Penyakit ‘ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang.
Ianya boleh terjadi dari orang yang dengki atau orang yang dicintai, dari orang yang jahat atau orang yang soleh.
Al-Hafizh Ibnu Hajar rahimahullah berkata: ‘Ain adalah pandangan hasad dari tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya. (Fath al-Baari, 10/200)
Dalam Irsyad al-Hadith Siri Ke-5, pihak mufti berpegang bahawa penyakit ‘ain ini ada asasnya dan ianya disebut dalam hadis dan diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim (Muttafaqun ‘alain) bahkan ianya berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Penyakit ini pernah menimpa sahabat Nabi SAW, Sahl bin Hunaif tatkala terkena ‘ain Amir bin Rabi’ah.
Dalam perkembangan dunia sosial hari ini, semuanya dihujung jari. Masing-masing seronok berkongsi perihal diri masing tanpa sedar ada ‘mata-mata’ yang memerhati.
Kehidupan peribadi bukan sahaja menjadi tatapan orang, malah tanpa disedari, kita sebenarnya telah terdedah dengan keburukan-keburukan yang tersembunyi daripada orang lain seperti dengki dan iri hati. Dalam Islam, perkara ini dipanggil ‘ain atau ‘penyakit ‘ain’
Berikut perkongsian Pusat Rawatan Islam Darul Nusrah tentang penyakit ain.
Ustaz kongsikan ilmu penting tentang penyakit ain dari Group Ruqyah Syar’iyyah Malaysia.
TANDA-TANDA SESEORANG TERKENA PENYAKIT AIN
1. Rasa sakit kepala yang berpindah-pindah dan bertambah sakit ketika diruqyah.
2. Wajah menguning atau pucat.
3. Banyak keringat dan buang air kecil.
4. Tidak bersemangat.
5. Tangan dan kaki kesemutan.
6. Badan terasa panas (gerah) meskipun cuaca tidak panas.
7. Jantung berdetak cepat.
8. Rasa sakit yang berpindah-pindah antara leher dan punggung.
9. Sedih tanpa sebab.
10. Sulit tidur di malam hari.
11. Emosi tidak stabil, marah yang meledak-ledak atau muncul rasa takut yang berlebihan tanpa sebab.
12. Sering mimpi buruk.
13. Sering sendawa dan menguap.
14. Rasa sempit (sesak) di dada.
15. Ujung-ujung mata terasa sangat pedih.
16. Tiba-tiba menangis dan mengeluarkan air mata tanpa sebab yang jelas.
17. Jari jari gemetar dan bergerak-gerak sendiri.
18. Kejang otot.
19. Merasa lemas dan lemah.
20. Kadang-kadang muncul rasa dingin di ujung-ujung jari.
21. Muncul bekas warna kebiruan atau kehitaman tanpa sebab medis.
22. Kehilangan harta dan barang dagangan (bisnes hancur).
23. Dibenci oleh keluarganya, teman-temannya dan orang-orang yang mengenalnya.
24. Kehilangan kedudukan, jabatan dan pekerjaan.
Tanda-tanda ini akan ditemukan semua atau sebahagiannya tergantung kekuatan pengaruh Ain tersebut dan jumlah orang yang melakukannya.
Tanda-tanda ini ada yang muncul sebelum dibacakan ayat-ayat ruqyah dan ada yang muncul ketika proses ruqyah syariah.
Jika diperhatikan sebahagian tanda-tanda itu sama dengan tanda-tanda gangguan jin dan sihir. Memerhatikan tanda-tanda ini dan membezakannya memerlukan pengalaman.
Tidak semua perkara perlu dipertontonkan kepada umum. Bersederhanalah dalam setiap perkara itu lebih baik dan dapat menjauhkan diri kita dari keburukan-keburukan di sekeliling.
Jika di dapati ada tanda-tanda seperti di atas, segeralah mencari penawarnya melalui cara perubatan Islam. Jangan terus dibiarkan tanpa sebarang rawatan pemulihan.
Rujukan utama:
Buku Sembuh Dengan Ruqyah oleh Husain Al Mubarak dan Bukhari Abdul Muid. Ms 227-228.
Buku Sembuhkanlah Penyakitmu Dengan Ruqyah Syar’iyyah oleh Abdullah bin Muhammad As-Sadhan. Ms 87-88.
Buku Setan Di Antara Dengki & Ain oleh Syaikh Abu Baraa Usamah bin Yasin Al-Maani. Ms 131-132.
Sumber Kredit: Pusat Rawatan Islam Darul Nusrah dan tzkrh.com
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
5 Tanda Berlakunya Malam Lailatulqadar, #1 Malam Tiada Bintang Hingga Ke Pagi
Hari ini merupakan hari ke 23 umat Islam berpuasa. Bermakna kurang dari beberapa hari lagi umat Islam akan meninggalkan Ramadhan, bulan penuh keberkatan, bulan penuh kemuliaan dan bulan penuh keampunan.
Mungkin bagi yang tidak merasai “manisnya” Ramadhan akan mula memburu baju raya, kuih raya dan sebagainya dan tidak merasakan pentingnya memburu lailatulqadar (malam 1000 bulan) yang Allah hanya beri kepada umat akhir zaman ini kerana usia kita pendek, sekitar 60-70 tahun sahaja, tidak seperti umat terdahulu yang usia mereka lama.
Kenapa malam lailatulqadar sangat penting dalam kehidupan umat Islam dan apa kelebihannya jika dapat bertemunya? Dipetik dari pejabat Mutfi Wilayah Persekutuan yang pernah ditulis oleh Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, diceritakan kelebihan malam lailatulqadar ini.
Lailatulqadar…Carilah
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, kita telah melalui fasa puasa hampir 2/3. Justeru yang berbakinya sudah hampir kepada akhir Ramadan yang disangkakan terdapat padanya malam al-Qadar. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini mengemukakan tajuk “Lailatulqadar…Carilah”.
Semoga kita dapat mengisi 10 malam terakhir dengan acara ibadat dan InsyaAllah dengannya kita memperolehi malam Lailatulqadar.
Tafsir Surah Al-Qadr
Firman Allah SWT:
(۲)إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿۱﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”(Surah al-Qadr: 1-3)
Perkataan Lailatulqadar adalah daripada dua kalimah:
Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.
Sedangkan al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.
Para ulama berbeza pendapat apabila Qadar disandarkan kepada malam. Ada ulama berpendapat ianya kerana kemuliaan dan terdapat juga pendapat-pendapat lain.
Ibn Qudamah berpendapat malam qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan. Lihat al-Mughni 3/178.
Ibn al-Jauzi mengemukakan 5 pendapat berkenaan dengan nama malam qadar itu:
- Dengan maksud agung. Inilah pendapat al-Zuhri
- Dengan makna sempit kerana dunia pada malam tersebut menjadi sempit dengan ramainya malaikat yang turun. Inilah pendapat al-Khalil bin Ahmad.
- Dengan makna hukum atau keputusan kerana pada malam tersebut semua urusan ditentukan oleh Allah SWT. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.
- Kerana siapa yang tidak mempunyai kemuliaan akan mendapat kemuliaan dengan melakukan ibadat pada malam tersebut. Inilah pendapat Abu Bakar al-Warraq.
- Kerana diturunkan pada malam tersebut kitab yang mempunyai kemuliaan di samping rahmat dan malaikat juga turun pada malam tersebut. Inilah pendapat guru kami Ali bin Ubaidillah.
Sayid Qutub berkata: Terdapat ayat-ayat al-Quran yang menyebut peristiwa malam ini berkilauan memancarkan cahaya, ia melimpahkan cahaya yang tenang, indah dan mesra iaitu cahaya Allah yang gemilang di dalam al-Quran-Nya.
Syeikh al-Maraghi berkata: Malam itu ialah saat kemunculan sinar petunjuk dan hari permulaan bagi agama baru yang diturunkan kepada seseorang yang terbaik dalam kalangan seluruh manusia.
Malam ini dikira sebagai batu asas agama Islam yang menjadi penutup kepada seluruh agama para Nabi. Penurunannya adalah sesuai dengan tuntutan zaman dan tempat. Malam ini lebih baik daripada seribu bulan. Selama ini, mereka hidup dalam kegelapan syirik dan menyembah berhala. Mereka meraba-raba tanpa petunjuk dan tidak mengikut jalan kehidupan dan acuan yang sebenar.
Angka seribu mengikut kebiasaan bangsa Arab dikira sebagai suatu jumlah yang besar. Oleh itu, sebutan seribu di sini bukanlah seribu yang sebenarnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun.”
Pemilihan tempat dan waktu yang tertentu untuk diberikan keutamaan mempunyai hikmah tersendiri yang tinggi. Kemuliaan apa lagi yang lebih agung dari suatu malam yang menjadi permulaan turunnya cahaya dan petunjuk kepada seluruh manusia setelah berlalunya beberapa abad kaum Quraisy yang berada dalam kesesatan menyembah berhala.
Tiada lagi keagungan yang lebih tinggi dari suatu malam yang menjadi saat bersinarnya cahaya pengetahuan Ilahi ke hati Rasulullah SAW sebagai bukti rahmat kepada hamba-hambaNya. Seterusnya Nabi yang memberi khabar gembira dan buruk serta memimpin manusia ke jalan yang lurus. Baginda mendidik umat yang akhirnya dapat membebaskan diri sendiri dari belenggu perhambaan para pemerintah yang zalim. Baginda berusaha menyatukan perpecahan yang berlaku serta menyatukan mereka yang setelah sekian lama hidup berkelompok dan berpuak.
Sepatutnya umat Islam menjadikan malam kemuliaan ini sebagai malam perayaan! Malam inilah permulaan turunnya perundangan samawi (langit), yang membimbing umat Islam ke arah yang baik. Pada malam ini, mereka dapat memperbaharui janji di hadapan Tuhan mereka. Malam ini adalah pernyataan syukur terhadap segala nikmat-Nya serta mengharap pahala-Nya.
Firman Allah SWT:
تَنَزّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْـرٍ﴿٤﴾ سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Maksudnya: “Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin TuhanNya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr: 4-5)
Ibn Kathir berkata: Zahir ayat menunjukkan bahawa malam Qadar lebih afdal daripada malam Jumaat. Walaupun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan malam Jumaat lebih afdal. Inilah pendapat kebanyakan ulama Hanbali seperti Abil Hasan al-Jazari, Abdullah bin Battah, Abu Hafs al-Barmaki dan ramai lagi.
Al-Mawardi menafsirkan maksud roh dengan menukilkan 4 pendapat:
- Inilah pendapat Sa’id bin Jubair.
- Malaikat Hafazah. Inilah pendapat Abi Nujaih.
- Malaikat-malaikat yang mulia dan hampir dengan Allah SWT. Inilah pendapat Muqatil.
- Mereka adalah tentera Allah bukan daripada kalangan malaikat. Inilah yang diriwayatkan oleh Mujahid daripada Ibn Abbas.
Pada malam itu, para malaikat turun dari alam rohani sehingga diri mereka dapat dilihat oleh Nabi SAW. Jibril AS menampakkan dirinya kepada Nabi SAW bertujuan menyampaikan wahyu. Para malaikat dapat dilihat oleh jiwa yang sempurna ini dengan keizinan Allah SWT setelah Baginda sudah dipersiapkan bagi menerima wahyu dan menyampaikan ajaran yang mengandungi kebaikan kepada mereka.
Turunnya para malaikat ke bumi adalah salah satu urusan Allah SWT. Kita tidak perlu membahaskan tentang bagaimana cara mereka turun. Cukuplah kita meyakini perkara ini dan tidak perlu kita berusaha ingin tahu bagaimana selok-belok rahsia itu. Apa yang diketahui oleh orang yang berilmu hanyalah sebahagian kecil sahaja dari alam wujud ini.
Malam itu merupakan perayaan bagi umat Islam di mana telah turunnya al-Quran dan merupakan malam kesyukuran, kebajikan dan kenikmatan. Malaikat menyertai manusia pada malam itu dan mereka mengetahui kelebihan malam tersebut dan betapa besarnya kelebihan manusia atas diri mereka. Seterusnya, Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi.
Kelebihan Malam Qadar
Para ulama berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Hal ini, berdasarkan nas yang terdahulu. Antara kelebihan malam ini ialah:
- Dikatakan lebih baik daripada seribu bulan. Imam al-Qurtubi berkata: “Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar. Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.
- Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.
- Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.
- Mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar. Al-Dahhaq berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan. Sedangkan Mujahid berpendapat: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.” Lihat Tafsir al-Qurtubi 20/133.
Waktu Atau Bilakah Berlakunya Lailatulqadar?
Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda menghidupkan malam tersebut dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.
Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan malebihi usahanya daripada malam-malam lain.”
Lailatulqadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”
Adapun mereka yang menentukan malam Lailatulqadar ada banyak pendapat, antaranya:
Pertama:
Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam 27 Ramadan. Hujah mereka amat banyak, antaranya:
- Mengikut Abu Ka’ab katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatulqadar jatuh dalam bulan Ramadan, manakala Lailatulqadar pula jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya.”
- Daripada riwayat Muawiyah yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam ke-27.”
- Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yang kembalinya kepada Lailatulqadar.
- Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari Lailatulqadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu Lailatulqadar pada malam yang ke-27.”
Kedua:
Pada malam 23 Ramadan. Inilah pendapat Imam Syafie. Inilah juga pendapat Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah dan al-Tahawi berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ لَيْلَةَ ثَلَاثَ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada malam 23 Ramadan.”
Ketiga:
Pada malam 21 Ramadan. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Shafie. Dia berdalilkan pada riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اُطْلُبُوهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلَاثِ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Tuntutlah malam 17,21 dan 23 Ramadan.”
Keempat:
Pada malam 24 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Baginda SAW bersabda:
اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Carilah malam Lailatulqadar pada malam 24 Ramadan.”
Riwayat Muhammad bin Nasr Ahmad daripada Bilal dan al-Tayalisi
Kelima:
Pada malam akhir Ramadan. Hal ini berdasarkan hadis Muawiyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ آخِرِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانِ
Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadan.” Riwayat Ibn Nasr
Rahsia Menyembunyikan Lailatulqadar
Antara rahsia menyembunyikan Lailatulqadar ialah supaya menjadi pendorong kepada orang ramai untuk mencarinya. Juga supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah demi untuk mencari Lailatulqadar, seperti disembunyikan masa yang diperkenankan doa pada hari Lailatulqadar, disembunyikan masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat dan namanya yang agung daripada segala nama serta keredhaan-Nya. Begitulah seterusnya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita Lailatulqadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut, seterusnya melayakkan kita mendapat keampunan daripada-Nya. Amin.
Alamat Malam Qadar
Sebahagian para ulama telah menyebut dalam kitab masing-masing berkenaan dengan sebahagian tanda dan alamat yang mungkin dapat dilihat oleh sebahagian hamba Allah yang diizinkannya pada setiap tahun daripada bulan Ramadan. Ini kerana, banyak hadis dan pengkhabaran orang soleh serta riwayat mereka yang telah membincangkan alamat tersebut, antaranya:
- Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’: “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut. Lihat Umdah al-Qari 11/134.
- Daripada Ubay bin Kaab R.A menyatakan daripada Nabi SAW, sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.”
- Mengikut riwayat daripada ucapan Ibn Mas’ud berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.” Lihat Umdah al-Qari 11/134.
Seperkara yang penting ialah, jika seseorang mengetahui dan memanjangkan malam itu adalah Lailatulqadar adakah perlu diwarwarkan atau disembunyikannya?
Dalam hal ini, jumhur ulama bersepakat bahawa sunat bagi siapa yang melihat pada malam qadar untuk menyembunyikannya. Lihat Fath al-Bari 4/268 dan al-Majmu’ 6/461.
Antara hikmah disembunyikan malam Lailatulqadar adalah seperti yang disebut oleh Ibn Hajar. Beliau menukilkannya daripada Kitab al-Hawi: “Bahawa ia merupakan Karamah (kemuliaan). Hendaklah disembunyikannya (malam Lailatulqadar) tanpa khilaf antara ahli Tariq (orang yang menemui Lailatulqadar) dari memandang kepada jiwa kerana dibimbangi akan dibuang nikmat, lebih besar daripada itu akan berlaku riyak kepada ahli Tariq. Mengikut adabnya pula, janganlah ia sibuk menceritakan nikmat Allah iaitu pertemuan malam Lailatulqadar untuk diwar-warkan kepada manusia kerana dibimbangi berlaku hasad dengki.”
Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Diambil hak tersebut berdasarkan ucapan Yaaqub kepada anaknya Yusuf, tatkala bermimpi melihat bintang matahari dan bulan sujud kepadanya.” Firman Allah SWT:
قَالَ يَا بُنَيَّ لا تَقْصُصْ رُؤْيَاكَ عَلَى إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا لَكَ كَيْدًا إِنَّ الشَّيْطَانَ لِلإنْسَانِ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya: Bapanya berkata: “Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”(Surah Yusuf: 5)
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Berdasarkan perbincangan di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa mulia dan agungnya malam Lailatulqadar sehingga melebihi daripada 1000 bulan. Justeru, hendaklah kita lakukan amalan ibadat dengan bersungguh-sungguh tanpa sebarang pengabaian. Isikanlah dengan qiamullail, bacaan al-Quran, zikrullah, munajat dan doa. Terutamanya doa keampunan dan kerahmatan daripada-Nya.
Kami nyatakan di sini bagaimana Rasulullah SAW dan salaf as-soleh beribadat:
- Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ ، أَحْيَا اللَّيْلَ ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ ، وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ
Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya)” Riwayat Muslim: 2015
- Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ
Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh akhir (Ramadan) melebihi kesungguhannya pada bulan-bulan yang lain”
Riwayat Ahmad
- Imam Sufyan al-Thauri Rahimahullah berkata:
أحب إلي إذا دخل العشر الأواخر أن يتهجد بالليل و يجتهد فيه و ينهض أهله و ولده إلى الصلاة إن أطاقوا ذلك
Maksudnya: “Apabila masuknya sepuluh akhir Ramadan, aku lebih suka untuk melakukan tahajjud pada waktu malam dan bersungguh-sungguh melakukannya. Sufyan al-Thauri Rahimahullah juga akan mengejutkan ahli keluarganya untuk mendirikan solat seandainya mereka mampu melakukannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 160).
Paling kurang pastikan solat fardhu kita dilakukan secara berjemaah.
- Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan. Sebahagian ulama mazhab Syafie menakalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa:
يصلي العشاء في جماعة و يعزم على أن يصلي الصبح في جماعة و قال مالك في الموطأ بلغني أن ابن المسيب قال : من شهد ليلة القدر ـ يعني في جماعة فقد أخذ بحظه منها و كذا قال الشافعي في القديم : من شهد العشاء و الصبح ليلة القدر فقد أخذ بحظه منها
Maksudnya: “Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua. Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. Begitu jualah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 159).
Semoga kita semua meraih malam Lailatulqadar. Amin.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Untungnya Bertemu Jodoh Dengan Anak Bongsu, Seorang Yang Manja & Tak Cerewet. Insya-Allah Kekal Till Jannah!
Urusan jodoh itu sememangnya telah ditentukan oleh Allah. Kita tidak tahu siapa jadi pasangan sehinggalah pada hari yang telah ditetapkan.
Sangat beruntung jika bertemu jodoh dengan anak sulung kerana dikatakan seorang yang pandai masak, tegas dan paling penting berdikari.
Tetapi bagaimana pula jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan anak bongsu. Sifat anak bongsu ini dikatakan agak manja, kelam kabut dan terlalu begantung pada orang lain. Jadi perlu bersedia mental dan fizikal jika bertemu jodoh dengan mereka ini.
1. Seorang Yang Manja
Anak bongsu memiliki sifat yang fun (menyenangkan), manja dan happy go lucky. Ada sesetengah anak bongsu terutamanya perempuan, melihatkan karekter manja yang keterlaluan hingga sukar untuk dikawal. Jadi, berpada-padalah mengawal dan menunjukkan kemanjaan anda, jangan sampai memudaratkan diri sendiri dan orang-orang yang anda sayangi. Secara ringkasnya, anak bongsu manja dengan ahli keluarga dan juga orang yang rapat di sekelilingnya.
2. Bersikap Peramah
Anak bongsu kebanyakannya bersikap peramah dan mudah didekati. Persepsi dan perspektif mereka terhadap sesuatu perkara itu terutamanya tentang hidup ini pada kebiasaannya ialah positif. Bagi anak bongsu, dunia ini merupakan ‘taman permainan’ mereka. Semasa berada didalam kumpulan mereka, mereka suka sangat bercakap, menilai diri mereka dan suka mendapat perhatian.
3. Berani Cuba Sesuatu
Mereka mempunyai sifat ingin tahu (intellectually curious) yang begitu mendalam. Mereka suka pada sesuatu benda yang cantik dan menghargai kesenian. Anak bongsu ini juga lebih peka terhadap emosi mereka dan suka membandingkan diri mereka dengan orang yang terdekat dengan mereka. Mereka bertindak dan berfikir secara cara tersendiri (individualistic) dan dalam cara yang kurang berkonfrontasi. Sesekali, kita akan terlihat sikap mementingkan diri sendiri dalam personaliti anak bongsu terbabit.
4. Bergantung Pada Orang Lain
Kebergantungan kepada ibu bapa juga lebih daripada anak sulong. Mereka lebih memahami ibu bapa, kerana pernah tinggal dalam jangkamasa yang agak lama dengan ibubapa, Ibu serta bapa (3 beranak) sebelum anak bongsu itu besar dan membina keluarga sendiri.
5. Bersikap Agak Boros
Anak bongsu selalu boros dan kurang suka menabung kerana kurang suka perhitungan dalam kehidupan. Anak bongsu juga kurang gemar merancang kewangan mereka melainkan telah timbul kesedaran untuk berbuat begitu. Anak bongsu amat pemurah, gemar berkongsi barangannya dengan orang lain dan tidak kedekut. Sebab itu anak bongsu memiliki abang dan kakak untuk jadi tempat rujukan sekiranya mereka mengalami masalah kewangan.
6. Jenis Terbuka (Open Minded)
Anak bongsu ini umumnya mempunyai badan paling sihat, jarang mengalami sakit apatah lagi yang sakit yang berat-berat, dan biasanya paling awet muda diantara anak-anak yang lain (baby face). Mereka suka bercerita hal peribadi mereka kepada sesiapa, terutamanya kepada ibu bapa. Sikap terbuka (openess to experience) ini pada pandangan ramai ahli sosiologi adalah sihat dan lebih matang dari aspek pemikiran dan tindak-tanduk mereka.
7. Paling Tidak Cerewet
Mengikut pengalaman saya lagi, anak bongsu tidak cerewet orangnya. Mereka akan makan dan pakai apa sahaja yang diberikan oleh kedua orang tua mereka. Ada sesetengah keluarga mengamalkan ‘recycle’ kepada pakaian saudara yang tua untuk diberikan kepada anak bongsu. Oleh kerana sudah biasa dengan keadaan begitu, kebanyakan anak bongsu faham dan dengan rela hati menggunakan barang yang telah digunakan oleh kakak atau abang mereka.
8. Kadang-Kadang Gemar Mencuba Sesuatu
Walaupun keluar paling lambat dalam dunia tapi lebih nampak perjalanan masa depan kerana belajar dari pengalaman yang atas-atas
9. Senang Merajuk Tapi Cepat Sejuk
Tidak pernah merajuk cuma luahkan ekspresi dalaman supaya orang sekeliling faham dan menerima apa yang kita rasa, anak bongsu pandai main politik.
10. Jenis Berani Buat Berani Tanggung
Berdasarkan pengalaman abang2 akak2 , anak bongsu lebih memahami pepatah “Fikir dahulu sebelum bertindak”. Juga seorang yang tidak suka susahkan orang lain. Ini kerana sentiasa melihat kepayahan orang sekeliling semenjak kecil lagi, anak bongsu nampak senang tapi kesenangan untuk dikongsi. Anak bongsu nampak susah, tapi susah demi kesenangan masing-masing
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Mengumpat Itu Dosa, Tapi Ada 6 Jenis Umpatan Dibenarkan Syarak
Mengumpat, mengata, gosip dan sewaktu dengannya tidak pernah lenyap dari muka bumi ini selagi manusia dibayangi rasa geram, tidak puas hati, iri hati, cemburu dan segala perasaan yang menjengkelkan.
Umum tahu perbuatan ini adalah satu dosa, namun ia seakan seronok dilakukan kerana puas hati dapat mengata orang yang kita lihat tidak sealiran dengan pemikiran kita.
Apa sahaja yang tidak disukai akan disampaikan kepada orang lain, malah menjadi fitnah pula kepada orang yang diumpat apabila banyak tokok tambah yang tidak benar.
Dengan kebiadaban ini maka tidak hairanlah apabila banyak akaun-akaun yang dibuka di sosial media, khas untuk netizen mengumpat, memfitnah, menokok tambah cerita. Ini semua adalah lubuk dosa untuk membawa ke neraka jahanam.
Artikel berkaitan: “Pesanan Untuk Suami, Elakkan 6 Dosa Ini Terhadap Isteri”-Ustaz Kazim
Artikel berkaitan: Berdosa Tidak Berikan Belanja Nafkah Kepada Ibu Ayah Hidup Susah
Namun jangan terkejut pula ada juga perihal mengumpat yang dibenarkan dalam syarak! Wah… rupanya ada yang dibolehkan. Tetapi sudah tentu perkara itu sesuatu yang bermanfaat bukan hendak menjatuhkan orang lain. Kita baca penjelasan dari SS Mufti Wilayah Persekutuan tentang hal ini.
Islam merupakan sebuah agama yang amat menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan sama ada insan itu muslim atau bukan muslim.
Justeru itu, agama ini mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat sehingga Allah SWT membuat satu perumpaan yang dahsyat kepada golongan seperti ini.
Firman Allah SWT
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
al-Hujurat:12
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
“Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Di dalam ayat ini jelas berkaitan pengharaman mengumpat sehingga diumpamakan seperti memakan daging saudaranya.
Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi.
Definisi al-Ghibah (mengumpat)
Sebelum kami menjawab persoalan di atas, maka suka bagi kami untuk menyatakan terlebih dahulu definisi bagi mengumpat ini sebagaimana yang diberikan oleh Rasulullah SAW:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ
“Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?.” Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya. Nabi SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.”
Berdasarkan soalan di atas, di sini kami ingin nukilkan pandangan Imam al-Nawawi sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitabnya.
Mengumpat yang dibenarkan dengan tujuan yang sahih dan syar’i yang mana tidak akan dikecapi melainkan dengannya, terdapat enam jenis:
- Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
- Membantu dalam menentang perkara yang mungkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.
- Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
- Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.
- Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.
- Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya.
Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.
Untuk itu, keenam perkara ini dinyatakan oleh para ulama dan sebahagian besarnya disepakati akannya. Adapun, kesemua ini datang daripada dalil-dalil atau hadith-hadith yang sahih lagi masyhur. [Lihat: Riyadh al-Solihin, 432-433]
Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya ada juga menyebut jenis-jenis mengumpat yang dibenarkan oleh syarak sama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas. [Lihat: Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 172-173]
Penutup
Kesimpulannya, mengumpat adalah satu perbuatan yang haram melainkan dengan sebab-sebab yang diizinkan syara’ sepertimana yang telah kami jelaskan di atas.
Selain itu, sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT perlulah menjaga lidah daripada perkara-perkara yang haram dan sia-sia.
Ini kerana, ciri atau sifat orang yang beriman adalah sentiasa bercakap perkara yang baik atau mendiamkan diri daripada bercakap perkara-perkara yang sia-sia. Amin.
Wallahua’lam
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI