Korbankan kepentingan diri sendiri untuk ayah. ‘Inilah peluang saya kejar pahala.’ Begitulah kasih seorang wanita yang sanggup lakukan apa saja demi berkhidmat dan menjaga orang tuanya.
Peluang menjaga orang tua yang sakit seharusnya menjadi rebutan anak-anak mengejar pahala. Dalam sebuh hadis yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a:
Bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah, Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai rasulullah? Baginda menjawab: Seseoang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau seorang daripada mereka sudah tua, namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).
Artikel Berkaitan:
Demi perasaan kasih yang tidak berbelah-bahagi kepada bapanya, wanita ini sanggup memandu 175 kilometer (km) setiap minggu dari Segamat, Johor Bahru ke Nilai, Negeri Sembilan untuk menjaga insan kesayangannya.
Farah Nurul Fatimah Rezemi, 28, yang bekerja sebagai juruterapi spa di daerah ini sudah melakukan rutin itu sejak tiga tahun lalu selepas bapanya, Rezemi Budin, 64, diserang angin ahmar.
Menurutnya, dia bergilir menjaga Rezemi yang tidak boleh menguruskan diri, tidak mampu berjalan dan pernah menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala sejak 2017.
“Adik bongsu, (Kamil, 27) yang juga autism menemani ayah dan emak (Talhah Palil, 64) di rumah tetapi kami adik-beradik lain akan bergilir-gilir temankan ayah menjalani pemeriksaan dan setiap hujung minggu kakak akan jaga ayah, manakala saya akan pulang pada hari biasa untuk temankan mereka pula.
“Selain itu, Kamil juga berstatus orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran turut perlu menjalani pemeriksaan susulan jadi kami juga akan bergilir-gilir bawa dia ke hospital,” katanya ketika dihubungi.
Biarpun terpaksa berulang alik setiap minggu dan menanggung kos perjalanan ketika kos sara hidup meningkat ketika ini, Farah Nurul Fatimah tidak menganggapnya satu beban, asalkan dapat bersama insan tersayang.
“Wang boleh dicari dan sementara masih muda serta ada peluang, biarlah ‘healing’ bersama ayah dan keluarga. Keadaan di rumah sangat perlukan bantuan saya, jadi penat itu kita tolak tepi.
“Kalau boleh memang mahu duduk bersama ayah tetapi buat masa ini ada kekangan dan rezeki masih berada di negeri orang, namun apa yang penting saya cuba melakukan yang terbaik bagi mendapat reda ibu bapa dan Allah SWT,” katanya.
Menurut Farah Nurul Fatimah, dia pernah mengambil cuti tanpa gaji sepanjang Ramadan dan Aidilfitri lalu sekali gus berpeluang merakam video kenangan bersama bapanya, namun mengakui menjaga warga emas sakit tidak mudah.
“Saya ada kenangan paling ‘best’ apabila ayah muntah dalam kereta tetapi itu bukan masalah kerana kenderaan boleh dicuci asalkan ayah selesa.
“Ayah pernah suruh hantarnya ke rumah orang tua sebab rasa membebankan, tetapi kami tak sanggup dan akan jaganya sampai bila-bila.
“Ini adalah tanggungjawab kami lima beradik sebagai anaknya dan tidak terbalas jasa ayah.
“Jaga orang sakit memang perlu sabar dan sejak sakit ayah sensitif tetapi dia selalu cakap terima kasih sebab jaga dan bawanya berjalan. Kami anggap ini peluang untuk mengejar pahala sebagai bekalan di sana nanti,” katanya.
Dia yang masih bujang tidak memikirkan soal jodoh buat masa ini kerana mahu memberi perhatian kepada bapa dan adiknya, namun suka berkongsi mengenai bapanya di media sosial sebagai kenangan serta terapi dirinya.
“Saya suka ambil gambar dan video untuk diabadikan sebagai kenangan, malah ada pengikut yang berkongsi pengalaman sama cakap video saya buat mereka rindu pada orang tua mereka selain menulis juga terapi untuk saya,” katanya.
Baca Di Sini:
Syukur Kasih Sayang Berbalas. ‘Lelaki Ini Sanggup Berhenti Kerja Jaga Mak, Ayah Angkat.’
Kashoorga: Semoga urusan Farah Nurul Fatimah dipermudahkan Allah di dunia dan akhirat.
Sumber: myMetro
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.