Setiap dari kita pastinya memasang impian untuk mengerjakan ibadah umrah atau haji di Tanah Suci, Mekah dan Madinah.
Dan pelbagai pengalaman manis dikutip sepanjang menyempurnakan ibadah di tanah haram ini.
Ada yang bertemu cintanya di sini, merasakan kehadiran arwah ibu yang sudah tiada ataupun dimurahkan rezeki dari Allah SWT.
Seperti perkongsian Ustazah Isfadiah yang telah bertemu dengan seorang wanita dianggap cukup istimewa.
Menurut perkongsiannya di laman Instagram, Ustazah Isfadiah memberitahu wanita ini ditemui di sebelahnya di Masjid Nabawi.
Dia melihat wanita dikenali dengan nama Aminah ini menyempurnakan solat dua rakaat tanpa henti.
Setelah selesai dua rakaat, akan disambung terus dengan dua rakaat dan dalam solatnya dia membaca al-Quran cukup teliti.
Ustazah Isfadiah cukup kagum dengan wanita ini kerana tidak pernah ditemui wanita seperti Aminah sebelum ini.
Wanita yang solatnya berulang kali, gerak solat cukup sempurna dan bacaan al-Quran sangat tartil dan bertajwid.
Bukan itu sahaja, selesai solat dia mengeluarkan buku kecil dan mencatat segala surah-surah yang dibacanya dan kemudian berdoa dengan lelehan air mata.
Sebelum wanita itu bangun untuk solat berikutnya Ustazah Isfadiah mengambil kesempatan memeluknya dan mengucapkan sesuatu. Wanita berkenaan seolah terkejut dan barulah dia menyedari ada orang lain di sisinya.
Kemudian sebelum berpisah keduanya berpelukan dan berkata pada Ustazah Isfadiah, dia akan ingat sapaan dan wajah Ustazah dan akan sentiasa mendoakan dirinya serta berdoa agar akan ditemukan di syurga nanti.
Ternyata pengalaman ini sangat memberi makna yang besar kepada Ustazah Isfadiah. Beliau menganggap sebagai hadiah terindah yang tidak ternilai.
Hadiah seorang teman yang baru ditemui tetapi terus mendoakan agar mereka akan dipertemukan di syurga nanti.
Namanya Aminah, Sebelum subuh dia ambil tempat di sebelah saya di Masjid Nabawi, solat tak berhenti dua rakaat, dua rakaat kemudian sambung lagi, dalam solatnya dia baca al Quran begitu teliti. Kagumnya saya dengan Aminah sebab sebelum ni tak pernah jumpa di Masjid ni Perempuan seperti dia, solat berulang kali, gerak solatnya sangat sempurna, bacaan al Quran tartil dan bertajwid.
Selesai solat dia keluarkan buku kecil, dia catat senarai surah-surah yang dia baca. Kemudian berdoa pula diikuti dengan lelehan air mata… Habis doa Sebelum sempat dia bangun semula untuk solat sunat saya bisik padanya taqabbalallahu minkum! Nampak raut mukanya terkejut dan seolah-olah baru sedar ada orang lain di sisinya. Dia peluk saya dan cium dahi saya.
Kemudian kami teruskan dengan solat subuh dan solat jenazah. Sebelum berpisah kami berpelukan dan dia kata, saya guru al Quran, saya akan ingat sapaan kamu dan wajah kamu, saya akan sentiasa mendoakan kamu. Semoga kita jumpa lagi di Syurga nanti.
Kali ini saya pula yang sebak dengan lelehan air mata mengiringi setiap langkah saya menuju hotel dan dia menyambung Zikir dan doa selepas subuh di tempatnya… Allahu Akbar hadiah ini sangat bernilai, hadiah teman sekelip mata yang mahu terus mendoakan dan mengharapkan pertemuan di Syurga nanti.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM USTAZAH ISFADIAH