Dalam bahasa Arab, neraka disebut naar dengan maksud api. Sebagaimana yang diketahui, api ini merujuk kepada pembakaran dengan kepanasan.
Sememangnya bila menyebut tentang neraka pasti terbayang akan api marak, tempat manusia terbakar sebagai pembalasan dosa-dosa yang dilakukan.
Neraka ini juga ada tahapannya, menurut Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dalam tulisannya terdapat lapan tingkatan neraka iaitu neraka Jahannam, Lahzha, Huthamah, As’Sa’ir, Jahim, Saqar, Hawiyah dan Zamharir.
Neraka dengan tingkatan paling ringan dikenali dengan neraka Jahanam yang membawa maksud mengerutkan dari. Keadaan neraka dengan tingkatan yang paling ringan ini dikhaskan kepada umat Baginda Nabi SAW yang kerap berbuat maksiat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.
Allah SWT berfirman: “Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar tempat yang telah diancamkan kepada mereka (pengikut syaitan) semuanya. Jahannam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu daripada mereka.” (Surah Al-Hijr ayat 43-44)
Peringkat neraka ini merujuk kepada makna menyala-nyala dengan gambaran membakar kaki dan tangan orang yang berpaling daripada tauhid dan risalah Baginda Nabi SAW. Golongan yang masuk dalam neraka ini juga merujuk kepada mereka yang mendustakan al-Quran dan terlalu banyak mencintai duniawi.
Allah SWT berfirman: “Sekali-kali tidak dapat. Sesungguhnya neraka itu adalah api yang bergejolak, yang mengelupaskan kulit kepala, yang memanggil orang yang membelakang dan yang berpaling (daripada agama). Serta mengumpulkan (harta benda) lalu menyimpannya.” (Surah Al-Ma’arij ayat 15-18)
Tingkatan neraka ini pula merujuk kepada manusia yang sering bergosip, mengumpat, suka membawa cerita-cerita yang tidak jelas asal usulnya dan mereka yang dan yang sering mengumpulkan harta dan menghitungnya agar dapat dikekalkan.
Akibat perbuatan tersebut, mereka akan dicampakkan ke dalam neraka Huthamah ini. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT: “Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat (al-humazah) lagi pencela (al-lumazah), yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya, dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya.” (Surah Al-Humazah ayat 1-3)
Imam al-Qurtubi menjelaskan neraka As-Sa’ir merujuk kepada api yang sentiasa menyala sejak diciptakan. Digambarkan terdapat 300 istana di dalamnya dan setiap istana ada 300 rumah dan dalam setiap rumah ada 300 jenis seksaan di antaranya ular, kala jengking, tali, rantai, belenggu. Di dalamnya juga terdapat perigi kesedihan. Apabila dibuka, maka penghuni neraka tersebut akan sedih dengan kesedihan yang teramat sangat.
Neraka Sa’ir digambarkan dalam Surah Al-Mulk, ini merupakan seburuk-buruknya tempat kembali. Penghuninya akan mendengar suara yang mengerikan. Hampir saja neraka itu terpecah disebabkan kemarahannya.
Dinamakan Neraka Al-Jahim kerana neraka ini adalah bara api yang besar iaitu satu bara api sebesar dunia. Jahim akan diisi orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT, orang-orang yang menentang ayat-ayat Allah dan melemahkan kemahuan untuk beriman dengan membina patung berhala sebagai sembahan. Allah SWT berfirman: “Dan diperlihatkan dengan jelas neraka Jahim kepada orang-orang yang sesat dan dikatakan kepada mereka: “Di manakah berhala-berhala yang dahulu kamu selalu menyembah (Nya).” (Surah Asu-Syu’ara ayat 91-92)
Dinamakan Neraka Saqar bermaksud neraka ini akan memakan daging penghuninya tetapi tidak memakan tulang. Neraka ini akan dihuni oleh manusia yang tidak mengerjakan solat, tidak menyantuni orang miskin, kerap membicarakan hal yang batil dan tidak mempercayai kewujudan hari pembalasan.
Allah SWT berfirman: “Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)?” Mereka menjawab: “Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat dan kami tidak (pula) memberi makan orang miskin dan adalah kami membicarakan yang batil, bersama orang-orang yang membicarakannya dan adalah kami mendustakan hari Pembalasan.” (Surah al-Mudathir ayat 42-46)
Dalam riwayat, neraka Hawiyah merujuk tingkatan paling bawah dan tempat dihimpunkan orang-orang munafik. Golongan yang dicampakkan ke dalam neraka ini tidak keluar selama-lamanya.
Salah satu neraka yang tidak panas tetapi sejuk adalah neraka Zamharir dengan tempat penyiksaan yang memiliki suhu sangat sejuk. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT: “Mereka tidak merasakan kesejukan di dalamnya dan tidak (pula mendapat) minuman, selain air yang mendidih dan ghossaq, sebagai pambalasan yang setimpal.” (Surah An-Naba’ ayat 24-26)
Sumber: Harian Metro