Dalam keadaan marah, tindakan spontan pasti berlaku. Ini termasuklah perbuatan menampar seseorang yang cuba menjatuhkan maruah pasangan seperti yang terjadi di Oscar di mana pelakon Will Smith menampar muka Chris Rock yang dilihat menjatuhkan maruah isterinya berkaitan isu rambut botak.
Namun sebelum ramai meraikan atau meniru perbuatan menampar itu, Islam melarang keras menampar muka orang lain berdasarkan satu hadith dari Nabi Muhammad SAW ini.
Dikongsi dari Mufti Negeri Perlis, Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin, fahami mengapa perbuatan menampar muka ini tidak dibenarkan hatta kepada musuh apatah lagi anak isteri.
1. Islam menghormati kedudukannya insan yang mana Allah telah tegaskan kemuliaannya dalam al-Quran pada Surah al-Isra ayat 70:-
(maksunya) “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”.
2. Atas penghormatan kepada keturunan Adam, maka Nabi s.a.w melarang kita memukul, menampar ataupun mencederakan wajah ataupun muka sesama insan sekalipun di medan peperangan. Ini kerana muka merupakan tempat kemuliaan seseorang.
Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu berperang, jauhilah dari (mencederakan) muka”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis Abu Hurairah di atas diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dalam kitabnya Al-Adab al-Mufrad dengan lafaz.
“Apabila seseorang kamu memukul khadamnya, maka jauhilah dari (memukul) muka”
Sementara dalam riwayat lain daripada al-Imam Ahmad diriwayatkan dengan lafaz:-
Ads
إِذَا ضَرَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ
“Apabila seseorang kamu memukul maka jauhilah muka”.
Hormati Insan
4. Islam mengajar kita disiplin dalam segala tindakan sekalipun ketika marah. Justeru itu dalam Islam, sekalipun ketika berada di medan perang bertempur dengan musuh yang memerangi kita, namun kita tetap diperintahkan berdisiplin dalam tindakan.
Ini bertujuan menghormati nilai keinsanan yang ada dalam diri kita dan diri pihak yang kita bertembung dengannya. Pertempuran sesama manusia sudah pasti tidak sama dibandingkan pertempuran sesama binatang yang tiada nilai insani dan peradaban insaniah.
Nabi SAW menunjukkan untuk umat Islam pelbagai peraturan sekalipun dengan musuh bagi tujuan memelihara nilai kita sebagai manusia hamba Allah yang dijadikan khalifah atas muka bumi ini. Antaranya, sabda Nabi SAW.
“Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat”. (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir ketika mentahqiqkan musnad Ahmad, hadith ke-2728: “Sanad hadith ini hasan”).
Kenapa Dilarang?
Ads
5. Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676 Hijrah) ketika mensyarahkan Sahih Muslim meletakkan hadis perintah ‘jauhilah muka’ tersebut di bawah bab (بَاب النَّهْيِ عَنْ ضَرْبِ الْوَجْهِ) iaitu BAB TEGAHAN MEMUKUL MUKA. Al-Imam al-Nawawi menyebut dalam Sharah Sahih Muslim menyebut:-
Terjemahan: Dalam satu riwayat yang lain: “Apabila kamu memukul…” dan dalam riwayat yang lain pula “Jangan kamu menampar muka”…berkata para ulama: Hadis ini menyebut secara jelas mengenai larangan memukul muka. Ini kerana muka sesuatu yang lembut (gentle) yang menghimpunkan segala keelokan.
Anggota-anggota pada muka itu sangat berharga dan lembut juga sering terdedah. Memukul muka boleh merosakkannya atau boleh mencacatkannya atau boleh merosakkannya atau boleh menghodohkannya. Kecacatan pada wajah itu buruk kerana ia jelas lagi zahir yang tidak mungkin untuk ditutupi.
Apabila ia dipukul maka biasanya tidak selamat dari berlakunya kecacatan. Termasuklah dalam larangan ini memukul isteri atau anak atau hamba (sekalipun) untuk tujuan mendidik” (Al-Nawawi, Sharh Sahih Muslim, 16/165. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi)
Terjemahan: “Hadis ini merupakan dalil haram memukul muka dan ia (muka) dielakkan, tidak dipukul, tidak ditampar sekalipun dalam hudud yang disyariatkan dan sekalipun dalam jihad”. (Al-Son’ani, Subul al-Salam, 2/667. Beirut: Dar al-Hadith)
7. Muka atau wajah merupakan anggota yang memberikan identiti seseorang insan dikenali. Kerinduan, kasih, suka, benci antara sesama insan juga sering berkaitan dengan wajah. Pada wajah seseorang juga dapat diselami perasaannya. Wajah juga merupakan perlambangan kasih-sayang, maruah, penghormatan dan pelbagai perkara yang membabitan keinsanan seseorang Maka, Islam mengajar agar wajah insan itu dihormati.
Ads
8. Wajah merupakan anggota mulia yang dengannya insan menghadap ke arah tempat ibadah. Ia lambang kesungguhan insan menyerahkan diri kepada Allah. Ini seperti disebut dalam banyak tempat dalam al-Quran:-
(maksudnya) “Dan dari mana saja kamu keluar (datang), maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram, sesungguhnya perintah itu benar-benar sesuatu dari Tuhanmu. Dan Allah sekali-kali tidak lalai mengenai apa yang kamu kerjakan. Dan dari mana saja kamu (keluar), maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan dimana saja kamu (sekalian) berada, maka hadapkanlah wajah-wajah kamu ke arahnya, agar tiada hujah bagi manusia atas kamu, kecuali orang-orang yang zalim diantara mereka. Maka janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepadaKU (sahaja). Dan agar AKU sempurnakan nikmatKU atas kamu, dan supaya kamu mendapat petunjuk” (Surah al-Baqarah ayat 149-150)
Nabi Ibrahim menyebut:-
إِنِّي وَجَّهۡتُ وَجۡهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ حَنِيفٗاۖ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٧٩
“Sesungguhnya aku hadapkan wajahku kepada DIA yang menciptakan langit dan bumi dalam keadaan bertauhid dan aku bukan dari kalangan mereka yang musyrik” (Surah al-An’am ayat 79).
Anak Isteri Lebih Dilarang
9. Islam memerintahkan umatnya berdisiplin dalam tindakan sekalipun ketika marah. Jika musuh di medan peperangan disuruh untuk kita elakkan mencacatkan wajah ataupun muka mereka ketika bertempur, padahal keadaan di medan peperangan itu biasanya sukar untuk dikawal pergerakan. Maka apatah lagi mereka yang bukan musuh yang tidak bertarung dengan kita. Anak, isteri dan juga murid bukanlah musuh kita, maka lebih wajar untuk tidak memukul ataupun menampar muka mereka. Perintah larangan memukul atau menampar muka mereka tentu tentu lebih utama. Kata al-Hafiz Zain al-Din Abd al-Rahim al-‘Iraqi (meninggal 806H) dalam Tarh al-Tathrib (طرح التثريب):
Terjemahan: “Apabila berlaku peperangan antara dua pihak, sekalipun untuk mempertahankan diri dari serangan penyerang atau seumpamanya maka dia (hendaklah) mengelakkan (menyerang) muka. Justeru, apatahlagi untuk kau fahami jika tidak berlaku pukulan (serangan) dari pihak yang lain, maka sudah pastilah lebih wajar untuk menjauhi muka. Ini kerana, pihak yang mempertahankan diri kadang-kala keadaan memaksanya untuk memukul muka, pun begitu perkara itu dilarang. Maka, orang tidak mempertahankan diri dari serangan lebih wajar untuk diperintahkan mengelakkan (memukul) muka…termasuk dalam perkara ini pukulan (hukuman) imam (pemerintah) atau pihak yang dibenarkan (melaksanakan hukuman) hudud dan ta’zir. (Begitu juga) pukulan seseorang pada isterinya atau anaknya atau hambanya yang bertujuan mendidik”.( sumber: al-‘Iraqi, Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 8/16. Beirut: Dar al-Turath al-‘Arabi)
1. ِِAl-Imam Anwar Shah al-Kashmiri (meninggal 1353H) dalam Faidh al-Bari (فيض الباري) mengulas hadis ini dengan menyebut:-
والأَمْرُ بالاتقاء عن الوَجْه ليس مخصوصًا بالإِنسان، بل ينبغي أن لا يُضْرب وَجْهُ الفَرَس أيضًا
(Larangan mengelakkan memukul muka bukan hanya khusus tehadap insan, bahkan sepatutnya tidak dipukul muka kuda juga). (4/37. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah)
Pendapat al-Kashmiri ini selaras dengan bab yang telah diletakkan oleh al-Nawawi dalam Sharh Sahih Muslim iaitu بَابُ النَّهْيِ عَنْ ضَرْبِ الْحَيَوَانِ فِي وَجْهِهِ وَوَسْمِهِ فِيهِ (Bab Larangan Memukul Binatang dan Membuat Tanda Pada Mukanya).
Demikianlah, wajah binatang pun disuruh untuk kita elakkan dari mencederakannya. Apatahlagi wajah manusia. Betapa luasnya rahmat dan ihsan Islam ini untuk semua pihak.
11. Pendidikan dibina atas kasih sayang. Bagaimanakah mungkin untuk ibu bapa ataupun guru menampar muka orang yang mereka kasihi?! Mungkin kadang-kala atas perasaan marah, namun kemarahan dalam kehidupan ini hendaklah dikawal agar tidak melanggar batasannya. Sepertimana cinta, sedih, cemburu dan perasaan yang lain ada kawalannya, demikianlah kemarahan dalam diri seseorang. Memukul ataupun merotan anak dibolehkan dengan syarat-syaratnya tetapi bukan pada muka dan mana-mana anggota yang boleh mendatangkan kecacatan kekal ataupun serius.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Wanita sememangnya amat tertarik untuk kelihatan cantik. Bahkan ramai yang menyukai saat dipuji menawan. Ada ketika, ramai yang tahu hukum seperti mendedahkan aurat tapi menganggapnya seperti tiada apa dan akui masih muda lagi. Belum ada perasaan ingin bertaubat sedangkan nyawa tak pernah menunggu sesiapa.
Satu perkongsian dari akaun Tik Tok @Nayraafikaa atau nama sebenarnya Syafikah sangat memberi kesedaran kepada wanita yang telah, sedang atau pernah membuat pengubahsuaian (mengubah ciptaan asal Allah) di muka mereka kerana ingin dipandang cantik di dunia.
Tidak dinafikan cantik itu satu kelebihan namun mengubah ciptaan Allah itu hukumnya haram. Antaranya ialah menyambung rambut, mewarnakan uban kepada hitam, mencukur kening atau melakukan eyelash extension iaitu satu keadah digunakan bagi memanjangkan, menebalkan dan memenuhkan bulu mata asli sedia ada.
Dalam perkongsian videonya, Syafikah akui pernah berbuat kesilapan dahulu namun selepas melalui satu peristiwa di mana dirinya perlu menguruskan satu jenazah saudara yang memakai eyelash meninggal akibat serangan jantung, dia nekad berubah dan terus menutup bisnesnya walau baru menerima tidak lebih tiga pelanggan.
Katanya, dalam dunia ini, tiada manusia yang sempurna. Kita semua pernah buat silap. Aku bukan nak bukak aib sesiapa. Aku just share pengalaman aku untuk renungan kita semua bersama,” katanya dalam akaun Tik Toknya itu.
“Since ramai yang DM tanya-tanya, so better aku videokan. Aku tak mengaibkan sesiapa dalam cerita ini. Ini cerita benar dan aku harap cerita ini dapat memberi pengajaran buat kita semua.
“Ini aku yang dulu, perempuan yang sukakan kecantikan tanpa memikirkan batasan agama. Aku buat keputusan ambil kursus Eyelash Extension. Sebab aku memang suka pada bidang kecantikan dan bisnes ini sangat mudah bagi aku. Walau pun aku tahu benda tu haram untuk yang beragama Islam. Dan ia ambil masa tak lama, cuma sehari saja dah dapat sijl.
“Lepas dapat sijil, aku terus beli barang-barang untuk start bisnes. Lebih kurang RM2000 juga dibelanjakan untuk beli barang-barang termasuk katil, rak barang-barang, cat bilik dan lain-lain lagi.
“Sampailah satu hari, masa aku nak pergi kerja, suami aku dapat panggilan dari saudara dia yang makcik dia baru meninggal pagi itu akibat serangan sakit jantung. Keluarga suami aku, merayu, minta tolong aku untuk buang eyelash arwah. Aku mati-mati tak nak buat. Tapi lepas dipujuk aku pun terpaksa redha dengan permintaan keluarga dia.
Mata bertentang mata dengan arwah, Allah saja yang tahu
Masa uruskan arwah, ketika aku nak buang eyelash arwah, Allah saja yang tau perasaan aku ketika itu. Mata bertentang mata. Tapi kita menatap mata orang yang dah meninggal. Mana taknya, orang yang pakai eyelash ini air wuduk tak sampai ke matanya, jadi solat tak sah tapi masa yang sama aku juga yang tanggung dosa. Belum pun tiga pelanggan aku buatkan, Allah dah beri petunjuk pada aku. Saat itu tangan aku menggigil buka sambungan eyelash di muka arwah. Tapi syukur kerana Allah beri aku petunjuk.
“Lepas kejadian itu, aku ambil keputusan tutup bisnes. Dan jual barang-barang tu kepada orang lain,”katanya berkongsi kisah ini dan berharap untuk menjadi pengajaran kepada orang lain.
Eyelash Extension Haram kata Mufti
Eyelash extensions ialah satu kaedah yang digunakan bagi memanjangkan, menebalkan dan memenuhkan bulu mata asli sedia ada. Pemanjangan mungkin dibuat daripada beberapa bahan termasuklah bulu daripada binatang, sintetik atau bulu kuda. Kaedah ini memiliki dua jenis; bulu mata palsu sementara (false temporary eyelash) yang boleh ditanggal dan bulu mata separa kekal (semi-permanent eyelash). Kaedah utama pemanjangan adalah dengan menggunakan glu pelekat untuk melekatkan bulu tersebut satu persatu secara berasingan pada bulu mata asli. Ini bagi mengelakkan bulu-bulu mata tersebut daripada melekat antara satu sama lain.[2]
Penambahan bulu mata palsu oleh wanita biasanya bertujuan menjadikan bulu mata tampak lebih lentik, lebat atau penuh, supaya mereka tampil kelihatan lebih cantik. Fenomena ini didapati semakin berleluasa dewasa ini khususnya dengan penglibatan selebriti-selebriti tempatan. Justeru, bagi menjawab persoalan di atas terdapat beberapa asas yang perlu diambilkira.
Mengambil kira, kaeadah ini, Mufti Wilayah dalam perkongsian di Irsyad Al Fatwa siri ke 250 berkongsi hukum penggunaan Eyelash Extension ini. Baca sini untuk selengkapnya.
Kesucian
Memasang bulu mata palsu adalah haram jika menggunakan bahan bernajis seperti bulu bangkai kerana tidak sah dibawa solat dan jika di luar, haram kerana sengaja menajis badan tanpa ada keperluan (al-tadammukh bi al-najasah).
Jika menggunakan bulu mata palsu separa kekal dengan menggunakan gam yang akan menghalang air daripada sampai ke kulit dan setiap bulu mata, mata hukumnya juga adalah haram kerana menghalang sahnya wudhu’ dan mandi wajib.
Qias dengan larangan menyambung rambut
Ini kerana rambut dan bulu mata adalah bulu-bulu yang tumbuh pada badan manusia yang menjadi perhiasan tubuh badan dan tidak disunatkan untuk mencabutnya. Justeru, haram hukum menyambung bulu mata sama seperti haram menyambung rambut yang dilaknat dan tindakan mengubah ciptaan Allah SWT.
Kesihatan
Haram memakai bulu mata palsu yang menggunakan bahan-bahan yang memudaratkan nyawa dan tubuh badan manusia sedangkan tujuan Syarak adalah hifz al-nafs (menjaga nyawa manusia). Ini berdasarkan firman Allah Taala:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)
Bulan November 2020 menjadi bulan penuh bersejarah buat semua muslim seluruh dunia apabila kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadah umrah kepada jemaah antarabangsa dalam kuantiti terhad.
Kebenaran ini merupakan satu berita gembira kepada bakal jemaah kerana pintu Mekah telah ditutup semenjak berlakukan pandemik Covid 19 pada Mac 2020 lalu.
Syukur ke hadrat Allah, akhirnya kegelisahan dan kerinduan terungkai dengan kebenaran ini. Berikutan itu pihak berkuasa Arab Saudi telah menetapkan prosedur baharu sepanjang ibadat umrah dilakukan dan ia mesti dipatuhi oleh jemaah.
Susulan itu, pastinya perkongsian menarik ustaz Muhammad Shaharuddin dan isteri, ustazah Salima Mat Hashim yang menetap di Arab Saudi bagi melanjutkan pelajaran di sana, mengenai norma baharu sepanjang mereka melakukan ibadah umrah di sana ketika ini boleh memberi sedikit gambaran dan panduan kepada pelayar laman web Kashoorga.
Menurut mereka, masih ramai yang tertanya-tanya, bagaimankah sebenarnya tawaf dilakukan dalam musim Covid-19 ini? Jelas kelihatan segalanya nampak sitematik, tersusun dan tenang. Alhamdulillah atas nikmat yang diberikan.
Berikut adalah bagaimana jemaah melakukan tawaf norma baharu yang diterapkan kepada semua jemaah:
1.PELEKAT UNTUK TREK TAWAF
Kalau anda perasan pada gambar-gambar ini, ada banyak pelekat yang diletak pada bulatan-bulatan Mataf (kawasan tawaf). Pelekat inilah sebenarnya yang memainkan peranan penting agar memastikan para jemaah umrah sentiasa berada dalam trek tawaf yang lurus. Jarak di antara satu bulatan dengan yang lain dalam lebih kurang satu depa.
2.PELEKAT PANJANG DAN PELEKAT PETAK KECIL(Segi Empat Tepat).
Pelekat panjang adalah trek untuk berjalan.
Pelekat petak-petak kecil menyerong ke kiri menandakan spot untuk ‘corner’ ke bulatan seterusnya yang lebih kecil dan lebih dekat dengan & Ka’bah.
3.PARA PEGAWAI PENJAGA TAWAF
Kalau dahulu kita boleh tawaf sesuka hati, tawaf norma baru ini boleh dikatakan setiap bulatan ada penjaganya iaitu para pegawai, demi memastikan tawaf dilakukan dalam penjarakan fizikal lebih kurang 1.5 hingga 2 meter, dan supaya para jemaah sentiasa berada dalam trek yang betul.
Pantang mereka ini nampak orang terkeluar trek atau rapat-rapat ketika tawaf, pasti akan dilaungkan: “تَبَاعُدْ!!!!” Tabaa’ud!!! (Jarak!!!)
4.MULA DENGAN BULATAN PALING BESAR, SELESAI DENGAN BULATAN PALING KECIL
Dalam keadaan ramai para jemaah umrah yang sedang bertawaf, para pegawai akan memastikan mereka memulakan tawaf dengan bulatan ketujuh yang ditulis pada pelekat itu dengan “المَسَارُالسَّابِع”Al-Masaar as-Saabi’ (trek yang ke-7).
Kemudian apabila sampai di rukun Syaami (sebelum rukun Yamani), anda akan lihat pelekat petak kecil menyerong ke kiri, di situ pegawai akan memastikan anda ‘corner’ ke bulatan yang ke-6, dan begitulah seterusnya sehingga anda telah sampai pada pusingan tawaf yang ke-7 dan terakhir, anda akan berada pada bulatan yang paling kecil dan paling dekat dengan Ka’bah yang ditulis pada pelekatnya “المَسَارُالأَوَّل” Al-Masaar al-Awwal(trek pertama)
Ini kalau jemaah umrah tengah ramai, kalau dah saki baki yang tawaf tu, pegawai tak kisah pun kalau kita nak tawaf kesemua pusingan pada bulatan yang paling dekat dengan Ka’bah.
5.PELEKAT PETAK-PETAK KECIL UNTUK KELUAR TAWAF
Yang terakhir sekali, apabila anda telah sampai pada pusingan terakhir di buatan yang paling kecil itu, pegawai tahulah ini pusingan terakhir anda dan mereka akan memastikan anda keluar dari tempat tawaf di bahagian sebelum Maqam Ibrahim, yang mana diletakkan pelekat petak-petak menyerong ke kanan memanjang sampai ke arah tempat anda solat sunat lepas tawaf di situ.
Ini agar memastikan tidak berlaku “accident” bila anda nak keluar dari trek tawaf tersebut.
“Ma Sya Allah! Unik kan? Kami pun teruja melihat sistem yang mereka terapkan pada musim Covid-19 ini”
Ada yang pernah bersuara: “Inilah antara hikmah Covid, kalau tak kerana Covid, tak adalah mereka pandai buat sistem seperti ini”
“Antara kelebihan tawaf norma baharu mengikut bulatan-bulatan yang ditetapkan ini, kita tidak akan tersalah kira pusingan tawaf, betul tak? Kalau tak, rasanya ramai juga di antara kita yang pernah ‘lost count’ semasa tawaf: “Eh, dah pusingan 6 ke 7 eh?” Banyak betul kes was-was dalam ibadah ini”
Alangkah indahnya kalau perlaksanaan sistematik ini dapat diterapkan juga pada masa akan datang untuk mengucup Hajar Aswad, Multazam dan juga al-Hijr(Hijir Ismail)”, ulas mereka.
InshaAllah, kepada bakal jemaah kita tunggu dan lihat serta alami sendiri nikmat, indah dan syahdunya melakukan tawaf norma baharu ini.
Kashoorga: Sungguh teruja untuk lakukan ibadah umrah ini. Alhamdulillah, walaupun diselubungi kerisauan penularan Covid 19, Insha Allah, Tuhan lindungi semua jemaah yang ke sana. Patuhilah SOP yang ditetapkan.
Banyak hikmahnya pandemik ini terjadi. Jika ada ada ahli keluarga dan kenalan bakal kerjakan umrah, kongsikan cerita ini sebagai gambaran awal buat mereka.
“Finding the right man for marriage is the second challenge. The first challenge is to be the right woman that a right man wants to marry.”
bila dah semakin matang, yuyu selalu impikan lelaki yang baik lagi soleh. tak kisahlah kalau kalau dia pernah nakal dulu. dan yuyu yakin, bukan yuyu saja impikan lelaki macam tu, tapi, mungkin hampir semua perempuan.
tapi, terfikir tak layakkah kita semua (perempuan) untuk lelaki yang kita selama ni idamkan? lelaki baik lagi soleh. lelaki yang pandai menjaga agamanya. pandai pulak jaga nama. hmm. macam nak simpan dalam almari. sayang. takut nanti perempuan lain ambik.
hikhik.
pernah dengar ayat ini dari Surah an-Nur ayat ke 26? Allah S.W.T berfirman: “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.”
walaupun, ayat ini bukan lah satu janji dari ALLAH, tapi ia adalah satu peringatan dari-Nya, semua orang melakukan kesalahan, dan semua orang berhak untuk berubah dan berhak mendapat yang terbaik.
quote dan potongan Surah an-Nur atas tu, ada kaitan. sebagaimana yuyu takda la bagus mana sangat dalam bab agama, tapi, yuyu nak sangat kongsi dengan semua, apa yang lecturer yuyu pernah cakap dulu di kelas subject Jurisprudence. Ustaz Yusef Niteh nama ustaz yuyu tu.
Gambar sekadar hiasan.
kata ustaz ;
“kalau nak pilih pasangan, pilih yang yang baik baik. InsyaALLAH selamat dunia akhirat. tapi sebelum mencari pasangan yang baik, diri sendiri pun kena jadi baik. perempuan baik untuk lelaki baik, lelaki baik untuk perempuan baik.
kalau berubah, berubah kerana ALLAH, jangan kerana “Z” (ustaz suka guna Z untuk ganti nama laki) . kalau kamu berubah sebab Z, Z suruh suka perempuan pakai tudung, kamu pakai tudung, buat baik sebab nak dapat Z, nanti bila tak dapat Z, kamu mula la nak nangis nangis, nak berubah la.
sebab kamu tak ikhlas lagi.
tapi, bila kamu berubah untuk ALLAH, nanti kamu takkan sedih bila ALLAH beri ujian kat kamu kalau dapat lelaki tak berapa baik. insyaALLAH, ALLAh juga jaga kamu dan tolong kamu untuk berubah. pahala pun kamu dapat.
selalunya, lelaki baik akan dapat perempuan baik. tapi kalau kita dah baik, tapi dapat lelaki tak berapa baik tu, anggaplah tu ujian.”
betul bukan? :’)
untuk cari pasangan yang betul memang susah. tapi lagi susah untuk betulkan diri. kalau nak lelaki yang jaga solat, terlebih dahulu, kita sendiri yang patut jaga solat kita. kalau nak lelaki yang pandai jaga duit bagai, sepatutnya, kita sendiri yang betulkan diri kita untuk pandai jaga diri.
yuyu pernah. berubah untuk lelaki. sekali lelaki tu ada perempuan lain, yuyu down sangat sangat. sebab bagi yuyu, dialah lelaki yang paling bagus yuyu pernah jumpa. hampir sempurna kepada ciri ciri lelaki yang yuyu suka. (cis.. -.-‘ terpaksa bagitau semua ni)
tapi, makin lama yuyu cuba betulkan diri yuyu sendiri. ikhlaskan diri berubah kerana ALLAH. bukan senang, sungguh susah. tapi Alhamdulillah. ALLAH akan selalu bantu hamba hambanya yang berubah ke arah kebaikan dan selalu berdoa.
dan yakinlah pada ALLAH, ALLAH tak pernah salah memberi sesuatu kepada hamba-Nya.
dan yuyu selalu ingatkan diri yuyu, perkahwinan, bukanlah sesuatu yang suka suka. penuh dengan tanggungjawab, amanah, ujian, dan bukanlah untuk jangka masa yang pendek, tapi selama kita hidup dan InsyaALLAH akan diteruskan hingga ke generasi infiniti.
dan yuyu faham, kenapa perkahwinan selalu dikaitkan dengan ‘Bina Masjid’ dan bukan Kem Bina Negara ataupun Bina Rumah bukan juga Bina Supermarket -.-‘
sebab musabab, dengan harapan, dengan berkahwin, kita seperti membina Masjid. yang suatu hari nanti kita akan penuhi masjid kita dengan jemaah yang soleh dan solehah. yang selalu dekatkan diri dengan ALLAH. jemaah kita yang penuhkan masjidkan kita tu adalah Anak Anak kita seterusnya.
sweetkan
semoga kita semua sudah bersedia untuk berubah ke arah kebaikan dan terus istiqamah. dan semoga kita semua akan ditemukan dengan pasangan idaman kita semua. amin
Jodoh itu rahsia ALLAH. dan ALLAH telah pun tertulis jodoh terbaik untuk kita di luh mahuz.
Seronok beraya, pergi rumah terbuka bertemu saudara mara dan rakan taulan tapi tanpa sedar kita turut sama melakukan dosa.Dikongsi oleh Ustazah Asma' Harun, terdapat...