Lapor Jika Ada Isu, Negara Mempunyai Unit Pemantauan Isu Hina Agama Di Bawah JAKIM

Share

Setiap kali isu mempermainkan agama timbul, ramai menyuarakan rasa marah dan isu ini pasti tular.

Dahulu, pernah heboh isu rider FoodPanda yang bertindak memukul seorang individu yang mempermainkan nama Allah. Ramai bangkit menyokong tindakan lima anak muda ini. Ramai bangkit bersama anak muda ini dan ramai peguam bersedia menyediakan khidmat guaman secara percuma.

Bukan itu saja, pernah ada  “spicy challenge” di mana akibat terlalu pedas, pemuda bukan muslim ini seakan meniru cara azan dilaungkan dan mereka kemudiannya meminta maaf atas keterlanjuran perbuatan yang mendatangkan kemarahan orang ramai.

Mungkin tanpa kita sedar, semasa Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri sebelum kesemuanya meletakkan jawatan dua tahun lalu akibat pergolakan politik negara iaitu pada tahun 2019, satu Unit Pemantauan Isu Hina Islam telah ditubuhkan atas inisiatifnya.

Unit Pemantauan Isu Hina Islam ini ditubuhkan bagi memantau penulisan atau provokasi bersifat menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Kata Datuk Seri Mujahid lagi, penubuhan unit itu bertujuan memantau tindak-tanduk pihak tidak bertanggungjawab berikutan berlakunya kes menghina Nabi Muhammad SAW dan perbuatan mempersenda agama Islam.

Tegasnya, inisiatif menubuhkan unit yang diselia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu akan melakukan pemantauan membabitkan semua pentas media termasuk media sosial.

Tambahnya lagi, dirinya telah meminta unit pemantau menerima sebarang aduan berkaitan penghinaan Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, seterusnya dengan segera membuat laporan polis serta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan, sila WhatsApp segera ke talian hotline 010-3005260 atau e-mel kepada aduan@islam.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengejutkan! Aduan diterima sehingga 10,000 sehari

Dalam pada itu tentunya kita tidak percaya kerana selepas unit berkenaan ditubuhkan, mereka menerima kira-kira 5,000 aduan berkaitan penulisan atau provokasi bersifat menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Malah lebih mengejutkan ada kalanya aduan mencecah 10,000 aduan sehari sejak ia ditubuhkan Mac 2019.

“Daripada jumlah itu, lebih kurang 5,000 aduan dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. (sumber : Berita Harian)

Jadi kalau ada sebarang isu berkaitan agama, kita boleh mengambil inisiatif mengadu ke emel ini atau talian disediakan agar soal agama ini tidak terus menjadi perdebatan kerana Malaysia mengamalkan toleransi dalam soal beragama. Dan jangan sesekali mengambil tindakan menyalahi undang-undang kerana kita adalah negara berpelembagaan.

Published by
almaswa Haji Che Ros