Seringkali kita mengeluh apabila penat dan stres bekerja. Mungkin apabila sudah terlalu penat maka bermacam-macamlah yang keluar daripada mulut dan terlintas di fikiran.
Banyak kali juga kita mengeluh “Ya Allah letihnya. Penat seharian siapkan kerja di pejabat hari ini. Esok nak kena siapkan kerja lain pula.”
Tak cukup dengan itu kita mengeluh pula dengan kesesakan jalan selepas pulandari bekerja.
Sedangkan hakikatnya, kita sebenarnya tak perlu mengeluh penat bekerja kerana kepenatan ganjaran mencari rezeki yang halal ini cukup besar.
ADA GANJARAN PAHALA
Kepenatan bekerja ganjarannya bukan sekadar nafkah untuk keluarga semata-mata, bahkan ALLAH SWT juga akan mengampunkan dosa-dosa kita pada hari itu.
Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang pada petang harinya berasa letih daripada amal usaha yang dilakukan dengan kedua tangannya sendiri, maka dia pada petang itu telah diampunkan dosanya.” (Riwayat at-Tabrani)
Sesungguhnya, ALLAH menyukai orang yang penat mencari rezeki yang halal kerana ia juga merupakan satu ibadah yang wajib selepas solat fardu.
Ada satu kisah tentang seorang lelaki yang sangat rajin bekerja ketika zaman Rasulullah SAW.
RAJIN KE JALAN ALLAH
Baginda dan sahabat melihat kerajinan lelaki ini bekerja, lalu seorang sahabat Nabi Muhammad SAW bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah kerajinannya bekerja itu digunakan ke jalan ALLAH?”
Rasulullah SAW menjawab, “Apabila dia keluar mencari rezeki kerana anaknya yang masih kecil, maka dia di jalan ALLAH. Apabila dia keluar mencari rezeki kerana kedua orang tuanya yang sudah berusia lanjut, maka dia di jalan ALLAH. Apabila dia keluar mencari rezeki kerana dirinya sendiri supaya terjaga harga dirinya, maka dia di jalan ALLAH. Apabila dia keluar mencari rezeki kerana riak dan kesombongan, maka dia di jalan syaitan.”
(Riwayat al-Mundziri, at-Targhib wa at-Tarhib)Subhanallah begitu besar ganjarannya buat mereka yang letih bekerja mencari rezeki yang halal dengan tulang empat kerat.
Semoga apa jua pekerjaan yang kita lakukan selama ini akan diterima oleh ALLAH dan melayakkan kita mendapatkan keampunan-Nya.
(Sumber Kredit: Muhd Nasruddin Dasuki via Sinar Harian)