Masih lagi terbayang kemeriahan ‘wedding of the year’ Mira Filzah dan suaminya Wan Emir Astar bulan lalu.
Dan kini keduanya sudah hampir sebulan lebih melayari kehidupan sebagai pasangan suami isteri dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama dalam mengukuhkan ikhwah seperti sembahyang berjemaah.
Dalam perkongsian di laman Instagram Wan Emir memberitahu bahawa dengan melakukan solat berjemaah dan membaca Al-Quran bersama paşangan adalah cara terbaik menyatakan kesyukuran atas sebuah perkahwinan.
Menurutnya dia dan isteri memilih melakukan ibadah berkenaan bersama-sama sebagai membayar ‘hutang budi’ kepada Maha Pencipta.
“Sekiranya seorang suami dan isteri bersyukur kepada Yang Maha Kuasa selama-lamanya kerana membuka jalan untuk mereka bernikah serta menyusuri lorong perkahwinan, mengapa mereka tidak terus bersyukur kepada-Nya bersama sepanjang hidup mereka?
Ads
“Bagi saya dan isteri, solat berjemaah dan tadarus (membaca Al-Quran bersama-sama) adalah cara untuk menyatakan rasa hutang abadi ini dan penghargaan yang tidak dapat dilukiskan kepada-Nya atas segala yang diberkati-Nya.
“Walaupun dia (Mira) letih atau mengantuk, dia tetap berada di sisiku, bersandar pada saya, menemani saya membaca al-Quran… berkati dia Ya Rabb,” katanya.
Menurutnya lagi dia selalunya akan mengajak pasangannya melakukan rutin amalan ini sehari sekali sebagai tanda penghargaan atas segala rahmat dikurniakan Tuhan.
Ads
“Tidak salah melakukan ibadah wajib misalnya solat fardu bersendirian. (Namun) sekiranya suami dan isteri dapat menjalankan tugas-tugas rumah di dalam atau di luar bersama-sama, pasti 5 hingga 10 minit (juga) boleh diluangkan untuk berterima kasih kepada-Nya.
“Dan sekiranya kita memohon kepada Allah untuk mengurniakan insan yang terbaik, tak bolehkah kita memberikan yang terbaik kepada Tuhan selepas Dia mengurniakan apa yang diminta.
Ads
“Setiap langkah, bersama-sama, lebih-lebih lagi ketika bertemu Pencipta kita. Lagi pun, tidakkah kita mahu berakhir di tempat rehat yang sama dengan pasangan jiwa kita, kemudian di akhirat?” ujarnya lagi dalam media sosialnya itu.
SOALAN:
Saya bercerai dengan isteri pertama dan berkahwin dengan isteri kedua, setelah itu saya ditimpa sakit iaitu strok, isteri kedua saya tidak mampu untuk menjaga.
Kemudian, anak-anak saya dari isteri pertama buat keputusan untuk menjaga saya di rumah mereka iaitu bersama satu rumah dengan bekas isteri.
Apakah hukum saya berada di rumah bekas isteri dalam masa yang sama saya sedang sakit dan anak-anak hendak jaga saya?
Tiada Siapa Nak Jaga
JAWAPAN:
Tidak harus bagi suami tinggal bersama-sama dengan bekas isterinya di dalam sebuah rumah atau masuk ke dalam rumah yang didiami bekas isterinya kerana dikhuatiri akan menjurus kepada fitnah dan maksiat.
Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat mahram kepada salah seorang daripada mereka bersama bekas isteri berkenaan atau orang yang setaraf dengan mahram seperti isteri yang lain atau perempuan yang boleh dipercayai, maka suami diharuskan masuk rumah tersebut dan duduk tinggal di situ.
Hukum Suami Sakit
HURAIAN JAWAPAN:
Dilarang bagi pasangan suami, isteri yang sudah tamat iddahnya untuk berada dalam satu rumah kerana hukum bekas suami ketika ini samalah seperti lelaki ajnabi (orang asing) yang lain, iaitu Haram masuk ke dalam rumah dalam keadaan tidak ada mahram atau wanita yang dipercayai di dalamnya.
Keadaan ini boleh menyebabkan terjebak kepada perbuatan khalwat. Dalam meneliti isu ini, kami bawakan sebuah kisah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. Hal ini seperti mana yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Amr R.anhuma:
أَنَّ نَفَرًا مِنْ بَنِي هَاشِمٍ دَخَلُوا عَلَى أَسْمَاءَ بِنْتِ عُمَيْسٍ فَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ وَهِيَ تَحْتَهُ يَوْمَئِذٍ فَرَآهُمْ فَكَرِهَ ذَلِكَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَقَالَ لَمْ أَرَ إِلاَّ خَيْرًا . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَرَّأَهَا مِنْ ذَلِكَ ” . ثُمَّ قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى الْمِنْبَرِ فَقَالَ ” لاَ يَدْخُلَنَّ رَجُلٌ بَعْدَ يَوْمِي هَذَا عَلَى مُغِيبَةٍ إِلاَّ وَمَعَهُ رَجُلٌ أَوِ اثْنَانِ
Maksudnya: “Suatu ketika beberapa lelaki Bani Hasyim masuk ke rumah Asma binti ‘Umais. Tidak lama kemudian Abu Bakar al-Siddiq juga memasuki rumah tersebut ketika itu Asma binti Umais telah menjadi isteri Abu Bakar. Di dalam rumah Asma, Abu Bakar melihat para lelaki Bani Hasyim tersebut, dan beliau tidak menyukai perkara itu. lalu beliau menceritakan kepada Rasulullah SAW, kemudian berkata:
“Saya tidak melihat apa-apapun melainkan perkara yang baik sahaja!” Rasulullah SAW lalu bersabda: “Allah telah membebaskan Asma dari hal-hal buruk itu.” Kemudian Rasulullah SAW naik mimbar dan bersabda: “Semenjak hari ini, jangan sekali-kali seorang lelaki menemui wanita yang menyendiri (saat suaminya tidak ada) kecuali dia disertai oleh satu atau dua lelaki lainnya”- Riwayat Muslim
Tinggal Sebumbung
Melihat pada situasi ini anak-anak dan bekas isteri sudah mengizinkan bapa atau bekas suami tinggal bersama mereka.
Perkara yang menjadi larangan dari sudut syarak adalah apabila mereka berada dalam keadaan berdua-duaan. Kerana Nabi SAW bersabda:
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Maksudnya: “Tidak berdua-duaan seorang lelaki dan perempuan (yang bukan mahram) melainkan ada yang ketiga iaitu syaitan”.
Riwayat al-Tirmizi
Oleh hal yang demikian, tidak ada halangan dari sudut hukum syarak untuk suami tinggal di dalam satu rumah dengan bekas isterinya selagi mana terdapat mahramnya seperti anak-anak mereka, bahkan ia termasuk amalan yang terpuji dan juga dikira sebagai memuliakan ayah kandung mereka.
Selain itu perkara ini juga memupuk semangat berbudi di antara bekas pasangan suami isteri yang mana perkara ini sangat-sangat dianjurkan dalam Islam sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَا تَنسَوُاْ ٱلۡفَضۡلَ بَيۡنَكُمۡۚ
Maksudnya: “Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri”.
Surah al-Baqarah
Dengan Bekas Isteri
Namun, dalam konteks bermuamalat wajib bagi kedua-dua bekas pasangan ini menepati batasan yang di tetapkan oleh syarak sebagai status ajnabi iaitu hubungan yang bukan lagi suami isteri. Selain itu, wajib juga bagi bekas isteri itu menjaga aurat dan etika pakaian menurut syariat di hadapan bekas suaminya.
Dilarang berbual panjang dalam tempat yang lama melainkan atas dasar keperluan. Selain itu, dilarang berkhalwat berdua-duaan di antara mereka. Perkara ini telah dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
Maksudnya:”Janganlah seorang laki-laki berkhalwat dengan seorang wanita melainkan jika terdapat bersamanya mahram”. -Riwayat al-Bukhari.
Kesimpulannya, Islam mewajibkan anak-anak berbuat baik kepada ibu, bapa. Lebih-lebih lagi ibu bapa dalam keadaan sakit yang memerlukan sokongan dan penjagaan dari anak-anak mereka.
Oleh yang demikian, tidak menjadi kesalahan seorang lelaki tinggal serumah bersama bekas isterinya sekiranya menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh ulama fiqh iaitu wujudnya mahram atau wanita ajnabi yang dipercayai dalam rumah itu. Semoga kita sentiasa berada dalam rahmatnya.
Kashoorga : Bila seorang ayah sakit, menjadi tanggungjawab anak-anak untuk menjaga.
Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengangkat Surah Al-Insan sebagai surah pilihan pada program World #QuranHour 1444H yang akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 13 April 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, surah Al-Insan dipilih bertujuan untuk memanusiakan ummah dengan 11 karakter insan Al-Abrar (berkebajikan).
Katanya, karakter itu mencakupi tanggungjawab seorang insan kepada ALLAH SWT dan peranan sesama manusia seperti memenuhi nazar, ikhlas, menunaikan solat fardu serta sabar.
World #QuranHour 1444H
“Pada World #QuranHour 1444H 2023, orang ramai akan disajikan dengan bacaan surah Al-Insan sekali gus dapat menghayati mesej surah tersebut dengan harapan dapat melahirkan insan Al-Abrar yang ikhlas dan sabar.
“Selain itu, program ini juga diharapkan dapat menukar pemikiran manusia daripada rasa kufur kepada syukur. Kalau dilihat kadang-kadang kita banyak tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikan,” katanya ketika menghadiri Majlis Taklimat Sinergi Media sempena World #QuranHour 1444H.
Turut hadir, Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub; Timbalan Pengerusi WUIF, Datuk Muhammad Nasir Hamzah ; Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail ; Pengurus Saluran Astro Oasis, Nadirah Karim; Pengurus Besar Program dan Kandungan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman serta Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Suzliana Abdul Hamid.
Pilih Surah Al-Insan
World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan beberapa rakan sinergi media antaranya Sinar Harian, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani dan TV9.
Tambah Marhaini, rasa syukur itu semakin terhakis kalangan masyarat, keluarga dan tempat kerja.
“Kalau kita tengok cara berfikir sekarang bukan lah seperti orang bersyukur. Apa yang diharapkan adalah manusia kembali menjadi insan sebagaimana yang ALLAH inginkan.
“Justeru, kita perlu berpegang teguh dan menjadikan al-Quran sebagai sistem operasi diri agar termasuk dalam golongan orang yang bersyukur bukan kufur,” jelasnya.
Ditanya mengenai sasaran peserta, beliau menjelaskan sebanyak lebih 1.6 billion disasarkan di seluruh dunia iaitu melebihi pada tahun 2019.
“Dengan penglibatan daripada pelbagai negara seperti Indonesia dan India, diharapkan program ini akan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan,” katanya.
Astro Oasis Jadi Penyiar Utama
Saluran Astro Oasis akan menjadi penyiar utama bagi program World #QuranHour 1444H yang akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 13 April 2023.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Nadirah Karim berkata, pihaknya berbesar hati dan teruja kerana berpeluang menyiarkan bacaan al-Quran iaitu Surah Al-Insan kepada semua masyarakat di negara ini.
“Kami sangat menyokong inisiatif dan usaha untuk menerapkan ilmu al-Quran dalam diri semua umat Islam. Saya anggap itu adalah peluang untuk kami mengumpul sebanyak mungkin pahala.
“Diharapkan orang ramai dapat meluangkan sedikit masa untuk sama-sama membaca dan memahami maksud surah tersebut sekali gus diamalkan dalam kehidupan harian,” katanya ketika menghadiri Majlis Taklimat Sinergi Media sempena World #QuranHour 1444H.
Isu rasuah di kalangan penguatkuasa bukan isu taboo. Malah sudah banyak perasuah ditangkap dan dikenakan tindakan tataterbit. Pun begitu, isu ini tidak pernah habis. Malah dari sekecil-kecil pangkat hingga ke orang politik terlihat dalam budaya rasuah. Kenapa isu rasuah masih menjadi budaya masyarakat kita? Mufti Wilayah Persekutuan mengulas isu mengapa ia menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia sama ada secara sedar atau tidak sedar.
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Memahami Makna Rasuah
Kami mulakan terlebih dahulu dengan menjelaskan makna rasuah. Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab al-risywah (الرِّشْوَةُ). Al-Fayyumi berkata: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau orang lain, agar hakim itu memenangkannya, atau agar hakim itu memutuskan hukum sesuai dengan apa yang diinginkannya. (Lihat al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Syarh al-Kabir, 3/411)
Ibn al-Athir pula menyebut: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang menghubungkan kepada keperluan/hajat dengan cara pujukan. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athr, 2/226)
Dari segi istilah, al-risywah merupakan sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 22/219) Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut: "Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya." (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 627)
Istilah rasuah telah diguna pakai dalam bahasa Melayu yang bermaksud pemberian untuk menumbuk rusuk iaitu menyogok, menyuap. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat) Syed Hussein Alattas dalam buku Rasuah, Sifat Sebab dan Fungsi, menyatakan rasuah merupakan penyalahgunaan kepercayaan untuk kepentingan peribadi. Manakala menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.[1]
Menurut undang -undang Malaysia yang terkandung dalam Seksyen 3(a), (b) dan 4(a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) mentafsirkan rasuah sebagai: “menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakkan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya.” Manakala suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah; “Wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran beharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya.”
Dalil Pengharaman Rasuah
Pengharaman rasuah adalah jelas sama ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Larangan rasuah dalam al-Quran diambil daripada celaan Allah SWT terhadap kaum Yahudi yang biasa mengambil rasuah. Allah SWT berfirman:
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ
Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya) Surah al-Maidah (42)
Imam al-Baghawi menjelaskan ayat ini dengan mengatakan: “(Ayat) ini turun berkenaan para hakim Yahudi, Ka’ab al-Asyraf dan yang sepertinya. Mereka menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 3/58)
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”(Surah al-Baqarah: 188)
Al-Sobuni berkata: “Janganlah sebahagian kamu memakan sebahagian harta yang lain dengan cara yang tidak dihalalkan oleh Allah seperti kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/112)
Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي
Maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.” Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)
Dalam hadis lain yang turut diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الرَّاشِىَ وَالْمُرْتَشِىَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” Riwayat Ahmad (6532, 6778, 6830), Abu Daud (3582) dan al-Tirmizi (1337)
Menjawab soalan di atas, suka untuk kami memetik kenyataan Dato’ Sri Haji Zakaria Bin Haji Jaffar, Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) antara lain menyebut: “Rasuah telah menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat sama ada kita sedar atau tidak. Kehadirannya dikaburi kerana pemberi dan penerima saling setuju dan menyetujui serta berkompromi akan perbuatan mungkar ini. Bahaya rasuah teramat dahsyat.” (Lihat buku beliau bertajuk Man Ana Perjuangan Menentang Rasuah, hlm. 42) Amalan rasuah akan menatijahkan kesan dan kesudahan yang sangat buruk. Kami nukilkan di sini daripada buku Rasuah: Punca, Kesan dan Penyelesaiannya, menyebut antara kesannya ialah:
Menghancurkan keadilan dalam sesebuah negara.
Melahirkan masyarakat yang tiada kemahiran.
Muncul masyarakat yang pentingkan diri sendiri.
Menatijahkan hasil kerja yang buruk.
Kos pengurusan akan meningkat.
Pengurusan pentadbiran menjadi lambat dan kucar-kacir.
Muncul orang jahat yang bertambah jahat.
Menyebabkan pembahagian kekayaan yang tidak seimbang.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita bertekad untuk menghindarkan dari sebarang bentuk rasuah tetapi sebaliknya membina jati diri dengan integriti dan keamanahan yang unggul. Semoga negara kita bebas dari sebarang bentuk rasuah. Amin.
Apa makna Jihad Memerangi Rasuah? Ikuti tembual eksklusif bersama Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Dato' Hussamuddin Hj Yaacub dalam #Persepektif Datuk Hussamuddin Yaacub hari ini jam 8.30 malam di saluran 501 dan Astro Awani.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Menjadi kebiasaan bila tiba perayaan tahun baru Cina, kaum Melayu turut meraikannya. Terutama bila ada ramai kalangan sahabat berbangsa Cina.Bukan sekadar ada makan-makan tapi...