Di media sosial, kita sering melihat satu bentuk perkongsian di mana orang ramai boleh mewakafkan wang ringgit atas nama arwah ibu bapa atau orang disayangi untuk membina perigi di Kemboja. Tidak hanya arwah-arwah tetapi boleh juga mewakafkan perigi atas nama sendiri untuk kegunaan masyarakat miskin di sana.
Dalam pada itu, Ustaz Muhaizad Mohammad memberikan penjelasan berkaitan harta wakaf yang diketahui merupakan amal berpanjangan sehingga ke hari akhirat. Tapi ada sesuatu yang harus kita tahu, tindakan meletakkan nama arwah yang sudah tiada di perigi berkenaan dan tidak mendapat keizinan dari si mati, perbuatan itu sebenarnya hanyalah sia-sia sahaja kerana pahala tidak sampai.
Menjawap satu rakaman video berdasarkan satu soalan di Tik Tok @insan_berdose, ini merupakan penjelasan berkaitan hukum buat wakaf harta atas nama si mati.
“Nak tanya sekarang ini ramai orang buat wakaf air bersih untuk negara Kemboja. Letak nama si derma, nama arwah. Saya ada dengar orang cakap tak perlu letak nama orang sudah meninggal sebab amalan tu tak sampai pun kepada si mati. Cukuplah sekadar menderma, niat di hati untuk wakaf dan tak perlu meletakkan nama si mati. Minta penjelasan dari Ustaz.
Jawapan dari Ustaz.
Betul, kalau kita nak wakaf atas nama si mati, kita kena minta izin dari si mati. Saya nak buat pahala kebajikan untuk awak, boleh ke tak, (si mati kata tak boleh). Atau pun kita tak boleh nak tanya mak kita, maka kita tak boleh buat atas nama dia.
Habis tu, penderma dia siapa dia. Wakaf tu kita buat. Cuma pahala tu kita niat kepada arwah si mati. Jadi tak tepat jugok. Nama tu nama si mati, awak dapat izin ke daripada dia? Dia wasiat ke tidak (tak wasiat), abis tu ibadat si mati kita nak buat kalau dia (arwah) tak izin. Ibadat mesti dapat izin daripada dia.
Maka tulislah nama anak dia yang tukang buat perigi tu. Masalah dia niat atau pun dia buat atas nama dia sebagai kenangan. Saya nak letak nama ayah saya. Saya buat tapi saya nak letak nama ayah saya di telaga, ok tak masalah. Letak nama tak menunjukkan dia tu pembuat, kadang-kadang sebagai nak cakap saya niat untuk ayah saya (pahala tu), bukan dia saja yang buat. Cuma saya nak letak nama ayah saya supaya ayah saya sohor la (terkenal). Masa dia hidup kedekut, maka saya pun letak ayah saya. Boleh macam tu.
https://www.tiktok.com/@insan_berdose/video/7015548669910863131?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id6973624686812366338
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ini Hukumnya Pegang Anjing Dalam Lakonan & Untuk Tujuan Peliharaan
SOALAN:
Assalamualaikum, saya ada sedikit kemusykilan mengenai hukum pegang anjing. Boleh kah kita pegang anjing atau usap-usap kepalanya hanya untuk lakonan dalam filem, kemudian samak selepas habis pengambaran?.
JAWAPAN:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Kami menerima banyak persoalan berkenaan polemik isu menyentuh anjing yang berlaku di Malaysia. Bahkan sebelum ini, kami telah mengeluarkan banyak artikel berkenaan isu yang melibatkan anjing seperti program “I want to touch a dog”, Penyakit Anjing Gila: Bahaya dan Hukumannya, Kisah Pemuda bersama Anjing dan sebagainya.
Melalui isu ini dapat ditekuni bahawasanya terdapat perbezaan hukum di antara ulama’ empat mazhab mu’tabar. Namun di Malaysia konsep pemahaman agama Islam yang berorentasikan Mazhab Syafie telah zaman-berzaman dipraktikkan dan merupakan budaya masyarakat setempat yang perlu diraikan. Maka kami akan kemukakan jawapan menerusi Mazhab Syafie.
Anjing adalah termasuk sebagai najis mughallazah iaitu najis berat. Sama ada yang digunakan untuk berburu atau tidak, yang kecil atau yang besar. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A. Kata beliau :
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي دَارَ قَوْمٍ مِنَ الأَنْصَارِ وَدُونَهُمْ دَارٌ ، قَالَ : فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، سُبْحَانَ اللهِ تَأْتِي دَارَ فُلاَنٍ ، وَلاَ تَأْتِي دَارَنَا ، فقَالَ : فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لأَنَّ فِي دَارِكُمْ كَلْبًا ، قَالُوا : فَإِنَّ فِي دَارِهِمْ سِنُّوْرًا ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ السِّنُّوْرَ سَبُعٌ
Maksudnya :” Nabi SAW pernah masuk ke rumah seorang Ansar dan Nabi juga pernah tidak masuk ke rumah seorang Ansar yang lain. Abu Hurairah berkata : Perbuatan tersebut menyebabkan mereka terasa. Mereka berkata : Wahai Rasulullah, Maha Suci Allah, engkau masuk ke rumah fulan dan tidak masuk ke rumah kami. Nabi SAW bersabda : Ini kerana di dalam rumah kamu ada anjing. Mereka berkata : Di dalam rumah mereka terdapat sinnur (sejenis kucing yang disebut juga felidae). Maka Nabi SAW menjawab : Sesungguhnya sinnur itu adalah haiwan liar.”
(Hadis riwayat Imam Ahmad, No. 8324 di dalam Musnad)
Merujuk kepada Mazhab Syafie, setiap inci bagi seekor anjing itu adalah dikira sebagai najis. Sepertimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi;
واعلم أنه لا فرق عندنا بين ولوغ الكلب وغيره من أجزائه فإذا أصاب بوله أو روثه أو دمه أو عرقه أو شعره أو لعابه أو عضو من أعضائه شيئا طاهرا في حال رطوبة أحدهما وجب غسله سبع مرات إحداهن بالتراب
Maksudnya; “Ketahuilah, tidak ada perbezaan di kalangan kami antara jilatan anjing dengan selainnya; daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota dari anggota badannya yang bersih ketika ia sedang berada pada keadaan apa sekalipun, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah tanah.
(Rujuk Al Minhaj bi Sharh Sahih Muslim, m/s 185)
Menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan atau hajat adalah haram di sisi Islam. Sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Bujairimi dan Sheikh Ibnu Hajar al-Haithami:
التضمخ بالنجاسة إنما يحرم
Maksudnya: Menyentuh najis secara sengaja ia adalah Haram.
(Rujuk Hasyiah Bujairami ala Syarah Manhaj al-Tullab, m/s 105 dan Hawasyi Tuhfah al-Manhaj bi Syarah al-Manhaj, m/s 174).
Kesimpulan di dalam isu ini, kami berpendapat menyentuh anjing atau mengusap kepalanya dengan tujuan lakonan dalam filem adalah tidak dibenarkan kerana dilakukan dengan sengaja tanpa sebab yang diizinkan oleh syara’. Jika menyentuhnya membawa kepada dosa dan sewajibnya menyamak tangan selepas sesi pengambaran dengan 7 kali basuhan air mutlak dan salah satu daripadanya air yang bercampur tanah.
Namun begitu, terdapat rukhsah bagi mereka yang membela atau memegang anjing yang didahulukan hajat dan keperluan selari dengan kehendak syara’. Ini berdasarkan dalil daripada hadis Nabi SAW:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ أَمْسَكَ كَلْبًا، فَإِنَّهُ يَنْقُصُ كُلَّ يَوْمٍ مِنْ عَمَلِهِ قِيرَاطٌ، إِلَّا كَلْبَ حَرْثٍ أَوْ مَاشِيَةٍ
Maksudnya; “barangsiapa yang membela anjing, maka sesungguhnya mengurangi pada setiap hari dari amalannya satu qirat, kecuali anjing untuk pengawasan atau anjing menjaga binatang ternakan”.
(Hadis riwayat Bukhari, No. 2322)
Dari hadis tersebut, ia merupakan keizinan bagi mereka yang mahu membela anjing dengan disertakan hajat dan tujuan iaitu sebagai haiwan pemburu; atau pemandu jalan untuk orang buta sekiranya amat memerlukan dan tiada orang lain yang dapat membantu; atau tujuan keselamatan pihak berkuasa seperti Polis dan Kastam dan juga untuk mengawal keselamatan di sekitar rumah; atau sebagai haiwan penjaga untuk menjaga haiwan ternakan.
WallahuA’lam.
Artikel Berkaitan: Rambut Terkeluar Ketika Solat, Hukumnya Kena Ulang Semula Atau Tak? Ini Penjelasan Ustaz Azhar Idrus!
SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Siapa Perlu Jaga Adik Perempuan OKU Selepas Ibu Bapa Tiada, Adik Beradik Lelaki Atau Perempuan?
Isi Kandungan
ToggleSoalan
Saya ada persoalan dan kemusykilan berkenaan tanggungjawab menjaga adik perempuan yang OKU dari sudut hukum. Saya mempunyai adik perempuan OKU (cacat mental sejak lahir) yang dijaga abang kedua sejak kematian ibu.
Abang sulung tinggal jauh namun mengeluarkan belanja setiap bulan untuk abang kedua menampung kehidupan memandangkan dia bekerja secara freelance. Saya satu-satunya kakak yang ada, sudah berkahwin dan tinggal jauh. Saya hanya boleh balik ke kampung ketika cuti sekolah untuk bergilir menjaga adik yang OKU.
Masalah timbul apabila isteri abang kedua persoalkan tanggungjawab itu sepatutnya jatuh kepada saya kerana saya anak perempuan dan adik OKU saya itu juga perempuan. Hal ini menyebabkan rasa tidak puas hati dalam diri isteri abang kedua dan boleh menyebabkan pergaduhan dalam keluarga sekiranya tidak diselesaikan dengan baik.
Persoalan saya, dari sudut hukum siapa sebenarnya perlu memikul tanggungjawab tersebut, Adakah anak perempuan atau lelaki?
Apa nasihat yang terbaik untuk isteri abang sekiranya abang sanggup ambil alih tanggungjawab tersebut? Mohon pencerahan.
Jawapan
Wa’alaikumussalam.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Golongan OKU yang cacat mental sejak lahir dikategorikan sebagai al-mahjur ‘alaih telah ditetapkan syarak bahawa terdapat wali yang telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan urusan berkaitan diri dan harta mereka.
Tertib susunan golongan wali yang ditetapkan untuk menguruskan harta golongan al-mahjur ‘alaih di dalam wilayahnya menurut mazhab Syafie ialah bapa, kemudian datuk, kemudian sesiapa yang dilantik sebagai pemegang amanah bagi kedua-duanya, kemudian qadi atau sesiapa yang dilantik oleh hakim.
Tertib susunan pengurusan golongan al-mahjur ‘alaih
Manakala, bagi tertib susunan wali bagi pengurusan diri golongan al-mahjur ‘alaih pula ialah bapa, kemudian datuk dan bapa kepada datuk, kemudian saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian pakcik daripada sebelah bapa, kemudian anak lelaki kepada pakcik sebelah bapa, kemudian ‘asobah yang lain mengikut turutan pewarisan.
Wali yang bertanggungjawab wajib untuk menjaga diri atau harta orang yang di dalam wilayahnya sama ada daripada segi pendidikan, kebajikan, nafkah, kesihatan, pengurusan harta dan lain-lain dengan sebaiknya seperti yang telah digariskan syarak, sehinggalah tergugurnya sifat-sifat al-mahjur ‘alaih yang secara tidak langsung menggugurkan hak wilayah wali tersebut.
Berbalik kepada isu persoalan yang telah diajukan, berdasarkan dalil dan perbahasan ulama difahami dengan jelas bahawa tanggungjawab menjaga pengurusan diri adik OKU perempuan itu merupakan tanggungjawab wali iaitu saudara kandung lelaki.
Saudara kandung lelaki perlu menjaga keperluan adik perempuan
Justeru, saudara kandung lelaki perlu memastikan keperluan adik perempuan tersebut terjaga sama ada daripada segi keperluan makanan, tempat tinggal, pakaian, perubatan dan lain-lain yang berkaitan dengan pengurusan dirinya serta menjaga dan mengawasi keselamatan adik perempuan itu agar jauh daripada sebarang keburukan atau kecelakaan.
Namun begitu, suka kami menasihatkan agar ahli keluarga lain juga turut membantu dalam hal ehwal penjagaan adik perempuan tersebut. Ini sepertimana yang dianjurkan dalam Islam iaitu untuk membantu dalam melakukan kebaikan dan membantu menyantuni golongan OKU ini termasuk dalam kebaikan yang digalakkan. Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
[Surah al-Maidah: 2]
Anggap peluang menuai pahala
Tambahan, sebagai seorang Muslim yang beriman kita seharusnya menganggap bahawa menjaga orang yang kurang berkemampuan ini bukanlah merupakan suatu beban, bahkan ia merupakan satu jalan dan peluang yang Allah SWT berikan kepada kita dalam menuai pahala dan dijadikan saham kita di akhirat kelak. Menjaga silaturrahim dan kebajikan ahli keluarga juga telah dijanjikan Allah SWT ganjaran yang baik, antaranya seperti yang telah disabdakan Rasulullah SAW:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.”
[Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)]
Penerangan dan hujah jawapan
Penerangan dan hujah di atas berdasarkan huraian di bawah yang menyimpulkan beberapa perkara, iaitu:
Wilayah dalam Islam
Wilayah daripada segi bahasa bermaksud kasih sayang dan pertolongan. Allah SWT berfirman:
وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ
Maksudnya: Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.
[Surah al-Maidah: 56]
Manakala daripada segi istilah, wilayah bermaksud melaksanakan kekuasaan atas orang lain serta mengawasinya. Sebahagian para ulama juga telah mendefinisikan wilayah kepada pelaksanaan kuasanya atau pengawasan ke atas orang lain sama ada orang itu suka atau tidak. Orang yang diberi hak wilayah oleh syarak ini dinamakan wali.
Hikmah daripada pensyariatan wali ke atas kanak-kanak dan orang yang tidak mampu mengurus diri sendiri adalah untuk menjaga hak mengatur urusan dan menjaga kemaslahatan mereka agar tidak terbiar. [Lihat al-Fiqh al-Manhaji, jld. 4, hlm. 60-61]
Golongan yang Disabitkan ke Atasnya Wilayah (Perwalian)
Disabitkan wilayah -bukan wakalah – menurut syarak ke atas golongan al-mahjur ‘alaih, iaitu:
-Kanak-kanak (al-saghir)
-Orang gila (al-majnun)
-Orang kurang akal (al-ma’tuh)
-Orang yang bodoh (al-safih)
-Orang yang melampau (zu al-ghaflah)
Sabitan wilayah ke atas golongan-golongan ini akan berterusan selagi mana golongan-golongan ini mempunyai sifat-sifat al-mahjur ‘alaih. Namun, sekiranya tiada lagi sifat-sifat yang mensabitkan mereka sebagai al-mahjur ‘alaih, maka pensabitan wilayah akan terputus. [Lihat al-Mausu’ah al- Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jld. 45, hlm. 160]
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan dalam kitabnya mengenai al-ma’tuh;
“al-Ma’tuh ialah seseorang yang kurang kefahamannya, kurang jelas pertuturannya, dan lemah pentadbirannya disebabkan gangguan akalnya sama ada sejak lahir atau disebabkan penyakit secara tiba-tiba.
Sekiranya kelemahan akalnya itu teruk, dan dia tidak mumayyiz, maka dihukumkan dia seperti orang gila dan kanak-kanak yang tidak mumayyiz; iaitu setiap tasarruf hartanya dianggap terbatal. Manakala, sekiranya kelemahan akalnya itu ringan, dan dia merupakan seorang yang mumayyiz, maka dihukumkan dia seperti kanak-kanak mumayyiz; setiap perkara yang memanfaatkan dan memudaratkan tertakluk kepada keizinan walinya”. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 5, hlm. 438]
Golongan yang Mempunyai Hak Kekuasaan Sebagai Wali
Bagi golongan al-mahjur ‘alaih, pengurusan mereka ini diletakkan di bawah wilayah seorang wali. Para ulama mempunyai beberapa pendapat dalam penetapan wali dan tertib susunannya yang mempunyai hak wilayah ke atas golongan-golongan tersebut berdasarkan pembahagian wilayah.
Wilayah terbahagi kepada dua iaitu wilayah ke atas diri dan wilayah ke atas harta.
Wilayah ke atas harta
Wilayah ke atas harta ialah mengambil perhatian dan menyelenggarakan urusan orang yang tidak mempunyai kelayakan mentadbir dalam urusan hartanya seperti menjaga harta, menanam modal, mengadakan kontrak dan mengambil tindakan yang berkaitan dengan harta. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 4, hlm. 141]
Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa:
“Siapakah yang akan menjadi wali kepada kanak-kanak dan orang gila? Maka yang menjadi wali ialah ayah, kemudian datuk, kemudian orang yang dilantik menjadi pemegang amanah kedua-duanya (diwasiatkan), kemudian hakim atau sesiapa sahaja yang dilantik oleh hakim.
Ayah mempunyai hak wali ini menurut pendapat ijmak sepertimana yang dinukilkan oleh al-Mutawalli dan lain-lain, manakala datuk dan ke atas terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama; mazhab Syafie mengatakan bahawa datuk mempunyai hak wali berdasarkan dalil bahawa dia sepertimana seorang ayah dalam urusan perkahwinan.” [Lihat Raudhah al-Thalibin, jld. 3, hlm. 421]
Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan mengenai hak wilayah ke atas harta:
“Tiada hak wilayah ke atas seorang ibu menurut pendapat yang asah. Ini adalah seperti tiadanya hak ibu sebagai wali dalam pernikahan. Dan diutamakan datuk sebelum pemegang amanah keduanya (ayah dan datuk) disebabkan datuk ini seperti seorang ayah dari sudut kasih sayangnya terhadap anak tersebut. Begitu juga bahawa tiada hak wilayah yang diberikan kepada abang kandung dan bapa saudara” [Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 2, hlm. 174]
Wilayah ke atas diri
Wilayah ke atas diri individu ialah mengambil perhatian dan menyelenggarakan urusan peribadi yang tidak sempurna kelayakannya untuk menjalankan tugas. Contohnya, urusan perkahwinannya, pelajaran, disiplin, perubatan, pekerjaan dan sebagainya. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 4, hlm. 141]
Para fuqaha telah menetapkan bahawa terdapat tiga perkara yang menyebabkan hak wilayah ke atas diri seseorang iaitu: kanak-kanak, orang gila – terkait juga dengannya orang yang kurang akal – orang perempuan. [Lihat al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah al-Fiqhiyyah, jld.45, hlm. 168]
Menurut ulama mazhab Syafie, tertib wali ke atas diri individu bermula dengan ayah, kemudian datuk dan ayah kepada datuk (moyang), kemudian saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian pakcik daripada sebelah bapa, kemudian anak lelaki kepada pakcik daripada sebelah bapa, kemudian ‘asobah yang lainnya menurut turutan perwarisan. [Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 4, hlm. 249]
Justeru, sekiranya seorang wanita itu tidak mempunyai ayah atau datuk, hak wali dipegang oleh saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa sama ada abang atau adik.
Menjaga Hubungan Silaturahim Sesama Keluarga
Islam mensyariatkan ke atas umatnya untuk menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia, khususnya dengan kaum kerabat. Firman Allah SWT:
وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا
Maksudnya: Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
[Surah al-Nisa’: 1]
Abu Ayyub al-Ansari r.a telah meriwayatkan hadis bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai amalan yang membolehkan seseorang masuk ke syurga, maka Baginda SAW bersabda:
تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ
Maksudnya: Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik kepada-Nya dengan sesuatu pun, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan hubungkanlah silaturahim.
[Sahih al-Bukhari (5983)]
Bahkan terdapat kecaman daripada Allah SWT bagi orang-orang yang memutuskan silaturrahim, sepertimana yang telah disebutkan melalui firmanNya:
فَهَلۡ عَسَيۡتُمۡ إِن تَوَلَّيۡتُمۡ أَن تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَتُقَطِّعُوٓاْ أَرۡحَامَكُمۡ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فَأَصَمَّهُمۡ وَأَعۡمَىٰٓ أَبۡصَٰرَهُمۡ
Maksudnya: “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan – jika kamu dapat memegang kuasa- kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya”
[Surah Muhammad: 22-23]
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan segala titah perintahNya. Amin.
Wallahu’aklam.
Sumber: Mufti Penang
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Bertudung Tapi Bersanggul Menyerupai ‘Bonggol Unta’, Ini Hukumnya Yang Perlu Ambil Tahu
Isi Kandungan
ToggleMenutup aurat memang menjadi kewajipan seorang wanita yang sudah akil baligh. Namun dewasa ini kita lihat memahai tudung itu sudah seperti berfesyen.
Ada yang merasa sudah cukup dengan hanya menutup rambut dengan sehelai tudung tetapi masaih melakukan beberapa perkara yang turut menjadi kesalahan.
Mereka ini menutup aurat bukan sekadar memenuhi tuntutan Allah tetapi lebih kepada niat untuk berfesyen.
Tanpa sedar apa yang dilakukan itu tidak menepati syariat Islam. Ini antara kesalahan wanita berhijab yang sering abaikan tentang penjagaan aurat.
1. Bertudung tapi ada rambut terkeluar
Memang dikatakan bertudung tetapi menayangkan jambul atau hujung tambut. Tahukah anda hanya dengan sehelai rambut dilihat lelaki, satu dosa yang akan kita dapat. Jadi dapatkan kiranya kita membuat perkiraan jika menampakkan rambut terutama pada gambar yang dimuat turun di laman sosial facebook. Bayangkan berapa pula mata lelaki yang memandangnya.
2. Tudung singkat, nipis hingga menampakkan leher tengkuk & dada
ini dikatakan trend apabila ramai hijabi kini gemar memakai hijab singkat. Asalkan rambut tidak kelihatan tetapi cara ini menampakkan sebaagian leher, tengkuk dan juga dada. Lebih teruk jika ada memuji penampian begini cantik tetapi perlu diingat pemakaian tudung itu mestilah menutup dada.
3. Berpakaian hingga menampakkan susuk badan
Ada juga yang berpakaian tetapi menggayakan baju yang menampakkan tubuh badan. Penampilan seperti ini sama seperti tidak memakai tudung. Berpakaian ketat hingga menampakkan sebahagian lurah dada atau bentuk peha dan betis.
4. Bertudung tetapi nampak lengan
Ada juga yang mengenakan tudung tetapi mengenakan baju t-shirt pendek hingga menampakkan lengan. Hukumnya masih dikira tidak menutup aurat kerana lelaki boleh melihat lengan yang terdedah. Kalau mahu mengenakan t-shirt sebegini elokkan dipakai dengan jaket atau kardigan.
5. Nampak kaki
Jangan tak tahu kaki kita juga adalah aurat. Perempuan tidak wajib pakai stoking tetapi wajib menutup kaki. Seperti mana solat, perlu menutup kaki, lengan, rambut dan tubuh kerana ia adalah aurat.
6. Sanggul bonggol seperti unta
Ada pula sesetengah yang memakai fesyen tudung bonggol unta dan ada mengatakan ia adalah haram. Hati-hati dengan cara pemakaian tudung sebegini kerana boleh undang hukum haram.
Kesimpulannya menjaga batasan aurat itu menjadi lebih mudah sekiranya tahu batasan hukum yang perlu dipatuhi dan mengikut segala syariat Allah SWT. Sekiranya diikuti pelbagai ganjaran dan pahala yang akan diperoleh.
Jangan sampai apa dilakukan mendapat kemurkaan Allah. Jadi berhati-hati dengan apa yang dilakukan dan cuba perbaiki kesilapan.
Penjelasan Ustaz Azhar Idrus Berkaitan Hukum Berkenaan:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI