SOALAN:
Adakah ada dalil, khususnya daripada sejarah Nabi atau sahabat yang jelas berhubung boikot? Ini kerana terdapat pandangan yang mengatakan boikot tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam.
JAWAPAN:
Boikot barangan Yahudi sebenarnya sudah lama dilakukan oleh sahabat Nabi SAW lagi. Seperti yang dimaklumi, ketika umat Islam berhijrah ke Madinah, golongan Yahudi sememangnya memonopoli ekonomi dan pentadbiran Madinah.
Sejajar dengan semangat hijrah, Nabi SAW berusaha mengubah cara hidup bangsa Arab Madinah ketika itu dengan memupuk dalam diri mereka cinta kepada agama. Menerusi cinta agamalah mereka mampu menjadi pentadbir yang baik dan peniaga yang hebat.
Atas kegigihan mereka dalam mengubah nasib, umat Islam di Madinah berjaya melumpuhkan ekonomi dan pentadbiran Yahudi. Segala yang mereka miliki sebelum ini musnah akibat daripada boikot besar-besaran oleh umat Islam.
Tidak cukup sekadar itu saja, anjakan paradigma semakin membuak-buak dalam diri mereka apabila terdapat segolongan sahabat yang pakar dalam bidang perniagaan bersusah payah mendidik umat Islam Madinah berniaga dan sebagainya. Usaha ini secara tidak langsung makin melumpuhkan lagi ekonomi golongan Yahudi.
Antara contoh sahabat Nabi SAW yang berjaya berbuat demikian ialah Abdul Rahman bin Auf. Ketika beliau sampai di Madinah, pelbagai teknik dilakukan bagi tujuan menandingi industri perdagangan unta yang sebelum ini dimonopoli bangsa Yahudi.
Selepas usaha keras, beliau berjaya menambat hati masyarakat Madinah dan antarabangsa untuk membeli unta daripadanya. Keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila umat Islam di Madinah turut memboikot usahawan Yahudi dalam semua sektor. Rentetan daripada keadaan itu, bangsa Yahudi terpaksa keluar dari Madinah sedikit demi sedikit.
Berhubung isu hukum memboikot sama ada wajib atau tidak, ia mestilah kembali kepada keadaan dan suasana. Boikot menjadi wajib apabila produk berkenaan adalah barangan yang mampu kita tinggalkan tanpa mendatang kemudaratan jika tidak mengambilnya.
Tetapi jika produk berkenaan adalah keperluan asas harian yang tidak dapat dihindari oleh umat Islam, maka adalah tidak salah bagi umat Islam untuk membelinya selagi mana tiada yang setanding dengannya. Apa yang penting di sini ialah memboikot dengan ilmu dan akhlak bukan memboikot secara terburu-buru tanpa berfikir panjang hingga mendatangkan kemudaratan yang tidak sepatutnya.
Sumber: Berita Harian
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI