Nampak air penuh kolah atau air paip laju keluar kita pun ambil wuduk berlama-lamaan. Barulah terasa segar dan bersih sepenuhnya.
Namun begitu apa yang kita tak tahu sebenarnya terdapat larangan menggunakan air berlebihan untuk berwuduk.
Terdapat sebuah riwayat yang menyebut akan larangan israf (berlebihan) dalam menggunakan air bagi tujuan wuduk. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Amru bin Al Ash R.Anhuma beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ مَرَّ بِسَعْدٍ وَهُوَ يَتَوَضَّأُ فَقَالَ ” مَا هَذَا السَّرَفُ ” . فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ ” نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini ?” Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf ? Lalu baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”. Riwayat Ibn Majah (425)
Dilarang walaupun air banyak
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan israf dalam berwuduk itu jelas ditegur dan dilarang oleh Rasulullah S.A.W. sekalipun kuantiti air itu berada dalam jumlah yang banyak seperti di laut, sungai, dan seumpamanya.
Syeikh Mulla Ali Al-Qari Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Iaitu beliau israf dalam wuduknya sama ada dalam perbuatan wuduk seperti menambah dari tiga kali basuhan, ataupun israf pada kadar seperti menambah lebih dari kadar yang diperlukan dalam penggunaan air.
Beliau juga berkata: Tidak ada kebaikan pada israf (berlebihan), dan tidak ada israf pada kebaikan. Beliau (Abdullah bin Amru) menyangka bahawa tidak ada israf pada hal ketaatan dan ibadah. Lalu baginda bersabda: “Ya ada israf padanya. Sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”.
Ini kerana pada perbuatan tersebut terdapatnya israf pada waktu dan pensia-siaan terhadap umur. Atau melampau had syar’ie (dalam wuduk) seperti yang telah disebutkan. Rujuk Mirqat al-Mafatih, Mulla Ali Al-Qari (2/421).
Secara kesimpulannya dalam isu berwuduk dalam masa yang lama, sekiranya ia dilakukan kerana faktor was-was, maka ini adalah perbuatan yang perlu dijauhkan. Ini kerana, was-was adalah penyakit yang perlu dielakkan dan kita hendaklah sentiasa yakin dan pasti terhadap setiap ibadah yang dikerjakan.
Berwuduk dalam tempoh yang lama, meskipun tidak berniat untuk membazir air, ia tetap juga suatu pembaziran terhadap masa. Ini kerana, tujuan seseorang itu berwuduk antaranya adalah untuk mendirikan solat.
Justeru, sekiranya seseorang berlama-lama dalam wuduk pastilah akan mendatangkan implikasi melewatkan solat dari waktunya, dan itu merupakan suatu perbuatan yang buruk.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI