Bila keluar ke pejabat atau bertemu rakan penampilan cukup dijaga, berpakaian segak dan kemas.

Tapi bila solat mengadap Allah SWT ada sebahagian kaum hanya memakai baju tanpa lengan yang lusuh dean berkain pelikat.

Jika selalu berpakaian sebegini ketika solat sebaiknya ubah, kerana menurut Mufti Wilayah Persekutuan terdapat riwayat hadis jelas memerihalkan larangan solat dengan sehelai pakaian dan tiada lapik pada dua bahu.

Ia berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لاَ يُصَلِّي أَحَدُكُمْ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ، لَيْسَ عَلَى عَاتِقَيْهِ شَىْءٌ

Maksudnya: Janganlah salah seorang dari kamu solat dengan pakaian yang satu, yang mana tidak ada sesuatu di atas dua bahunya. Riwayat Al-Bukhari (359)

Berdasarkan zahir hadis di atas, terdapatnya larangan ke atas perbuatan solat dalam keadaan bahagian bahu terdedah. Di dalam kaedah usul fiqh mengatakan, bahawa larangan itu membawa erti pengharaman. Justeru, sebahagian para ulama mengatakan bahawa perbuatan tersebut adalah haram.

Ads

Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi Rahimahullah mengatakan: Wajib ke atas seseorang yang solat untuk meletakkan sesuatu daripada pakaian di atas bahunya, sekiranya dia mampu untuk melakukannya. Inilah pendapat Ibn Al-Munzir dan dihikayatkan daripada Abu Ja’far, beliau berpendapat bahawa tidak sah solat bagi sesiapa yang tidak menutup bahunya.

Manakala majoriti para fuqaha pula berpendapat: Yang demikian itu tidak wajib, dan ia bukanlah syarat sah solat. Inilah pendapat Imam Malik, dan Imam Al-Syafie, kerana kedua bahu tersebut bukanlah aurat maka ia menyamai baki anggota badan yang lain. Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/618).

Manakala Imam Al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim (2/274) apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Kata para ulama: Hikmahnya adalah, jika dia memakai baju dan tidak ada sesuatu di atas bahunya, maka tidak selamat daripada terdedah bahagian auratnya, berbeza dengan jika diletakkan pakaian di atas bahu.

Kata beliau lagi: Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafie serta jumhur berpendapat: Larangan itu menunjukkan kepada makruh tanzih, bukannya kepada pengharaman.

Ads

Jika seseorang itu solat hanya dengan memakai satu pakaian yang menutup auratnya, tetapi tidak menutup bahagian bahunya maka solatnya dikira sah berserta hukum makruh. Sama ada dia mampu meletakkan sesuatu di atas bahunya ataupun tidak.

Manakala Imam Ahmad dan sebahagian para salaf berpendapat bahawa solatnya tidak sah sekiranya dia mampu meletakkan sesuatu (daripada pakaian) di atas bahunya. Manakala dalam riwayat lain yang juga daripada Imam Ahmad bin Hanbal beliau berpendapat bahawa solatnya adalah sah, akan tetapi berdosa jika dia meninggalkan meletak sesuatu dari pakaian di atas bahunya.

Kesimpulan

Setelah meneliti dan menilai isu ini dengan merujuk kepada nas-nas berkaitan berserta pandangan para ulama, kami menyatakan bahawa solat dengan memakai singlet, atau tidak memakai baju yang mendedahkan kedua-dua bahu orang lelaki, hukumnya adalah MAKRUH dan solat tersebut sah. Hayatilah firman Allah S.W.T:

Ads

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian yang menutup aurat kami ketika berada di setiap masjid.
Surah Al-A’raaf (31)

Imam Al-Thabari Rahimahullah di dalam tafsirnya mengatakan bahawa perkataan خُذُوا زِينَة di dalam ayat bererti pakaian yang menutup aurat. Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

 

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI