Kubur Bukan Tempat Cari Populariti & Sensasi, Fedtri Yahya Kongsi 6 Adab Perlu Anak Muda Tahu

Share

Isu seorang youtuber menjadikan tanah perkuburan untuk contentnya semasa pengkebumian allahyarhamah Siti Sarah mendapat perhatian masyarakat baru ini. Walau telah memadam video berkenaan selepas menerima kejian dari orang ramai, ia dilihat tidak sesuai dengan situasi sedih dialami oleh individu yang diuji dengan kesedihan.

Dalam hal ini, pengacara Ahmad Fedtri Yahya telah berkongsi 6 adab kalau ke tanah perkuburan yang perlu anak muda tahu di ignya,@fedtriyahya.

Hormatilah perkuburan. Kubur bukan tempat mencipta sensasi dan populariti…

Sebagai umat Islam kita hendaklah mematuhi dan menjaga adab-adab ketika menziarahi kubur. Antaranya:

Pertama:
Sebelum menziarahi kubur, disunatkan kita berwudhu, memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat.

Kedua: Apabila kita sampai ke tanah perkuburan, disunatkan kita memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur dengan iringan doa, antaranya:

Assalamualaikum sekalian saudara-saudara penghuni kubur! Mudah-mudahan Allah melimpahkan kesejahteraan kepada kamu saudara-saudara sekalian. Sesungguhnya kami In sya Allah akan menyusuli kamu, kami memohon kepada Allah untuk kita semua yang masih hidup dan yang sudah kembali ke rahmatullah akan beroleh kesejahteraan.

Ketiga: Tidak berbual dengan percakapan kosong yang tidak berfaedah semasa berada di tanah perkuburan.

Keempat: Haram melakukan perkara khurafat yang menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah dengan harapan semoga memperolehi berkat dan sebagainya.

Kelima: Sunat duduk menghadap ke arah mukanya serta membaca ayat suci Al-Qur’an seperti membaca surah Al-Ikhlas atau membaca surah Yaasin dan menghadiahkan pahala kepada ahli kubur tersebut.

Keenam: Sunat menghadap kiblat ketika berdoa semoga Allah mengampuni dosa dan melimpahkan rahmat ke atas roh ahli kubur. Sumber : IG @fedtriyahya

Published by
Almaswa Che Ros