Zalimnya Yahudi ke atas umat Islam di bumi Palestin

Share

Sejarah dunia moden menyaksikan betapa umat Islam di Palestin tidak mendapat pembelaan sewajarnya dari negara kuasa besar dunia. Polisi luar Amerika Syarikat yang seakan menjadi polisi umum dunia, sering kali memihak kepada negara haram Israel. Lihatlah apa yang sedang berlaku di Palestin, terutama di Gaza.

Dalam konflik yang berlaku di antara Gaza dan Israel, mereka menyalahkan Gaza kononnya di atas tindakan Hamas melancarkan roket ke Israel. Tuduhan ini telah dijadikan alasan kuat untuk membenarkan Israel terus menyerang penduduk Gaza kerana alasannya adalah untuk Israel mempertahankan diri. Israel terus melakukan kezaliman dalam serangan terbaru mereka terhadap penduduk Gaza bermula 8 Julai 2014 yang lalu.

Sungguh tidak masuk akal, sebuah negara yang lengkap dengan persenjataan canggih dibenarkan untuk mempertahankan diri dengan menyerang dan mengebom orang lain. Kenapa perlu menyerang untuk mempertahankan diri? Bayangkan dengan segala kelengkapan moden yang serba lengkap dengan pesawat pejuang, kereta kebal, senapang dan bekalan peluru digunakan segalanya untuk memusnahkan Gaza.

Alasannya bukan lagi mempertahankan diri tetapi mahu mencari roket-roket yang dimiliki oleh Hamas dan ingin memusnahkan segala terowong yang terdapat di Gaza. Persis pencarian dan ingin memusnahkan ‘weapon of mass destruction’ (WMD) yang dikatakan dimiliki oleh Saddam Hussein bagi membenarkan Amerika Syarikat dan sekutu kuatnya iaitu Britain atau United Kingdom untuk masuk menjajah negara Iraq. Sehingga ke hari ini, tiada satupun WMD yang ditemui di negara tersebut.

Alasan yang hampir sama sedang digunakan di Gaza sekarang bagi membenarkan tentera Israel melancarkan serangan ke atas umat Islam di Gaza. Daerah kecil yang terkepung itu sudah masyhur di dunia sebagai sebuah penjara yang paling padat di dunia. Pintu sempadan mereka yang bersempadanan dengan Mesir, iaitu Rafah, terus ditutup dan dihalang oleh rejim baru Mesir di bawah pemerintahan al-Sisi. Sempadan darat Gaza yang lain, termasuklah sempadan laut, sudah dikepung oleh Israel semenjak tahun 2007 iaitu selepas Hamas memenangi pilihan raya yang dibuat secara demokratik.

Wajib dihentikan!

Lihatlah betapa kejamnya dunia hari ini terhadap rakyat Palestin di wilayah Gaza ini. Segala hak mereka dinafikan kerana dosa mereka memilih pemimpin secara demokratik. Sedangkan dalam masa yang sama, negara barat inilah juga yang menjaja kempen seluruh dunia untuk mewujudkan sistem pentadbiran yang berasaskan kepada demokrasi. Namun, setelah rakyat Gaza menggunakan ruang pemilihan pemimpin melalui pilihan raya secara demokrasi yang diadakan pada tahun 2006, mereka telah dihukum.

Kezaliman ini wajib dihentikan segera. Umat Islam tidak boleh berdiam diri melihat saudara mereka diserang dan dibom setiap hari di sana. Desakan kepada kuasa besar dunia, sama ada bantahan terus kepada Amerika Syarikat dan Britain atau terus kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mesti dibuat sentiasa. Inilah juga yang dilakukan oleh golongan Yahudi suatu ketika dahulu. Ketika mana golongan Yahudi teruk ditindas di Eropah, terutama di Eropah timur, mereka menggunakan kuasa melobi untuk mendapatkan simpati dunia bagi membela kaum mereka.

Gerakan kuat dari kelompok Yahudi ini terutama dari Pertubuhan Zionis Dunia telah berhasil sehingga mereka berjaya merampas tanah Palestin dan menubuhkan negara Israel untuk golongan Yahudi pada tahun 1948. Pertubuhan Zionis Dunia ini asalnya adalah pertubuhan yang dipelopori oleh golongan sekularis Yahudi, di mana matlamat utama mereka adalah untuk menubuhkan sebuah negara bagi golongan mereka.

Sejak Pertubuhan Zionis Dunia ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1897, mereka telah bekerja keras mendesak kuasa besar dunia pada ketika itu untuk menyokong hasrat mereka. Pemimpin terawal mereka, iaitu Theodor Herzl, telah memperkenalkan satu piagam baru kepada masyarakat Yahudi dan juga masyarakat dunia dengan apa yang dikenali sebagai ‘Der Judenstaat’ (The Jewish State).

Dokumen inilah yang membentuk faham golongan Yahudi untuk membentuk sebuah negara bangsa untuk mereka. Sedang dalam dunia ketika itu, tiada satupun negara yang boleh untuk diasaskan negara bagi golongan Yahudi. Namun, di atas lobi yang berterusan ke atas kerajaan Britain, mereka telah mendapat sokongan yang sangat kuat bagi pembentukan sebuah negara bagi golongan Yahudi. Pada tahun 1917, Britain telah mengeluarkan satu deklarasi yang dikenali sebagai Deklarasi Balfour bagi menyokong tujuan ini. Deklarasi tersebut berbunyi:

His Majesty’s government view with favour the establishment in Palestine of a national home for the Jewish people, and will use their best endeavours to facilitate the achievement of this object, it being clearly understood that nothing shall be done which may prejudice the civil and religious rights of existing non-Jewish communities in Palestine, or the rights and political status enjoyed by Jews in any other country.

Berdasarkan deklarasi ini, jelas menunjukkan bahawa kerajaan Britain telah memberi sokongan penubuhan negara untuk Yahudi di Palestin. Mereka bukan sahaja menyokong tetapi turut memberikan jaminan untuk membantu sehingga tercapainya objektif yang digariskan oleh zionis. Malangnya, dalam banyak tanah jajahan Britain, Palestin yang dipilih untuk diberikan kepada Yahudi. Inilah satu pencabulan yang telah berlaku di mana tanah Palestin yang merupakan milik bangsa Arab dan umat Islam, telah dirampas menggunakan pelbagai cara termasuk kekerasan dan segala instrumen sokongan kuasa besar digunakan demi menjayakan hasrat zionis tersebut.

Rakyat ditindas

Umat Islam Palestin tidak pernah putus asa dalam mengembalikan hak mereka serta mendapatkan kembali tanah Palestin yang telah dirampas oleh zionis bagi menubuhkan negara Israel tersebut. Walaupun belum mencapai kejayaan, mereka terus berusaha menentang golongan Yahudi yang merampas tanah mereka. Dalam hal ini, Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menyatakan bahawa mereka menentang negara Israel bukan kerana mereka berbangsa Yahudi tetapi kerana mereka telah melakukan kezaliman dengan mengambil hak rakyat Palestin lalu dijadikan milik mereka. Jelas di sini bahawa penentangan itu bukanlah disebabkan bangsa, bukan di atas dasar perkauman.

Dalam sejarah Islam yang luas, pernah bangsa Yahudi dan masyarakat Islam hidup bersama, sama ada di Andalus mahupun di Palestin sendiri. Pernah pada zaman Saidina Umar, beliau mengeluarkan satu deklarasi “Jaminan Umar” (al-Uhda al-‘Umariyyah) yang menjamin semua golongan, Muslim dan non-Muslim seperti Kristian dan Yahudi, untuk tetap tinggal dengan selamat di Aelia (Baitul Maqdis) sekiranya mereka memilih untuk berbuat demikian. Sejarah ini berlaku selepas kota tersebut dibuka buat pertama kali oleh orang Islam pada zaman beliau.

Berdasarkan apa yang dilakukan oleh Saidina Umar ini, para sarjana barat seperti Karen Armstrong menyatakan bahawa Saidina Umar mempunyai visi yang jelas terhadap Jerusalem dengan mengamalkan prinsip inklusif ketika mana Islam berkuasa dan mentadbir Palestin. Inilah keadilan Islam yang sangat indah ditunjukkan oleh Saidina Umar. Hak bagi golongan Yahudi untuk berada di Jerusalem dikembalikan oleh beliau setelah pihak Roman menghalang mereka dari memasukinya 500 tahun sebelum itu, iaitu dari tahun 132 Masihi.

Namun, apa yang berlaku pada zaman kini adalah sangat jauh berbeza dengan apa yang pernah berlaku di dalam sejarah Islam tersebut. Apabila golongan Yahudi menguasai Palestin bermula secara rasminya pada tahun 1948, pelbagai kezaliman yang dilakukan mereka terhadap umat Islam. Tiada lagi prinsip keadilan dilaksanakan, malah penindasan demi penindasan terus dilakukan ke atas umat Islam.

Sepatutnya, golongan yang mereka perlu balas dendam ialah golongan Kristian. Ini kerana, golongan Yahudi ini sangat teruk ditindas oleh golongan Kristian, bermula dengan penindasan oleh Roman, sehinggalah pada ketika berlakunya Perang Dunia Kedua dalam zaman moden. Golongan Kristian sentiasa menganggap bahawa mereka lebih mulia daripada golongan Yahudi. Mereka menghina golongan Yahudi dengan pelbagai penghinaan. Malah mereka sanggup membunuh golongan Yahudi secara beramai-ramai dalam peristiwa Holocaust. Apa yang berlaku kini, seakan golongan Kristian ingin menebus dosa yang mereka lakukan tersebut dengan memberi segala sokongan dan bantuan kepada negara Israel.

Umat Islam tidak boleh berdiam diri dengan kezaliman berterusan zionis terhadap umat Islam. Palestin mesti dikembalikan kepada pemiliknya. Keadilan mesti ditegakkan kembali sepertimana yang dilakukan pada zaman Saidina Umar dan pada zaman Salahudin al-Ayyubi. Prinsip ini yang dinilai dan diangkat oleh Karen Armstrong terhadap kepimpinan Islam ketika mentadbir Palestin berbanding apa yang dilakukan oleh Yahudi terhadap umat Islam kini. Beliau tegas menyatakan “no peace and stability without justice”, tiada keharmonian dan kestabilan tanpa keadilan.

Kempen-kempen kesedaran perlu diperkasakan melalui pelbagai kaedah, wadah dan cara yang sesuai. Nescaya suatu hari nanti, Palestin akan dapat dibebaskan seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w di dalam hadis-hadisnya sebagai satu keadaan di mana akan berlakunya “Fath Baitul Maqdis” selepas daripada kewafatan baginda. Dan sabdanya juga: “Akan sentiasa ada golongan yang menegakkan kebenaran, mereka tidak gentar terhadap apa yang menimpa mereka sehinggalah datangnya perintah dari Allah, mereka akan tetap demikian (berjuang). Para sahabat bertanya, di manakah mereka wahai Rasulullah? Baginda menjawab: mereka di Baitul Maqdis dan sekitarnya.” (Ahmad)

INFO:

Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor adalah Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan), Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM). Beliau juga adalah pensyarah di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, APIUM. Mendapat PhD di dalam bidang Islamic Jerusalem Studies, dari University of Aberdeen. Beliau ada menulis kertas kerja mengenai isu-isu Timur Tengah dan terlibat dalam persidangan-persidangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau boleh dihubungi melalui email: m_roslan@um.edu.my.

Published by
wan erni