Buat masa ini ramai di kalangan selebriti atau personaliti popular membuat perbincangan mengenai sesuai isu secara langsung di media sosial.
Aktiviti ini turut menjadi pilihan Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri untuk mengadakan perbincangan secara santai dengan Penceramah Bebas, Ustaz Azhar Idrus di media sosialnya malam tadi.
Dengan tajuk ‘Deme wak mende PKP ning?’, beliau penuh merendah diri dan tidak kekok bertanya kepada UAI soal agama walaupun pernah membawa gelaran sebagai Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini.
Namun paling menarik perhatian adalah apabila Dr Zulkifli memberi soalan berbentuk cepumas kepad UIA iaitu berkenaan soalan apa ingin dilakukan sekiranya beliau dilantik menjadi Menteri Agama.
Menurut UAI lagi, kita perlu sentiasa mengambil peluang dengan menggunakan kuasa (peluang) dan yang dilarang pula adalah salah menggunakan kuasa.
“Bila kita ada kuasa, bermakna kita duduk di satu keadaan yang sangat berpeluang besar. Bila kita Menteri Agama, maknanya kita berkuasa.
“Agar agama Allah menjadi tinggi dan dimuliakan. Sebab apa? Aku jadi Menteri Agama tiga atau lima tahun, aku sempat buat benda ni dan aku dapat jawab di akhirat.
“Jadi, guna kuasa Datuk. Allah akan tanya di akhirat nanti, kamu buat apa Datuk? Saya yakin Datuk faham kat mana Datuk nak buat supaya agama jadi tinggi, Datuk lebih arif,” katanya.
Dan diakhir penutup siaran langsung berkenaan, UIA turut mendoakan agar Dr Zulkifli dan seluruh kakitangan kementerian diberi kekuatan dan bantuan dari Allah bagi menaikkan lagi syiar agama Islam.
SUMBER: INSTAGRAM DR ZULKIFLI
ARTIKEL BERKAITAN: Lepas Dilantik Menteri Agama, ‘Sempoi’ Teruskan Kuliah
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Bagaimana Pahalanya Ibu Yang Sediakan Juadah Berbuka, Beri Makanan Untuk Orang Berpuasa
Soalan :
Assalamu’alaikum ustaz, adakah seorang ibu yang menyediakan juadah berbuka untuk keluarganya turut mendapat pahala memberi makan kepada orang berbuka puasa ?
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam bulan Ramadhan, kita amat-amat dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan soleh. Antara amalan soleh yang sangat digalakkan adalah memberi makan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya : Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.
Riwayat Al-Tirmizi (807)
Bahkan Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa beliau berkata : ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’.
Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:
مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
Maksudnya : Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.
Surah Al-An’aam (160)
Justeru, apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, perkataan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa datang dalam bentuk yang umum. Dalam erti kata, ia meliputi perbuatan membelanja makan, memasakkan makanan lalu diberikan kepada orang yang berbuka puasa, juga turut meliputi perbuatan membantu penyediaan makanan serta mengagihkan makanan. Setiap individu yang terlibat dalam usaha memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, akan diganjarkan pahala dengan mengikut kadar usaha sama ada banyak ataupun sedikit.
Kerana itu dalam isu perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha’ sama ada makanan yang diberikan adalah makanan yang mengenyangkan atau apa sahaja makanan termasuk makanan yang ringan seperti buah tamar, segelas air, kuih muih, dan seumpamanya, kami berpendapat bahawa makanan yang afdhal adalah makanan yang mengenyangkan. Manakala seseorang yang memberi makanan seperti kurma dan segelas air, turut mendapat pahala perbuatan memberi makan tersebut.
Ini adalah jelas seperti yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ عِتْقُ رَقَبَةٍ وَمَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلُّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ قَالَ يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ أَوْ تَمْرَةٍ أَوْ شَرْبَةِ مَاءٍ
Maksudnya : ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya’’. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah S.A.W : ‘’Wahai Rasulullah, bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka’’. Maka Rasulullah S.A.W menjawab : ‘’Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman’’.
Riwayat Ibn Khuzaimah (1878)
Maka pengajaran dari hadis di atas, pahala dan ganjaran itu diberikan mengikut kadar usaha masing-masing dalam memberikan makanan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini juga seperti yang ditunjukkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Khalid Al-Juhani R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
مَنَ جَهَّزَ غَازِيًا فَقَدْ غَزَا وَمَنْ خَلَفَ غَازِيًا فِي أَهْلِهِ فَقَدْ غَزَا
Maksudnya : Sesiapa yang mempersiapkan (peralatan) bagi mereka yang pergi berperang, dia juga (dianggap) telah pergi berperang. Dan sesiapa yang menjaga (kebajikan) keluarga seseorang yang pergi berperang, dia juga dianggap telah pergi berperang.
Riwayat Muslim (1895)
Imam Al-Nawawi dalam syarahan ke atas hadis ini beliau berkata :
وَهَذَا الْأَجْرُ يَحْصُلُ بِكُلِّ جِهَادٍ وَسَوَاءٌ قَلِيلُهُ وَكَثِيرُهُ وَلِكُلِّ خَالِفٍ لَهُ فِي أَهْلِهِ بِخَيْرٍ مِنْ قَضَاءِ حَاجَةٍ لَهُمْ وَإِنْفَاقٍ عَلَيْهِمْ أَوْ مُسَاعَدَتِهِمْ فِي أَمْرِهِمْ وَيَخْتَلِفُ قَدْرُ الثَّوَابِ بِقِلَّةِ ذَلِكَ وَكَثْرَتِهِ وَفِي هَذَا الْحَدِيثِ الْحَثُّ عَلَى الْإِحْسَانِ إِلَى مَنْ فَعَلَ مَصْلَحَةً لِلْمُسْلِمِينَ أَوْ قَامَ بِأَمْرٍ مِنْ مُهِمَّاتِهِمْ
Maksudnya : Pahala ini terhasil dengan setiap usaha sama ada sedikit mahupun banyak, serta (pahala ini turut diperolehi) setiap individu yang menjaga kebajikan keluarga mereka yang keluar berperang dari sudut menunaikan hajat mereka, bersedekah ke atas mereka, membantu mereka dalam urusan, dan ia (ganjaran pahala) berbeza mengikut kadar sama ada sedikit atau banyak. Pada hadis ini juga terdapat galakan untuk berbuat ihsan (kebajikan) kepada mereka yang berkerja untuk kemaslahatan umat Islam atau mengambil tempat mereka dalam menjaga tanggungjawab dan kepentingan mereka.
Rujuk Syarah Al Nawawi ‘ala Sahih Muslim (13/40)
Penutup
Sebagai kesimpulan, setelah menekuni beberapa nas dan hujahan di atas, kami menyatakan bahawa seseorang ibu yang menyediakan makanan dan hidangan berbuka kepada keluarganya yang berpuasa turut termasuk dalam perbuatan memberi makan kepada orang berbuka. Demikian juga semua ahli keluarga baik suami dan anak-anak yang turut membantu ke arah menyiapkan juadah berbuka turut memperoleh ganjaran seperti yang disebutkan di dalam hadis. Ganjaran ini pula mengikut kadar usaha yang dilakukan dalam erti kata, lebih besar usaha makanya lebih besarlah juga ganjaran pahala. Wallahu A’lam.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Warisan Ummah Ikhlas Foundation Lancar Program Jom Mengaji Sebelum Tidur
Ramai di antara kita mungkin terleka dengan soal duniawi hingga terlalu “berat” untuk membaca Al-Quran sebelum tidur. Masa diambil tidak lama namun ada saja halangan dan kemudian kita terus tertidur hingga ke pagi.
Menyedari hal ini, dalam sama-sama mendapat redha Allah di dunia dan akhirat, Warisan Ummah Ikhlas Foundation di bawah Kumpulan Media Karangkraf dengan kerjasama Rumah Ngaji seluruh Malaysia mengajak seluruh umat Islam untuk membaca Al-Quran sebelum tidur.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah, Puan Marhaini Yusuff mengajak semua untuk menyertai program “Jom Mengaji Sebelum Tidur (JMST).”
“Program Jom Mengaji Sebelum Tidur (JMST) merupakan sebuah inisiatif awal menuju tiga program utama di bawah WUIF, iaitu World #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention yang memilih surah al-Sajdah sebagai surah pilihan bagi 2022 dengan membawa tema #MalaysiaBersujud dan #DuniaBersujud melalui agenda “Thematic & Reconstruct.”
“Pemilihan surah alSajdah ini dilihat dapat membentuk kerangka fikir dalam membina karakter dan memberi kekuatan kepada kita untuk menghadapi pelbagai ujian dengan bersujud kepada Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini.
Dalam masa yang sama pada program berkenaan, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Dato’ Hussamuddin bin Hj. Yaacub akan membuat kupasan akan rahsia kejayaannya dalam perniagaan.
Adat ada jatuh bangun dalam membangunkan sesebuah empayar perniagaan kerana itu adalah lumrah kepada setiap yang bergelar usahawan.
“Namun, setiap perkara yang berlaku tersebut pasti ada hikmah disebaliknya sekiranya kita melihat dengan mata hati selaku seorang hamba-Nya. Manusia yang memiliki kecerdasan emosi pula akan dapat memimpin diri dan organisasi dalam membuat sesuatu tindakan,” katanya memaklumkan ilmu perkongsian itu akan dibuat oleh Dato’ Hussamuddin Hj Yaacub dan Dr Alizi Alias berpandukan surah al-Sajdah, 32: 7-9, halaman 415 dalam program Jom Mengaji Sebelum Tidur bersama-sama Keluarga Besar KARANGKRAF menerusi platform Zoom dan Facebook Tick Talk TV, Quran Hour serta Sinar Harian pada:
Hari: Rabu
Tarikh:16 Februari 2022
Masa: 9.00pm-10.00pm
Tajuk: Allah cipta kita: Sudahkah kita bersyukur? (Surah Al-Sajdah, 32: 7-9)
Platform: Zoom meeting & FB Live Tick Talk TV, QuranHour & Sinar Harian
.
.
Untuk yang sama ingin turut serta boleh mengikutinya pada jam 9 malam esok dan program selama sejam ini akan mengupas tajuk yang sangat menarik. Semoga kita bersama-sama ke syurga Allah.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Perlukah Kita Bayar Zakat Kerana Mengkasi Haiwan Peliharaan Seperti Kucing?
Haiwan peliharaan kesayangan Rasulullah ialah kucing. Dan hari ini memang ramai yang menjadikannya sebagai haiwan peliharaan kesayangan. Comel, manja dan lincah.
Namun haiwan peliharaan ini, jika dibiarkan sahaja ia mengawan, maka akan lahirlah banyak anak-anaknya. Dalam usaha mengurangkan kadar kelahiran sebagai contoh kucing, ramai pemilik kucing mengembiri atau mengkasinya.
Adakah perbuatan ini dibenarkan dalam Islam dan adakah perlu bayar zakat atas haiwan yang telah dikasi tadi? Soalan ini kerap ditanya oleh orang ramai kepada Pusat Zakat. Dan bagi menjelaskan duduk perkara, pihak mereka telah memberi input yang perlu pemilik haiwan tahu.
Sebelum menjawab persoalan, terlebih dahulu secara ringkas perlu disebutkan tentang hukum mengembiri atau mengkasi (spay / castration / neuter).
Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (19/112) menyebutkan bahawasanya para ulama dari mazhab al-Hanafi berpendapat tidak mengapa mengkasi haiwan, kerana ada padanya manfaat kepada binatang dan juga manusia.
Ulama mazhab Malik pula berpendapat harus mengkasi haiwan yang dimakan dagingnya tanpa ada hukum makruh, untuk penghasilan daging yang lebih baik.
Ulama mazhab Syafi’e pula membezakan antara haiwan yang dimakan dagingnya dan yang tidak dimakan dagingnya.
Mereka berpendapat adalah harus mengkasi haiwan yang dimakan dagingnya ketika ia kecil, dan diharamkan selain daripada itu (yang tidak dimakan dagingnya) dengan syarat proses mengkasi itu tidak mendatangkan kecelakaan kepada haiwan.
Ulama Hanbali pula mengharuskan mengkasi kambing untuk mengelokkan dagingnya. Dikatakan bahawasanya makruh hukumnya mengkasi kuda dan haiwan lain.
Kesimpulannya, sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Muhammad bin soleh al-Uthaimain r.h.m bahawasanya,
“Dalam masalah mengkasi haiwan, hukumnya adalah harus jika ada maslahah (kebaikan), akan tetapi mestilah menggunakan proses-proses yang dapat mengelakkan daripada menyakiti haiwan tersebut”
Masalah haiwan peliharaan seperti kucing dan seumpamanya, jika banyak jumlahnya dan menyusahkan serta proses mengkasinya tidak memudaratkannya maka perbuatan ini tidak menjadi masalah. Ini kerana mengkasi dalam keadaan ini lebih baik dari membunuhnya selepas Allah menciptakannya.
Namun, jika jumlah kucing itu tidak banyak (jumlah yang biasa) dan tidak menyusahkan, mudah-mudahan membiarkan dia berkembang (membiak) itu adalah lebih baik. (Lihat Fatawa Islamiyah 4/448).
Bagaimanapun, persoalan perlu dizakatkan atau tidak selepas haiwan tersebut dikembirikan atau dikasikan, zakat itu tidak wujud. Cuma, adalah baik sekiranya kita menganggarkan sejumlah wang untuk disedekahkan sebagai ganti perbuatan kasi yang dilakukan.
Hal ini pernah disebut oleh Syeikh Abu Bakar bin Jabir al-Jazairi hafizahullah dalam salah sebuah kuliah beliau di Masjid Nabawi.
Artikel berkaitan: Kucing Bukan Sekadar Makhluk Yang Suka Tidur, Tapi Lindungi Kita Di Malam Hari Dari Roh Jahat
Artikel berkaitan: InsyaAllah Rezeki Jadi Berganda Pelihara Haiwan Kesayangan Rasulullah. Syaratnya Tak Boleh Kedekut Beli Makanan Kucing!
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI