Kenapa Doa Tak Dikabulkan Walaupun Diminta Pada Waktu Mustajab?

Share

Mendengar keluh kesah dan kekecewaan terhadap doa yang tidak dikabulkan Allah bukanlah perkara asing lagi. Ada sahaja sahabat atau orang sekeliling kita yang tertanya mengapa doanya tidak termakbul walaupun telah dipanjatkan pada waktu mustajab.

Bagi menjawab persoalan ini, elok kita baca terus kupasan daripada ustaz Mohd Masri Mohd Ramli yang acapkali ditanya tentang hal ini.

Saya sering mengulangi mesej yang sama setiap hari Jumaat. Iaitu kelebihan berdoa di hari Jumaat, terutamanya selepas waktu Asar.

Satu hari, saya mendapat satu komen yang bertalu-talu. Asalnya saya menyangka dia ingin bertanya apakah tips untuk doa lebih mustajab.

Tetapi penghujungnya, dia menzahirkan putus asa kerana sudah banyak kali berdoa pada waktu yang mustajab yang disebutkan dalam hadis-hadis yang sahih, akan tetapi doanya tetap belum diterima.

Di sini saya kongsikan sedikit jawapan kepada kita semua yang menghadapi masalah yang sama.

Artikel berkaitan: Ketika Dizalimi, Jangan Doakan Musibah Buat Penganiaya, Mintalah Yang Terbaik Untuk Kita

Artikel berkaitan: Nak Bicara Dengan Allah, Mulakan Dengan Doa Iftitah Agar Pintu Langit Terbuka Luas

1.Kita perlu berkeyakinan bahawa Allah akan menerima doa kita

Firman Allah:
وَقَالَ رَبُّكُم ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembahKu akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan yang hina [Ghafir 40: 60]

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepada mu tentang Aku, maka [jawablah], bahawa Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi [segala perintah] Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. [Al-Baqarah 2:186]

2. Kekuatan doa itu banyak bergantung kepada sangkaan kita kepada Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” لَا يَقُولَنَّ أَحَدُكُمُ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ ، اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي إِنْ شِئْتَ لِيَعْزِمْ الْمَسْأَلَةَ ، فَإِنَّهُ لَا مُكْرِهَ لَهُ

Abu Hurairah r.a meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seseorang daripada kalian berkata: Ya Allah ampuni aku jika engkau mahu. Ya Allah rahmati aku jika engkau mahu. Hendaklah bersungguh-sungguh dalam berdoa. Sesungguhnya tiada siapa dapat memaksa Allah. [Sahih al-Bukhari, Kitab ad-Da’awat, hadis no: 5891]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” يُسْتَجَابُ لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ يَقُولُ : دَعَوْتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي

Abu Hurairah r.a meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:

Akan dijawab doa salah seorang daripada kalian selagi mana dia tidak tergesa-gesa, iaitu dengan berkata: Aku telah berdoa, tetapi tidak dimakbulkan. [Sahih al-Bukhari, Kitab ad-Da’awat, hadis no: 5892]

3. Apa yang kita sangka baik dalam diri kita boleh jadi hakikatnya tidak baik. Jadi Allah menggantikan dengan yang lebih baik

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ” مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا

، قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ ؟ ، قَالَ : اللَّهُ أَكْثَرُ

Abu Sa’id al-Khudri r.a meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan memutuskan silaturahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara berikut:

(1) Akan disegerakan doanya itu,
(2) ditangguhkan ke hari Akhirat,
(3) dijauhkan keburukan semisalnya daripada orang yang berdoa.

Para sahabat bertanya: Oleh kerana itu, kami perlu banyak berdoa? Baginda menjawab: Allah, pemberianNya lebih banyak [Musnad Ahmad, Musnad Abu Sa’id al-Khudri, hadis no: 10921

4. Boleh jadi ada perbuatan-perbuatan haram kita yang membuatkan doa kita kurang berkesan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا ، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ ، فَقَالَ : يَأَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ سورة المؤمنون آية 51 ، وَقَالَ : يَأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ سورة البقرة آية 172 ، ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ ” 

Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu Baik, dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik jua. Sesungguhnya Allah menyuruh orang beriman dengan apa yang pernah disuruh kepada para rasul.

Allah berfirman: Wahai para rasul. Makanlah daripada makanan yang baik-baik. Lakukanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kalian lakukan. [Al-Mukminun: 51].

Firman Allah lagi: Wahai orang beriman, makanlah daripada makanan yang baik yang telah kami kurniakan kepada kalian. [Al-Baqarah : 172]

Kemudian baginda menyebutkan tentang seorang lelaki yang bermusafir jauh. Keadaanya kusut masai dan diselaputi debu.

Dia menadah tangannya ke langit dan menyebut ‘ Wahai Tuhan, wahai Tuhan’, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram. Lalu bagaimana mahu diterima (doanya) disebabkan keadaannya itu? [Sahih Muslim, Kitab az-Zakat, hadis no: 1692]

Ibn al-Qayyim berkata:

وَالْأَدْعِيَةُ وَالتَّعَوُّذَاتُ بِمَنْزِلَةِ السِّلَاحِ ، وَالسِّلَاحُ بِضَارِبِهِ ، لَا بِحَدِّهِ فَقَطْ ، فَمَتَى كَانَ السِّلَاحُ سِلَاحًا تَامًّا لَا آفَةَ بِهِ ، وَالسَّاعِدُ سَاعِدُ قَوِيٍّ وَالْمَانِعُ مَفْقُودٌ؛ ، حَصَلَتْ بِهِ النِّكَايَةُ فِي الْعَدُوِّ وَمَتَى تَخَلَّفَ وَاحِدٌ مِنْ هَذِهِ الثَّلَاثَةِ تَخَلَّفَ التَّأْثِيرُ ، فَإِنْ كَانَ الدُّعَاءُ فِي نَفْسِهِ غَيْرَ صَالِحٍ ، أَوِ الدَّاعِي لَمْ يَجْمَعْ بَيْنَ قَلْبِهِ وَلِسَانِهِ فِي الدُّعَاءِ ، أَوْ كَانَ ثَمَّ مَانِعٌ مِنَ الْإِجَابَةِ ، لَمْ يَحْصُلِ الْأَثَرُ

Doa dan memohon perlindungan Allah itu umpama pedang. Pedang bergantung kepada orang yang menghunusnya, bukan sekadar kepada ketajaman bilahnya.

Apabila pedang itu pedang yang sempurna tanpa kecacatan. Lengan yang memegangnya pula lengan yang kuat.

Tiada pula perkara yang menghalang. Maka pedang itu berhasil mencederakan musuhnya.

Apabila hilang salah satu daripada tiga perkara ini, maka hilanglah keberkesanan senjata itu.

Begitu jugalah doa seandainya doa itu sendiri doa yang tidak elok. Atau orang yang berdoa itu tidak menggabungkan hati dan lisannya ketika berdoa. Atau apabila terdapat penghalang daripada terkabulnya doa, maka kesan doa itu tidak diperolehi. [Al-Jawab Al-Kafi]

Wallahua’lam.

Published by
Emma Masri