Sebahagian pengeluar produk kosmetik mesra wuduk mendefinisikan bahawa produk mesra wuduk sebagai produk yang mudah untuk ditanggalkan. Caranya ialah hanya membasuh muka dengan air sahaja serta tidak perlu kepada sabun khusus untuk menghilangkan solekan di muka bagi tujuan untuk mengambil wuduk.
Adapun kebanyakan produk kosmetik yang tidak mesra wuduk adalah sebaliknya iaitu susah untuk ditanggalkan dan memerlukan sabun khusus untuk ditanggalkan. Dan ada jenis produk yang bukan mesra wuduk teramat susah untuk ditanggalkan sehingga perlu dibasuh berkali-kali untuk menghilangkan solekan di muka. Sebahagian lain pula hanya menggunakan kapas dan peluntur solekan.
Berdasarkan kajian dan pemerhatian, dapatlah dirumuskan definisi produk kosmetik mesra wuduk adalah produk mudah dihilangkan agar tidak menghalang air wuduk sampai ke kulit.
Walaupun begitu produk yang diiktiraf sebagai mesra wuduk oleh syarikat berkenaan tidaklah menjamin ketelapan air wuduk untuk sampai ke kulit. Ini memerlukan perbincangan yang khusus.
KETELAPAN AIR
Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ berkata: “Apabila adanya di atas sebahagian anggota lilin atau tepung atau inai dan seumpama dengannya. Yang mana ianya menghalang air ke anggota maka tidak sah taharahnya, sama ada banyak atau sedikit. Jika berbaki di atas tangan dan selainnya kesan inai dan warnanya tanpa ‘ainnya (zatnya) atau kesan lemak cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota dan air juga mengalir di atasnya akan tetapi ianya tidak melekat (iaitu air tidak melekat pada kesan minyak di atas tangan). Maka sah taharahnya.” Lihat al-Majmu’ (1/467).
Begitu juga yang disebut di dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj (1/187) di dalam bab wuduk. Dan inilah pandangan jumhur ulama kecuali Mazhab Hanafi.
Jumhur ulama menetapkan syarat sah wuduk ialah empat kecuali mazhab Hanafi, antara salah satu syaratnya ialah syaratnya:
Menghilangkan apa-apa yang menghalang air daripada menyentuhi anggota wuduk. Iaitu hendaklah tidak ada di atas anggota yang wajib wuduk sesuatu yang menghalang daripada sampainya air menyentuhi kulit seperti lilin, lemak, dan sebagainya. Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/329).
Fatwa Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi berkaitan dengan soalan hukum menghilangkan cat di kuku ketika berwuduk.
Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi ditanya: “Adakah wajib bagi saya menghilangkan cat kuku ketika berwuduk? Maka Syeikh menjawab: “Ya! Sesungguhnya engkau telah pun menjawab dengan sendirinya! Selagi mana engkau mengatakan ia adalah cat yang menghalang air daripada sampai ke kulit maka wajib engkau menghilangkan ketika mengangkat hadas kecil atau besar. Adapun inai tidak mengapa. Wallahu’alam.” Lihat Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah (198).
Maka berdasarkan pandangan-pandangan para ulama di atas maka dapatlah disimpulkan bahawa sekiranya produk kosmetik mesra wuduk tersebut merupakan satu produk yang menyebabkan air wuduk tidak menyentuhi kulit dan mengalir maka tidak sah wuduknya. Adapun jika produk tersebut ialah produk yang mudah dihilangkan zatnya pada mana-mana anggota wuduk dan air dapat menyentuhi kulit serta mengalir maka sah wuduknya. Walaupun ianya meninggalkan sedikit kesan dan warnanya.
SEJAUH MANAKAH PRODUK YANG DIIKTIRAF HALAL DAPAT MENJAMIN KESEMPURNAAN IBADAH?
Jika betul dan sahih bahawa sekiranya produk kosmetik mesra wuduk yang diiktiraf halal tersebut tidak menganggu proses ibadat dan tidak menyusahkan jalan ke arah perlaksanaan ibadat maka ianya sama sekali tidak memberi kesan kepada ibadat. Bahkan jika orang yang memakai produk tersebut dengan tujuan untuk bercantik-cantik dalam menunaikan beribadat dan merasa selesa dengan pemakaian produk tersebut sepertimana galakan agama yang menyuruh berhias untuk menunaikan solat dengan memakai pakaian yang cantik, bersih, suci serta menyelesakan tubuh badan maka ianya adalah perkara yang terpuji. Adapun sekiranya pemakaian produk tersebut menjadikan keadaan tubuh tidak selesa khususnya sehingga membawa kepada terjejasnya hal ehwal solat maka ini adalah kesan yang negatif kepada kesempurnaan ibadat.
Justeru itu, jika ianya diiktiraf halal maka secara asasnya ianya adalah baik. Persoalan berkenaan produk tersebut dan kaitannya dengan kesempurnaan ibadat, ianya lebih kepada keadaan dan kondisi orang yang memakainya.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri