Landasan Kashoorga: Tazkirah On The Go, raikan anak yatim & sampaikan ilmu dalam medium berbeza. Ramadan adalah bulan barakah yang Allah berikan kepada hambanya. Seluruh umat Islam berpeluang mendapatkan kebaikan-kebaikan yang dijanjikan Allah sepanjang bulan ini.
Hikmah pada bulan Ramadan sangat besar kerana ianya bulan yang sering ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam untuk meningkatkan ibadah kepada Allah Taala.
Meneruskan kesinambungan segmen Tazkirah Ramadan Kashoorga yang telah diadakan setiap tahun selama empat tahun, Landasan Kashoorga memilih konsep ‘Event On Ground’ bagi tahun 2023. Soal jawab agama berkaitan bulan Ramadan antara topik yang diketengahkan.
Landasan Kashoorga: Tazkirah On The Go yang dibawakan oleh portal Islamik Kashoorga dari Nu Ideaktiv Sdn Bhd dengan Kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Jika kebiasaan tazkirah diadakan di masjid dan surau tapi kali ini kami bawakan ke Stesen Sentral Kuala Lumpur sebagai kelainan demi memberi pengisian bermanfaat buat orang ramai walaupun dalam kesibukan mengejar masa dalam perjalanan.
Selain itu, program Landasan Kashoorga juga adalah salah satu aktiviti Kashoorga untuk mengimarahkan bulan Ramadan dengan perkongsian ilmu yang harapnya dapat memberi manfaat buat semua.
Majlis diserikan dengan dua slot tazkirah. Tazkirah pertama bertajuk Meraih Pahala Ramadan: Ibadah On The Go akan disampaikan oleh Ustaz Rahim Azhari yang merupakan pendakwah bebas dan juga speaker motivasi yang aktif berkongsi ilmunya baik di platform media sosial dan juga majlis sekitar Lembah Klang.
Manakala untuk slot tazkirah kedua, ‘Keberkatan Ramadan’ disampaikan oleh Ustaz Adnin Roslan. Ustaz ini mungkin tidak asing lagi bagi yang biasa melayari TikTok.
Beliau yang juga penulis buku Tarbiah Sentap ini selalu berkongsi video menjawab pelbagai kemusykilan agama dengan cara yang santai namun menusuk ke jiwa.
Dalam majlis yang sama, Kashoorga turut meraikan anak-anak yatim sementara menunggu waktu berbuka. Encik Syamil dari Ideaktiv dan Encik Mohd Taha dari KTMB mengambil kesempatan menyantuni anak-anak dari Pusat Jagaan Cahaya Kasih dengan penyerahan duit raya dan cenderahati untuk mereka.
Tetamu kehormat juga turut meluangkan masa bergerak ke platform EtS untuk acara agihan cenderati kepada pengujung di sekitar platform dan juga di dalam train.
Terima kasih juga kepada penaja-penaja lain seperti Muas Mo Event Stylist, Kedai Ayamas, McDonalds, Pusat Pakaian Hari-Hari, Gula Cakery, Ryns Avenue, Icahfa, Yeo’s serta My Kitchen Partners kerana kesudian berkongsi masa, tenaga dan rezeki untuk memeriahkan majlis kali ini.