Kuat beribadah, solat tak tinggal tentu masuk syurga! Belum tentu, kerana syurga dan neraka itu ketentuan Allah SWT.
Dalam pada itu ada sebuah hadis sahih yang menerangkan bahawa amalan seseorang itu juga tidaklah boleh memasukkan dirinya ke dalam syurga. Hadis tersebut datang dari Abi Hurairah ra. Bahawasanya Rasulullah saw bersabda:
لَنْ يُدْخِلَ أَحَدًا عَمَلُهُ الْجَنَّةَ قَالُوا وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ لَا وَلَا أَنَا إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِي اللَّهُ بِفَضْلٍ وَرَحْمَةٍ
“Amalan seseorang itu tidak akan mampu memasukkannya ke dalam syurga.” Para sahabat bertanya: “Tidak juga anda, wahai Rasulullah?” Nabi menjawab: “Tidak juga aku, akan tetapi Allah telah melimpahkan keutamaan dan rahmat-Nya kepadaku.” [HR Al Bukhari (5673) dan Muslim (2816)]
Hadis di atas menerangkan bahwa amalan seseorang itu bukanlah penyebab mutlak bagi seseorang untuk masuk ke dalam syurga. Bahkan termasuk amalan Rasulullah saw sendiri bukanlah itu yang menyebabkan baginda masuk syurga.
Hanya saja Allah telah menjamin baginda pasti akan masuk syurga berkat kemurahan dan rahmat dari Allah SWT.
Rasulullah bersabda yang bermaksud :
‘Tidaklah amal perbuatan itu menyelamatkan salah seorang diantara kamu sekalian’Mereka bertanya”walaupun pada engkau, wahai Rasul?’
‘Baginda menjawab,”Walaupun aku, tapi aku diberi limpahan oleh Allah limpahan rahmatNya. Maka dari itu berbuat baiklah, dekatkan diri kamu sekalian kepadaNya,beribadahlah di waktu siang dan sebagian di waktu malam. Sederhanakanlah( dalam ibadah), jangan terlalu banyak,dan juga jangan terlalu sedikit, supaya kalian mencapai redhaNya. (Riwayat Bukhari dan Ahmad).
Walaupun seseorang itu rajin beribadah sehingga orang lain menyangka dirinya adalah ahli syurga, tapi jika akhlaknya buruk dan suka menyakiti sesama makhluk akhirnya akan menjadi penghuni neraka.
Ia sebagaimana kisah Rasulullah saw dan sahabatnya ini. Suatu hari, seperti biasa Rasulullah saw dan para sahabat berkumpul di masjid. Di depan masjid itu ada sebuah rumah, di rumah itu tinggal seorang wanita yang dikenali sebagai ahli ibadah orang sekitar tempat tinggalnya, sebut saja `si fulanah`.
Ketika si fulanah keluar rumah hendak melaksanakan solat berjemaah di masjid, para sahabat memuji-mujinya dan ada yang berkata, `tentulah si fulanah itu ahli syurga, kerana dia selalu puasa di siang hari dan solat di waktu malam. Kemudian Rasulullah saw beredar dari tempat duduknya dan menjawab,
`La! Hiya fin naar.. Hiya fin naar.. Tidak! Dia ahli neraka.. Dia ahli neraka..`
Para sahabat bertanya-tanya, `kenapa?` Sebab mulutnya selalu menyakiti orang lain. Dia suka mengganggu tetangganya dengan ucapannya. Seluruh amal ibadahnya hancur, kerana akhlak yang buruk. Dia menjadi ahli neraka kerana ibadahnya tidak mampu menjadi motivasi baginya untuk berakhlak yang baik.
“Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata perkataan yang baik atau diam.` (HR. Bukhari no. 6018)
Hadis dari Abdillah bin Amr bin al-’Ash ra dari Nabi s.a.w., sabdanya: “Orang Islam ialah orang yang semua orang Islam lainnya selamat dari kejahatan lidah dan kejahatan tangannya” (Muttafaq ‘alaih)
Seorang yang kuat beribadah siang dan malam masih ke neraka dengan sebab kejahatan mulutnya sahaja dan dosanya terhadap jiran-jirannya sahaja dan bagaimana pula sekiranya bukan sahaja mulut tetapi kaki tangannya turut melakukan dosa dan memudaratkan mahkluk seluruh kampung atau seluruh negara.
Mudah-mudahan Allah SWT ampunkan dosa kita semua.
Sumber: Ustaz Azhar Idrus