Laman sosial bukan sahaja menjadi medium untuk mencari kenalan yang sudah lama terpisah dalam mengeratkan lagi tali silaturrahim, tetapi boleh juga dijadikan tempat untuk bertemu jodoh.
Seperti kisah pasangan pengantin baru, Mohamad Khalies Hami Hamzah dan juga pasangannya seorang mualaf, Giovanna Khadija.
Siapa sangka perkenalan yang tercetus antara keduanya di laman Instagram akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin.
Dikatakan Mohamad Khalies Hami Hamzah telah menghantar mesej ucapan tahniah kepada Giovanna Khadija kerana telah memeluk Islam.
Bermula dari saat itu, mereka mula mengenali hati budi masing-masing dan empat bulan kemudian Khalies mengambil keputusan melamar Giovanna menjadi isteri.
Dalam artikel di Harian Metro, Mohamad Kalies ketika dihubungi berkata dirinya bagaikan bermimpi apabila memperisterikan wanita Itali berkenaan.
“Saya sendiri pun tidak sangka, isteri menerima lamaran saya dan memilih tarikh berkahwin pada 14 Februari sempena tarikh hari pertama dia menjejak kaki ke negara ini pada tahun lalu.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Giovanna Khadija juga sekarang dalam proses mendalami ilmu agama bersama saya.
“Sejak daripada awal perkenalan kami di IG , saya membantu dia mendalami ajaran Islam termasuk membaca al-Quran,” katanya.
Dia berkata, isterinya itu kini sudah menghafal lebih 10 surah lazim selain sedang menghafal surah al-Mulk.
“Giovanna Khadija sekarang membaca Iqra lima serta dalam proses mengenal bacaan al-Quran selain sudah pandai menunaikan solat dengan sempurna.
“Ditakdirkan berkahwin dengan saudara baru ialah tanggungjawab yang besar dan ia sebagai amanah Allah kepada saya.
“Sebagai suami, saya akan pastikan isteri mendapat didikan agama yang sebaik mungkin selain kasih sayang sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Giovanna Khadija berkata, dia berasa selesa dan yakin dengan keikhlasan suaminya sehingga mendorongnya menerima lamaran itu.
“Pada mulanya saya juga berasa berbelah bahagi untuk berkahwin pada usia 25 tahun selain masih ingin melanjutkan pengajian ke bidang Doktor Falsafah (PhD).
“Bagaimanapun selepas melihat kesungguhan dan keikhlasan suami, hati saya tersentuh.
“Paling penting suami seorang yang kuat pegangan agama seterusnya diyakini mampu membimbing saya mendalami Islam dengan baik,” katanya.
Menurutnya, dia bercadang untuk menetap bersama suaminya di negeri ini sehingga menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Universiti Libre De Bruxelles, Belgium.
“Walaupun sudah berkahwin, saya tetap akan mencapai cita-cita untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD dan bersyukur kerana suami memahami dan merestuinya,” katanya yang menggemari nasi lemak.
Mohamad Khalies yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu selamat dinikahkan dengan Giovanna Khadija Wolswijk, 25, dari Itali dengan sekali lafaz oleh jurunikah, Datuk Ismail Ali di Masjid Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 14 Februari lalu.
Perkahwinan itu disaksikan ahli keluarga Giovanna Khadija iaitu ibu, Hendrina Johanna Van Middelkoop, 62, dan bapa, Theodorus Wolswijk, 62.