
Kisahnya sangat viral di seluruh dunia kerana dikatakan mennjadi ‘penjaga’ Hagia Sophia, masjid dan juga monumen paling bersejarah yang terletak di Istanbul.
‘Penjaga’ terkenal ini bukanlah seorang manusia tetapi seekor kucing yang dikenali dengan nama Gli.
Kehidupannya memang penuh warna-warni dan kehadirannya di masjid ini yang dulunya adalah muzium sangat disayangi ramai.

Bukan sahaja bagi mereka yang pernah melawat Hagia Sophia tetapi juga yang hanya dapat memerhati serta mengagumi kucing ini dari jauh.
Malah Gli terlah berjaya menarik perhatian apabila Hagia Sophia diisytiharkan kembali menjadi masjid Julai tahun lalu. Kehadirannya ternyata berjaya mencuri tumpuan pengunjung di tempat berkenaan.
Setiap kali pengunjung berkunjung ke sana, pastinya mencari si comel ini dan gelagat yang comel dan mesra membuat setiap yang datang jatuh hati.

Namun dua hari lepas menerusi akaun Instagram kucing berkenaan, Gli telah dilaporkan meninggal dunia pada usia 16 tahun.
Kucing kesayangan ramai ini disahkan mati di sebuah klinik veterinar selepas mendapat rawatan akibat sakit tua. Gli menghembuskan nafas terakhirnya malam Sabtu lalu.
Gli yang bermaksud penyatuan kasih sayang, mendiami masjid berkenaan sejak dilahirkan tahun 2004. Ibunya, Sofi, juga penghuni Hagia Sophia.

Gli mula popular di seluruh dunia selepas ia fotonya dirakam bersama bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, dan Presiden Turki, Tayyip Erdogan.
Ternyata kehilangannya dirasai oleh semua yang mengenali Gli. Ramai menzahirkan rasa sedih di laman media sosial masing-masing.

Fakta Menarik Gli:
1. Gli dilahirkan pada 2004. Ibunya, Sofi, juga penghuni Hagia Sophia.
2. Gli dilahirkan tiga beradik, iaitu Pati (jantan) dan Kizim (betina).
3. Nama Gli pada mulanya ialah Gri (bermaksud kelabu, atau Grey dalam bahasa Inggeris). Nama itu diberikan oleh salah seorang pekerja yang bertugas di Hagia Sophia.
4. Nama itu kemudiannya berubah menjadi Gli, bermaksud penyatuan kasih sayang.
5. Gli hanya pernah melahirkan seekor anak. Namun, anaknya mati selepas dilanggar bas pelancong.

Sumber: Astro Awani
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
“Dulu Saya Lalai & Khayalkan Orang. Tapi Pelan-Pelan Allah Tarik Untuk Berubah” – Luah Iwan Dangdut

Siapa tidak mengenali penyanyi dangdut yang cukup populat lewat 90-an, Iwan Dangdut atau nama sebenarnya Wan Syahman M. Yunus.
Di zaman kegemilangannya, beliau dipuji kerana lagu nyanyiannya bergenre dangdut yang sangat mengasyikkan tika mendengarnya.
Tetapi itu cerita lamanya, kini beliau yang lebih senang dipanggil Iwan Syahman mahu dikenali sebagai individu yang menyebarkan dakwah Islam dengan cara tersendiri.
Namun tidak mudah untuknya melupakan kenangan lalu, sebaliknya dijadikan ikhtibar dalam menyebarkan dakwahnya kini.

Ketika mudanya beliau memang suka merantau untuk menimba pengalamman sementelah jiwa muda yang inginkan kebebasan hidup.
Bahkan, beliau pernah tinggal beberapa ketika di Jerman dan Jepun, sebelum datang ke Singapura pada 1980. Pada 1984 Iwan datang ke Malaysia, juga atas kegemaran merantau sambil mencari kehidupan.
Artikel Berkaitan: Dah Bertahun Simpan Niat, Akhirnya Linda Hashim Sempurna Berhijab. Ubah Penampilan Dengan Baju Labuh!
Beliau memilih untuk menetap di Seremban memandangkan ramai sanak-saudara sebelah emaknya dari Sumatera tinggal di daerah itu.
“Masa tu saya masih muda, belum tahu nak jadi artis ke apa. Tapi di situlah mula berjinak-jinak dengan dunia muzik. Kebetulan saya memang suka bergaul dengan orang, bermain gitar dengan anak-anak muda sambil menyanyi, selalu datang rumah dia orang, makan malam, makan tengahari, ramai lah jadi mak angkat saya”, cerita Iwan mengenang kisah silamnya.

Di situlah beliau mula terlibat secara lebih aktif dengan dunia muzik. Bermula sebagai penyanyi di pub dan kelab malam, beliau kemudiannya menubuhkan kumpulan muzik.
“Selepas dua tahun (di Seremban), pindah ke Kuala Lumpur. Kita main group band pulak, dan yang terakhir group saya tu “The Artstream”. Saya pemain gitar bass, timba pengalaman selama tiga tahun, sambil tu menyanyi juga. Kemudian dari situ saya belajar recording (rakaman). Selepas itu barulah saya pergi ke album, buat sendiri”, ujarnya.
Di zaman kegemilangannya banyak lagunya menjadi siulan terutama menerusi lagu-lagu duetnya bersama beberapa penyanyi wanita, termasuk seorang artis dari India. Lagu-lagu irama dangdutnya menjadi kegemaran ramai hingga kini.
Namun Allah menduganya apabila dia juga turut mengalami perpisahan dengan dua rumah tangga terdahulu termasuk bersama seorang artis wanita popular.
Mula-mula (isteri pertama) orang Kelantan, 8 tahun (kahwin, dapat) anak tiga. Isteri kedua dari Terengganu, tak ada anak, cerai juga lepas 8 tahun,” jelas Iwan lagi.

“Selepas itulah Allah bagi satu fikir pada saya, saya fikir kenapa sebenarnya hidup saya ini macam ini? Bagi saya, tanda-tanda yang Allah bagi, menerusi ketakutan demi ketakutan yang kita alami, menyebabkan saya terfikir bahawasanya saya perlu berubah.
“Alhamdulillah lah, Allah Ta’ala ni, Dia sangat (dan) masih sayangkan saya. Sehingga kalau kita tengok bukti-buktinya, pada saya lah kan, tak ada lagi sebenarnya cubaan yang berat-berat. Tuah bagi saya, kalau menurut dari hidup saya ini yang sudah terlalu “jauh” (dari agama) ini kan, sepatutnya dah teruk dah (kena ujian Allah), tapi Dia masih beri saya sempurna lagi kan?”, ujarnya yang amat positif terhadap rahmat Tuhannya.
Kini, beliau dengan sepenuh hati meyakini perjalanan hidupnya yang sebegitu sudah diaturkan oleh Allah untuknya.
Apatah lagi selepas diberikan hidayah untuk berhijrah dan berubah, Allah menemukannya dengan sebuah jemaah dakwah.

Beliau akui, menerusi penglibatannya dalam jemaah tersebut beliau mendapat keyakinan dan petunjuk.
“Alhamdulillah, bila saya masuk jemaah, Allah bagi petunjuk kepada saya, nampak keindahan dan keseronokan untuk beragama. Kita perlukan itu (hidup beragama) sebenarnya. Sedangkan saya zaman remaja sibuk dengan khayalan-khayalan,” katanya.

Komitmennya untuk berubah bertambah kukuh apabila merasakan Allah Ta’ala mentakdirkannya untuk berfikir menebus kesilapan silam.
Jika dulu Iwan banyak mengkhayal dan melalaikan orang, sekarang Allah memberinya satu pemikiran agar menyuci dan menebus kembali kesalahan itu.
Artikel Berkaitan: Hijrah LAPAN Artis Wanita, Jadi Inspirasi Wanita Untuk ‘Berubah’
SUMBER: DENAIHATI.COM
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
“Hari-Hari Buat Solat Hajat Mohon Kekuatan DariNya” – Wanita Ini Kongsi Detik Cemas Saat Suami & Anak Disahkan Positif COVID-19

Selama ini kita hanya mendengar pengalaman orang lain yang diuji Tuhan apabila disahkan positif COVID-19.
Tetapi tidak pernah terfikir mungkin salah seorang adalah insan yang kita pernah kenali sebelum ini.
Seperti perkongsian wanita ini di laman sosial, yang juga bekas teman sekerja penulis Zuraita Mohd Anua memberitahu kisah di mana anak dan suami tersayang disahkan positif COVID-19.
Segera menghubungi dirinya untuk meminta keizinan berkongsi kisah sebagai seorang isteri yang terpaksa berpisah dengan insan tersayang demi keselamatan bersama.
Dapat merasakan kebimbangannya dan rasa getir menempuh ujian berganda dari Allah SWT. Ternyata saat berdepan waktu kesukaran itu hanya Allah sahaja yang tahu.

Assalammualaikum wbt.
Sebelum tu nak minta maaf sebab catatan ini panjang.
Semuanya bermula pada Ahad 1 March 2020. Suami saya telah mendapat panggilan telefon dari company secretary memberitahu terdapat satu kes positive COVID-19 di syarikatnya bekerja. Setelah kes tersebut disahkan, semua yang ada dalam meeting dengan anggota pekerja terbabit seminggu sebelumnya diarahkan kuarantin di rumah serta merta berserta family. Suami saya pun terlibat! Allahuakbar, DIA sahaja yang tahu betapa takut, keliru dan sedihnya kami waktu itu. Masih segar di mata saya wajah pucat suami sebaik menerima berita itu.
Suami terus kuarantin diri di dalam bilik. Saya dan anak-anak bingung. Kami takut kerana kami tak tahu bagaimana untuk mendepaninya. Ini sesuatu yang baru. Selama ini kita dengar virus itu jauh di Wuhan China, rupanya virus itu sudahpun mengetuk pintu rumah kami sekeluarga.
Sehari selepas itu, suami dan beberapa orang contact yang telah dikenal pasti diminta menjalani swab test di hospital. Menunggu keputusan sepanjang tempoh itu adalah saat-saat yang paling menakutkan. Hati tak putus-putus berdoa agar keputusannya negatif. Ketakutan semakin kuat apabila seorang demi seorang rakan sekerjanya disahkan positif. Allahuakbar!
Suami saya pula tidak menunjukkan sebarang simptom yang ketara. Dua tiga hari sebelumnya, suami cuma mengadu badannya terasa macam nak kebah dari demam. Selain itu, deria baunya juga tiba-tiba sensitif. Itu sahaja.
Keesokan harinya lebih kurang jam 6.30 petang (3 March), suami mendapat panggilan telefon dari doktor terlibat, memberitahu kenyataan yang tak ingin kami dengar. Dia positive! Antara ingin menerima dan menafikan, Allah SWT sahaja yang tahu betapa dahsyatnya situasi kami ketika itu.
Doktor meminta suami bertenang, packing barang yang perlu sahaja. Ambulance akan datang lebih kurang jam 12.50 malam. Saya amat sedih waktu itu. Walaupun kerajaan belum menganjurkan social distancing, kami telah terlebih dahulu melakukannya. Suami tak benarkan saya masuk ke dalam bilik dan menghampirinya langsung. Dia packing barangnya sendiri.

Suami turut meminta pemandu ambulance yang datang nanti agar memadamkan bunyi siren. Ini untuk mengelakkan rasa panik jiran-jiran. Maklumlah, kes ini masih baru waktu itu. Orang ramai belum banyak maklumat mengenainya. Masih saya ingat, masing-masing pucat, tak tahu untuk bereaksi. Melepaskan suami ke hospital pun, saya rasa macam tak percaya.
Pukul 12.30 malam, suami saya turun dari bilik dengan beg yang disiapkan sendiri. Tiada salam, tiada pelukan untuk saya seperti rutin hariannya sebelum keluar bekerja. Pandangan matanya juga sayu untuk anak-anak. Laju suami keluar. Tiada satu pun barang yang disentuh. Pintu rumah pun saya yang buka dan tutupkan.
Lama juga suami berdiri di luar, menunggu ambulance yang tak kunjung tiba. Saya pula menunggu di dalam rumah. Hati saya berbalam-balam. Suami minta saya tidur dahulu. Tak mungkin! Saya tetap nak temani dia. Kami membisu seribu bahasa. Hampir jam 1 pagi, ambulance akhirnya sampai. MA turun dari ambulance, lengkap dengan suit PPE. Saya tak pasti ada jiran yang nampak atau tidak, saya tak kuasa memikirkannya. Itulah malam pertama suami di hospital.
Keesokan harinya, saya dan anak-anak perlu menjalani swab test segera kerana kami close contact suami. Sekali lagi kami hidup dalam ketakutan untuk menunggu keputusan. Dalam hati, saya amat risau memikirkan jika saya yang positive. Bagaimana keadaan anak-anak di rumah? Mampukah mereka menjaga sesama sendiri? Dalam gundah, saya penuhkan juga peti sejuk dan kabinet dapur dengan banyak stok makanan dan berdoa agar apa yang saya takuti ini tidak terjadi. Suami juga memujuk saya walaupun saya tahu dia sendiri kurang stabil. Katanya, Allah SWT Maha Adil. Kita doa yang baik-baik.
Dua hari kemudian (6 March) lebih kurang jam 6.40 petang, saya mendapat panggilan telefon dari pegawai Pejabat Kesihatan Derah (PKD) memberitahu sesuatu yang tak pernah saya jangka. Saya dan dua anak lagi negatif. Tapi lemah lutut saya menerima kenyataan tentang anak bongsu saya pula yang disahkan positive. Ya Allah!

Berkali-kali pegawai PKD berkenaan meminta saya jangan sesekali memberitahu sesiapa tentang kes anak saya ini. Kata mereka, kes melibatkan murid sekolah sangat rumit. PKD akan uruskan sendiri dengan pihak sekolah dan PPD mengikut SOP mereka. Saya akur, pada keluarga pun saya tak beritahu.
Anak saya menangis selepas mendengar khabar itu. Allahuakbar, luluh seluluh luluhnya hati saya melihat tangisannya. Saya tanya, kenapa dia menangis. Katanya dia keliru, dia tak faham. Saya pujuk dia, saya kata Allah akan jaga dan sembuhkan dia. Allah hantar dia ke hospital untuk jaga bapanya. Dia senyum dan menganggukkan kepalanya, walaupun air matanya masih bergenang.
Ketika berhubung dengan suami melalui telefon memberitahu hal ini, suami menangis berkali-kali meminta maaf. Katanya, kerana dia, kami perlu hadapi semua ini. Saya kata, tak pernah sekalipun kami menyalahkan dia. Dia keluar mencari rezeki halal, sudah tertulis Allah SWT memilih kami untuk melalui ujian ini. Siapalah kita untuk mempersoalkan takdir Allah.
Baru tiga hari dikejutkan dengan perihal suami, kena terima kenyataan tentang anak kecil pula, adalah sesuatu yang berat untuk saya. Disebabkan keadaan sudah mula ‘panas’ di taman perumahan waktu itu, saya meminta agar ambulance tidak datang mengambil anak saya di rumah. Setelah berbincang, doktor terbabit meminta saya menghantar anak saya di lorong belakang sebuah klinik berhampiran lebih kurang jam 11.30 malam. Ambulance akan ambil dia dari situ.

Dalam ketakutan dan kepasrahan, saya bawa anak saya ke tempat yang dijanjikan. Bayangkanlah betapa luluhnya hati saya waktu itu. Nak pegang dia tak boleh, nak peluk pun tak boleh. Hanya air mata yang tak henti-henti mengalir. Inilah antara pengalaman yang takkan saya lupakan seumur hidup.
Apapun sedikit sebanyak saya lega kerana bapanya ada menanti dan akan menjaganya di hospital. Namun, melepaskan dua orang belahan jiwa untuk diasingkan kerana virus baru ini, adalah sesuatu yang sangat sukar untuk saya atau sesiapa sahaja lakukan. Hanya Allah SWT yang tahu.
Untuk kes anak saya sahaja, ada 50 orang close contact telah dikenal pasti. Mereka perlu menjalani swab test. Allah Maha Besar, alhamdulillah tiada seorang pun close contact anak saya yang positive, semuanya negative! Dan, bagi close contact suami pula, cuma anak bongsu kami sahaja yang positive, manakala saya, dua orang anak dan rakan-rakan sekerjanya semua negative. Syukur!
Saya yakin, anak saya dihantar ke hospital adalah atas takdir Allah SWT. Setelah saya dan suami duduk dan berfikir, kami yakin ada hikmah di sebalik semua ini. Anak saya ini sangat manja dengan bapanya. Mereka berdua amat rapat. Saya percaya, kehadirannya ke sana adalah sebagai penguat semangat untuk membantu bapanya sembuh. Terkurung di dalam isolation ward 24 jam selama 11 hari, bukanlah sesuatu yang mudah. Minda sentiasa berperang dengan hati. Bak kata suami saya, depressed adalah perkataan paling tepat untuk menggambarkan perasaannya sepanjang di situ.
Dugaan saya di rumah juga tak kurang hebatnya waktu ini. Group WhatsApp sekolah dan taman sangat panas. Masing-masing memperkatakan tentang hal itu walaupun mereka tidak tahu maklumat lengkap. Hari-hari saya hidup dalam ketakutan. Takut dengan reaksi jiran, takut dengan apa yang akan datang lagi selepas ini. Tetapi saya tak kongsikan banyak dengan suami. Saya tak mahu dia tertekan kerana ia boleh mengganggu proses penyembuhannya. Emosi suami lebih penting waktu ini. Hal-hal di luar ini biar saya tangani sendiri. Namun saya amat bersyukur kerana guru besar, guru kelas, guru- guru dan ibu bapa rakan-rakan sekelas anak saya sangat supportive. Mereka terlalu baik dan professional menangani isu ini. Alhamdulillah.


Hari-hari juga saya membuat solat hajat. Mohon kekuatan sungguh-sungguh dariNya. Kuasa doa memang sangat hebat waktu ini. Saya tak kuat tapi saya minta Allah menguatkan saya. Satu yang melegakan hati, keadaan suami dan anak saya stabil. Mereka tak demam, batuk dan sebagainya. Mereka cuma perlu dikuarantin untuk membiarkan antibodi bertindak sendiri melawan virus tersebut. Keletah anak saya tetap sama macam biasa. Selalu suami saya hantar video anak saya. Terubat rindu. Saya di rumah sering menangis. Keadaan amat sukar. Sedih, rindu, risau, sunyi.
Saya akui saya mungkin kuat jika hanya suami yang melaluinya. Saya percaya dia mampu. Namun apabila memikirkan tentang anak bongsu, saya jadi lemah. Sepanjang waktu itu, saya benar-benar merindui mereka berdua terutama si kecil itu. Teringat wajah manisnya, senyumannya, gelagatnya. Sungguh saya tak kuat. Tak pernah kami berjauhan selama ini.
Syukur ahamdulillah selepas dua kali negatif swab test, masing-masing dibenarkan pulang ke rumah pada 14 March 2020. Saya sendiri yang menjemput mereka di hospital pada jam 1.30 pagi.
Moral daripada kisah saya ini, saya yakin Allah pilih kami untuk melaluinya kerana Allah tahu kami mampu. Tapi sebenarnya kemampuan kami mengharungi semua ini pun atas izin dan pertolonganNya juga. Terasa kerdil dan penuh dosa apabila kami muhasabah diri tatkala diuji ini. Kadang-kadang ujian itu tak berat, tapi Allah hadirkan rasa gelisah seketika untuk menjadikan kita lebih kuat. Alhamdulillah, kami bergantung penuh padaNya.
Dalam kesusahan, DIA hadirkan kelapangan. Dalam kerisauan, DIA hadirkan ketenangan. Syukur alhamdulillah, dulu pahit kini manis akhirnya. Moga kami lebih istiqamah padaNya. Banyak yang telah mengubah saya dan suami daripada ujian ini. Alhamdulillah semuanya manis-manis. Itulah hikmah dari sebuah ujian.

Walaupun cuma dua minggu, namun ia adalah dua minggu yang penuh makna. Syukur alhamdulillah semuanya sudah kembali seperti sediakala. Semoga kita semua terpelihara dari wabak ini. Semoga wabak ini juga segera pergi. Moga Allah SWT mencucuri rahmatNya untuk mereka yang terkorban akibat virus ini. Moga Allah SWT menyembuhkan mereka yang sedang dirawat dan memudahkan urusan ahli keluarga mereka. Sesungguhnya Allah SWT Maha Adil, Maha Pengasih Lagi Maha Pengasihani. Aamiin.
*Terima kasih KKM, HSB, PKD,seluruh ahli keluarga, pihak sekolah dan teman-teman. Allah SWT sahaja yang mampu membalasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: “Dikunci 24 Jam Dalam Bilik Selama 11 Hari” – Reza
KASHOORGA: Suami Zuraita, Reza Huzairi Zayn antara pesakit COVID-19 kes ke 46 sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Selama 11 hari isolasi di dalam wad, selepas suami sembuh, dia menjadi individu pertama yang mendermakan plama drah untuk diujikaji.
Sekiranya ujikaji berjaya, bakal digunakan sebagaiserum untuk merawat pesakit COVID-19. Kita doakan semoga segala urusan dipermudakan.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Sambut Ramadan Dengan Hias Rumah, Tukar Langsir Macam Nak Sambut Raya

Sambut Ramadan dengan hias rumah, tukar langsir macam nak sambut raya. Menjelang Ramadan, umat Islam digalakkan untuk melakukan persiapan bukan sahaja dari segi fizikal, malah juga rohani. Bulan yang penuh keberkatan ini wajar disambut dengan hati yang lapang serta usaha memperbanyakkan amalan ibadah.
Sambut Ramadan Dengan Hias Rumah, Tukar Langsir Macam Nak Sambut Raya
Penceramah terkenal, Asni Mansor, menyarankan agar kebiasaan menghias rumah seperti menukar langsir dan mengemas kediaman tidak hanya dilakukan untuk menyambut Syawal, tetapi juga sebagai tanda penghormatan terhadap kehadiran Ramadan.
“Kita sering bersemangat untuk memperindah rumah ketika Aidilfitri, jadi mengapa tidak kita lakukan perkara yang sama untuk menyambut Ramadan? Ini bukan sekadar persiapan luaran, tetapi juga simbol kesediaan hati kita untuk menghayati bulan yang mulia ini,” ujarnya dalam majlis ilmu yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Selain itu, Asni turut menekankan kepentingan mengisi Ramadan dengan amal ibadah seperti membaca al-Quran, menunaikan solat tarawih, serta tidak meninggalkan sahur.
Menurut Asni, penglibatan golongan artis dan pempengaruh dalam program sebegini adalah langkah terbaik untuk menarik lebih ramai masyarakat mendekati ajaran Islam.
“Mereka mempunyai pengaruh besar di media sosial, jadi amat baik sekiranya platform ini dimanfaatkan untuk menyebarkan ilmu dan kebaikan. Pempengaruh sejati bukan hanya dikenali di dunia, tetapi juga mendapat ganjaran pahala di akhirat,” jelasnya.
Beliau hadir dalam program Indahnya Hijab, Hebatnya Ramadan, anjuran Karya Bestari, anak syarikat Kumpulan Karangkraf, yang berkolaborasi dengan pelakon Betty Rahmad.
Menjelang Ramadan, anak syarikat Kumpulan Karangkraf iaitu Karya Bestari menganjurkan program ‘Indahnya Hijab, Hebatnya Ramadan’ dengan kolaborasi bersama pelakon, Betty Rahmad.
Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, objektif utama program berkenaan adalah untuk meraikan Ramadan yang bakal tiba, di samping menambahkan ilmu dan merapatkan ukhuwah sesama masyarakat Islam.
“Sebelum ini, Karya Bestari ada ekerjasama dengan artis dan individu terkenal lain tapi bukan di peringkat besar macam ni. Bersama Betty, kita ada taja buku agama dan al-Quran sebagai salah satu usaha untuk meramaikan lagi orang untuk membaca al-Quran.
“Program Indahnya Hijab, Hebatnya Ramadan ini lebih fokus kepada merapatkan ukhuwah dan menyiapkan diri ke arah Ramadan. Disebabkan itu kita jemput juga penceramah agama untuk memberikan tazkirah dan pencerahan yang lebih supaya peserta kita dapat mempersiapkan diri menjadi muslimah sejati,” katanya.
Selain penceramah agama terkenal Asni Mansor, majlis ini turut dihadiri penceramah Mohamad Zarifi Mohamad Daud serta selebriti seperti Datuk Nora Ariffin, Erma Fatima, Nora Danish dan Intan Ladyana.
Program itu melibatkan kira-kira 200 peserta termasuk artis terkenal tanah air dan pempengaruh. Majlis ilmu ini bertujuan menyebar luas tentang indahnya hijab dan keistimewaan Ramadan supaya menjadi muslimah sejati.
Betty Rahmad ketika ditemui menjelaskan perasaan gembiranya kerana dapat bekerjasama sekali lagi dengan Karya Bestari.
“Betty buat kelas tadabbur al-Quran ini sudah dua tahun. “Kali ini, kami nak buat kelainan dengan ajak bersama pengikut untuk turut serta. Itu yang memang Betty idamkan dan doa selama ini sebab selalunya Betty buat di rumah sahaja.
“Walaupun tidak dapat jemput semua pengikut, Betty gembira kerana dapat berjumpa dengan 200 orang yang menyertai program ini. Lebih bermakna, kami dapat berkongsi ilmu agama bersama agamawan” jelasnya.
Sementara itu, pelakon Intan Ladyana turut berkongsi azamnya sempena Ramadan. Tiga perkara utama yang ingin dicapainya ialah memperbanyakkan doa dan bacaan al-Quran setiap hari, mengamalkan sedekah sebanyak mungkin, serta berusaha menunaikan qiamullail jika berkesempatan.

“Saya ingin pastikan segala amalan dilakukan dengan bersungguh-sungguh, seolah-olah ini adalah Ramadan terakhir saya. Mudah-mudahan semua usaha kita diterima oleh Allah,” katanya.
Dengan persediaan rapi dan keikhlasan hati, diharapkan Ramadan kali ini menjadi lebih bermakna serta memberi keberkatan kepada semua umat Islam.
Foto: Karya Bestari
Baca artikel lain juga: Umrah Bulan Ramadan Pahalanya Seperti Menunaikan Haji Bersama Nabi
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI