‘Kurang Peka Cara Lupuskan Al-Quran, Tergamak Buang Ke Longkang.’ Kitab Suci Sepatutnya Dijunjung

Share

‘Kurang peka cara lupuskan Al-Quran, tergamak buang ke longkang.’ Kitab suci sepatutnya dijunjung dan dimartabatkan, bukannya sesuka hati buang merata-rata.

Ternyata, terdapat sesetengah pihak masih kurang peka soal melupuskan naskhah al-Quran dengan betul apabila memilih longkang sebagai tempat pembuangan kitab suci itu.

Artikel Berkaitan:

Tular Kubur Suami Isteri Mengajar Al Quran Bau Harum Semerbak Ketika Kerja Alih Kubur Projek Lebuhraya Segamat


Kurang Peka

Hujung minggu lalu, seluruh umat Islam di Malaysia gempar apabila tular sebuah video di media sosial memperlihatkan sebanyak 13 naskhah al-Quran ditemui di dalam longkang di Taman Sri Murni Jinjang, Kuala Lumpur berhampiran Pasar Borong Selayang.

Jelas kelihatan, kesemua kitab tersebut diletakkan di dalam sebuah beg biru dan ditemui seorang pengunjung wanita di kawasan riadah di situ.’


Setelah diteliti beg berkenaan, terdapat salah satu al-Quran dalam keadaan terbuka menyebabkan wanita berkenaan meminta bantuan orang awam untuk mengutip kesemua al-Quran tersebut.

Lantas kesemua Al-Quran tersebut telah disimpan di Masjid Annas Kampung Selayang Lama.


Cara Lupuskan Al-Quran

Sehingga kini, tidak pasti apa motif sebenar pelaku, sama ada dengan niat melupuskan atau sengaja mencetuskan provokasi, namun pihak polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian itu.

Hasil siasatan awal mendapati sebanyak 13 naskhah al-Quran yang dijumpai di dalam longkang itu sengaja dibuang di situ oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan kitab suci dengan tujuan untuk mengaibkan agama.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat ke atas keharmonian agama.

Dalam masa yang sama, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kebimbangan awam.

Tergamak Buang Ke Longkang

Kejadian ini mendapat perhatian Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu penghinaan terhadap kitab suci dan telah mencetuskan kemarahan umat Islam.

Menurutnya, al-Quran adalah sebuah kitab suci yang diwahyukan oleh ALLAH SWT ke atas Rasul dan Nabi-Nya untuk dibaca, difahami serta dijadikan panduan hidup oleh setiap umat Islam.

Katanya, mencampakkan al-Quran ke tempat sedemikian merupakan satu penghinaan yang tidak dapat diterima walau atas apa alasan sekali pun. Ujar beliau, menghina al-Quran dengan sengaja boleh menyebabkan seseorang murtad dan wajib bertaubat.

Kitab Suci Sepatutnya Dijunjung

Isu al-Quran ini sensitif kerana martabatnya begitu tinggi. Orang dulu-dulu mengajar kita meletakkan kitab suci ini di tempat paling tinggi, biasanya di atas almari dan tidak boleh dilangkah-langkah apatah lagi dibuang dalam longkang.

Cara orang dulu-dulu juga, tidak suka-suka buang al-Quran lama. Mereka akan simpan walaupun keadaannya sudah lusuh seperti kertas pembalut belacan.

Berbeza dengan orang sekarang, akses mendapatkan al-Quran semakin mudah. Boleh diperoleh pada harga murah adalah antara faktor sikap menghargainya kian kurang.


Cara Terbaik

Begitupun, terdapat beberapa cara untuk melupuskan al-Quran antaranya merendam dalam air sehingga semua tulisannya hilang. Kaedah ini agak susah dan mengambil masa.

Cara kedua adalah dengan menanam al-Quran di tempat bukan laluan utama supaya tidak dipijak orang seperti di pergunungan.

Kini, seiring dengan perkembangan semasa, institusi agama seperi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sendiri telah menyediakan pusat pelupusan al-Quran yang sistematik.

Pusat Pelupusan

Ia dikenali sebagai Pusat Pemuliaan al-Quran Darul Kalam yang beroperasi di Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves, Selangor yang berupaya melupuskan 150 kilogram naskhah al-Quran yang rosak dalam masa sehari.

Setelah dilupuskan melalui proses pembakaran, abu al-Quran ini akan dihanyutkan di tengah laut atau sungai.

Carian di internet turut menemui terdapat tiga lagi pusat pelupusan al-Quran di Lembah Klang iaitu di Cheras, Rawang dan Kuang.

Baca Di Sini:

“Makin Lancar Baca Al-Quran, Yasin & Jadi Bilal.’ Isma Halil Fokus Amal Ibadat Dalam Penjara

Sebaiknya al-Quran yang tidak mahu lagi digunakan diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan. Jika memang sudah tidak boleh digunakan, orang awam boleh menggunakan kemudahan tersebut untuk melupuskannya dengan adab yang betul.

Rasulullah SAW bersabda, bacalah al-Quran maka ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat bagi orang yang membacanya. (Hadis Riwayat Muslim).

Kashoorga: Sebaiknya sebagai umat Islam, kita martabatkan kitab suci al-Quran, bukannya membuang sesuka hati.

Sumber : Sinar Harian

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Published by
Syazwani Mehat