Soal rezeki, ajal maut itu semuanya terletak di tangan Allah. Kita tidak tahu rezeki banyak mana Tuhan akan beri dan bila nyawa akan dijemput.
Kadang-kadang kita lihat sehari sebelum, si dia kelihatan sihat tetapi pagi ini dengar dirinya pula sudah di jemput Ilahi.
Dan hari ini kita dikejutkan dengan pemergian pelawak Abam Bocey yang meninggal dunia awal pagi ini.
Menurut laporan Astro Awani, Abam yang juga anggota kumpulan Bocey meninggal dunia di kediamannya di Gombak.
Menurut isteri arwah, Nor Hidayah memberitahu Allahyarham demam dan mengadu kurang sihat sejak dua hari lalu.
“Beberapa hari lepas dia demam dan mengadu sakit kepala. Tetapi bila ajak ke hospital, dia tak mahu.
“Katanya hanya demam dan sakit kepala biasa. Tapi… pagi tadi saya kejutkan untuk solat subuh, namun dia tak ada tindak balas daripada dia,” katanya menangis teresak-esak.
Ads
Abam dan Siti Norhidayah berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, 5 bulan.
Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan, 32, merupakan seorang pelawak, pelakon dan ahli kumpulan Bocey bersama Fad dan Acey.
Dalam pada itu rakan karib dan juga anggota kumpulan Bocey, Fad Bocey turut terkejut menerima berita kehilangan temannya itu.
Dia yang sedang bercuti di Jepun bersama keluarga tidak dapat menahan sebak dan menangis apabila mendapat tahu berita itu.
Ads
Dalam kapsyen di laman Instagramnya, Fad menulis kenapa abam pergi dulu sebelum dirinya.
Allahhuakbar,Allahhuakbar,Allahhuakbar,innalillahiwainnailaihirojiun..kenapa kau pergi dulu bam?kenape tak tunggu aku,aku jauh ni,aku nk peluk cium kauuuuuuuuu
Sebaik muat naik perkongsian ini, ramai warganet yang terkejut dengan berita kehilangan pelawak berbakat ini.
Masing-masing mengucapkan takziah dan mendoakan roh Abam ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sonny Bill Williams, bekas bintang ragbi New Zealand dan tinju menzahirkan kegembiraan apabila isterinya, Alana Raffie memperbaiki penampilan sebagai Muslim.
Sebagai suami, lelaki itu rasa bertuah apabila melihat isteri mula berhijab tanpa paksaan tetapi melakukannya semata-mata memenuhi seruan Allah.
Williams, 37, memeluk Islam pada tahun 2009 merupakan pemain ragbi Muslim pertama di dalam pasukan All Blacks.
Pemain Rugby New Zealand Syukur
Beliau berkongsi sekeping foto memaparkan mereka sekeluarga yang memaparkan Alana dengan imej baru dengan memakai baju berlengan panjang dan bertudung.
“Isteri saya seorang hijabi! Alhamdullilah isteri saya mengambil keputusan untuk bertudung. Ini adalah detik paling membanggakan dalam hidup saya.
‘Istimewanya beliau telah melakukannya untuk ALLAH SWT dan bukan orang lain. @lanamarieewilli Semoga yang Maha Tinggi sentiasa mengurniakan anda kesihatan yang baik, hikmah dan kebahagiaan,” titip Williams buat isteri tersayang.
Isteri Mula Berhijab Tanpa Paksaan
Williams dan Alana mendirikan rumah tangga pada tahun 2013 selepas empat minggu mengikat tali pertunangan. Kini selepas sembilan tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Iman, 8, Aisha, 5, Zaid, 4 dan Essa, 2.
Pada tahun 2018, foto Williams menunaikan umrah menarik perhatian ramai.
Beliau melebarkan sayap dalam sukan tinju pada tahun 2009 ketika masih bersama All Blacks dan memenangi gelaran Heavyweight International WBA pada 2013.
Berehat enam tahun dari gelanggang selepas memenangi pertarungan profesional ketujuhnya pada 2015, Williams membuat kemunculan semula pada tahun lepas.
Zaman dunia teknologi masa kini, ada pasangan suami isteri yang menyimpan sperma suami untuk bayi tabung uji. Jika si suami masih hidup tiada masalah namun bagaimana apabila suami meninggal dunia. Timbul masalah kefahaman dari segi hukum sama ada boleh atau tidak sperma suami yang disimpan itu digunakan oleh isteri.
Ikuti pencerahan berikut.
SOALAN:
Ada orang tanya isu bayi tabung uji. Sepasang suami isteri menyimpan 7 tabung sperma untuk bayi tabung uji. Tiba-tiba suami itu meninggal. Adakah boleh terus disenyawakan dengan ovum isteri setelah ketiadaan suami?
JAWAPAN:
Diharamkan bagi seorang balu menggunakan air mani suami yang telah meninggal dunia bagi tujuan menghasilkan bayi tabung uji. Ini kerana hubungan perkahwinan tamat apabila suami meninggal dunia. Justeru, benih lelaki yang disimpan sebelum kematian tidak boleh digunakan oleh isteri untuk tujuan persenyawaan dan kehamilan.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-5 yang bersidang pada 16-17 November 1982 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-6 yang bersidang pada 10 Oktober 1983 telah membincangkan Bayi Tabung Uji.
Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Bayi Tabung Uji dari benih suami isteri yang dicantumkan secara ‘terhormat’ adalah sah di sisi Islam. Sebaliknya benih yang diambil dari bukan suami isteri yang sah bayi tabung itu adalah tidak sah. Bayi yang dilahirkan melalui tabung uji itu boleh menjadi wali dan berhak menerima harta pusaka dari keluarga yang berhak.
Sekiranya benih dari suami atau isteri yang dikeluarkan dengan cara yang tidak bertentangan dengan Islam, maka ianya dikira sebagai cara ‘terhormat’. Antaranya kaedah bayi tabung uji yang diharamkan ialah menggunakan air mani suami yang disimpan Bank Sperma kemudian digunakan oleh isteri selepas kematian suami untuk tujuan kehamilan.
Berkata Syeikh Prof. Dr. Ali al-Qurahdaghi dalam kitabnya Fiqh al-Qadhaya al-Fiqhiyyah al-Mu`asirah (hlm. 574):
“Seperti mana persenyawaan itu mungkin berlaku semasa suami masih hidup, persenyawaan juga mungkin berlaku setelah suami mati. Hal itu berlaku apabila sesuatu (kehamilan) itu terhasil selepas kematian suami dengan menggunakan nutfah (air mani lelaki atau peringkat awal janin) yang diambil sebelum kematian suami lalu disimpan dalam suatu tempat yang dinamakan “Bank Sperma”. Persenyawaan jenis ini adalah haram secara qat`I sama ada dilakukan secara in-vitro (luar rahim) atau in-vivo (dalam rahim). Ini kerana hubungan perkahwinan tamat dengan kematian, justeru apabila berlaku persenyawaan maka itu berlaku dengan benih bukan suami lalu jadilah ia nutfah yang diharamkan. Sekiranya lahir juga anak daripada hal itu, maka zahirnya anak itu tidak dinasabkan kepada si suami selama mana punca benih itu tidak kekal hidup.”
Tabung uji yang berisi air mani suami yang sudah meninggal dunia tidak boleh lagi digunakan dan hendaklah dihapuskan. Ianya sesuai dengan pandangan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 bahawa sekiranya bank air mani telah sedia wujud maka air mani tersebut tidak boleh digunakan lagi.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan (Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri)
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Gaduh sikit merajuk. Gaduh sikit minta pulangkan hadiah yang diberi minggu lepas.
Meminta semula hadiah yang sebelumnya diberikan penuh keikhlasan boleh diibaratkan buruk siku. Tindakan ini seperti tidak matang dan berdasarkan emosi.
Apapun juga, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada jawapannya.
Soalan Assalamualaikum w.b.t Datuk Mufti. Saya ada soalan berkenaan hadiah. Individu A memberikan hadiah kepada individu B. Kemudian, setelah 2 bulan, individu A meminta semula hadiah yang diberikannya kepada individu B.
Jawapan Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T: فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا Maksudnya: Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. (Surah al-Nisa’: 4)
Ayat ini menerangkan bahawa apabila seorang isteri memberikan sesuatu dari maharnya kepada suaminya selepas mahar tersebut diserahkan kepadanya (isteri), maka diharuskan bagi suami tersebut untuk menerimanya.
Dan ia adalah perkara yang baik selagimana dalam keredhaan. Justeru, jelas melalui ayat ini, Allah S.W.T telah mensyariatkan hibah dan menyatakan keharusannya.
Ini dikuatkan juga dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W: تهادُوْا تحابُّوا Maksudnya: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai”.
Riwayat al-Bukhari (594). (Lihat: al-Adab al-Mufrad; muka surat 306), Hadith Shohih, (Lihat juga Irwa’ al-Ghalil; 6/44)
Hadis ini merupakan galakan daripada Nabi Muhammad S.A.W buat umatnya. Maka, sudah jelas terang lagi bersuluh bahawa hibah merupakan sunnah berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis Nabi Muhammad S.A.W dan juga ijma’ ulama’.
Sebelum diulas lanjut berkenaan hadiah, maka perlu kita bezakan terlebih dahulu pengertian hibah, hadiah dan juga sedekah.
Hibah ialah suatu akad yang merujuk kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian, ketika masih hidup dan dilakukan secara sukarela.
Pada dasarnya, ia mempunyai persamaan dengan hadiah dan juga sedekah dari sudut pengertian, bahkan ia lebih umum berbanding keduanya. Namun, ia juga mempunyai perbezaan.
Sedekah pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang memerlukan, biasanya sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah dan beroleh pahala. Manakala hadiah pula pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang mahu didekati dan dikasihi.
Biasanya ia membabitkan pemindahan barangan yang dihadiahkan kepada penerima. Justeru itu, ulama’ mengatakan setiap hadiah atau sedekah merupakan hibah, dan bukan semua hibah adalah hadiah ataupun sedekah. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 6/116)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, ia berkait rapat dengan rukun-rukun hibah. Rukun-rukun ini ialah:
Pemberi dan penerima
Sighah Aqad (Ijab dan Qabul)
Barangan yang dihibahkan atau dihadiahkan
Penerimaan Hibah
Pada dasarnya, akad ini tidak sempurna hanya dengan sighah aqad iaitu lafaz ijab dan qabul. Bahkan perlunya kepada penerimaan barangan hibah atau hadiah tersebut.
Ini bermakna, jika seseorang mengucapkan lafaz ingin memberikan hadiah kepada seseorang namun barangan yang ingin dihadiahkannya itu belum lagi diserahkan kepada si penerima, maka pemberi hadiah ini berhak untuk menarik semula keinginannya itu.
Justeru, akad ini akan menjadi sempurna dan berkuatkuasa hanya setelah apabila hadiah tersebut diterima dan memenuhi syarat-syarat bagi hibah atau hadiah, maka sahlah pemilikannya (penerima) ke atas barangan hibah itu.
Meminta Semula Hadiah/Hibah
Asal bagi aqad hadiah mahupun hibah adalah kedua-duanya merupakan akad tabarru’at (kebajikan) dan bukannya akad mu’awadhat (pertukaran). Maka, dalam hal kebajikan, tidak berlakunya pertukaran barangan sepertimana urusan jual beli dan lain-lain.
Seperti yang dibincangkan dalam perihal di atas, asas aqad hibah atau hadiah ini ialah apabila sempurnanya rukun-rukun dan juga syarat-syaratnya, serta telah sempurna penerimaan barangan hadiah/hibah tersebut, maka jelaslah ia merupakan hak milik si penerima, tanpa perlu kepada sebarang pertukaran sepertimana jual beli.
Sehubungan dengan itu, tidak dibenarkan atau tidaklah dibolehkan bagi si pemberi untuk meminta semula hadiah atau hibah yang telah diberikannya melainkan seorang ayah meminta semula harta yang telah diberikan kepada anaknya atau sesorang yang melakukan hibah dengan syarat pertukaran.
Maka, dalil bagi perbuatan ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad S.A.W: «العَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالعَائِدِ فِي قَيْئِهِ» Maksudnya:
“Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya”.
Riwayat al-Bukhari (2621)
Atau dalam riwayat yang lain: «لَيْسَ لَنَا مَثَلُ السَّوْءِ، الَّذِي يَعُودُ فِي هِبَتِهِ كَالكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ» Maksudnya: “Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu orang yang meminta semula anugerah (hibah) mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.” Riwayat al-Bukhari (2622)
Justeru itu, melalui kedua-dua hadith ini, jelas menunjukkan larangan dan juga betapa buruknya sikap mereka yang meminta semula pemberian itu.
Maka, Dr.Wahbah al-Zuhaili berkata: فالرجوع في القيء حرام، فكذلك الرجوع في الهبة، وأن ذلك مثل السوء الذي يتنافى مع أخلاق المسلم Maksudnya: Maka menelan semula muntah adalah haram. Begitu juga meminta semula hibah atau hadiah yang telah diberikan. Dan sesungguhnya ia adalah perbuatan dan juga sikap yang buruk, lantas ia bukanlah akhlak seorang Muslim.
Penutup Kesimpulannya, hukum meminta semula hadiah yang telah diberikan kepada seseorang adalah haram melainkan tuntutan semula seorang ayah terhadap anaknya dan juga hibah yang diberikan berserta syarat pertukaran.
Akhir kalam, kami menasihati orang ramai agar menjauhkan diri dari bersikap dengan perbuatan ini iaitu meminta semula hadiah, kerana ia merupakan perbuatan yang buruk dan tidak sesuai dengan akhlak seorang Muslim.
Semoga Allah S.W.T meletakkan keikhlasan dalam diri kita dalam hal kebajikan, murahkan rezeki kita agar dapat perbanyakkan diri dengan amalan-amalan kebajikan.
Semoga Allah S.W.T memberkati segala amal kebajikan kita semua.