Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Pelawa Neelofa Sertai Misi Di Gaza, Santuni Saudara Seislam

Share

Selepas melalui begitu banyak episod “duka” kerana dianggap melakukan salah laku melanggar Perintah Kawalan Pergerakan yang diguna pakai bagi membendung penularan wabak COVID-19 dan kebanyakan kesnya masih didengari di mahkamah termasuk masih dalam siasatan, terbaru Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mempelawa Neelofa atau nama sebenarnya Neelofa Mohd Noor mengikut misi kemanusiaan di Gaza.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Aktivis Kemanusiaan Mapim, Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery memuat naik status gesaan di dalam Facebooknya untuk Neelofa dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz) menyahut cabaran berkhidmat dalam misi kemanusiaan di ‘ground zero’ selepas ini.

“Ke hadapan Hajah Neelofa, daripada ke penjara, lebih baik ke Gaza,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Ahmad Sani ketika dihubungi berkata, pasangan itu yang kini didesak netizen untuk dikenakan tindakan penjara lebih wajar dihantar berperang khidmat kebaikan di kawasan yang memerlukan seperti Gaza.

Beliau yang juga Ketua Misi Khas WakeUp4Gaza berkata, Neelofa sendiri pernah bekerjasama di belakang tabir bersama Mapim dalam misi kemanusiaan di Syria beberapa tahun lalu.

Selain itu, dia juga terbabit dalam bantuan domestik ketika penularan Covid-19 tahun lepas yang memberikan manfaat kepada ummah dan Islam.

Ketua Aktivis Kemanusiaan Mapim, Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery

“Sebab itu saya kata, daripada masuk penjara, lebih baik santuni dan selami penderitaan saudara kita di Gaza.

“Saya harap Neelofa dan Haris sahut cabaran dan pelawaan saya untuk berperang khidmat di Gaza,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman aktif di 40 negara termasuk yang bergolak dirasakan cukup untuk melatih pelakon itu dan suaminya.

Semalam Neelofa dan suami, Muhammad Haris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Seremban, atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pasangan itu didakwa atas pertuduhan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual nama dan nombor telefon sebelum memasuki premis di Nilai 3, Seremban, Negeri Sembilan.

Published by
almaswa Haji Che Ros