Bisnes

Lapan Aktiviti Yang Dilarang Dalam Perniagaan, Jangan Asal Fikir Keuntungan Semata

Share

Dalam Islam perniagaan dianggap sebagai satu aktiviti yang sangat mulia. Islam sangat menggalakkan aktiviti perniagaan. Banyak ayat dan hadis yang mengalakkan dan menyokong aktiviti perniagaan. Perniagaan juga dianggap sebagai punca rezeki yang paling banyak. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam satu hadis bermaksud: “9/10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Bagi mereka yang melaksanakan aktiviti peniaga dengan amanah, mereka turut dijanjikan balasan syurga bersama para nabi, orang soleh dan syuhada’. Namun demikian, sekiranya ia dilakukan luar dari batasan syariat Islam maka ianya tidak lagi dianggap ibadat tetapi tetapi aktiviti yang boleh mendatangkan padah kebinasaan baik di dunia dan akhirat.

Sungguhpun aktiviti perniagaan dianjur dan digalakkan dalam Islam, ia tidak bermakna manusia bebas menentukan tatacara perniagaan tanpa ada prasyarat yang mesti dituruti. Bagi menjamin kemaslahatan manusia terjamin dan terpelihara, Islam telah mengharamkan beberapa perkara dalam aktiviti pernigaan.

Antara perkara yang dilarang dalam aktiviti perniagaan ialah:

1. Riba.

Riba merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam. Orang yang menyatakan riba adalah halal akan menjadi kufur dan terkeluar dari Islam, kerana riba adalah salah satu dari dosa besar yang wajib dielakkan oleh seorang muslim yang disebutkan secara jelas dalam al-quran dan sunnah tentang pengharamannya.

Dimaksudkan dengan riba ialah sebarang tambahan dalam barangan tertentu (ribawi) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh. Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, amalan riba hendaklah dielakkan sepenuhnya. Peniaga yang baik dan diredhai Allah SWT ialah peniaga yang mampu berniaga dengan berpandukan peruntukan syarak, bebas dari sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat pelaburan dan seumpamanya.

2. Memeras ugut dan mengambil harta dengan cara yang batil

Islam juga mengharamkan perbuatan memeras ugut serta tindakan megambil harta orang lain dengan cara yang batil (salah). Megambil harta orang lain dengan cara yang batil dan salah ini boleh berlaku dalam pelbagai cara dan bentuk seumpama mencuri, merompak, menipu, memperdaya, judi dan seumpamanya. Sekiranya seseorang berkeinginan kepada barangan dan sesuatu yang berharga pada milikan orang lain maka ia boleh mendapatkannya melalui jalan perniagaan yang bebas dari sebarang unsur yang dianggap sebagai cara yang salah dan batil.

3. Menipu dan bersumpah bagi melariskan barangan

Dalam keghairahan mempromosi dan menarik pelanggan, pelbagai cara dan strategi dibuat dengan tujuan melariskan barang jualan. Sungguhpun perbuatan itu dibolehkan, namun sebagai perniaga yang beriman mereka sewajarnya tidak alpa dan lupa bahawa Islam melarang sebarang bentuk penipuan dalam pernigaan. Menipu ialah melakukan suatu helah untuk kepentingan diri sendiri dan memudharatkan orang lain.

Pelbagai cara penipuan boleh berlaku dalam aktiviti perniagaan seperti memalsukan tandatangan, menjual barang tiruan dengan harga yang mahal dan menipu pelanggan dengan iklan-iklan yang palsu.

Termasuk juga dalam perbuatan menipu ialah perbuatan bersumpah dengan nama Allah dengan tujuan melariskan barang jualan seperti menyatakan “demi Allah, barang ini adalah paling murah dijual di kota ini dan saya hanya menjual harga modal sahaja” sedangkan hakikat yang sebenar adalah sebaliknya.

4. Rasuah

Rasuah juga merupakan salah satu dosa besar dalam Islam. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bidang termasuklah dalam aktiviti perniagaan. Sesetengah orang beranggapan rasuah/ duit kopi/ duit under-table ini adalah satu kemestian dalam perniagaan. Ini kerana pada mereka dengan rasuah ia boleh membantu mengenali orang-orang penting, membantu mendapat projek dan peluang pernigaan yang lebih luas, memudahkan perjalanan projek dan dapat juga membantu memudahkan after sale servis yang dijanjikan. Pendek kata tiada apa yang tidak dapat dilakukan jika dihulurkan dengan sedikit wang ringgit.

Setengah mereka berselindung dengan menukarkan istilah rasuah itu dengan kata-kata lain seperti pertolongan/ bantuan/ hadiah/ sedekah dan seumpamanya. Sememangnya rasuah jauh berbeza dengan sedekah dan hadiah. Rasuah adalah pemberian yang dibuat bertujuan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah atau bukan dengan cara yang sebenar. Sedekah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mendapatkan balasan pahala dari Allah SWT semata-mata, sedangkan hadiah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mempereratkan lagi ikatan silatul rahim dan kasih sayang.

5. Memonopoli barangan (ihtikar)

Perbuatan memonopoli barangan keperluan awam juga adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam. Monopoli barangan keperluan sepeti gula, beras, minyak dan seumpamanya biasanya dibuat para peniaga agar barangan keperluan berkurangan dipasaran dan hasilnya harga barangan tersebut dapat dinaikkan dan boleh dijual dengan lebih mahal. Dengan itu, perniaga akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Perbuatan terkutuk ini adalah dilarang dalam Islam kerana ia menyebabkan kemudharatan dan kesulitan kepada masyarakat awam, khususnya golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah.

Dalam satu hadis Rasullah SAW bersabda;

عن معمر أن النبي (ص) قال: ” من احتكر فهو خاطئ” . أى: فهو بعيد عن الحق والعدل. رواه مسلم.

Maksudnya:
Dari Ma’mar bahawa Rasulullah SAW bersabda; Barang siapa memonopoli barangan (ihtikar) maka ia telah melakukan kesalahan. Yakni ia telah tersasar jauh dari perkara yang sebenar dan keadilan.

6. Larangan mengurangkan kadar sukatan dan timbangan

Dalam keghairahan mencari keuntungan dalam perniagaan, Islam menuntut para perniaga bersikap amanah dan tidak mengaburi mata pelanggan dengan pelbagai helah seperti mengurangkan kadar timbangan dan sukatan. Perbuatan seumpama ini adalah dilarang dan tercela dalam Islam. Termasuk juga dalam kategori tidak menyempurnakan sukatan dan timbangan ini, perbuatan mengurangkan kualiti dan kuantiti sesuatu barangan.

Bagi menunjukkan hina dan tercelanya perbuatan menipu dalam sukatan dan timbangan ini, Allah SWT telah menemplak peniaga yang berbuat demikian di dalam surah al-Mutaffifin 1-3, mafhumnya:Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.

7. Larangan membeli barangan yang dicuri, diragut atau dirampas tanpa hak

Sebagaimana dijelaskan bahawa Islam sangat menggalakkan sebarang bentuk aktiviti perniagaan. Namun demikian, Islam melarang dan menegah sama sekali sebarang bentuk transaksi jual beli yang melibatkan barangan curi, ragut dan seumpamanya, kerana ia adalah sebahagian dari bentuk tolong-menolong kepada dosa dan permusuhan, bukannya kepada kebaikan dan ketakwaan.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:

عن أبي هريرة ، عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال : « من اشترى سرقة ، وهو يعلم أنها سرقة ، فقد شرك في عارها وإثمها »

Maksudnya:
Diriwayatkan Abi Hurairah, dari Rasulullah SAW, bahawa baginda bersabda: Barang siapa membeli barangan curi, sedangia mengetahui barang itu adalah dicuri, maka ia telah berkongsi sama (dengan pencuri) pada aib dan dosanya.

8. Haram menjual najis

Telah berlaku Ijma’ dikalangan fuqaha tentang haramnya sebarang bentuk perniagaan barangan yang najis pada zatnya seperti arak, babi, anjing, bangkai dan seumpamanya. Islam mengharamkan sebarang bentuk perniagaan barangan najis ini kerana ianya boleh mendatagkan mudarat dan kerosakkan dimuka bumi.

‏عن ‏جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ ‏ ‏يَقُولُ سَمِعْت ُرَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَقُولُ عَامَ الْفَتْح ِإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَرَسُولَهُ ‏ ‏حَرَّمَ بَيْع َالْخَنَازِيرِ وَبَيْعَ الْمَيْتَةِ وَبَيْعَ الْخَمْر ِوَبَيْعَ الْأَصْنَامِ…

Maksudnya:
Dari Jabir bin Abdullahkatanya, ia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah, sesungguhnya Allah SWT dan Rasulnya telah mengharamkan jual beli babi, bangkai, arak dan patung berhala.

Demikian adalah antara perkara-perkara yang diharamkan dalam aktiviti jual-beli atau perniagaan. Sekiranya semua manusia berpegang teguh dengan ajaran dan panduan Islam, nescaya semua akan mendapat rahmat Allah SWT dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Sumber kredit: e-muamalat.islam.gov.my

Published by
wan erni