Setiap insan yang dilahirkan ke dunia ini ada yang sempurna dan tidak. Namun insan yang dilahirkan kurang sempurna itu tidak pernah menganggap kekurangan itu sebagai alasan untuk berdikari menguruskan diri sendiri.
Seperti perkongsian Pn. Norfarrah Syahirah Shaari yang memberitahu bagaimana dia juga mampu memandu kereta seperti insan normal lain.
Menurutnya ketika diundang menjadi tetamu bagi pengisian Slot Inspirasi Program Pasca PT3 2019 anjuran Panitia ASk sekolah SMK TIWA, dia membeli kereta menggunakan duit hasil titik peluh sendiri sepanjang bekerja.
“Sebelum itu ada bertanya seorang kawan mengenainya dan satu hari saya kemudiannya dibukakan pintu hati untuk mula beli kereta.
“Saya kemudiannya ubah suai menjadi kenderaan sesuai untuk orang OKU dan belajar naik kereta. Dua minggu je saya belajar menaiki kereta menggunakan kaki.
“Perasaan takut itu memang ada maklumlah apabila berada di atas jalan raya, macam-macam risiko boleh berlaku.
“Tapi saya kuatkan semangat kalau saya tak buat memang saya tak mampu akan lakukannya seperti orang normal lakukan,” katanya yang juga turut menunjukkan caranya untuk bermekap, memakai tudung, menulis, minum melipat kain di majlis berkenaan.
Pn Norfarrah Syahirah Shaari yang merupakan Ikon Inspirasi GPMS Daerah Bagan Datoh dan video bagaimana dia menunjukkan cara-cara memakai tudung menggunakan kedua-dua belah kaki kerana tidak mempunyai tangan telah jadi viral di media sosial.
Video yang mencetuskan viral ini telah diambil daripada laman facebook Tcher Collection TC yang dimuat naik Oleh Noraznira Ismail yang berkongsi mengenai aktiviti Pengisian Slot Inspirasi Program Pasca PT3 2019 anjuran Panitia ASk sekolah SMK TIWA.
Syahirah adalah merupakan Ikon Inspirasi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang bertugas sebagai salah seorang staf di Kolej Komuniti Teluk Intan Perak.
Biarpun kekurangan fizikal, tidak mempunyai kedua-dua belah tangan, namun langsung tidak menghalang dia mempunyai kerjaya yang bagus serta turut boleh memandu kenderaan tanpa pertolongan sesiapa.
Jadi tidak hairanlan pihak sekolah SMK Toh Indera Wangsa Ahmad, Batu Gajah telah menjemputnya untuk menyampaikan perkongsian kisah hidup yang menarik buat pelajar-pelajar pasca PT3 ini.
Malah perkongsian ini dapat dijadikan motivasi kepada pelajar supaya tidak mudah putus asa dalam menjalani kehidupan sebenar di masa akan datang.
Rata-rata netizen yang turut melihat perkongsian video ini memberi komen positif. Mereka kagum dengan semangat ditunjukkan wanita ini dan merasakan diri sangat kerdil di sisi Allah.