Hubungan antara kita dan ibu bapa merupakan satu ikatan yang cukup suci dan membawa ke akhir hayat. Namun untuk menjaga ibu bapa yang sudah meningkat usia, bukan semua orang boleh lakukan. Ada sahaja alasan yang diberikan sedangkan menjaga kedua ibu bapa itu pahalanya sangat besar sekali.
Antara dilema dihadapi golongan isteri apabila ada suami menggunakan kuasa mutlak sebagai ketua keluarga dalam hal kebajikan dan penjagaan ibu bapa mereka.
Sebahagian suami menggunakan hukum dan prinsip Islam tetapi dengan tafsiran sendiri yang tidak bertepatan nilai agama, sekali gus berlawanan dengan ajaran syarak.
Ada yang beranggapan ibu bapa isteri tidak lagi menjadi keutamaan dalam apa juga keadaan, sebaliknya golongan isteri disuruh taat kepada setiap arahan suami hingga perlu mengenepikan orang tua mereka sendiri.
Pakar motivasi dan pendakwah, Noor Laila Aniza Zakaria, berkata hukum menjaga ibu bapa terutama yang uzur terletak bukan sahaja di bahu anak lelaki, bahkan anak perempuan.
Tanggapan anak perempuan terlepas daripada tanggungjawab menjaga ibu bapa selepas berkahwin tidak benar sama sekali. Setiap anak wajib berbuat baik bukan sahaja terhadap ibu kandung, bahkan mentua, ibu angkat, ibu tiri mahupun sekadar ibu susuan.
Tidak ada sesiapa yang terlepas sekalipun wanita itu sudah berkahwin. Bukan anak lelaki sahaja perlu dipertanggungjawabkan menjaga ibu bapa yang sakit.
Malah kerana tanggapan ‘wajib’ itu, tugasan berkenaan diserahkan pula kepada menantu perempuan untuk menjaganya yang sama sekali tidak benar.
Seandainya ibu bapa kandung isteri uzur atau terlantar sakit dan isteri ingin menjaganya, suami tidak boleh menghalang sebaliknya perlu membantu dalam menyediakan keperluan serta kebajikan mentua.
Apabila perempuan berkahwin, memang isteri dan segala dibawa adalah di bawah tanggungjawab suami termasuk nafkah ibu bapa isteri sekiranya mereka dalam kalangan orang miskin atau memerlukan bantuan perubatan. Nafkah itu perlu ditanggung menantu lelaki mengikut kemampuannya.
Ia menunjukkan keadilan Islam termasuk kepada ibu bapa yang tidak mempunyai anak lelaki. Bayangkan sekiranya anak lelaki sahaja dituntut menjaga ibu bapa, mungkin ramai dalam kalangan wanita yang sudah berkahwin mengabaikan orang tua mereka.
Di sinilah ditunjukkan pembelaan Allah SWT terhadap ibu bapa yang tidak berbelah bahagi dan saksama kerana ia tidak mengira sama ada kewajipan menjaga ibu bapa kandung atau mentua.
Suami yang menghalang isteri menjaga ibu bapanya apatah lagi dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan, ia bermakna golongan itu memerintahkan pasangannya berbuat maksiat.
Maksud berbuat maksiat di sini adalah perbuatan suami memutuskan hubungan ibu bapa dan anak yang hukumnya jelas haram. Malah suami itu sendiri sudah pun berbuat maksiat kerana tidak berbuat baik kepada kedua-dua mentuanya.
Ini turut ditekankan Rasulullah SAW yang menjelaskan antara salah satu dosa besar, selain mensyirikkan Allah SWT adalah bagi orang derhaka terhadap kedua orang tua.
Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kalian mahu aku beritahu mengenai dosa besar?” Sahabat kemudian menjawab: “Kami mahu, wahai Rasulullah SAW.” Rasulullah berkata: “Menyekutukan Allah SWT dan derhaka kepada orang tua.” (HR Bukhari dan Muslim)
Begitu juga dalam situasi suami ingin menjaga ibu bapanya yang sakit, jatuh hukum haram kepada isteri yang tidak membenarkannya. Bagaimanapun, keadaan berbeza bagi menantu perempuan yang tidak diwajibkan menjaga ibu bapa suami yang sedang sakit.
Tanggungjawab menjaga ibu bapa suami yang sakit terletak sepenuhnya kepada tangan suami tetapi boleh berbincang dengan isteri atau jika mampu sediakan pembantu rumah bagi meringankan tugasan isteri.
Mengikut hukum, isteri wajib diberikan upah jika suami ingin pasangan menjaga ibu bapanya yang uzur. Oleh itu masyarakat supaya tidak sesekali bertindak melabelkan menantu perempuan yang menolak menjaga mentua sebagai kejam atau tidak berhati perut kerana ia hukum asas dalam agama.
Amat pelik bagi sikap sesetengah pasangan suami atau isteri yang sengaja tidak mahu menjaga ibu bapa masing-masing.
Hierarki membezakan ibu bapa kandung dan mentua sebenarnya tanpa berasaskan dalil sahih daripada al-Quran dan hadis, sekali gus mendorong kita berpecah-belah, bertelagah, terlalu berkira serta saling cemburu dan meragut sifat kasih-sayang mukmin sebenar.
Apabila diuji menjaga ibu bapa sakit, apa lebih penting adalah melakukan persiapan mental dan emosi dengan rapi. Ibu bapa yang tinggal bersama perlu diutamakan keselesaan mereka dengan menyediakan keperluan sepatutnya termasuk tempat tidur kondusif dan aktiviti harian yang diisi dengan perkara bermanfaat.
Perbuatan mencela, menghamburkan kata kesat atau memperlekehkan ibu bapa atau mentua perlu dielakkan dengan sentiasa mengingati azab Allah SWT kepada setiap hamba-Nya yang derhaka.
Sumber Kredit: Berita Harian