Laung azan dengan suara lunak dan unik. ‘Ramai ingat orang muda, rupanya bilal berusia 81 tahun.’ Begitulah kurniaan Allah buat lelaki tua ini sehingga ramai yang sangkakan dia masih muda.
Suaranya yang lunak dan mempunyai keunikan tersendiri membuatkan lelaki ini viral di sosial media baru-baru ini. Rupanya lelaki ini ada amalkan petua tertentu sebelum melaungkan azan saban hari.
Artikel Berkaitan:
Pemuda Lembam Tak Kisah Ulang Alik 15 KM Sehari, Semata-Mata Nak Laung Azan 5 Waktu
“Hang (kamu) azan dah (sudah) sedap elok, nanti jagalah masjid ini baik-baik.”
Itu pesanan keramat dilafazkan mantan imam Masjid Jamek Haji Wahab (Simpang Enam), Jalan Macalister, yang masih terngiang-ngiang di telinga Abdul Sukor Maidin, 81, meskipun sudah 42 tahun berlalu.
Kelunakan suara Abdul Sukor melaungkan azan menyebabkan bekas tentera yang berasal dari Kuala Kedah itu cukup dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai bilal paling lama berkhidmat di Pulau Pinang.
Menurut Abdul Sukor, dia mula memegang amanah melaungkan azan di masjid berkenaan sejak tahun 1979 selepas diminta berbuat demikian oleh mantan imam dan bilal masjid berkenaan yang dikenali sebagai Haji Ariffin dan Haji Man.
Jelas peniaga kedai makan itu, pada mulanya dia hanya diberi peluang melaungkan azan namun kedua-dua mantan berkenaan mendakwa suaranya mempunyai kelunakan dan keunikan tersendiri.
Kemudian saya menerima tanggungjawab menjadi bilal secara kekal pada tahun 1981 oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) dan pesanan kedua-dua mantan saya ‘pegang’ sehingga kini.
“Banyak kenangan manis sepanjang berkhidmat dan memandangkan masjid ini terletak di tengah bandaraya, pelancong dari dalam dan luar negara serta orang kenamaan turut bersolat di sini,” katanya ketika ditemui, semalam.
Terdahulu, video Abdul Sukor melaungkan azan di masjid itu tular di media sosial susulan kelunakan lantunan suaranya selain masih bertenaga meskipun sudah lanjut usia.
Memetik laporan Harian Metro, Abdul Sukor seringkali menerima sapaan lucu daripada jemaah luar yang menyangka laungan azan itu dilantunkan oleh ‘orang muda’.
“Sering kali ada individu masuk ke ruang solat dan mahu berjumpa dengan bilal yang laungkan azan. Apabila saya katakan itu suara saya, mereka terkejut dan menyangka ia dilaungkan orang muda.
“Suara ini anugerah Allah, saya tidak ada amalan khusus menjaganya cuma gemar minum air limau suam sebelum laungkan azan,” kata bapa kepada tiga anak dan 12 cucu itu lagi.
Rutinnya setiap hari Abdul Sukor melaungkan azan subuh di masjid sebelum ke kedai makannya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan kembali berada di masjid sekitar waktu Zohor dengan berjalan kaki kira-kira 300 meter.
Biarpun usia hampir menjengah separuh abad, Abdul Sukor yang juga peniaga kedai makan berkata, dia tidak mempunyai sebarang penyakit selain mengelak makan makanan berkuah serta hanya makan nasi bersama sayur dan ikan.
“Sejak dulu saya amalkan berpuasa selama tiga bulan pada Rejab, Syaaban dan Ramadan manakala selepas waktu Subuh, saya lakukan senaman ringan sama seperti ketika berkhidmat dalam tentera selain mengisi masa terluang dengan berzikir.
“Pada masa depan, saya harap lebih ramai pelapis yang boleh melaungkan azan dengan baik serta mengimarahkan lagi masjid ini,” katanya.
Sementara itu, menurut anak kedua Abdul Sukor, Mariam, 42, bapanya yang tinggal bersama ibu, Aliza Mohamed, 72, di Bandar Baru Farlim, masih kuat melakukan ‘kerja kampung’ termasuk memanjat pokok kelapa dan mengupas buah berkenaan.
“Dua anak saya dilihat mengikut jejak datuknya apabila beberapa kali memenangi pertandingan pencarian bakat cilik azan.
“Semoga kisah bapa saya menjadi inspirasi khususnya kepada golongan muda,” katanya lagi.
Baca Di Sini:
Kashoorga: Semoga kisah ini memberi inspirasi buat kita semua.
Sumber: Harian Metro
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.