Ketika Sahabat Mengadu Pada Nabi Ingin Hidup Kaya, Dengar Apa Kata Rasulullah Tentang KEKAYAAN

Share

Ramai ingin hidup kaya. Wang sentiasa ada dalam poket dan tak pernah keluh kesah mengenainya. Ditambah sikap sesetengah usahawan yang sentiasa show off tentang kekayaan mereka di media sosial, kemampuan membeli barangan harga ratusan ribu tanpa ada sebarang masalah, rumah besar, kereta mewah dan ada simpanan yang banyak hingga menimbulkan keinginan luar biasa orang kebanyakan untuk memiliki duit yang banyak. Sebab itulah, bagi orang biasa-biasa ramai yang beranggapan ada wang banyak itu perlu dalam kehidupan mereka.

Tapi pernahkah kita terfikir kenapa kisah Qarun ditulis di dalam al-Quran?

Allah Taala memperincikan kisah Qarun di dalam al-Quran melalui Surah al-Qasas bermula ayat 76 hingga 82. Kisah ini menjadi saksi bahawa kesombongan melalui harta tidak akan kekal lama jika umat Islam tidak memahami konsep kekayaan di dalam hidup ini.

Allah berfirman, “Sesungguhnya Qarun termasuk daripada kaum Musa, tetapi dia berlaku zalim terhadap mereka dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta dan kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat. Ingatlah ketika kaumnya berkata kepadanya, ‘Janganlah engkau terlalu bangga. Allah Taala tidak menyukai orang yang membanggakan diri.’

Zaman Nabi juga ada para sahabat mengeluh kerana ingin hidup kaya

Keinginan untuk jadi kaya sebenarnya bukan berlaku zaman ini saja. Bukan kerana kita terikut hawa nafsu tetapi rasa keinginan itu sudah lama wujud sejak di zaman Nabi Muhammad lagi. Tapi apa kata Nabi tentang kekayaan yang sering kita gila-gilakan ini?

Dalam sebuah riwayat dikisahkan bahawa para sahabat yang ekonomi mereka tergolong biasa-biasa dan tidak berkemampuan mengadukan nasib mereka kepada Rasulullah SAW dan berharap boleh hidup dengan harta yang banyak. Ketika menyampaikan hajat mereka kepada Rasulullah, SAW yang alangkah bahagianya kalau menjadi orang kaya yang mana mereka boleh bersedekah untuk mendapatkan banyak pahala. Kata mereka,

“Orang-orang yang punya banyak harta solat sebagaimana kami solat. Mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Namun mereka boleh bersedekah dengan limpahan harta yang mereka miliki, sedang kami yang miskin tak boleh melakukan itu,” demikian mereka mengadu.

Atas keluhan mereka ini Rasulullah kemudian menyampaikan keadah terbaik bagaimana mereka boleh mendapatkan banyak pahala dengan melakukan beberapa amalan yang pahalanya sama dengan pahala sedekah yang dilakukan oleh orang-orang kaya.

“Ada beberapa sahabat Nabi berkata kepada beliau, ‘Ya Rasulullah, orang-orang kaya mendapat banyak pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, dan mereka boleh bersedekah dengan kelebihan harta mereka.’

Rasul bersabda, ‘Bukankah Allah telah menjadikan bagi kalian apa-apa yang boleh kalian sedekahkan? Sesungguhnya setiap bacaan tasbih adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, memerintahkan yang maa’ruf adalah sedekah, mencegah kemungkaran adalah sedekah dan dalam kemaluan kalian ada sedekah.’

Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasul, apakah bila salah seorang di antara kami melampiaskan syahwatnya ia mendapatkan pahala?’ Rasul menjawab, ‘Apa pendapat kalian, bila ia melampiaskan syahwatnya pada yang haram bukankah ia mendapat dosa? Maka demikian pula bila ia melampiaskannya pada yang halal ia mendapat pahala.’” (Muslim bin Hajjaj An-Naisaburi, Shahîh Muslim, Kairo: Darul Ghad Al-Jadid, 2008, jilid IV, juz. 7, halaman 83).

Dari hadits di atas diketahui bahwa keinginan para sahabat Rasulullah untuk memiliki banyak harta bukanlah untuk bersenang-senang menikmatinya, agar dengan banyaknya wang mereka boleh memiliki rumah yang megah, membeli perabot mahal, kenderaan mewah, melancong ke luar negara dan kemewahan duniawi lainnya. Bukan yang demikian meningkatkan motivasi mereka untuk memiliki banyak harta.

Yang mendorong mereka berkeinginan menjadi kaya hingga memberanikan diri mengadu kepada Rasulullah adalah keinginan untuk boleh mendulang sebanyak mungkin pahala. Bagi mereka dengan melimpahnya harta mereka boleh bersedekah sebanyak dan sesuka hati sehingga mendapat banyak pahala yang pada akhirnya berharap mendapat syurga dan kerihaan Allah ta’ala.

Tapi tanyalah kepada diri kita kenapa kita ingin hidup kaya? Adakah kerana ingin show off, tunjuk mampu membeli segalanya dan jangan lupa kisah Qarun yang Allah ceritakan di mana Qarun tertanam dengan harta-hartanya kerana ketamakaan dirinya. Para sahabat mengadu kerana mereka merasakan kalau dengan harta, mereka boleh bersedekah dan memperoleh pahala tapi tanya apa tujuan kita untuk kaya?

Mulai hari ini, kalau kita ada azam untuk hidup kaya, tanamlah azam kekayaan yang bakal kita miliki itu akan kita gunakan ke jalan Allah, bukan jalan menunjuk-nunjuk. Ikutlah sikap Ustaz Ebit Lew selalu lakukan terhadap harta dimilikinya iaitu dengan membantu orang susah, menginfakkan masanya pergi ke lokasi orang susah dan lain lagi kerana dirinya mengharap redha Allah.

Ingatlah, kaya itu ujian. Tak kaya juga ujian. Hendaklah kita sentiasa bersyukur tanpa pernah mengeluh dan teruslah berusaha tanpa lelah untuk terus menjadi orang kaya. Apa yang penting, untuk jadi kaya bukan dengan harta saja tapi seperti Rasulullah ajarkan seperti dalam hadis di atas.
Sumber bahan : Islam Pos / Gambar banglo: SBS Indahjaya Development

Published by
almaswa Haji Che Ros