Selain busana indah digayakan Raja Sehari yang menjadi bualan, majlis memotong kek perkahwinan juga jadi salah satu momen manis untuk dikenang.
Ada pelbagai rekaan yang cuba dihasilkan untuk kek di majlis perkahwinan dan paling mendapat perhatian adalah kek tergantung atau Chandelier Cake di majlis resepsi pasangan Zahirah Mac Wilson dan Aiman Hakim Redza.
Kek yang dipotong oleh pasangan ini nyata jadi bualan sebab julung-julung kali melihat rekaan sebegini terutama di majlis perkahwinan.
Kek gantung atau chandelier cake ini direka oleh Lily Lola Cakes dan pemiliknya Lily Osman 28 tahun, berkata dia selama tiga tahun menyimpan idea untuk membuat kek seperti ini sebelum merealisasikan idea berkenaan.
Menurutnya, proses pembuatan kek tersebut tidaklah terlalu sukar namun apa yang mencabar ialah proses untuk menggantung kek setinggi lapan tingkat itu.
“Idea nak buat kek gantung ini sudah difikirkan sejak tiga tahun lalu, cuma kami mencari majlis yang sesuai. Rezeki saya dan Zahirah apabila kebetulan semua konsep ini kena dengan majlis mereka, jadi kira realisasikan idea itu.
“Kek itu dihasilkan dalam masa seminggu tapi nak menggantung agak sukar dan mengambil masa lebih sejam.
“Kek ini perlu dipastikan benar-benar kukuh supaya tak jatuh kerana graviti dan memerlukan beberapa orang untuk menggantungnya.
“Macam mana teknik buat suaya kek kukuh dan tidak jatih itu ada caranya. Apa pun mujurlan pihak perancang perkahwinan Mahligai Creative banyak membantu dan memudahkan proses persiapan di dewan tersebut.
“Apabila kek ini viral secara tidak langsung dapat membuka mata orang ramai mengenai bakat orang malaysia,” ujarnya kepada Mstar Online yang memberitahu setiap kek memiliki harga berbeza mengikut kepada bajet dan permintaan pelanggan.
Ternyata persembahan kek bertingkat atau Chandelier Cake ini memukau bukan sahaja mereka yang hadir di majlis resepsi berkenaan tetapi juga warganet. Masing-masing terpukau dengan keindahan ciptaan kek berkenaan.