Sebagaimana orang lelaki, wanita juga bermimpi basah. Dan kadang kala melakukan kerja gila dengan melakukan masturbasi untuk melepaskan puncak seksual terutama bagi pasangan yang tinggal berjauhan. Persoalannya, perlukah mandi junub kalau mimpi basah?
Mufti Wilayah berkongsi jawapan mengenai hal ini.
Saya ada satu persoalan. Wajibkah seseorang itu mandi wajib jika dia sengaja beronani tanpa keluar air mani, walaupun untuk perempuan? Dan sekiranya dia was-was terhadap air atau cecair yang keluar dan mengambil jalan untuk mandi wajib adakah memadai? Mohon pencerahan mengenai perkara ini.
Jawapan :-
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Maksudnya :“(Dan golongan yang beriman itu) adalah mereka yang memelihara kemaluan mereka. Melainkan ke atas para isteri mereka atau hamba-hamba sahaya mereka, sesungguhnya mereka itu tidak tercela. Maka sesiapa yang mencari-cari di sebalik itu mereka merupakan golongan yang melampaui batas.” (Surah al-Mukminun : 5 – 7)
Para ulama kebanyakannya menyatakan bahawa hukum beronani adalah haram. Imam Syafie ketika mengulas ayat di atas menyatakan bahawa :
Maksudnya :“Tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Dan tidak halal juga perbuatan istimna’ (mengeluarkan air mani).” (Lihat al-Umm, 5/102)
Kami jelaskan terlebih dahulu definisi bagi perkataan onani. Onani ialah perbuatan mengeluarkan mani dengan tangan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 1097) Lafaz الاستمناء atau onani itu berasal dari kata terbitan استمنى iaitu usaha mengeluarkan air mani. Manakala dari sudut istilah pula ia membawa maksud mengeluarkan air mani tanpa melalui proses persetubuhan, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/97)
Ads
Sebab-sebab yang mewajibkan mandi
Antara sebab yang mewajibkan seseorang itu untuk mandi ialah janabah. Makna asal janabah ialah jauh. Janabah juga bermaksud air mani yang terpancut atau persetubuhan.
Oleh itu, orang yang junub ialah orang yang tidak suci disebabkan keluarnya air mani atau bersetubuh. Ia dinamakan sebagai junub kerana orang yang berjanabah itu menjauhkan diri daripada mendirikan solat selama mana dia berkeadaan demikian. Perkataan junub digunakan untuk umum, sama ada untuk lelaki atau perempuan, dan sama ada untuk seorang atau ramai.
Dan seseorang itu dianggap sebagai telah berjunub disebabkan oleh dua perkara :
Keluar air mani sama ada di kalangan lelaki atau perempuan dengan apa-apa sebab sekalipun sama ada dengan bermimpi, bercumbuan, melihat seseorang dengan berahi atau berkhayal.
Bersetubuh sekalipun tidak keluar air mani.
(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, Cet. Dar al-Qalam, 1/73-74)
Beronani tetapi tidak keluar air mani
Secara umumnya, perbuatan onani yang mewajibkan pelakunya untuk mandi wajib, diikat dengan syarat keluarnya air mani. Sekiranya air mani tidak keluar disebabkan oleh zakar yang menahannya daripada keluar dan dia tidak mengetahui (atau nampak tanda-tanda) mengenai keluarnya air mani tersebut selepas itu, maka majoriti ulama termasuk mazhab Syafie mengatakan tidak perlu mandi wajib. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/140)
Begitu juga, turut dinyatakan di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (4/99) bahawa :
Maksudnya :“Wajib ke atas seorang perempuan yang beronani untuk mandi wajib, sekiranya keluar air mani kerana perbuatan onaninya itu, dengan apa cara sekalipun.” Oleh itu, difahami daripada kenyataan di atas, sekiranya seseorang perempuan itu beronani tetapi tidak sampai mengeluarkan air mani, maka tidak wajib ke atasnya untuk mandi wajib.
Hal ini juga adalah berdasarkan kepada hadis Aisyah R.Anha, katanya :
سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الرَّجُلِ يَجِدُ الْبَلَلَ وَلاَ يَذْكُرُ احْتِلاَمًا قَالَ : يَغْتَسِلُ. وَعَنِ الرَّجُلِ يَرَى أَنَّهُ قَدِ احْتَلَمَ وَلاَ يَجِدُ الْبَلَلَ قَالَ: لاَ غُسْلَ عَلَيْهِ. فَقَالَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ: الْمَرْأَةُ تَرَى ذَلِكَ أَعَلَيْهَا غُسْلٌ قَالَ: نَعَمْ ، النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ Maksudnya :“Rasulullah SAW telah ditanya tentang seorang lelaki yang mendapati dirinya basah tetapi dia tidak ingat mimpinya. Rasulullah SAW menjawab: Dia hendaklah mandi. Baginda juga ditanya tentang seorang lelaki yang bermimpi tetapi mendapati dirinya tidak basah. Baginda menjawab: Dia tidak wajib mandi. Kemudian Ummu Sulaim pula bertanya: Jika perempuan bermimpi demikian, adakah dia wajib mandi? Rasulullah SAW menjawab: Ya, kerana perempuan adalah pasangan kepada lelaki.” Riwayat Abu Daud (236)
Berbalik kepada persoalan di atas, seorang perempuan yang beronani hukumnya sama seperti lelaki yang beronani iaitu diwajibkan untuk mandi sekiranya keluar air mani kerana perbuatan onaninya itu, dan sekiranya tidak keluar air mani maka tidak diwajibkan untuk mandi.
Had penentuan keluar air mani (inzal) yang mewajibkan perempuan untuk mandi
Namun, perkara yang mesti diberi perhatian oleh kaum perempuan ialah had penentuan yang menunjukan bahawa telah berlakunya inzal (keluar air mani) yang mewajibkannya untuk mandi. Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi telah menukilkan di dalam kitabnya bahawa :
Maksudnya :“Jika seorang perempuan itu telah keluar air mani sehingga sampai ke farajnya, maka sekiranya dia seorang anak dara (belum pernah berkahwin dan disetubuhi), tidak wajib ke atasnya untuk mandi sehinggalah air mani tersebut keluar daripada farajnya kerana bahagian dalam farajnya mengambil hukum bahagian anggota dalam (bukan zahir dan nampak).
Oleh kerana itu, tidak wajib ke atasnya membersihkan bahagian dalam farajnya ketika beristinja’ dan mandi wajib sepertimana hukum urethra (saluran kencing) zakar. Manakala sekiranya dia seorang thayyib (pernah berkahwin dan disetubuhi), wajib ke atasnya untuk mandi kerana diwajibkan juga ke atasnya untuk membasuh bahagian dalam farajnya ketika beristinja’. Maka ia menyerupai hukum anggota zahir (yang nampak).” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/140)
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff dan al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi bahawa seorang perempuan itu, tidak wajib untuk mandi melainkan setelah keluar air mani. Bagi anak dara (belum pernah berkahwin dan disetubuhi), wajib ke atasnya untuk mandi sekiranya air mani telah keluar dari farajnya (melepasinya).
Manakala bagi thayyib (pernah berkahwin dan disetubuhi) pula, wajib ke atasnya untuk mandi sekiranya air mani tersebut telah sampai di tempat yang wajib untuknya basuh ketika beristinja’ (sekalipun masih belum keluar melepasi farajnya), iaitu bahagian yang terzahir (nampak) ketika duduk atas kedua kakinya (duduk bercangkung) atau sewaktu qada’ hajat (buang air). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 114, Mughni al-Muhtaj, 1/214 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/49) Ini juga adalah merupakan pendapat Imam al-Hattab al-Maliki. (Lihat Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil, 1/307)
Syak atau waswas pada air yang keluar sama ada air mani atau bukan
Terlebih dahulu, kami ingin sebutkan di sini beberapa tanda yang telah disebutkan oleh para ulama yang menunjukan bahawa ia adalah air mani dan wajib ke atas sesiapa yang ada salah satu daripada tanda-tanda ini untuk mandi wajib, tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan. Tanda-tandanya ialah :
Ia keluar dengan rasa lazat dan kepuasan syahwat.
Ia keluar secara memancut.
Mempunyai bau seperti tepung yang diuli apabila ia basah atau berbau hanyir seperti bau putih telur jika ia kering.
Walau bagaimanapun, Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff juga menegaskan bahawa bukanlah tanda air mani itu mesti bewarna putih atau keluarnya dengan diiringi lembiknya zakar atau rasa lemah. Akan tetapi, ia hanyalah perkara yang menunjukan kebiasaannya begitu. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 116)
Oleh itu, sekiranya perempuan tersebut tidak pasti atau waswas terhadap air yang keluar sama ada air mani atau mazi selepas beronani. Juga tidak terdapatnya sebarang rasa atau tanda-tanda lain yang menunjukan bahawa air maninya telah pun keluar. Dalam kes ini, perempuan tersebut diberi pilihan sama ada cenderung untuk menganggapnya sebagai air mani atau air mazi.
Sekiranya dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mani, maka wajib ke atasnya untuk mandi. Dan sekiranya dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mazi, maka wuduknya telah terbatal dan perlu membasuhnya. Akan tetapi, adalah lebih baik (afdhal) untuk dia menghimpunkan kedua-duanya sekali iaitu mandi wajib dan membasuh bahagian yang terkena air tadi. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 116-117) Pilihan yang ketiga ini lebih selamat dan keluar daripada khilaf.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :
Pertama sekali, kami ingin menegaskan bahawa beronani adalah haram dan boleh membawa kepada kesan-kesan sampingan yang negatif sama ada dari sudut emosi, kekuatan tubuh badan, dan pelbagai kesan yang lain.
Seorang perempuan yang beronani diwajibkan ke atasnya untuk mandi wajib sekiranya keluar air mani disebabkan oleh perbuatan onaninya itu. Dan sekiranya tidak keluar air mani maka tidak diwajibkan ke atasnya untuk mandi.
Namun, perkara yang mesti diberi perhatian oleh kaum perempuan ialah had penentuan yang menunjukan bahawa telah berlakunya inzal (keluar air mani) yang mewajibkannya untuk mandi. Sekiranya dia seorang anak dara (belum pernah berkahwin dan disetubuhi), tidak wajib ke atasnya untuk mandi sehinggalah air mani tersebut keluar daripada farajnya (melepasinya).
Manakala jika dia seorang thayyib (pernah berkahwin dan disetubuhi), wajib ke atasnya untuk mandi sekiranya air mani tersebut telah sampai di tempat yang wajib untuknya basuh ketika beristinja’ (sekalipun masih belum keluar melepasi farajnya), iaitu bahagian yang terzahir (nampak) ketika duduk atas kedua kakinya (duduk bercangkung) atau sewaktu qada’ hajat (buang air).
Begitu juga, sekiranya perempuan tersebut tidak pasti atau waswas terhadap air yang keluar sama ada air mani atau air mazi selepas beronani. Juga tidak terdapatnya sebarang rasa atau tanda-tanda lain yang menunjukan bahawa air maninya telah pun keluar. Dalam kes ini, perempuan tersebut diberi pilihan sama ada memilih untuk menganggapnya sebagai air mani atau air mazi. Sekiranya dia memilih untuk menganggapnya sebagai air mani, maka wajib ke atasnya untuk mandi. Dan sekiranya dia memilih untuk menganggapnya sebagai air mazi, maka wuduknya telah terbatal dan perlu membasuhnya. Akan tetapi, adalah lebih baik (afdhal) untuk dia menghimpunkan kedua-duanya sekali iaitu mandi wajib dan membasuh bahagian yang terkena cecair tadi. Pilihan yang ketiga ini lebih selamat dan keluar daripada khilaf.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam mengamalkan kehidupan beragama. Ameen.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
‘Tidak diberi nafkah sebab ada duit sendiri.’ Isteri bekerja untuk ringankan beban suami, bukan tanggung segalanya hingga suami ambil ringan bab nafkah.
Padahal tujuan utama isteri bekerja adalah untuk mambantu suami memandangkan keadaan ekonomi sekarang.
Oleh itu, suami yang baik sebenarnya harus ambil tahu akan tanggunjawab sebenar seorang suami terutamanya melibatkan soal nafkah ini.
Ikuti perkongsian Peguam Syarie, Fahmi Ramli dan hadam baik-baik penjelasannya:
Nafkah isteri bekerja
Beberapa hari yang lalu, ada orang bertanyakan kepada saya, adakah dia boleh mohon fasakh disebabkan suami tak beri nafkah? Alasan suami tak beri nafkah disebabkan isteri tersebut berkerja dan mempunyai pendapatan yang baik.
Ini bukan perkara baru. Memang isu ini paling banyak dihadapi oleh isteri masa kini. Sebabnya, wanita masa kini ramai yang mempunyai kerjaya berbanding zaman dahulu.
Sebab Ada Duit Sendiri
Ada yang kerja tetap, berjawatan dan berpendapatan tinggi di sektor awam mahupun swasta. Ada juga yang bergelar usahawan walaupun berkerja dari rumah.
Walau bagaimana sekalipun, seorang isteri yang sah, selagimana dia tidak disabitkan Nusyuz oleh Mahkamah Syariah, maka dia masih layak untuk menerima nafkah.
Tak kira sama ada isteri tersebut berkerja, pendapatan tinggi atau surirumah sepenuh masa, suami WAJIB menyediakan nafkah yang sewajarnya kepada isteri tersebut.
Cuma, isteri kena tahu, nafkah itu pada asalnya bukan Wang Ringgit, tapi perlu ada wang ringgit bagi menyediakan nafkah.
Isteri Bekerja Untuk Ringankan
Apa itu Nafkah?
Nafkah adalah pembiayaan wajib suami meliputi makan minum, pakaian, tempat tinggal dan perubatan.
Suami wajib sediakan keempat-empat perkara ini selepas sahaja berkahwin dan menerima amanah menjadi seorang suami. Tak wajib untuk sediakan nafkah ini dalam bentuk wang ringgit, tetapi, semua perkara melibatkan kepada keperluan perlukan wang ringgit.
Apakah nafkah wajib bagi isteri berkerja?
Ya, meskipun isteri berkerja, wajib bagi suami sediakan nafkah. Ada juga yang PJJ (Perkahwinan Jarak Jauh) duduk berasingan kerana faktor kerja. Dalam keadaan itu pun suami wajib sediakan nafkah.
Cuma, nafkah itu pada asalnya bukan wang ringgit.
Rumah
Suami wajib sediakan rumah sama ada menyewa atau membeli rumah. Tidaklah disyaratkan rumah itu mestilah besar atau mahal. Ikut kemampuan suami. Dan yang penting kawasan yang selamat dan selesa.
Makan minum
Wajib bagi semua sediakan makan minum kepada isteri. Memasak bukan pada asasnya tanggungjawab isteri, tetapi isteri boleh membantu suami dalam penyediaan makan minum di rumah. Yang penting, bahan memasak tersebut mestilah datang daripada suami itu sendiri.
Pakaian
Wajib dalam Islam seorang suami menyediakan pakaian kepada isteri. Pakaian bukan semata-mata baju sahaja, tetapi meliputi barang-barang kebersihan diri seperti sabun mandi, ubat gigi, tuala wanita dan macam-macam lagi.
Perubatan
Jika tiada sebarang kesakitan tak jadi apa lah. Tapi, mana ada manusia tak diuji dengan sakit kan? Kos rawatan kesihatan seperti ubat-ubatan, melahirkan anak dan apa-apa yang melibatkan kepada kesihatan tubuh badan isteri adalah nafkah wajib seorang suami.
Jika suami ada mengambil insurans kesihatan itu adalah yang terbaik. Tetapi jika tidak ada, suami wajib menanggung kos pembedahan dan sebagainya.
Bagaimana jika kos perbelanjaan ditanggung bersama?
Sebenarnya di zaman ekonomi meleset serta kos harga barang meningkat, adalah baik jika suami isteri berkerjasama dalam pengurusan ekonomi rumahtangga.
Lebih baik kos ditanggung bersama, namun syaratnya, suami tidaklah melupakan yang ini adalah tanggungjawab asas kepada dirinya.
Yang paling penting, jika pendapatan bersama itu terhad, tetapi nak dibazirkan dengan pembelian yang tak patut seperti ‘upgrade’ kereta diluar kemampuan, ‘upgrade’ telefon bimbit, tambah hutang sana sini, ini punca kepada nafkah tak cukup dan sebagainya.
Beban Suami
Bolehkah isteri mohon fasakh jika kebanyakannya ditanggung oleh isteri yang berkerja?
Seorang isteri berhak menuntut fasakh bukan sahaja disebabkan suami gagal sediakan nafkah, bahkan, jika cuai selama lebih 3 bulan juga isteri berhak.
Beza gagal dan cuai adalah, gagal itu tak dapat langsung. Isteri yang tanggung bayaran rumah, belanja rumah, segala bil, pakaian dan apa sahaja keperluan diri.
Manakalah, cuai pula, sebahagian besar ditanggung oleh isteri. Sedikit sahaja sumbangan nafkah suami dalam rumahtangga.
Atau juga, jika suami tidak konsisten menanggung keperluan nafkah selama lebih 3 bulan menurut undang-undang, isteri masih juga berhak menuntut fasakh.
Apa yang terbaik untuk persiapan isteri mengenai nafkah?
Pada saya, yang terbaik adalah seorang suami memasukkan wang ringgit ke dalam akaun isteri mengikut kiraan perbelanjaan isi rumah dan dengan duit tersebut, isteri bantu suami jelaskan segala perbelanjaan.
Selalu yang jadi isu bagi isteri berkerja ini adalah suami tersebut kebanyakan terlupa dengan tanggungjawab memberi nafkah ini pada isteri.
Pada mulanya isteri hanya niat untuk bantu seketika sahaja bagi meringankan beban suami, tetapi lama-kelamaan ia menjadi seperti tanggungjawab isteri pula untuk beli keperluan diri.
Bukan Tanggung Segalanya
Kesimpulan,
Zaman ini, tidak ada masalah jika isteri nak bantu suami mencari pendapatan. Isteri juga mempunyai hutang tersendiri sebelum pernikahan atau mungkin dirinya tak sanggup melihat beban ditanggung suaminya bersendirian.
Jika suami meninggal secara mengejut, tanpa sebarang harta, isteri tersebut akan lebih terbeban untuk membesarkan anak kecil berseorangan tanpa pekerjaan.
Atau mungkin, isteri tersebut terpaksa mencari kerja bagi menjaga suami yang sebelum ini sihat mencari nafkah, tetapi tiba-tiba diuji dengan kesakitan berat.
Isteri bekerja hanya untuk bantu ringankan suami. Tetapi jika tanggungjawab suami itu sedikit demi sedikit ditanggung oleh isteri, hinggakan isteri yang menanggung keseluruhan besar perbelanjaan isi rumah, maka isteri tersebut berhak untuk mengeluarkan dirinya daripada menanggung mudharat terhadap perkahwinan tersebut.
Wallahualam. Semoga perkongsian ini memberikan pengajaran agar suami kekal bertanggungjawab dan isteri pula jangan putus asa untuk bantu ringankan suami agar rumahtangga kekal bahagia.
Amin Ya Rabb.
Kashoorga : Sama ada suami gagal atau cuai sediakan nafkah dalam tempoh lebih tiga bulan, seseorang isteri berhak tuntut fasakh.
Bolehkah memakai tangkal (hiriz) yang mengandungi ayat al quran dan seumpamanya dan tidak mengandungi kata kata, rajah atau angka angka yang tidak difahami maksud engan menggantungkannya di leher untuk tujuan pendinding?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, sebaik-baik perlindungan dan pendinding hendaklah berdoa dan memohon terus kepada Allah SWT. Disamping sentiasa beramal soleh, melakukan apa yang Allah SWT perintahkan dan meninggalkan larangannya.
Sesungguhnya apa jenis makhluk sama ada golongan jin, syaitan, manusia serta alam, tidak boleh memberi kemudharatan kepada diri manusia tanpa izin daripada Allah SWT.
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu al-‘Abbas Abdullah bin Abbad r.a., beliau berkata yang bermaksud:
“Pada suatu hari aku berada di belakang Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda: “Wahai budak! Sesungguhnya aku ingin mengajarkan kepadamu beberapa kalimah: Peliharalah Allah, nescaya Dia akan memeliharamu. Peliharalah Allah, kamu akan mendapatiNya bersamamu.
Apabila kamu meminta sesuatu, maka mintalah daripada Allah. Apabila kamu meminta pertolongan maka mintalah pertolongan daripada Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya jika seluruh manusia berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, mereka sekali-kali tidak akan dapat meberikan manfaat itu kepadamu, kecuali sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu.
Dan sekiranya mereka berhimpun untuk mendatangkan sesuatu bencana ke atasmu, mereka tidak akan dapat mendatangkannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah ke atasmu. Telah diangkat qalam dan telah keringlah lembaran.” (Riwayat al-Tirmizi)
Berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-40 yang bersidang pada 9 Ogos 1996 telah membincangkan Khurafat Dan Azimat Menurut Perspektif Islam, dan muzakarah bersetuju memutuskan garis panduan yang telah disediakan untuk dijadikan panduan kepada orang ramai antaranya:
i. Islam sangat menitik beratkan soal akidah dan syariat. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber yang asal seperti al-Quran, hadith, ijmak dan qias adalah ditolak oleh Islam.
ii. Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung (pendinding) diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu panjauh jin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam.
Isteri baik tapi sayangnya tak menutup aurat, masih mengenakan pakaian menampakkan bentuk badan ataupun enggan bertudung mengikut syariat. Walau sudah dinasihat suami tapi isteri masih jua dengan imej yang sama.
Dilema ini mungkin dihadapi oleh ramai para suami di luar sana. Dalam hal ini adakah suami menanggung dosa isteri yang tidak menutup aurat?
Menjawab permasalahan ramai suami ini, menurut pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun seorang suami yang sudah menasihati isteri sehabis baik untuk menutup aurat TIDAK menanggung dosa isterinya.
Hal ini kerana, beliau sudah menunaikan tanggungjawabnya sebaik mungkin dalam menegur isteri.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٞ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۚ وَإِن تَدۡعُ مُثۡقَلَةٌ إِلَىٰ حِمۡلِهَا لَا يُحۡمَلۡ مِنۡهُ شَيۡءٞ وَلَوۡ كَانَ ذَا قُرۡبَىٰٓۗ
Maksudnya: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.” (Surah Fatir ayat 18)
Dalam pada itu katanya, perihal enggan menutup aurat ini hendaklah ditangani dengan tegas dan mengikut kuasa yang ada pada seorang suami.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka dengan lisannya, jika dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim, hadis sahih)
Suami punyai kuasa mencegah isteri
Merujuk kepada hadis di atas, maka suami adalah golongan yang mempunyai kuasa untuk bertindak mencegah isterinya. Untuk hal ini, boleh kita lihat firman Allah di bawah.
Firman Allah SWT:
وَٱلَّٰتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهۡجُرُوهُنَّ فِي ٱلۡمَضَاجِعِ وَٱضۡرِبُوهُنَّۖ
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).” [An-Nisa’:34]
Tip nasihat isteri tutup aurat
Ustazah Asma’ juga turut memberikan beberapa tip untuk para suami menasihati isteri untuk menutup aurat:
1. Menasihati atau memujuk isteri dalam situasi yang tenang, emosinya stabil. Pilih waktu yang sesuai.
2. Membelikan isteri pakaian yang menepati syariah.
3. Memuji isteri yang sedang mencuba menutup aurat dengan pujian yang menyenangkan hatinya.
4. Berterusan memberi sokongan dan kata-kata semangat pada isteri yang mahu berhijrah dalam penutupan aurat.
5. Membelikan buku-buku mengenai wanita solehah.
6. Sekiranya isteri masih tidak mahu berubah dengan nasihat dan usaha-usaha di atas, maka bolehlah melakukan kaedah yang kedua iaitu memisahkan tempat tidur. Jika tidak juga berhasil, maka dibolehkan memukul isteri (dengan pukulan ringan bagi tujuan mengajarnya).
Dalam Islam seorang isteri dilarang untuk keluar dari rumah tanpa mendapat keizinan daripada suaminya terlebih dahulu.Bagaimanapun timbul persoalan adakah pengecualian dalam larangan itu? Sebagai...