
Mahar adalah pemberian yang wajib diberikan kepada isteri apabila akad nikah sudah termeterai. Hukum mahar atau dipanggil al-Saddaq adalah wajib sebaik sahaja sempurna akad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa akad tersebut.
Dari ‘Uqbah bin ‘Amir radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah.”
Hadis di atas menunjukkan bahawa mahar yang paling bagus dan menjadi mahar terbaik adalah mahar yang paling mudah untuk dipenuhi. Inilah yang dipersiapkan oleh calon suami, hendaklah pihak wanita mudah menerima hal ini. Jika maharnya tinggi dan ‘memberatkan’ pihak suami maka ia tidak mengikut apa yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW.
Lihat sahaja mahar yang diberikan oleh Nabi Muhammad SAW. Mahar yang beliau berikan pada isterinya hanyalah 12,5 uqiyah, ia itu sekitar 500 dirham. Ini mahar di masa silam yang tidak terlalu mahal.
Ada hadis pula dari ‘Urwah, dari ‘Aisyah, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Termasuk berkahnya seorang wanita, yang mudah khitbahnya (melamarnya), yang mudah maharnya, dan yang mudah memiliki keturunan.” (HR. Ahmad, 6: 77.
Mudahnya mahar memiliki manfaat yang begitu besar:
*Mengikuti sunnah (ajaran) Nabi Muhammad SAW.
*Memudahkan para pemuda untuk berkahwin.
*Mudahnya mahar akan menyebabkan cinta dan kasih sayang makin utuh.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Nilai Wang Hantaran, Usah Terikut Trend Hantaran Tinggi Sampai Sulitkan Urusan Perkahwinan

Ada yang berpendapat wang dan belanja dulang hantaran sebenarnya adalah hadiah kepada pasangan, tapi ada juga yang berpendapat ianya terpulang kepada keikhlasan pihak bakal suami untuk membantu mengurangkan belanja majlis perkahwinan di pihak perempuan. Tak kurang juga yang berpendapat ia penting utnuk menjaga status terutamanya jika calon isteri datangnya daripada golongan berada dan berpendidikan tinggit atau bakal suami pula berkedudukan tinggi dan berduit.
Begitu pentingkah status hingga ia boleh mempengaruhi sesuatu hubungan, mengubah pandangan, mengeruh keadaan dan meyakinan keyakinan seseorang? Persoalan ini sering dibangkitkan ketika ingin berkahwin. Islam sendiri menggalakkan penganutnya berkahwin sekufu yang membawa maksud setaraf. Bukannya apa, perkahwinan yang sama taraf atau status akan dapat mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingin berlaku dalam sesebuah rumahtangga.
Hari ini status selalu dikaitkan dengan kaum wanita, seiring dengan peningkatan jumlah wanita yang berpendidikan tinggi, berjawatan besar dan kadang-kala berpendapatan yang lebih lumayan dari lelaki. Ini boleh membuatkan lelaki yang tidak setaraf takut untuk mendekati mereka apatah lagi memperisterikan wanita yang lebih tinggi darjat mereka.
Tapi kenapa masih ramai pasangan yang kahwin tak sekufu? Tak terfikirkah mereka apa yang bakal terjadi di masa depan? Mungkin di awal perkahwinan, suami atau isteri tak kisah kerana perasaan cinta mengusai segalanya.
Sebenarnya tak salah meletakkan jumlah hantaran yang tinggi kalau lelaki tu mampu dan tak membebankan baginya. Tak perlu ikut status, kerana ianya akan membebankan pengantin lelaki dan seterusnya mebuatkan proses perkahwinan itu sendiri menjadi susah. Ramai anak muda menanggunhkan majlis kerana tak cukup wang hantaran. Belum lagi dikira belanja kenduri, pelamin dan sebagainya.
TAK JADI KAHWIN
Macam mana nak galakkan pasangan berkahwin muda kalau wang hantaran ditetapkan begitu tinggi hingga di luar batas kemampuan? Akhirnya perkara yang baik dan digalakkan Islam ditangguhkan semata-mata kerana tak mampu menyediakan belanja untuk sesuatu yang tak perlu. Sedangkan semua orang tahu yang nak kahwin tu anak-anak, bukan ibu bapa.
Ada anak lelaki yang sanggup menarik diri daripada sebuah perkahwinan semata-mata kerana tak mampu menyediakan jumlah hantaran yang diminta. Daripada maruah tercemar, rasa terhina kerana tak mampu menyediakan wang hantaran, maka undur diri adalah lebih baik. Jika sudah sedar yang diri tak mampu, dan tak mampu terbeban hutang selepas berkahwin, apa lagi yang mampu dibuat?
Seharusnya orang tua gembira dan lega kerana anak mereka akan disunting menjadi isteri dan dapat mengelakkan berlaku perkara-perkara tidak baik seperti maksiat.
Perkahwinan adalah benteng untuk memelihara maruah dan harga diri. Rumahtangga yang didiami bukan sekadar tempat berlindung, bahkan tempat berehat, membina kasih sayang dan mencari keredaan Allah.
MANGSA KEADAAN
Yang selalunya jadi mangsa, anak gadis. Tak kahwin kerana terpaksa menurut kehendak ibu bapa. Sedangkan dalam hati dah bersedia nak jadi isteri dan ibu. Kesian anak yang tersepit dalam keadaan ini.
Anak-anak gadis perlulah berbincang dari hati ke hati dengan ibu bapa. Luahkan apa yang tersirat di hati. Berterus teranglah dengan ibu bapa mengenai semua yang terbuku di hati kerana mungkin ada benda yang ibu bapa kurang fahami. Lakukan dengan berhemah dan bukan bertujuan untuk melawan. Kalau risau ibu bapa tersinggung, minta bantuan datuk atau nenek untuk menasihatkan ibu bapa dalam hal ini.

Carilah masa yang sesuai untuk berbincang perkara ini dengan lebih mendalam dengan ibu bapa.
KONON IKUT TREND SEMASA
Jangan kita wujudkan peraturan yang tak wujud dalam Islam, apatah lagi jika ia menimbulkan pelbagai masalah. Seperkara lagi, jangan mudah buruk sangka terhadap ibu bapa. Mungkin mereka tersilap dalam hal ni, tapi niat mereka baik iaitu ingin melihat anak mereka bahagia selepas kahwin. Tiada ibu bapa yang ingin menghancurkan hati anak-anak sendiri. Dalam hal ini, kadangkala mereka cuma nak pastikan calon suami mampu, rajin dan bertanggungjawab.
Sekiranya permintaan mereka tidak munasabah, sebagai anak, jalan terbaik adalah dengan berbincang secara lembut dan berhemah. Berilah masa untuk mereka fikirkan kembali keputusan mereka agar dapat memuaskan hati semua orang.
Akhir sekali, jangan lupa berdoa dan solat hajat, mohon agar Allah SWT lembutkan hati ibu bapa. InshaAllah, niat yang baik pasti akan direstuiNya.
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Mahu Rezeki Selalu Mendekati Anda Maka Selalulah Belanja Isteri

Tidak dinafikan memang ada suami yang berkira dengan isteri. Dia merasakan tidak perlu memberi wang lebih kepada isteri terutama bagi isteri yang ada duit sendiri kerana isterinya bekerja.
Justeru wang gajinya tidak banyak yang diberikan kepada isteri melainkan untuk membeli barang keperluan dapur. Ingat ya wahai suami, jika anda tidak kedekut kepada isteri maka rezeki anda akan jadi lebih murah.
Sebagai seorang suami, anda perlu menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin kepada isteri. Perkara yang selalu ditekankan ialah mengenai nafkah.
Tidak kiralah sama ada sikit atau banyak, setiap hari anda perlu beri nafkah kepada isteri semampu yang anda boleh. Lazimnya seorang suami akan memberi sejumlah wang misalnya RM500 sebulan kepada isteri.
Suami perlu ingat, wang itu ialah nafkah peribadi untuk kegunaan isteri. Wang itu bukanlah untuk membeli makanan bagi kegunaan seisi keluarga. Ingin diingatkan di sini, seorang suami usahlah kedekut terhadap isteri. Jangan berkira untuk membahagiakan isteri.
Jika isteri suka memasak, belikanlah dia peralatan memasak yang terkini bagi memudahkan dia ‘bersilat’ di dapur. Tak perlulah dia bersusah payah menggunakan kudrat untuk memasak.
Jika dia suka menanam pokok bunga, belikanlah dia benih pokok bunga yang cantik-cantik supaya dia gembira. Tak perlulah dia menebalkan muka meminta benih anak pokok di rumah jiran. Itu sebahagiaan contoh sahaja.
RAIKAN ISTERI
Meraikan isteri bukanlah sekadar pada hari istimewa seperti hari jadi. Sebaliknya raikan isteri pada setiap masa. Misalnya jadilah pendengar yang baik kepada setiap apa yang isteri katakan.
Jangan kedekut untuk jadi pendengar yang baik kepada isteri. Hanya dengan mendengar kata-kata isteri sudah cukup membuat isteri gembira.
BELANJA ISTERI
Sesekali apabila anda ada wang lebih, belikanlah isteri sesuatu yang baru. Lagi-lagi jika isteri anda surirumah. Lihatlah bila kali terakhir dia beli baju baru. Lihatlah bila kali terakhir dia beli kasut baru.

Ada kala isteri tidak suka meminta-minta. Nak beli baju atau kasut baru, isteri tiada gaji sendiri. Nak beli berkira-kira mana nak beli keperluan keluarga. Justeru jika ada wang lebih, belikanlah.
HARGAI ISTERI
Menghargai isteri bukanlah hanya dengan wang ringgit. Melayani isteri dengan baik juga dilihat sebagai penghargaan. Jangan kedekut untuk hargai isteri.
Berikan sedikit masa dan tenaga anda untuknya. Sesekali masakkan isteri juadah kegemarannya. Sesekali tolong isteri buat kerja rumah hingga siap. Lihatlah betapa gembiranya isteri anda. Tidak percaya? Cuba buat.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Walaupun Rasulullah SAW Seorang Panglima Perang, Sisi Romantik Rasulullah SAW Tetap Terserlah

Rasulullah SAW adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik. Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat 4 bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”.
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menmpatkan baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda Nabi SAW.
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah srikandi rumahtangga baginda Nabi SAW. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah ini tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
NILAI KASIH SAYANG
Walaupun Rasulullah seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.
Diberitakan bahawa Rasulullah pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Aisyah berkata bahawa: “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)”. Hadis Bukhari dan Muslim. Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”. Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya”. Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim) Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
SUAMI TAK SEPATUTNYA GARANG/BENGIS
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluangkan masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa “ Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian”. Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid”. Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah berkata “ Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.” Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa : “Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim) Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.

SUKA BERGURAU SENDA DAN ROMANTIS
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) kerumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata : “(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu”. Saodah menolak dengan berkata : Aku tidak akan memakannya”. Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya) Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan. Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”. Membuatkan ikatan itu lebih intim. Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.
Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami. Adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet. Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.
Sumber: Imam Muda Asyraf Redzuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI