
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ini Rupanya Doa Boleh Ibu Bapa Amalkan Untuk Anak Hadapi Peperiksaan, Bantu Mereka Cemerlang Dunia & Akhirat

Bermula esok anak-anak kita di seluruh negara akan menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Dan sebagai ibu bapa kita perlu memberi sokongan tak berbelah bagi memastikan kejayaan jadi milik mereka.
Setelah hampir beberapa bulan mengulang kaji, inilah masanya anak-anak perlu pamerkan prestasi sebenar. Kita sebagai ibu bapa berdoalah kepada Allah agar dipermudahkan untuk anak-anak menjawab kertas peperiksaan.
Ini adalah doa yang boleh ibu bapa baca untuk membantu anak-anak yang sedang belajar dan akan menghadapi peperiksaan. Bantu anak kita untuk jadi pelajar cemerlang yang berjaya dunia dan akhirat. Usaha, doa dan tawakal, selebihnya serahkan semuanya pada Allah SAW.
Doa ini dipetik daripada sesi tazkirah Pegawai Dakwah Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat, Al Fadil Ustaz Mohd Fauzi Mohd Yatin.
Ya Allah, Ya Tuhan kami
Kami mohon keampunan Mu, kami mohon kerahmatan Mu, kami mohon taufik dan hidayah Mu ya Allah
Ya Allah, Ya Tuhan kami
Kau ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa anak-anak kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat.
Ya Allah, Ya Tuhan kami
Ikhlaskan hati anak-anak kami untuk mempelajari ilmu Mu. Tetapkan niat dihati mereka agar apa yang mereka lakukan semata-mata kerana Mu ya Allah. Semata-mata kerana Mu ya Allah.
Ya Allah,
Kami mohon kepada Mu, permudahkanlah mereka faham apa yang diajar oleh guru-guru mereka ketika mereka berada di dalam kelas. Lapangkanlah dada mereka untuk menerima ilmu Mu ya Allah.
Ya Allah,
Tidak lama lagi, anak-anak kami akan menduduki peperiksaan (UPSR/PMR/SPM/STPM). Kami mohon kepada Mu ya Allah, bantulah anak-anak kami dalam peperiksaan yang mereka hadapi ya Allah.
Ya Allah,
Peliharalah kesihatan anak-anak kami di hari peperiksaan nanti. Permudahkanlah mereka menjawab soalan, jauhilah mereka daripada perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan. Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan sepertimana skema jawapan.
Ya Allah, Ya Tuhan kami
Lembutkanlah hati pemeriksa yang memeriksa kertas jawapan anak kami nanti. Dorongkanlah hati dia untuk memberi markah yang lebih kepada anak-anak kami. Tutuplah matanya daripada melihat kesalahan yang anak kami lakukan.
Ya Alah,
Berikanlah keputusan cemerlang dalam peperiksaan anak-anak kami. Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang ini, mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi lagi, semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba Mu yang soleh dan menghampirkan diri mereka kepada Mu.
Jadikanlah anak-anak kami pelajar yang cemerlang ya Allah, cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat. Kami mohon kepada Mu, Kau perbaikilah akhlak anak-anak kami. Jadikanlah mereka pelajar yang cemerlang dan mempunyai sahsiah diri yang baik. Tanamkanlah sihat mahmunah dalam diri dan buanglah sifat mazmumah dalam diri mereka.
Ya Allah, jadikanlah anak-anak kami seorang pemimpin di kalangan orang yang bertaqwa
Ya Allah,

Apa yang kami doakan ini bukan untuk diri anak-anak kami sahaja, tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk anak-anak sahabat kami ya Allah. Berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
Ya Allah,
Jadikanlah anak kami anak yang soleh ya Allah. Yang mahu mereka berjaya ya Allah. Kami mahu mereka mengubah nasib keluarga kami ya Allah. Berikanlah taufik dan hidayah Mu yang berkekalan ya Allah.
Jauhkanlah hati mereka dariapda melakukan amalan-amalan yang membawa ke neraka Mu ya Allah. Tetapkanlah hati mereka untuk menunaikan solat. Janganlah Kau melalaikan mereka dengan perkara perkara yang tidak berfaedah ya Allah.
Ya Allah,
Kami tidak mampu mengawasi anak-anak kami setiap waktu ya Allah. Kami serahkan anak kami untuk berada di bawah penjagaan Mu ketika mereka tidak bersama kami ya Allah. Gerakkanlah hati mereka untuk berada di tempat tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat yang Engkau murkai.
Ya Alah,
Perkenankanlah doa doa kami ini. Kami memohon kepada Mu kerana Engkau tuhan kami. Kami meminta kepada Mu kerana Engkaulah yang mencipta kami. Kami merayu kepada Mu kerana Engkaulah yang Maha Mengkabulkan doa doa kami ini.
Jika Engkau tidak memakbulkan doa kami ini, siapa lagi yang akan memakbulkannya. Jika Kau tidak mendengar doa kami ini, siapa lagi yang akan mendengarnya. Bantulah kami ya Allah. Ya Rahman. Ya Rabbul Alamin
Sumber: Harian Metro
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Mulakan Doa Dengan Pujian, Letakkan Sepenuh Harapan, Adab Setiap Kali Berdoa Supaya Makbul

Isi Kandungan
ToggleSetiap kali solat tak pernah lupa untuk berdoa, tapi dek kerana mengejar waktu doa dibuat dalam tergesa-gesa. Hanya lafaz di mulut tapi tidak menghayatinya.
Mungkin juga kerana perkara ini doa kita belum makbul. Hakikatnya ketika berdoa itu ada adabnya.
Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa daripada hati yang lalai.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Berikut adalah adab-adab yang perlu dititik beratkan ketika berdoa, moga doa kita dimakbulkan satu hari nanti.
1. Berdoa dengan penuh harapan dan yakin
Antara adab berdoa, seseorang itu perlulah meminta kepada Allah SWT dalam keadaan dirinya bersangka baik dengan-Nya agar permintaan itu dimustajabkan. Demikian juga, seseorang itu perlulah berdoa dalam keadaan penuh harap (agar doa dimustajabkan) dan juga perasaan takut (dari doa tertolak). Ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا
Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut. (Surah al-Anbiya’: 90)
Ayat di atas ini sebelumnya menceritakan berkenaan beberapa orang para Nabi dan juga permintaan yang mereka lakukan. Nabi Ayyub AS berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kesembuhan kepada penyakit yang menimpanya, lalu Allah mustajabkan.
Nabi Yunus AS berdoa supaya diselamatkan dari musibah yang menimpa dirinya saat berada di dalam perut ikan Nun, kemudian Allah mustajabkan doanya. Berikutnya, Nabi Zakaria AS juga berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah SWT memustajabkannya dengan mengurniakan Nabi Yahya sebagai anak.
Ketiga-tiga para Nabi ini dimustajabkan doa mereka kerana berdoa dalam keadaan penuh harap dan takut kepada Allah SWT.
Begitu juga berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
Maksudnya: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.
Riwayat al-Tirmizi (3479)
2. Mulakan dengan puji-pujian kepada Allah SWT
Antara adab dalam berdoa adalah dengan memuji Allah SWT sebelum meminta sebarang hajat. Sebagai contoh mudah adalah dengan melihat kepada bacaan surah al-fatihah yang dibacakan oleh seseorang.
Ia berdasarkan sebuah riwayat yang panjang daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW menceritakan berkenaan bacaan al-Fatihah di dalam solat. Lalu Allah SWT membahagikan solat kepada dua bahagian, untuk diri-Nya dan untuk para hamba-Nya.
Jelas dalam surah al-Fatihah, terdapat 5 pujian daripada ayat pertama hinggalah ke ayat yang ke lima kepada Allah SWT. Kemudian pada ayat yang keenam, ia diikuti dengan permintaan atau doa yang pertama iaitu:
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
Maksudnya: Berilah kami hidayah kepada jalan yang lurus. (Surah al-Fatihah: 6)
Demikian juga seperti yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang menceritakan berkenaan doa Nabi Ibrahim A.S, baginda memulakan dengan katanya:
الَّذِي خَلَقَنِي فَهُوَ يَهْدِينِ (78) وَالَّذِي هُوَ يُطْعِمُنِي وَيَسْقِينِ (79) وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ (80) وَالَّذِي يُمِيتُنِي ثُمَّ يُحْيِينِ (81) وَالَّذِي أَطْمَعُ أَن يَغْفِرَ لِي خَطِيئَتِي يَوْمَ الدِّينِ
Maksudnya: Dialah Tuhan yang telah menciptakan aku maka Dia jugalah yang memberikan petunjuk. Dialah Tuhan yang memberi makan dan minum kepadaku. Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang memberikan kesembuhan. Dan Dialah Tuhan yang mematikan aku kemudian menghidupan semula (diriku). Dan Dia jugalah Tuhan yang sangat aku harapkan supaya Dia mengampunkan kesalahan-kesalahanku pada hari akhirat. (Surah al-Syu’ara: 78 – 82)
Kesemua ungkapan di atas ini, jika diteliti ia adalah suatu puji-pujian seorang hamba kepada Tuhannya. Maka Nabi Ibrahim AS tidak terhenti sekadar lima pujian ini, bahkan baginda menyambungnya dengan lima buah permintaan kepada Allah SWT melalui firman-Nya:

رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ (83) وَاجْعَل لِّي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ (84) وَاجْعَلْنِي مِن وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ (85) وَاغْفِرْ لِأَبِي إِنَّهُ كَانَ مِنَ الضَّالِّينَ (86) وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ
Maksudnya: Tuhanku, berilah hikmah kepadaku dan golongkanlah diriku bersama dengan orang-orang yang soleh. Berilah kepadaku lisan yang benar buat orang-orang yang terkemudian. Dan jadikanlah aku di antara mereka yang mewarisi syurga al-na’im. Dan ampunkanlah bapaku, sesungguhnya dia tergolong dalam kalangan mereka yang tersesat. Dan janganlah Kau hinakan aku pada hari kebangkitan. Surah al-Syu’ara’ (83-87)
Justeru, dapat kita fahami bahawa petunjuk qurani di dalam berdoa adalah dengan memulakannya dengan ucapan pujian-pujian kepada Allah SWT.
Sebagai tambahan, cukuplah kami nyatakan di sini dua hadis untuk melengkapkan jawapan di atas.
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيبَ اللَّهُ لَهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكُرَبِ، فَلْيُكْثِرِ الدُّعَاءَ فِي الرَّخَاءِ
Maksudnya: “Siapa yang suka Allah terima doanya ketika kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa kemewahan dan kesenangan.” Riwayat al-Tirmizi (3382) dan Abu Ya’la
Daripada Abi Hurairah R.A katanya, Rasulullah SAW bersabda:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
Maksudnya: Berdoalah kamu kepada Allah dalam hal keadaan kamu yakin dengan penerimaan Tuhan. Ketahuilah bahawa Allah SWT tidak menerima doa daripada hati orang yang lalai.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Usah Sia-Siakan 5 Waktu Mustajab Berdoa Di Bulan Ramadan

Isi Kandungan
ToggleWaktu doa mustajab antaranya adalah pada bulan Ramalan ini. Doa yang dipanjatkan pada masa ini adalah lebih dekat untuk dimakbulkan.
Dalam bulan yang mulia ini juga ada lima waktu yang terbaik untuk kita berdoa dan tidak harus kita biarkan ia berlaku begitu saja.
1. Waktu sahur
Ramai yang mungkin menganggap sahur sekadar waktu untuk mengisi perut sebelum berpuasa, tetapi sebenarnya ia juga merupakan masa yang sangat mustajab untuk berdoa. Waktu sahur termasuk dalam sepertiga malam terakhir, yang disebut sebagai saat paling sesuai untuk bermunajat.
Rasulullah SAW bersabda: “Pada sepertiga malam terakhir, Allah dengan kemurahan dan kasih sayang-Nya melimpahkan rahmat-Nya kepada makhluk-Nya, lalu Dia berfirman: ‘Barang siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku akan perkenankan, barang siapa yang meminta kepada-Ku, Aku akan berikan, dan barang siapa yang memohon keampunan, Aku akan mengampuninya.” (HR Bukhari, No. 1145)
Oleh itu, selain bersahur, luangkan beberapa minit untuk berdoa dan memohon apa sahaja kebaikan yang diinginkan.
2.Sepanjang hari berpuasa
Sepanjang hari berpuasa juga merupakan waktu mustajab untuk berdoa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga doa yang tidak akan ditolak: doa seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi.” (HR Ibnu Majah, No. 1752).
Ini bermakna setiap detik dalam keadaan berpuasa adalah peluang untuk berdoa dan memohon pertolongan serta keberkatan daripada Allah SWT. Sama ada sedang bekerja, belajar, atau berehat, setiap Muslim boleh mengambil kesempatan ini dengan memperbanyakkan doa dalam hati atau secara lisan.
3. Saat berbuka puasa
Saat berbuka puasa bukan hanya waktu untuk menikmati hidangan selepas seharian berpuasa, tetapi juga detik yang mustajab untuk berdoa. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu, ketika saat dia berbuka, terdapat doa yang tidak akan ditolak.”(HR Ibnu Majah, No. 1753).
Oleh itu, sebelum menyuap makanan pertama, ambillah beberapa saat untuk berdoa dengan penuh pengharapan dan keikhlasan.
4. Ketika solat tarawih dan sujud
Ramadan tidak lengkap tanpa solat tarawih yang dilakukan pada waktu malam. Selain mendapat pahala solat berjemaah, waktu ini juga merupakan peluang untuk berdoa, terutama di antara rakaat solat atau selepas selesai solat.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Seorang hamba paling dekat dengan Tuhannya ialah ketika dia dalam keadaan sujud, maka perbanyakkanlah doa.” (HR Muslim, No. 482).
Begitu juga ketika sujud dalam solat, kerana dalam keadaan ini seseorang berada paling dekat dengan Penciptanya. Ambil kesempatan untuk memohon keampunan, hidayah, dan segala kebaikan dalam kehidupan.
5. Malam Lailatul Qadar
Salah satu keistimewaan Ramadan adalah adanya malam Lailatul Qadar, yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Qadr, ayat 3: “Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang beribadah pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala, maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”
(HR Bukhari, No. 1901; Muslim, No. 760).
Pada malam ini, doa yang dipanjatkan sangat mustajab, dan peluang untuk diampunkan segala dosa terbuka luas. Oleh itu, perbanyakkan doa dan ibadah pada malam-malam ini agar tidak terlepas peluang istimewa ini.
Moga dengan memahami waktu-waktu mustajab ini, kita boleh mengatur ibadah dan doa dengan lebih berkesan.
Sumber: Astro Awani
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI