Biasa kita mendengar perkataan Qarin. Malah mungkin terkeliru mengenainya, apa fungsinya dan lain lagi. Di sebalik kekeliruan ini, dipetik artikel dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dinyatakan apakah Qarin yang ada pada setiap manusia.
Ia berdasarkan soalan ditanya oleh seorang pembaca.
Apakah maksud hadith ini?
Daripada Abdillah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ، إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنَ الْجِنِّ قَالُوا: وَإِيَّاكَ؟ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: وَإِيَّايَ، إِلَّا أَنَّ اللهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ، فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ
Maksudnya: “Tidaklah setiap orang daripada kamu itu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah diutuskan bersamanya qarinnya (teman) daripada kalangan jin. Mereka (Sahabat) bertanya: Adakah kamu juga wahai Rasulullah SAW? Baginda SAW menjawab: Dan aku juga melainkan Allah telah membantuku daripada gangguannya maka aku terselamat dan tidaklah ia (qarin) mendorongku kecuali pada perkara kebaikan.” [Riwayat Muslim (2814)]
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Setiap manusia yang lahir ke dunia ini akan ada bersamanya qarin daripada kalangan jin sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith yang sahih. Tugas qarin ini adalah mendorong manusia untuk melakukan sesuatu perkara samada perkara tersebut baik atau sebaliknya. Antara dalil yang membuktikan bahawa qarin ini wujud adalah:
Firman Allah SWT
وَقَالَ قَرِينُهُ هَـٰذَا مَا لَدَيَّ عَتِيدٌ
Maksudnya: “Dan berkatalah qarinnya yang sentiasa ada bersama-samanya: Inilah (Kitab catatan amal manusia) yang terletak di dalam jagaanku serta yang siap sedia (untuk dibicarakan).”( Qaaf:23)
Firman Allah SWT
قَالَ قَرِينُهُ رَبَّنَا مَا أَطْغَيْتُهُ وَلَـٰكِن كَانَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ
Maksudnya: “Telah berkata qarinnya: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.”( Qaaf:27)
Imam al-Qurthubi (671 H) ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan qarin di dalam ayat pertama iaitu ayat ke 23 adalah malaikat yang diutuskan untuknnya menurut pendapat al-Hasan, Qatadah dan Dhahhak. Manakala, qarin di dalam ayat ke 27 adalah syaitan yang didatangkan oleh Allah SWT kepada hamba yang berdosa ini, di mana syaitan ini berlepas diri daripada perbuatannya (iaitu menyesatkan hamba ini) serta mendustakannya. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 16-17/17]
Kedudukan Dan Makna Hadith
Hadith yang menceritakan berkaitan qarin ini merupakan hadith yang sahih dan ia diriwayatkan oleh Imam Muslim (261 H) di dalam sahihnya. Tambahan pula, hadith ini diletakkan di dalam kitab sifat Kiamat, Syurga dan Neraka.
Imam al-Nawawi (676 H) berkata perkataan “فَأَسْلَمَ” dengan membaca huruf mim dengan baris depan atau dengan baris atas dan kedua riwayat ini adalah masyhur. Barangsiapa yang membacanya dengan baris depan, maknanya adalah Nabi SAW terselamat daripada keburukan dan fitnah qarin Baginda SAW.
Adapun yang membaca dengan baris atas pula, maknanya adalah qarin tersebut telah masuk Islam dan beriman dengan tidak mendorong Nabi SAW melainkan pada perkara yang baik sahaja. Para ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan mana yang lebih tepat antara kedua ini. Menurut al-Khattabi (388 H) yang sahih dan dipilih adalah dengan baris depan.
Selain itu, al-Qadhi ‘Iyadh (544 H) mengsahihkan baris atas dan itu adalah dipilih (pilihan al-Qadhi dan al-Nawawi) berdasarkan Sabda Nabi SAW “maka tidaklah ia (qarin) mendorongku kecuali pada perkara kebaikan.” Para ulama’ juga berselisih pendapat pada riwayat yang dibaca dengan baris atas, dikatakan “أَسْلَمَ” dengan makna berserah diri (اسْتَسْلَمَ) dan tunduk (kepada Islam). Telah datang riwayat seperti ini selain daripada Sahih Muslim dengan “فَاسْتَسْلَمَ”.
Dikatakan juga maknanya adalah qarin tersebut menjadi muslim yang beriman dan ini adalah yang zahir. Telah berkata al-Qadhi bahawa ketahuilah umat ini telah bersepakat akan kemaksuman (terpeliharanya) Nabi SAW daripada syaitan pada jasadnya, lintasannya dan lidahnya. Pada hadith ini juga terdapat isyarat agar berhati-hati dengan fitnah, waswas dan kesesatan (menyesatkan manusia) qarin ini. Untuk itu, kita perlulah menjauhi perkara ini semampu kita. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 157-158/17]
Antara ulama’ yang mengatakan bahawa qarin Rasulullah SAW masuk kepada Islam adalah Imam al-Suyuthi (911 H) di dalam kitabnya ketika meletakkan hadith ini di dalam bab Pengkhususan Nabi SAW dengan islamnya qarin Baginda SAW. [Lihat: al-Khasais al-Kubra, 323/2] Selain itu juga, Imam Ibn Hajar al-Haitami (974 H) juga menyatakan yang dimaksudkan dengan “فَأَسْلَمَ” adalah masuk kepada Islam dan ini merupakan pengkhususan bagi Nabi SAW. [Lihat: al-Fatawa al-Hadithiyyah, 52/1]
Kami cenderung kepada pendapat yang dipegang oleh al-Qadhi dan juga al-Nawawi bahawa qarin Rasulullah SAW masuk kepada Islam. Ini merupakan khususiyyah (pengkhususan) Nabi SAW yang tidak ada pada orang lain. Di samping itu juga, qarin itu adalah jin sebagaimana dinyatakan di dalam hadith dan jin ini ada yang baik dan ada yang jahat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَأَنَّا مِنَّا الصَّالِحُونَ وَمِنَّا دُونَ ذَٰلِكَ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya dan ada di antara kita yang lain daripada itu.”( al-Jin:11)
Penutup
Kesimpulannya, para ulama’ berbeza pandangan dalam dalam memahami lafaz “فَأَسْلَمَ” ini kepada dua pendapat sebagaimana yang kami nyatakan di atas. Walaupun begitu, kita sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar sentiasa berhati-hati dengan dorongan qarin (syaitan) ini. Ini kerana, antara tugas qarin ini adalah menghasut manusia dan mendorong mereka melakukan kejahatan. Untuk itu, kita dituntut untuk sentiasa berlindung daripada hasutan dan bisikan syaitan dengan memperbanyakkan isti’azah atau mengucapkan “أعوذ بالله من الشيطان الرجيم” sebagaiman yang dianjurkan dan diajar oleh Rasulullah SAW. Hal ni juga, disebutkan melalui firman Allah SWT:
مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ ﴿٤﴾ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ ﴿٥﴾ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ ﴿٦﴾
Maksudnya: “Daripada kejahatan pembisik (penghasut) yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia.”( al-Nas:4-6)
Akhirnya, semoga Allah SWT sentiasa memelihara dan memberi kekuatan kepada kita agar dapat mengawal diri yang lemah ini daripada segala hasutan dan bisikan syaitan yang direjam serta mengurniakan kepada kita semua pengakhiran hidup yang baik. Amin.
Wallahua’lam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ternyata perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu meninggal impak sangat mendalam bagi sesetengah orang.
Ramai yang mengambil keputusan untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Salah seorang yang terkesan dengan impak PKP ini adalah pelakon Ieda Moin.
Berlaku beberapa peristiwa sepanjang tempoh itu seperti kehilangan sahabat baiknya, penyanyi Maya Matahari serta ulang tahun kelahiran suami tercinta, Ieda akhirnya mengambil keputusan untuk berhijab.
Pemilik sebenar nama Siti Haida Abdul Moin memberitahu niatnya sudan lama untuk memakail tudung.
“Sudah lama saya menyimpan hasrat bertudung. Jika diikutkan, tahun lalu, saya mahu berhijab, namun tuntutan kerja dan komitmen diperbaharui membuatkan niat itu tertunda.
“Namun, tarikh 18 Mac lalu menggerakkan hati saya. Banyak insiden terjadi seperti penularan COVID-19 dan pemergian arwah Maya yang membuatkan saya tersentak,” katanya kepada BH Online.
Ieda yang mula bertudung sejak bulan lalu, mengaku sebelum membuat keputusan menyarung hijab, dia sering tidak selesa ketika memilih persalinan untuk keluar rumah.
“Serba-serbi tak selesa ketika memandang cermin. Orang tua saya pernah rasa pelik ketika saya berkunjung ke rumah mereka untuk berbuka puasa, Ramadan lalu.
“Saya tutup kepala dengan kain dengan alasan tidak mahu mandi dan membasahkan rambut.
“Namun, ketika meraikan hari jadi saya dan anak, Mei lalu, saya terus nekad untuk bertudung,” katanya.
Mengenai rezeki selepas berhijab, Ieda tidak sedikitpun risau.
“Sebelum PKP, saya ada bertanya pengurus produksi, apakah timbul masalah jika dia bertudung. Jawapan diterima tiada masalah kerana mereka percaya bakat saya,” katanya.
Ieda berkata, berkat doa ibu dan teman baiknya, Noorkhiriah, dia akhirnya bertudung.
“Saya nekad bertudung kerana sayangkan suami dan orang tua. Saya tak mahu mereka tanggung dosa diri ini jika tidak menutup aurat.
“Insya-Allah perlahan-lahan saya akan cuba istiqamah,” katanya.
Artikel Berkaitan: “Saya Masih Orang Yang Sama. Cuma Cuba Jadi Lebih Lemah Lembut” -Hikmah COVID-19, Kini Giliran Shiera Pula Berhijab
Kredit Foto: Instagram Ieda Moin
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Sebelum ini Kashoorga ada menyiarkan kisah wanita ini yang kehilangan suami sebaik selepas dua bulan bernikah.
Arwah suaminya Muhammad Amirul Ashraf Salki meninggal dunia selepas mengalami heart attack sewaktu bermain futsal.
Biarpun masih terkejut dan bersedih dengan kehilangan suaminya, namun siapa sangka genap dua bulan mereka berkahwin, Allah hadirkan sesuatu paling indah dalam hidup.
Artikel Berkaitan: “Nak Jadi Soulmate U Untuk Jumpa Di Syurga” Airin
Wanita ini, Airina Roslan sebelum itu berkongsi video akad nikah berkata dirinya reda walaupun kehilangan arwah suaminya yang disifatkan sebagai lelaki cukup sempurna.
Malah wanita ini turut memberitahu memori perkahwinan itu merupakan kenangan terindah sepanjang hayatnya.
Biarpun arwah suaminya sudah pergi meninggalkannya, namun dia tetap mengharapkan arwah tidak pernah berhenti menyayanginya.
Assalamualaikum you.. you tak sempat nak siapkan vd ni.. tapi takpe.. i tk kesah.. you pergi dulu tinggalkan i, family & kawan2 you kat sini. You saje tak kasi i balik jb sbb taknak i tgk u pergi depan i kan? I faham….. maafkan semua kesalahan i kat you ye.. halalkan semua makan minum i yg you selama ni dah bagi. Hari ini genap 2 bulan kita nikah (7th Sept 2019). Tapi perkahwinan ini akan menjadi memori i yang paling terindah. Mak i cakap “kakak dah tunaikan kewajipan dia untuk berkahwin” kata2 yang buat i kuat terima semua ni. Jangan pernah berhenti sayang i ok? I sayang you Mirul.. you lelaki yang sempurna. mintak semua sedekahkan alfatihah ye untuk arwah suami saya.. terima kasih you
Dan yang paling tidak disangka, Tuhan menghadirkan cahaya kegembiraan apabila dirinya disahkan hamil selepas 3 hari pemergian mengejut arwah suaminya.
Muat naik satu video istimewa di laman Instagramhnya dia yang dikenali dengan nama Airin berkongsi detik istimewa itu sambil membuat ucapan rindu buat arwah suaminya.
Menurutnya kehadiran si kecl ini kerana arwah tidak mahu dirinya bersedih lama-lama dan Allah beri hadiah tidak ternilai kepadanya dan keluarga.
Dalam ucapannya itu, wanita tabah ini mengharapkan doa daripada semua pihak agar urusannya bergelar ibu kelak menjadi realiti dan segala urusannya berjalan lancar.
3 hari selepas you pergi, i baru tau i pregnant you.. i mintak maaf i tak sempat nak bgtau you… Seminggu sebelum you pergi, setiap hari you cakap i pregnant. Tapi bila i check, negative. Tapi u hari hari paksa i check lg you kata u yakin i pregnant. Hahaha. Tapi baby pun malu malu lg nk tunjukkan diri dia time tu. lepas ayah tkde, baru nk tunjukkan diri ye baby? Tkpe.. ayah mesti dah tau dulu tu.. hihi.
You taknk tengok i sedih lama lama kan? Sbb tu Allah bg hadiah ni kt i & family kita.
Semoga Allah mudahkan urusan i & anak kita ye you.. semoga i dapat melatih diri i untuk jd ibu yg baik utk anak kita. I harap muka baby sebijik you! Boleh la i gomol dia tiap hari! Kurang sikit rindu i kt youuu hihi. #weloveyouAyah
Ternyata posting ini mengundang sebak netizen. Masing-masing mendoakan agar segala urusan wanita ini dipermudahkan sepanjang kehamilan hingga proses melahirkan.
suzie_cakehouse Alhamdulillah syukur… tahniah dan jaga diri baik2.. syukur Allah hadiahkn keturunan amirul dan airin.. semoga selamat semuanya ya.. innsyaAllah. _izzfirAlhamdulillah semoga akak sentiasa kuat n Allah permudahkn segala urusan akak izalinaidzian Alhamdulillah.. semoga terus kuat dan dipermudahkan segala urusan.. jaga diri baik2!! aashkinn alhamdullilah .. semoga dipermudahkan segala urusan mvmgrams_Alhamdulillah, congrats airin! Semoga dipermudahkan & sentiasa kuat kan semangat.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Mimpi adalah mainan tidur. Tetapi kadangkala kita seperti mempercayai yang mimpi itu bakal berlaku.
Mimpi dibelit ular, gigi tercabut, dikejar harimau dan banyak lagi dipercayai sebagai petanda buruk. Ikuti penjelasan pejabat Mufti akan isu mimpi menakutkan yang banyak menghantui ramai ini.Pelbagai percayaan khurafat boleh timbul jika tidak dijelaskan.
Soalan:
Saya mimpi dikejar ular dan dimakan buaya atau harimau. Adakah itu mimpi mainan tidur atau disebabkan syaitan?
Jawapan:
Maaf,kami tidak mengetahui maksud mimpi dikejar ular ataupun dimakan buaya dan harimau.
Adapun jika berkenaan mimpi bertemu harimau, kami nukilkan pandangan al-Imam ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi:
“Barangsiapa yang melihat harimau dalam mimpinya, hendaklah dia beristighfar kepada Allah atas dosa-dosanya. Dalilnya adalah ia melambangkan raja-raja Parsi yang bertakwa. Harimau itu juga melambangkan kegagahan dan manusia ketakutan yang amat sangat kepadanya. Ia juga melambangkan seorang yang mempunyai pelbagai kebolehan dalam pelbagai bidang"
Pada pandangan kami, ia merujuk kepada kehebatan seseorang. Justeru, istighfar itu adalah sebagai satu saranan untuk menginsafi kekurangan diri dan membuang sikap berbangga dengan diri.
Jika mimpi bertemu buaya pula, Imam ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi menyatakan:
“Melihatnya (buaya) dalam mimpi adalah simbolik kepada polis. Buaya di dalam laut merujuk kepada seseorang yang tidak boleh dipercayai, samada dianya kawan atau lawan. Buaya juga adalah merujuk kepada peniaga yang zalim dan tidak boleh dipercaya. Sesiapa yang melihat buaya menariknya ke dalam air dan membunuhnya, sesungguhnya dia akan ditangkap polis yang akan mengambil hartanya dan membunuhnya. Sekiranya dia selamat daripadanya, maka dia terselamat.
Melihat buaya dalam mimpi juga merujuk kepada kebiadaban, dosa, perompak, pendapatan yang tidak menepati syarak, ketakutan dan tekanan. Ia juga bermaksud meninggalnya seseorang, digambarkan dengan keadaannya yang lemas. Melihat buaya di laut menandakan keburukan dan melihatnya di daratan menunjukkan buaya tersebut lemah dan kehinaan.
Sekiranya buaya menarik seseorang ke dalam air di dalam mimpi, ia bermakna seseorang yang berkuasa akan memaksanya melakukan sesuatu yang dia benci. Jika seseorang melihat dirinya sendiri sedang makan daging buaya, atau sekiranya seseorang melihat dirinya menarik buaya keluar daripada air, ia bermakna dia akan berjaya mengatasi musuhnya"
Secara asasnya, Ibn Hajar al-‘Asqalani membahagikan mimpi kepada dua bentuk:
1. Mimpi yang benar (al-sadiqah). Ini adalah mimpi para Nabi dan orang-orang soleh. Jarang-jarang berlaku kepada selain daripada mereka. Ia boleh berlaku secara sedar (yaqazah) bertepatan apa yang berlaku dalam mimpi.
2. Mimpi buruk dikenali dengan istilah al-adghath. Ia berlaku tiba-tiba tanpa sebarang perlakuan yang membawa kepada datangnya mimpi tersebut. Ia boleh datang dalam beberapa bentuk:
- Mainan syaitan untuk menyebabkan orang yang bermimpi menjadi sedih atau risau.Melihat malaikat yang mengarahkannya melakukan perkara yang diharamkan atau mustahil dilakukan.
- Sesuatu yang difikir-fikirkan oleh orang yang bermimpi semasa sedar dan ia terbawa-bawa sehingga ke dalam mimpi. Ini adalah kebiasaannya.
Antara panduan ringkas sekiranya berhadapan dengan mimpi buruk adalah:
Meludah ke kiri 3 kali
Sabda Nabi SAW:
إِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ الرُّؤْيَا يَكْرَهُهَا، فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا وَلْيَسْتَعِذْ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ ثَلَاثًا، وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِي كَانَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Ketika kalian mengalami mimpi buruk, hendaknya meludah ke kiri 3 kali, dan memohon perlindungan kepada Allah dari kejahatan syaitan sebanyak 3 kali serta menukar rusuknya ke arah berlawanan (menukar posisi tidur).” (Riwayat Muslim, no. 2262)
Tidak menceritakan kepada orang lain, bangun tidur dan laksanakan solat
Sabda Nabi SAW:
الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ: حَدِيثُ النَّفْسِ، وَتَخْوِيفُ الشَّيْطَانِ، وَبُشْرَى مِنَ اللَّهِ، فَمَنْ رَأَى شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلاَ يَقُصَّهُ عَلَى أَحَدٍ وَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ
Mimpi itu ada tiga jenis: “Bisikan hati, ketakutan kepada syaitan dan berita gembira daripada Allah. Barangsiapa yang melihat (di dalam mimpinya) sesuatu yang tidak disukai, usah menceritakannya kepada orang lain. Dia wajar bangun dan laksanakan solat.”
Akhir kalam, kami mencadangkan supaya rujuk kepada para ulama’ yang muktabar dan kitab yang masyhur dan diyakini. Perihal ta’bir mimpi perlu ditanya kepada orang yang soleh agar mendapat tafsiran yang tepat dan tidak menyeleweng. Allah SWT juga menurunkan wahyu kepada Rasul dalam bentuk mimpi.
Sabda Nabi SAW:
رُؤْيَا المُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ
Maksudnya: “Mimpi orang Mukmin adalah sejuzuk daripada 46 juzuk kenabian.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 6987)
Sesungguhnya, mimpi orang Mukmin di akhir zaman memberi kesan yang baik kepada kehidupannya mahupun masyarakat. Semoga dengan pencerahan ini dapat memberi satu penjelasan yang baik untuk kita memahami isu ini.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI