Hari ini bukan saja wanita, kaum lelaki juga semakin mementingkan penjagaan diri malah mereka turut sama menggunakan produk perawatan terutama untuk kulit wajah.
Dalam pada itu timbul persoalan apa hukumnya lelaki berbuat demikian yakni menggunakan produk penjagaan kulit wajah kerana ada yang bimbang perbuatan tersebut dikategorikan sebagai lelaki menyamai kaum Wanita.
Persoalan ini dijawab oleh Mufti Pulau Pinang. Dalam penjelasan mengenai perkara ini adalah tidak menjadi masalah untuk lelaki menggunakan produk perawatan kulit kerana menurut pakai kajian kulit produk rawatan kulit ini tidak memiliki kaitan gender.
“Sebagian besar produk penjagaan kulit di pasaran diformulasikan untuk kaum wanita. Sementara itu, banyak juga para lelaki yang menyedari pentingnya menjaga kesihatan kulit dan penampilan mereka dan walaupun terdapat produk yang diformulasikan khas bagi mereka tetapi ia amat terhad.
“Menurut para pakar kajian kulit, produk perawatan kulit sebenarnya tidak memiliki kaitan gender. Jadi tidak menjadi masalah jika lelaki menggunakan produk perawatan kulit wanita dan begitu juga sebaliknya. Tidak ada yang spesifik untuk lelaki atau untuk wanita. Sebenarnya menjadi keperluan yang sama bagi lelaki atau wanita untuk menggunakan penjagaan kulit yang sesuai.
Diharuskan bagi umat Islam lelaki menggunakan produk penjagaan kulit dan muka, keharusan ini adalah tertakluk selagi mana produk tersebut diperbuat daripada bahan-bahan yang halal, tidak mengandungi najis dan tidak memudaratkan.
Hukum lelaki menggunakan produk penjagaan wajah wanita adalah harus sekiranya ia digunakan untuk membersih dan merawat kulit wajah dan bukan atas tujuan kesombongan atau meniru penampilan seorang wanita yang dilarang dalam Islam.
Di dalam Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Trmizi dinyatakan;
قَالَ الطَّبَرِيُّ: الْمَعْنَى لَا يَجُوزُ لِلرِّجَالِ التَّشَبُّهُ بِالنِّسَاءِ فِي اللِّبَاسِ وَالزِّينَةِ الَّتِي تَخْتَصُّ بِالنِّسَاءِ وَلَا الْعَكْسُ.
قَالَ الْحَافِظُ: وَكَذَا فِي الْكَلَامِ وَالْمَشْيِ فَأَمَّا هَيْئَةُ اللِّبَاسِ فَتَخْتَلِفُ بِاخْتِلَافِ عَادَةِ كُلِّ بَلَدٍ فَرُبَّ قَوْمٍ لَا يَفْتَرِقُ زِيُّ نِسَائِهِمْ مِنْ رِجَالِهِمْ فِي اللُّبْسِ, لَكِنْ يَمْتَازُ النِّسَاءُ بِالِاحْتِجَابِ وَالِاسْتِتَار
Maksudnya: Al-Imam al-Tabari berkata: “Tidak harus bagi lelaki menyerupai wanita dalam pemakaian dan perhiasan yang telah dikhaskan buat wanita dan begitulah juga sebaliknya”. Imam al-Hafiz Ibn Hajar pula berkata, “Tidak harus menyerupai dalam percakapan dan cara berjalan manakala daripada segi pemakaian pula berbeza mengikut adat pemakaian sesuatu tempat dan kaum. Terdapat juga di kalangan mereka tidak wujud perbezaan cara pemakaian wanita dan lelaki tetapi kebiasaannya pakaian wanita lebih sopan dan menutup aurat”. [Rujuk; Tuhfah al-Ahwazi jld. 8, hlm. 57]
Dapat difahami daripada penjelasan Imam Ibnu Hajar di atas bahawa sesuatu perbuatan atau penggunaan sesuatu benda yang tidak dikhususkan pada mana-mana gender maka hukumnya harus kedua-dua gender melakukannya.
Sumber: Mufti Pulau Pinang