Kerana Dibutakan Cinta, Hampir Hanyut Dalam Dunia Pura-Pura

Share

Ikan di laut, asam di darat. Dalam periuk, bertemu jua. Kalau sudah jodoh, lautan dan sempadan tidak menjadi halangan. Percintaan itu indah, soal hati dan perasaan yang tidak boleh dipaksa namun ada ketentuannya. Menyemai cinta dengan warga negara asing bukan semudah yang diangan-angankan. Ia banyak melibatkan penyatuan antara dua insan daripada golongan berbeza sama ada agama atau bangsa mahupun negara. Moga perkongsian ceritera (Nurin bukan nama sebenar) yang dipaparkan ini memberi teladan kepada mereka yang sedang bercinta. Usah kita menjadi buta dek kerana cinta.

*****************************************************************************************************************

Perkenalan aku dengan Jesse tidak dirancang. Kami bertemu ketika aku terlanggar belakang kereta yang dinaiki oleh Jesse, seorang jejaka warga Afrika. Walaupun aku telah melanggar keretanya, tetapi Jesse kelihatan tenang sahaja meskipun memang ketara kesalahanku. Pada mulanya aku menganggap perkenalan antara aku dan Jesse berakhir di situ sahaja, namun Jesse kerap bertanya khabar melalui kad nama yang diberikan ketika kemalangan kecil itu berlaku sehingga aku merasakan amat selesa bila bersamanya.

Aku juga sudah berani untuk menerima pelawaan Jesse untuk keluar bersamanya. Tidak tahu mengapa aku boleh jatuh jati dengan Jesse sedangkan aku tahu, sudahlah Jesse berlainan agama dan bangsa denganku, cara hidup dan budayanya juga berbeza. Ah, mungkin kerana Jesse bijak mengusik jiwa wanita sepertiku. Dia juga bijak berkata-kata sehingga aku mudah ‘cair’ padanya.

Pertemuan demi pertemuan kami lalui bersama. Selepas tiga bulan berkenalan dengan Jesse, dia menyuarakan hasrat hati untuk serius denganku. Ketika itu aku sebenarnya keliru, sama ada gembira mahupun takut. Gembira kerana sudah bertemu dengan cinta sejati, takut kalau-kalau dihalang oleh kedua ibu bapaku. Hati kecilku sudah boleh mengagak, cintaku dan Jesse pasti akan mendapat tentangan daripada kedua orang tuaku.

JAUH TERPESONG

Cinta oh cinta! Demi cintaku yang semakin kuat pada Jesse, aku beranikan diri dan tekadkan semangat untuk berterus-terang dengan kedua ibu bapaku. Apa lagi, sudah tentulah kedua ibu bapaku menghalang cinta aku dan Jesse. Lebih-lebih lagi apabila sudah banyak kisah buruk tentang ‘awang hitam’ yang sering digembar-gemburkan di media cetak mahupun media elektronik. Sudah tentulah ia menambah kegusaran kedua ibu bapaku.

Kalau sudah mabuk cinta, nasihat dan teguran sudah tentu tidak diendahkan. Ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan Segala nasihat yang diberikan oleh kedua ibu bapaku dan rakan-rakan, semuanya ku tolak ke tepi lantaran cintaku yang terlalu mendalam pada Jesse. Oh! Sukar digambarkan betapa aku sudah ‘mabuk’ cinta dengan Jesse.

Sejak perhubungan aku dengan Jesse semakin serius, aku semakin melupakan tikar sembahyang. Diri ini semakin leka dengan dunia cinta yang aku bina bersama Jesse. Paling teruk, aku sudah mula berjinak-jinak dengan rokok. Dari seorang gadis yang bertudung litup, aku kini gemar membiarkan rambut lurusku ditatap dan dibelai oleh Jesse.

Perubahan pada diriku sudah tentu menghancur luluhkan perasaan kedua ibu bapaku. Setiap malam, tatkala aku pulang ke rumah, ibuku kerap merayu padaku agar aku memutuskan perhubungan dengan Jesse. Aku sudah jauh terpesong.  Mana mungkin dapat ku terima nasihat daripada ibuku. Bukankah aku sedang khayal dalam dunia cinta yang dicipta oleh lelaki bernama Jesse.

KEMBALI KE PANGKAL JALAN

Demi mahu melihat aku kembali ke pangkal jalan, kedua ibu bapaku telah melakukan solat hajat selain meminta pihak masjid melakukan solat hajat. Tujuannya agar pintu hatiku terbuka semula untuk kembali ke pangkuan mereka. Usaha dan kesungguhan yang dilakukan oleh kedua ibu bapaku ternyata dengan izin Allah SWT berjaya membuka pintu hatiku untuk memutuskan perhubungan dengan Jesse.

Seakan tersedar daripada lamunan yang panjang, aku menangis semahu-mahunya. Aku berasa cukup kesal kerana terlalu mengikut perasaan dan darah mudaku. Aku bernasib baik kerana mahkotaku masih terjaga dengan rapi meskipun aku kerap bersama dengan Jesse. Dengan linangan air mata, aku kembali melutut di kaki kedua ibu bapaku. Sungguh aku menyesal dengan apa yang aku lakukan pada mereka.

Menyedari yang aku sudah kembali pada kedua ibu bapaku, Jesse mula menjauhkan diri. Baru ku sedar, sejak berpacaran dengan Jesse, sudah banyak wangku dihabiskan oleh Jesse. Dia bijak memujuk hingga aku sanggup memberikan wang dan barang kemas untuk digadaikan oleh Jesse.

Jesse akhirnya telah ditangkap oleh pihak polis atas kesalahan melakukan jenayah siber. Mengucap panjang tatkala aku terbaca artikel Jesse di dada akhbar. Aku sangat bersyukur kepada Allah kerana tidak lagi hanyut dengan cinta pura-pura Jesse. Berhati-hatilah jika bercinta dengan warga asing. Restu ibu bapa itu amat penting kerana tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka sengsara. Kini aku semakin gembira melalui hari-hari baruku dan semoga Allah mengampunkan dosa-dosaku yang lalu.

Published by
wan erni