Nabi SAW pernah melalui dua kubur lalu bersabda maksudnya:
“Ingatlah sesungguhnya dua mayat ini sedang diseksa. Seorang daripadanya diseksa kerana dahulu dia suka membuat fitnah dan seorang lagi diseksa kerana tidak menghindari diri daripada percikan air kencing.”
Kemudian Baginda SAW mengambil pelepah kurma yang masih basah lalu dibelahnya menjadi dua. Setelah itu, Baginda menanam salah satunya pada kubur pertama dan yang satu lagi pada kubur kedua sambil bersabda: “Semoga pelepah ini boleh meringankan seksanya selagi ia belum kering.” (Riwayat Bukhari: no.1378 dan Muslim: no.292)
Adakah ia memberi syafaat?
Peristiwa ini telah mengundang beberapa persoalan tentang manfaat meletakkan pelepah kurma ataupun tumbuhan lain di atas kuburan. Namun apa yang jelas hadis ini merupakan dalil pelepah kurma segar boleh meringankan azab kepada mayat.
Persoalannya adakah munasabah kedua-dua pelepah ini dapat meringankan seksa mayat tersebut? Ulama mempunyai dua pandangan utama mengenai masalah ini.
a) Sebahagian ulama berpendapat ia dapat meringankan azab kerana kedua-dua pelepah itu sentiasa bertasbih sehingga ia kering. Tasbih boleh meringankan azab ke atas orang yang sudah mati. Berdasarkan illat (sebab) ini, mereka menyatakan sunat datang ke kubur dan membaca tasbih dengan harapan mayat itu diringankan seksanya.
b) Manakala sebahagian lain mengatakan bahawa illat ini lemah kerana kedua-dua pelepah kurma tersebut tetap bertasbih, sama ada dalam keadaan segar mahupun kering. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucapkan tasbih bagi Allah dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya. Tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka…” (Surah al-Isra’:44)
Dalam peristiwa ini terjadinya keringanan azab kerana Rasulullah SAW berdoa kepada Allah SWT agar azab kedua-dua mayat itu diringankan selagi pelepah kurma tersebut masih segar. Ini bermakna keringanan azab tidak berlaku selama-lamanya.
Perbuatan Nabi SAW itu hanya bertujuan memberikan amaran kepada umatnya tidak melakukan perbuatan yang dilakukan oleh mayat-mayat tersebut iaitu membuat fitnah dan tidak membersihkan kencingnya.
Inilah maksud yang lebih tepat dengan hadis. Ianya merupakan syafaat yang bersifat sementara dan memberi amaran bukannya kerana Rasulullah SAW tidak mahu memberikan syafaat abadi kepada mereka.
Bolehkah tumbuhan diletakkan?
Berkenaan hukum terhadap perkara ini sebahagian ulama berpendapat, sunat meletakkan pelepah kurma segar, pokok dan lain-lain di atas kubur untuk meringankan azab mayat di dalamnya. Tetapi menjadi satu kesalahan untuk mengaitkan hukum perbuatan ini dengan apa yang dilakukan Nabi SAW atas beberapa alasan:
i. Kita tidak tahu sama ada mayat sedang diseksa atau tidak. Sedangkan Rasulullah SAW diperlihatkan oleh Allah SWT akan keadaan mayat tersebut melalui wahyu.
ii. Jika kita meletakkan tumbuhan di atas kubur atas tujuan itu, ia seakan-akan kita bersangka buruk pada mayat bahawa dia sedang diseksa. Sedangkan kita tidak tahu nasib yang dialami oleh mayat tersebut.
iii. Istinbat hukum perbuatan ini bercanggah dengan amalan ulama salaf. Sedangkan merekalah orang yang paling faham terhadap syariat Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW
iv. Allah SWT telah mengajar kita amalan yang lebih baik dalam memberikan keringanan kepada mayat iaitu mendoakan kebaikan untuk si mati.
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI