Malah kita juga mungkin tidak tahu, di dalam rezeki kita, ada juga rezek untuk orang lain,” katanya Da’i Luqman.
Katanya lagi, antara kelebihan yang boleh kita peroleh daripada membayar zakat adalah menerusi rebat cukai.
Malah hal tersebut turut ditanyakan Shaza.
“Kita boleh membawa rebat tersebut kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seterusnya membuat potongan.
“Dengan kehadiran sistem zakat ini, kesusahan yang terpaksa ditanggung saudara-saudara muslim ini akan mendapat perhatian khas seterusnya akan meringankan beban hidup untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya lagi
Tambah Da’i Luqman, jika kita terlepas untuk membayar zakat bagi tahun-tahun sebelum ini, pihak Pusat Pungutan Zakat (PPZ) boleh memberikan khidmat bantuan.
“Cara yang pertama, kita boleh membuat proses qada’ dengan melakukan kira-kira dengan sistem kalkulator yang telah disediakan di laman web www.zakat.com.my. Segala pengiraan boleh dibuat secara hujung jari.
“Sekiranya masih dapat kemusykilan tentang proses qada’ zakat, anda boleh datang ke pejabat PPZ-MAIWP dan staf mereka juga boleh membantu membuat kira-kira,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Da’i Luqman sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk sentiasa menanam sifat qanaah di dalam diri.
Ia boleh ditonton menerusi video Remaja Cer Try yang secara jelas mengajar pemahaman kita mengenai perbelanjaan
Shaza dan finalis Hero Remaja 2017, Safwan Nazri menyahut cabaran dengan berbekalkan RM20, mereka perlu membeli empat menu dan pada masa sama cuba untuk berjimat dengan memilih hanya menu penting bagi tujuan berbuka puasa.
“Kadang-kadang kita merasakan rezeki kita tidak cukup, namun bila terapkan rasa kecukupan di dalam rezeki kita, maka Allah SWT akan menambahkan lagi ruang rezeki itu,” kata Dai Luqman.
Lantaran itu, jika kita merancang perbelanjaan dengan baik dan mengikut kemampuan, soal membayar zakat ini bukanlah satu masalah.
Manakala menerusi video Apa Kata Hijabista pula, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman menasihatkan orang ramai agar tidak membuat andaian sendiri berkaitan kemampuan untuk membayar sakat kerana segalanya harus menjalani proses pengiraaan terlebih dahulu.
“Sekiranya sudah bekerja, kita kena semak gaji kita sama ada mencukupi syarat-syarat zakat atau tidak.
“Sekiranya kita tidak membuat pembayaran tersebut, percayalah, Allah akan tarik dengan cara lain. Zakat ini hak Allah bukan hak kita.
“Daripada gaji yang kita terima, hanya 97.5 peratus sahaja yang boleh dibelanja untuk diri kita dan 2.5 peratus pula adalah hak asnaf-asnaf. Kalau kita tidak bayar, ia seolah-olah mengambil hak orang lain,” katanya.
Tuan Haji Abdul Hakim menambah, walaupun seseorang itu bergaji rendah, kewajipan untuk membayar zakat tetap dituntut mengikut kemampuan.
“Pembayar zakat ini merupakan menifestasi kita terhadap harta-harta yang dititipkan Allah. Soal sedikit atau banyak ini sangat subjektif.
“Ada orang bergaji RM8000 tapi dia merasakan sedikit. Namun, ada juga yang bergaji RM3000 tapi dia rasa cukup.
“Jika bergaji sedikit, ada caranya. Kalau banyak, apatah lagi. Jadi, jangan rasa kita terlepas untuk membayar zakat disebabkan kita fikir gaji kita kecil,” kongsinya lagi.
Jadi apa yang telah dirangkumkan ini diharap dapat mendidik seterusnya lebih memahami mengenai keperluan zakat yang bukan sahaja demi kebaikan Bersama.
Klik di sini untuk iltizam berzakat. InsyaAllah, Cukup Je!
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI