Ibarat pokok yang perlu sentiasa dibaja agar terus kekal hidup, begitu jugalah dengan kasih sayang dalam rumah tangga. Suami isteri perlu mengambil inisiatif untuk memastikan agar hubungan suami isteri perlu sentiasa ‘mekar’ agar rumah tangga terus harmoni dan bahagia.
Oleh sebab itulah pasangan suami isteri perlu mencuri masa untuk berdua-duaan. Ketika inilah masing-masing boleh bercerita dari hati ke hati. Segala yang terbuku dihati, diluahkan secara telus agar tidak ada secalit pun perasaan ketidakpuasan hati.
Inilah yang dilakukan oleh pasangan pelakon Fauzi Nawawi dan juga Lisdawati. Dalam caption Fauzi Nawawi di laman Instagramnya, dia berkongsi tentang kepentingan masa ’emas’ bersama pasangan.
Berikut caption Fauzi Nawawi: Sekali sekala Dating rasa macam mula bercinta …lesen cinta perlu selalu perbaharui utk kekal sweet…
Pasangan selebriti ini mendirikan rumah tangga pada 9 September 2007 dan dikurniakan dengan empat orang cahaya mata. Fauzi juga mempunyai empat lagi cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu. Meskipun sudah 14 tahun mendirikan rumah tangga namun kemesraan suami isteri ini tetap hijau dan mekar.
Mengapa perlu kita ‘memperbaharui’ lesen cinta untuk kekal sweet bak kata Fauzi Nawawi? Ya! Adat dalam perkahwinan, tentulah ada pasang surutnya maka sebab itulah pasangan suami isteri perlu berusaha ‘menghangatkan’ hubungan suami isteri demi kerukunan rumah tangga.
SAMBUT ULANG TAHUN PERKAHWINAN
Antara perkara yang boleh dilakukan untuk menjadikan rumah tangga sentiasa kaya dengan kasih sayang dan terus harmoni selain keluar bersama berdua ialah menyambut ulang tahun perkahwinan.
Ulang tahun perkahwinan menjadi momen yang amat manis dalam perjalanan cinta pasangan suami isteri. Ia mampu menghangatkan kembali hubungan dalam rumah tangga. Usia perkahwinan yang bertambah setiap tahun menjadi satu penanda aras yang anda dan pasangan berjaya melalui pelbagai ujian dan dugaan sepanjang perkahwinan.
Imbau dan rasai kembali kasih sayang yang menyatukan perasaan anda dan pasangan selama hidup bersama. Anda dan pasangan juga dapat mengenal pasti apa yang menjadi kekuatan dan kelemahan dalam ikatan perkahwinan anda dan pasangan agar kelemahan yang ada mampu diperbetulkan. Melakukan refleksi bersama dengan pasangan akan menyedarkan anda seberapa jauh hubungan perkahwinan ini bermula.
GEBUKAN KEMBALI PERASAAN CINTA
Usia perkahwinan yang masuk tahun ke 5, 10 bahkan 20 tahun bukanlah alasan pudarnya api cinta dalam perkahwinan. Justeru pada momen ulang tahun perkahwinan, anda dan pasangan bolehlah merencanakan makan malam romantik mahupun percutian bersama.
Rencanakan aktiviti atau liburan yang sesuai dengan keinginan anda dan pasangan untuk mengisi agenda ulang tahun perkahwinan. Ini sangat bermanfaat untuk ‘menggebukan’ kembali perasaan cinta antara anda dan pasangan.
Penting untuk melakukan refleksi sejenak untuk menyedari betapa berharganya hubungan perkahwinan anda. Ambil juga sedikit masa untuk merangka masa hadapan dan impian anda bersama pasangan untuk masa depan.