Kerohanian

Ketika Hujan Basahkanlah Sedikit Tubuh Dengan Air Hujan, Ia Sebahagian Daripada Sunnah

Share
Antara sunnah yang jarang dilakukan dalam pengamalan masyarakat pada hari ini adalah membasahkan sedikit dari bahagian badan dengan air hujan yang turun daripada langit.
Perbuatan ini tsabit daripada Nabi S.A.W berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata : ‘’Hujan turun dan kami pada ketika itu bersama dengan Rasulullah S.A.W. Lalu baginda S.A.W menyelak baju baginda sehinggalah hujan menimpa badan baginda. Kemudian kami bertanya : ‘’Wahai Rasulullah, mengapakah anda melakukan ini ?’’. Maka jawab baginda S.A.W:
لِأَنَّهُ حَدِيثُ عَهْدٍ بِرَبِّهِ تَعَالَى
Maksudnya : Kerana ia baru sahaja datang (turun) dari Tuhannya yang Maha Tinggi. Riwayat Muslim (898)
Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata : ‘Sesungguhnya hujan ini adalah rahmat, dan ia baru sahaja tempoh penciptaannya oleh Allah Ta’ala lalu dilakukan tabarruk (mengambil berkat) dengannya’’. Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (6/195).
Syeikh Zakariya bin Muhammad Al-Ansari berhujah menggunakan hadis ini dengan kata beliau : ‘’Dan disunatkan untuk seseorang itu keluar ke arah hujan yang turun dan menyelak pakaiannya (selain auratnya) supaya hujan menimpa badannya’’. Rujuk Asna Al-Mathalib (1/293).
Kemudian dalam menjelaskan sebab dilakukan perbuatan tersebut, Syeikh Zakariya menukilkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa beliau ditanyakan akan sebab perbuatan tersebut, maka jawab Ibn Abbas : ‘Apakah kamu tidak membaca firman Allah S.W.T :
وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا
Maksudnya : Dan Kami telah menurunkan daripada langit air yang berkat.
Surah Qaf (9)
Sebagai kesimpulan, hukum membasahkan bahagian badan yang bukan dalam kategori aurat dengan air hujan adalah disunatkan. Zahir nas tidak menunjukkan bahagian hujan yang mana sama ada pada awal turunnya, di pertengahan, atau di penghujung.
Meskipun begitu, ia lebih dituntut pada awal-awal turunnya hujan memandangkan hikmahnya kerana ia disifatkan sebagai nikmat yang baru turun, serta disifatkan sebagai air yang berkat diturunkan oleh Allah S.W.T.
Published by
Team Kashoorga