
Hari ini bukan saja wanita, kaum lelaki juga semakin mementingkan penjagaan diri malah mereka turut sama menggunakan produk perawatan terutama untuk kulit wajah.
Dalam pada itu timbul persoalan apa hukumnya lelaki berbuat demikian yakni menggunakan produk penjagaan kulit wajah kerana ada yang bimbang perbuatan tersebut dikategorikan sebagai lelaki menyamai kaum Wanita.
Persoalan ini dijawab oleh Mufti Pulau Pinang. Dalam penjelasan mengenai perkara ini adalah tidak menjadi masalah untuk lelaki menggunakan produk perawatan kulit kerana menurut pakai kajian kulit produk rawatan kulit ini tidak memiliki kaitan gender.
“Sebagian besar produk penjagaan kulit di pasaran diformulasikan untuk kaum wanita. Sementara itu, banyak juga para lelaki yang menyedari pentingnya menjaga kesihatan kulit dan penampilan mereka dan walaupun terdapat produk yang diformulasikan khas bagi mereka tetapi ia amat terhad.
“Menurut para pakar kajian kulit, produk perawatan kulit sebenarnya tidak memiliki kaitan gender. Jadi tidak menjadi masalah jika lelaki menggunakan produk perawatan kulit wanita dan begitu juga sebaliknya. Tidak ada yang spesifik untuk lelaki atau untuk wanita. Sebenarnya menjadi keperluan yang sama bagi lelaki atau wanita untuk menggunakan penjagaan kulit yang sesuai.
Diharuskan selagi halal
Diharuskan bagi umat Islam lelaki menggunakan produk penjagaan kulit dan muka, keharusan ini adalah tertakluk selagi mana produk tersebut diperbuat daripada bahan-bahan yang halal, tidak mengandungi najis dan tidak memudaratkan.
Hukum lelaki menggunakan produk penjagaan wajah wanita adalah harus sekiranya ia digunakan untuk membersih dan merawat kulit wajah dan bukan atas tujuan kesombongan atau meniru penampilan seorang wanita yang dilarang dalam Islam.
Di dalam Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Trmizi dinyatakan;
قَالَ الطَّبَرِيُّ: الْمَعْنَى لَا يَجُوزُ لِلرِّجَالِ التَّشَبُّهُ بِالنِّسَاءِ فِي اللِّبَاسِ وَالزِّينَةِ الَّتِي تَخْتَصُّ بِالنِّسَاءِ وَلَا الْعَكْسُ.
قَالَ الْحَافِظُ: وَكَذَا فِي الْكَلَامِ وَالْمَشْيِ فَأَمَّا هَيْئَةُ اللِّبَاسِ فَتَخْتَلِفُ بِاخْتِلَافِ عَادَةِ كُلِّ بَلَدٍ فَرُبَّ قَوْمٍ لَا يَفْتَرِقُ زِيُّ نِسَائِهِمْ مِنْ رِجَالِهِمْ فِي اللُّبْسِ, لَكِنْ يَمْتَازُ النِّسَاءُ بِالِاحْتِجَابِ وَالِاسْتِتَار

Maksudnya: Al-Imam al-Tabari berkata: “Tidak harus bagi lelaki menyerupai wanita dalam pemakaian dan perhiasan yang telah dikhaskan buat wanita dan begitulah juga sebaliknya”. Imam al-Hafiz Ibn Hajar pula berkata, “Tidak harus menyerupai dalam percakapan dan cara berjalan manakala daripada segi pemakaian pula berbeza mengikut adat pemakaian sesuatu tempat dan kaum. Terdapat juga di kalangan mereka tidak wujud perbezaan cara pemakaian wanita dan lelaki tetapi kebiasaannya pakaian wanita lebih sopan dan menutup aurat”. [Rujuk; Tuhfah al-Ahwazi jld. 8, hlm. 57]
Dapat difahami daripada penjelasan Imam Ibnu Hajar di atas bahawa sesuatu perbuatan atau penggunaan sesuatu benda yang tidak dikhususkan pada mana-mana gender maka hukumnya harus kedua-dua gender melakukannya.
Sumber: Mufti Pulau Pinang
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Wajibkah Tanggung Ibu Bapa Mentua Dan Hutang Ipar Duai?

Apabila kita sudah berkahwin, kedudukan ibu bapa mentua adalah sama dengan ibu bapa kandung. Sebagai menantu, wajib kita melayan mereka dengan baik.
Namun ada sesetengah daripada kita melihat kedudukan ini sebagai satu peluang baik untuk melepaskan tanggungjawab tertentu kepada anak-anak menantu.
Hal ini mungkin juga ketaksuban dengan penyataan “Kalau nak kahwin dengan anaknya, kena lah ‘kawin’ juga dengan keluarganya’. Kita ikuti penjelasan ustaz Syed Shahridzan Ben-Agil tentang masalah menantu yang perlu menanggung nafkah ibu bapa mentua dan membayar hutang ipar duai.
SOALAN:
Assalamualaikum ustaz, saya nak tanya soalan tentang hukum. Ada sorang sahabat ini mak mentua dia suruh dia bayar hutang adik iparnya. Ada yang cakap dia wajib settlekan hutang itu sebab itu arahan mak mentua yang kedudukannya dah macam mak sendiri.
Lagi satu mak mentua adalah salah satu tanggungjawab si menantu untuk menanggung mentua serupa dia wajib tanggung mak bapak sendiri. Betul ke hukumnya macam saya sebutkan ini?
JAWAPAN:
Setiap insan mempunyai tanggungjawab masing-masing terhadap keluarga sendiri. Syariat telah membataskan tanggungjawab seseorang ke atas keluarganya dalam memberi nafkah, oleh setiap yang dipertanggungjawabkan oleh syarak wajib dilaksanakan apatah lagi ia melibatkan hak seseorang.
Menurut pembacaan saya yang terhad, setakat ini tiada mana-mana mazhab atau ulama menyatakan bahawa ibu dan bapa mentua merupakan tanggungjawab menantu untuk memberi nafkah. Manakala mazhab Hanafi menspesifikasikan tanggungjawab tanggungan nafkah lebih luas dari 3 mazhab yang lain, namun mentua tidak termasuk di dalam senarai.
Di sini dilampirkan pandangan dari sisi mazhab Syafi’ie iaitu siapa yang diketogarikan sebagai tanggungan nafkah ke atas ahli keluarganya selain daripada isteri.
Sila lihat kenyataan Sheikhul Islam Zakaria al-Ansari di dalam karangannya ‘Asna al-Matolib’:
وإنما تجب على ذي قرابة بعضية وتجب له، وهم الفروع وإن نزلوا والأصول وإن علوا فقط، أي دون سائر القرابات كالأخ والأخت والعم والعمة، ذكوراً وإناثاً وارثين وغير وارثين.
Maksudnya: “Sesungguhnya yang hanya diwajibkan nafkah kepada kaum kerabat yang bersifat punca dan pecahan keturunan(قرابة بعضية) iaitu FURU'(anak, cucu, cicit) dan yang ke bawah dan USUL(bapa kandung, ibu kandung, datuk, nenek) dan yang ke atas sahaja, iaitu tidak termasuk kaum keluarga yang lain seperti adik beradik lelaki, adik beradik perempuan, pakcik, makcik samaada lelaki mahupun perempuan, samaada yang tergolong daripada pewaris harta atau tidak”.
Maka jelas di dalam mazhab Syafi’ie seperti apa yang dinyatakan oleh Imam Zakaria al-Ansari bahawa ibu bapa mentua bukan tanggungjawab nafkah bagi seseorang(menantu) apatah lagi ipar duai.
Ini kerana kedua-duanya bukan tergolong dari keluarga punca(darah daging atau punca kelahiran). Oleh itu menjadi kewajipan bagi setiap muslim mengetahui batas tanggungjawab nafkah masing-masing agar tidak mencabuli hak orang lain.
Dalam hal ini, seorang menantu tidak wajib menanggung ibu bapa mentua tidak seperti kewajipannya menanggung ibu bapa kandungnya yang miskin. Apatah lagi hutang ipar duai bukan lah menjadi kewajipannya bahkan ia membebankan.
Sedangkan dia ada tanggungan dan kewajipan nafkah yang perlu dilunaskan iaitu anak-anak, isteri dan ibu bapa kandung.
Sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidina Jabir -radiyallahu ‘anhu- bahawa Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wa sallam- bersabda:
ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ
Maknanya: “Mulakan dengan diri-mu, maka bersedekah padanya, jika ada lebihan maka untuk ahli keluarga kamu, jika ada lebihan dari perbelanjaan keluarga kamu maka untuk kerabat kamu”. (Hadith riwayat Imam Muslim)

Jika si menantu melunaskan hutang ipar duainya sehingga menjejaskan hak anak dan isterinya maka tindakannya melunaskan hutang itu adalah haram kerana hak yang sepatutnya tidak diberikan kepada yang berhak.
Oleh itu jika si menantu itu melunaskan hutang atas arahan ibu mentuanya, maka ketaatan itu adalah salah di sisi syarak kerana menjejaskan hak orang lain. Ketaatan tidak sepatutnya dituruti dalam perkara yang mengingkari perintah Allah.

Sepertimana yang dinyatakan di dalam sepotong hadis bahawa Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wa sallam- yang bersabda:
لا طاعة لبشر في معصية الله، إنما الطاعة في المعروف
Maksudnya: “Tidak ada ketaatan terhadap manusia dalam urusan maksiat kepada Allah, ketaatan hanya pada perkara yang ma’ruf”. (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Tidak dinafikan bahawa ibu bapa mentua ada hak terhadap menantu, namun hak tersebut tidak boleh disamakan dengan hak ibu bapa kandung terutama bab yang berkaitan dengan nafkah dan hutang piutang.
Malah jika ibu bapa kandung sendiri mengarahkan anaknya menanggung hutang adik beradiknya, maka si anak tidak wajib menuruti perintah ibu bapanya itu.
Hutang adik beradik bukan tanggungjawabnya dan ibu bapa kandung tiada hak untuk menentukan tanggungjawab nafkahnya, malah hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang berhak menentukan.
Jika ibu bapa kandung tiada hak sebegini apatah lagi ibu bapa mertua, ia tidak sewajarnya berlaku.
Sumber: ustaz Syed Shahridzan Ben-Agil
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Dirikan Solat Jumaat Secara Live Streaming

Isi Kandungan
ToggleSepanjang tempoh kawalan pergerakan semasa pandemik, kerajaan telah mengetatkan syarat untuk solat Jumaat berjemaah kepada jumlah yang terhad sahaja. Hanya beberapa jemaah berdaftar sahaja dibenarkan untuk solat Jumaat berjemaah. Keadaan ini menyebabkan rasa hampa sebahagian jemaah yang ingin tunaikan solat Jumaat di masjid.
Justeru adakah dibenarkan dalam situasi sekarang, kaum lelaki mendirikan solat Jumaat atas niat berjemaah menerusi Live Streaming di rumah? Kita ikuti penjelasan dari SS Mufti Wilayah Persekutuan akan hal solat secara live streaming ini.
Artikel berkaitan: Bertuahnya Pemuda Ini, Dijemput Allah Ketika Laung Azan Kedua Solat Jumaat
Artikel berkaitan:Erdogan Alun Bacaan Al-Fatihah Di Masjid Hagia Sophia, Lakukan Solat Jumaat Pertama Lepas 86 Tahun Jadi Muzum

Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Saya ada satu persoalan. Bolehkah kita menunaikan solat Jumaat secara live streaming? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(Surah al-Jumu‘ah : 9)
Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut.
Solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah
Kami ingin menegaskan bahawa kewajipan solat Jumaat hendaklah ditunaikan secara berjemaah. Perkara ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ
Maksudnya : “Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” Riwayat Abu Daud (1067)
Malah, Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa telah berlaku Ijma’ ulama mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah.
Syarat-Syarat Mengikut Imam Bagi Solat Berjemaah
Sepertimana yang telah kami sebutkan, solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah. Oleh itu, solat Jumaat tertakluk kepada syarat-syarat sah solat berjemaah. Antara syarat-syarat sahnya solat berjemaah ialah makmum mesti mengetahui pergerakan imam.
Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :
يُشْتَرَطُ لِصِحَّةِ الِاقْتِدَاءِ عِلْمُ الْمَأْمُومِ بِانْتِقَالَاتِ الْإِمَامِ سَوَاءٌ صَلَّيَا فِي الْمَسْجِدِ أَوْ فِي غَيْرِهِ أَوْ أَحَدُهُمَا فِيهِ وَالْآخَرُ فِي غَيْرِهِ وَهَذَا مُجْمَعٌ عَلَيْهِ قَالَ أَصْحَابُنَا وَيَحْصُلُ لَهُ الْعِلْمُ بِذَلِكَ بِسَمَاعِ الْإِمَامِ أَوْ مَنْ خَلْفَهُ أَوْ مُشَاهَدَةِ فِعْلِهِ أَوْ فِعْلِ مَنْ خَلْفَهُ وَنَقَلُوا الْإِجْمَاعَ فِي جَوَازِ اعْتِمَادِ كُلِّ وَاحِدٍ مِنْ هَذِهِ الْأُمُورِ
Maksudnya : “Disyaratkan untuk sahnya ikutan (dalam solat berjemaah) ialah makmum mengetahui segala perpindahan (pergerakan dalam solat) orang yang menjadi imam, sama ada kedua-duanya (Imam dan makmum) menunaikan solat di dalam masjid atau selain masjid (luar masjid) atau salah seorangnya di dalam masjid dan seorang lagi berada di luar masjid. Inilah perkara yang telah disepakati (oleh para ulama).
“Ulama mazhab Syafie mengatakan bahawa hasil pengetahuan makmum itu ialah dengan mendengar imam atau mendengar orang yang dibelakang imam atau melihat pergerakkan imam atau pergerakkan orang yang di belakang imam. Dan mereka telah menukilkan ijma’ mengenai keharusan berpegang pada tiap-tiap satu daripada perkara tersebut.”
Begitu juga, al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa disyaratkan makmum mengetahui segala pergerakan imam (di dalam solat), supaya (makmum itu) dapat mengikut sama ada dengan imam atau melihat sebahagian daripada saf (makmum yang lain) atau mendengarnya (suara imam) atau pun mendengar suara muballigh.
Selain itu, Al-Sayyid Ahmad al-Syatiri ada menyebutkan antara syaratnya juga ialah :
أن يكون اجتماع الإمام والمأموم… إما في مسجد، أو في مكان سواه لا يزيد ما بينهما منه على ثلاث مئة ذراع تقريبا…
“Hendaklah berhimpun (pada satu tempat) Imam dan makmum… sama ada di dalam masjid, atau tempat selainnya (luar masjid) yang mana jarak antara keduanya tidak melebihi kira-kira 300 hasta (lebih kurang).”
Apabila kita melihat kepada syarat ini, sebenarnya ia kembali semula kepada syarat sebelumnya iaitu dengan berhimpunnya kedua-duanya dalam satu tempat membolehkan makmum melihat dan mengetahui pergerakkan imam.
Oleh itu, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada disebutkan bahawa sekiranya imam dan makmum sama-sama berada di dalam masjid maka mengikut imam adalah sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya ataupun terlindung oleh dinding-dinding yang boleh dilalui
Namun, apabila kedua-dua imam dan makmum berada di luar masjid atau imam di dalam masjid dan makmum di luarnya, ketika ini disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak terlalu jauh.
Dalam hal ini, para ulama ada meletakkan tiga syarat tambahan iaitu :
- Hendaklah tiada penghadang (halangan) yang menghalang makmum daripada melihat imam atau melihat makmum lain yang melihat imam.
- Makmum boleh sampai kepada imam tanpa perlu menyimpang dan membelok (daripada arah kiblat).
- Jarak antara kedua-duanya (imam dan makmum) tidak melebihi 300 hasta.
Sekiranya salah seorang berada di dalam masjid, manakala sebahagian lagi berada di luar masjid, kiraan jarak 300 hasta (150 meter) tersebut bermula daripada bahagian akhir masjid dan bukannya dari saf yang terakhir dalam masjid iaitu jarak di antara tepi dinding luar masjid dengan tempat berdiri makmum yang terdekat di luar masjid tidak melebih 300 hasta. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 297 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/182)
Imam Kamaluddin al-Damiri pula berpendapat bahawa dengan makmum melihat imam atau melihat sebahagian daripada saf atau mendengar suara imam atau mendengar suara muballigh, adalah merupakan antara sebab-sebab yang boleh membawa kepada pengetahuan makmum mengenai pergerakkan imam di dalam solat.

Walau bagaimanapun, di sisi kami dan jumhur ulama sekadar (mensyaratkan) perkara tersebut sahaja tidak cukup, bahkan mesti bersamanya diletakkan syarat supaya berhimpunnya imam dan makmum (dalam satu tempat) kerana kalaulah sudah cukup dengan hanya pengetahuan (mengenai pergerakkan imam), sudah tentu terbatalnya (tidak perlu lagi) perintah untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
Begitu juga, seruan untuk menunaikan solat berjemaah (di masjid). Dan setiap orang akan menunaikan solat di rumah masing-masing atau di pasar dengan berimamkan (mengikuti) solat imam di masjid, sekiranya mereka mengetahuinya (pergerakkan imam). Ini jelas menyalahi al-Quran dan Sunnah. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/375)
Hukum Menunaikan Solat Jumaat Secara Live Streaming
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, menunaikan solat Jumaat melalui perantaraan live streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama.
Begitu juga, solat berjemaah ini sebenarnya bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang Islam (secara hakiki). Oleh itu, ia berhajat kepada satu tempat dan bersambungnya saf antara satu sama lain.
Oleh sebab itu, tidak boleh menunaikan solat berjemaah melalui siaran langsung di televisyen atau radio (atau live streaming) kerana ia tidak mencapai maksud sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.
Kalaulah dibenarkan perkara ini, sudah tentu setiap orang boleh menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat di rumah masing-masing.
Sudah tentu, perkara seperti ini menafikan (tujuan) pensyariatan solat Jumaat dan solat berjemaah (iaitu menghimpunkan manusia). (Lihat Majmu’ al-Fatawa wa Rasail Syeikh Ibn al-Uthaimin, 15/213)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menunaikan solat Jumaat melalui perantaraan live streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama.
Oleh itu, apabila terdapatnya keuzuran atau halangan daripada menunaikan solat Jumaat seperti perintah kawalan pergerakan ini, maka hendaklah kembali kepada rukhsah yang diberikan oleh syarak iaitu menggantikannya dengan menunaikan solat zohor di rumah masing-masing.
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Adakah Sah Nikah Kalau Pasangan Dah Mengandung 8 Bulan?

Ramai yang melakukan hubungan intim lebih awal sebelum nikah hingga mengandung anak zina. Perkara paling mudah adalah menikahikan pasangan tersebut untuk menutup malu. Satu soalan dibangkitkan kepada Mufti Wilayah Persekutuan Irsyad Al-Fatwa #236 mengenai, adakah sah nikah jika semasa nikah itu, perempuan tu mengandung 8 bulan?
Jawapan:-
Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Dalam menjawab persoalan ini, perlu kita lihat perempuan yang dihalang kita berkahwin dengannya yang dikenali sebagai mawani’ al-nikah. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut:
Jenis Pengharaman
Pengharaman terbahagi kepada dua, iaitu haram yang kekal (حرمة مؤبدة) dan haram yang sementara (حرمة مؤقتة).
Haram yang Kekal
Maksud haram yang kekal ialah perempuan yang haram dikahwini selama-lamanya walau apa keadaan sekalipun. Terdapat tiga sebab haram yang kekal:
Pertama: Hubungan Kerabat
Hubungan kerabat tersebut ialah:
- Ibu, nenek sebelah ibu dan nenek sebelah bapa, dan ke atas. Mereka merupakan asal-usul keturunan yang tidak boleh dikahwini.
- Anak perempuan, cucu perempuan daripada anak lelaki serta cucu perempuan daripada anak perempuan. Mereka dinamakan jurai (الفروع) keturunan seseorang yang juga haram dikahwini.
- Saudara perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu. Mereka merupakan jurai keturunan ibu bapa.
- Anak perempuan daripada saudara lelaki sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
- Anak perempuan daripada saudara perempuan sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
- Ibu sedara sebelah bapa (العمّة), iaitu saudara perempuan bapa, nenek saudara sebelah bapa (عمّة الأب). Mereka merupakan jurai keturunan datuk nenek sebelah bapa.
- Ibu saudara sebelah ibu (الخالة), iaitu saudara perempuan ibu, nenek saudara sebelah ibu (خالة الأم) dan sebelah bapa (خالة الأب). Mereka merupakan jurai keturunan datuk nenek sebelah ibu yang haram dikahwini selama-lamanya.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ
Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu, anak-anakmu yang perempuan, saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapamu yang perempuan, saudara-saudara ibumu yang perempuan, anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki, anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan. (Surah al-Nisa’: 23)
Sekiranya berlaku perkahwinan dengan seorang daripada perempuan tersebut, aqad nikahnya batal dan sesiapa yang menghalalkannya adalah kafir. Begitu juga sebaliknya, haram bagi perempuan mengahwini mereka yang berikut:-
1. Bapa, datuk sebelah bapa, datuk sebelah ibu dan semua keturunannya ke atas.
2. Anak lelaki, cucu lelaki daripada anak lelaki dan anak perempuan, seluruh jurai keturunannya.
3. Saudara seibu sebapa, sebapa atau seibu.
4. Anak saudara lelaki daripada saudara lelaki dan perempuan.
5. Bapa saudara sebelah bapa, bapa saudara sebelah ibu, datuk saudara sebelah bapa (عم الأب) dan sebelah ibu (عم الأم). Bapa saudara sebelah ibu kepada bapa (خال الأب) dan bapa saudara sebelah ibu kepada ibu (خال الأم).
Kedua: Hubungan Persemendaan[1]
Terdapat empat golongan perempuan yang haram dikahwini kerana persemendaan, iaitu:-
1. Ibu tiri, nenek tiri sebelah bapa, nenek tiri sebelah ibu. Mereka merupakan isteri kepada asal keturunan yang haram dikahwini selama-lamanya.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تَنكِحُوا مَا نَكَحَ آبَاؤُكُم مِّنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۚ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu kahwini wanita-wanita yang telah dikahwini oleh ayahmu, terkecuali pada masa yang telah lampau. Sesungguhnya perbuatan itu amat keji dan dibenci Allah dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh). (Surah al-Nisa’: 22)
2. Menantu perempuan, isteri cucu anak lelaki atau anak perempuan. Mereka merupakan isteri jurai keturunan seseorang.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ
Maksudnya: Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu.
(Surah al-Nisa’: 23)
Dalil pengharaman ini tidak meliputi bekas isteri anak angkat. Masyarakat pada zaman Jahiliyah mengambil anak angkat dan mengharamkan perkahwinan dengan bekas isterinya. Islam membatalkan taraf anak angkat seperti ini dan menghalalkan perkahwinan dengan bekas isteri anak angkat tersebut.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:-
وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُم ب بِأَفْوَاهِكُمْ ۖ وَاللَّـهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ
Maksudnya: Dan dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu sahaja dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan dia menunjukkan jalan (yang benar). (Surah al-Ahzab: 4)
Firman Allah SWT lagi:
لِكَيْ لَا يَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَائِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا ۚ وَكَانَ أَمْرُ اللَّـهِ مَفْعُولًا
Maksudnya: Supaya tidak ada keberatan bagi orang Mukmin untuk (mengahwini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi. (Surah al-Ahzab: 37)
3. Ibu mertua
Tidak harus mengahwini ibu mertua. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:-
وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ
Maksudnya: Dan ibu-ibu isteri kamu. (Surah al-Nisa’: 23)
Pengharaman ini meliputi semua keturunan ibu mertua, seperti ibu kepada mertua, nenek ke atas. Ketiga-tiga golongan ini haram dikahwini semata-mata dengan sebab aqad nikah sama ada berlaku persetubuhan ataupun tidak. Sekiranya aqad nikah berlaku dengan mana-mana golongan perempuan tersebut, ia adalah batal.
4. Anak tiri perempuan
Anak tiri perempuan haram dikahwini oleh bapa tirinya. Pengharaman ini berlaku apabila ibu kepada anak tiri tersebut telah disetubuhi oleh bapa tiri. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَرَبَائِبُكُمُ اللاَّتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ اللاَّتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُواْ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: Anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum bercampur dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengahwininya. (Surah al-Nisa’: 23).
Pengharaman ini tidak hanya kepada anak tiri yang tinggal bersama-sama bapa tirinya, tetapi juga termasuk anak tiri yang tidak tinggal bersama-samanya. Maksud anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu adalah bagi menerangkan kebiasaan anak tiri tinggal bersama-sama di bawah jagaan bapa tiri dan ibunya.
Demikianlah sebaliknya, seorang perempuan haram mengahwini bapa tirinya, menantu lelaki, anak tiri dan bapa mertuanya.
Ketiga: Hubungan Penyusuan
Terdapat tujuh golongan perempuan yang haram dikahwini kerana penyusuan. Di dalam al-Quran, disebut dua golongan sahaja, manakala bakinya dijelaskan di dalam hadith Nabi SAW. Tujuh golongan tersebut adalah:-
1. Ibu susuan
Ibu susuan ialah perempuan yang telah menyusukan anak orang lain. Dia haram dikahwini anak susuan tersebut, termasuk ibu kepada ibu susuan, nenek sebelah ibu, dan nenek sebelah bapanya.

2. Saudara perempuan susuan
Mereka adalah perempuan lain yang menyusu dengan ibu kita atau kita menyusu dengan ibunya, atau kita dan perempuan yang lain sama-sama menyusu dengan seorang perempuan.
Jika seorang perempuan menyusu dengan ibu kita, dia haram kita kahwini. Namun, kita halal mengahwini saudara perempuannya kerana mereka tidak menyusu dengan ibu kita.
Jika kita menyusu dengan ibu seorang perempuan, maka kita haram mengahwini perempuan tersebut dan semua saudara perempuannya. Namun, saudara kita halal mengahwininya dan semua saudara perempuannya kerana mereka tidak menyusu dengan ibu kita dan saudara kita pula tidak menyusu dengan ibu perempuan itu.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَأُمَّهَاتُكُمُ اللاَّتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: Dan ibu-ibumu yang menyusui kamu dan saudara perempuan susuan kamu.
(Surah al-Nisa’: 23)
3. Anak perempuan daripada saudara lelaki susuan.
4. Anak perempuan daripada saudara perempuan susuan.
5. Ibu saudara susuan sebelah bapa, iaitu perempuan yang menjadi saudara susuan kepada bapa.
6. Ibu saudara susuan sebelah bapa, iaitu perempuan yang menjadi saudara sususan kepada ibu.
7. Anak perempuan susuan, iaitu anak perempuan yang menyusu dengan isteri kita. Maka, kita ialah bapa susuan kepada anak tersebut.
Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الرَّضَاعَةَ تُحَرِّمُ مَا يَحْرُمُ مِنَ الْوِلاَدَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya susuan itu mengharamkan perkahwinan, sebagaimana haram disebabkan kelahiran.” Riwayat al-Bukhari (2646).
Begitu juga hadith, daripada Ibn Abas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda tentang anak perempuan Hamzah:
لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: “Dia tidak halal bagiku disebabkan susuan (الرضاع), sebagaimana yang haram disebabkan keturunan (النسب). Dia ialah anak perempuan saudara susuanku.”
Riwayat al-Bukhari (2503) dan Muslim (1444)
Sepertimana lelaki, seorang perempuan juga haram berkahwin dengan bapa susuan, anak lelaki susuan, saudara lelaki susuan, anak lelaki kepada saudara susuan, bapa saudara susuan sebelah bapa dan bapa saudara susuan sebelah ibu.
Begitu juga haram berkahwin disebabkan susuan dengan perempuan yang berikut:
1. Ibu mentua susuan, iaitu perempuan yang menyusukan isteri kita.
2. Anak tiri susuan, iaitu anak perempuan yang telah menyusu dengan isteri kita semasa perkahwinannya dengan suami yang dahulu.
3. Ibu tiri susuan, iaitu madu kepada ibu susuan.
4. Menantu susuan, iaitu isteri kepada anak susuan.
Haram yang Sementara
Haram yang sementara bermaksud perempuan yang haram dikahwini untuk sementara waktu atas sebab-sebab tertentu. Apabila sebab yang tersebut hilang,, maka perempuan itu boleh dikahwini. Sekiranya perempuan itu dikahwini sebelum sebab pengharamannya hilang, perkahwinan tersebut batal.
Perempuan yang haram dikahwini untuk sementara waktu ialah:-
1. Bermadu antara dua saudara perempuan (الجمع بين الأختين)
Saudara perempuan sama ada nasab atau susuan adalah haram dimadukan, sama ada dengan aqad serentak ataupun berlainan. Sekiranya aqad itu berlaku serentak, pernikahan tersebut adalah batal. Dan sekiranya berlainan masa, maka aqad perkahwinan yang kedua batal.
Jika isteri diceraikan dan selesai iddahnya atau telah meninggal dunia, halal bagi bekas suaminya mengahwini saudara bekas isteri.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَأَن تَجْمَعُواْ بَيْنَ الأُخْتَيْنِ إَلاَّ مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّ اللّهَ كَانَ غَفُوراً رَّحِيماً
Maksudnya: Dan diharamkan kamu menghimpunkan (dalam perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah al-Nisa’: 23)
2. Bermadu dengan ibu saudara sebelah bapa, ibu saudara sebelah ibu, anak saudara saudara perempuan, anak saudara saudara lelaki, cucu daripada anak lelaki dan perempuan
Para fuqaha’ membuat kaedah bagi menentukan perempuan yang haram dimadukan. Mereka menyatakan dua orang perempuan haram bermadu. Seandainya seorang daripada mereka lelaki, mereka tidak boleh berkahwin.
Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يُجْمَعُ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَعَمَّتِهَا، وَلاَ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَخَالَتِهَا
Maksudnya: “Perempuan jangan dimadukan dengan ibu saudara sebelah bapa, dan ibu saudara sebelah ibunya.”
Riwayat al-Bukhari (4820) dan Muslim (1408)
Hikmah haram madu semua perempuan yang dinyatakan sebelum ini adalah untuk mengelakkan perasaan dengki di kalangan saudara mara. Hal ini adalah kerana ia akan menimbulkan perasaan cemburu di kalangan isteri tersebut.
Hal ini berdasarkan hadith, daripada Isa bin Talhah RA, katanya:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَنْ تُنْكَحَ الْمَرْأَةُ عَلَى قَرَابَتِهَا مَخَافَةَ الْقَطِيعَةِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang perempuan dimadukan dengan saudara-maranya kerana dibimbangi akan memutuskan silaturrahim.”
Riwayat Abu Daud dalam al-Marasil dan al-Syauqani dalam Nail al-Awtar (6/147)
Jika seorang daripada perempuan tersebut diceraikan dan selesai iddahnya, atau meninggal dunia, bolehlah saudaranya yang seorang lagi dikahwini.
3. Berkahwin lebih daripada empat orang perempuan
Seorang lelaki tidak boleh mengahwini perempuan kelima ketika mempunyai empat orang isteri. Ia hanya dibenarkan apabila seorang daripada isteri yang sedia ada itu meninggal dunia atau diceraikan dan selesai iddahnya.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَانكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلاَثَ وَرُبَاعَ
Maksudnya: Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: Dua, tiga atau empat.
(Surah al-Nisa’: 3)
Begitu juga hadith, daripada Qays bin al-Harith RA, katanya:
أَسْلَمْتُ وَعِنْدِي ثَمَانُ نِسْوَةٍ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اخْتَرْ مِنْهُنَّ أَرْبَعًا
Maksudnya: “Aku telah memeluk agama Islam dan ketika itu aku mempunyai lapan orang isteri. Lalu aku memberitahu Rasulullah SAW akan perkara itu. Maka, Rasulullah SAW bersabda: “Pilihlah empat orang daripada mereka.”
Riwayat Abu Daud (2243)
4. Mengahwini perempuan Musyrik menyembah berhala
Perempuan musyrik yang dimaksudkan ialah penganut agama yang tidak mempunyai kitab samawi. Perempuan ini halal dikahwini jika dia telah memeluk Islam.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلاَ تَنكِحُواْ الْمُشْرِكَاتِ حَتَّى يُؤْمِنَّ وَلأَمَةٌ مُّؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْ
Maksudnya: Dan janganlah kamu menikahi wanita-wanita Musyrik, sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita yang Mukmin lebih baik dari wanita Musyrik, walaupun dia menarik hatimu.
(Surah al-Baqarah: 221)
Kesimpulan
Berdasarkan larangan tersebut, perempuan yang mengandung bukan dengan disebabkan cerai atau kematian suami, maka ia adalah dibolehkan tetapi anak tersebut tidak boleh di’bin’kan kepada lelaki yang mengahwini perempuan tersebut. Walaupun begitu, kami cadangkan kahwinlah selepas selesai kelahiran anak supaya ianya lebih yakin dan tenang jiwa di samping keluar daripada khilaf oleh sebahagian ulama’.
Kami tegaskan dengan keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang pada 21 – 22 Januari 1971 telah membincangkan Mengahwini Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah. Persidangan telah memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu, tidak dapat pesaka daripadanya, tidak menjadi mahram kepadanya dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.
Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita semua. Ameen.
[1] Di dalam Nizam al-Usrah fi al-Islam, hikmah pengharaman ini kerana:
- Ia selaras dengan fitrah.
- Tidak mengharamkan usul isteri dan cabangnya. Begitu juga, usul suami dan cabangnya membawa kepada kesukaran hubungan kekeluargaan.
- Kalaulah tidak diharamkan dengan sebab persemendaan, nescaya membawa kepada putusnya hubungan silaturrahim.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI