Isi Kandungan
ToggleSoalan
Sebagai suami bila mak minta duit RM150, isteri pun minta RM300 mana patut didahulukan
Jawapan
Jika terkait nafkah, dahulukan isteri.
Jika terkait keperluan bukan nafkah, dahulukan yang memerlukan.
Jika tidak terkait dengan nafkah atau keperluan, maka dahulukan isteri dalam perkara ini.
Imam Nawawi menyebut: Apabila berhimpun pada seseorang, orang-orang yang berhajat daripada mereka yang diwajibkan memberi nafkah pada mereka, maka sekiranya hartanya cukup untuk menafkahkan semuanya, maka dia wajib menafkahkan semuanya. Namun, sekiranya hartanya tidak lebih kecuali untuk seorang, maka hendaklah mengutamakan nafkah untuk isteri berbanding nafkah untuk keluarga lain. (Raudhah al-Talibin, 9/93)
Dalam pada menurut laman web Mufti Kuala Lumpur, dalam pemberian nafkah, seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak dari orang lain (termasuk ibu-bapa). Turutan nafkah adalah seperti berikut:
a) Diri sendiri
b) Isteri
c) Anak
d) Bapa
e) Ibu
f) Cucu
g) Datuk
h) Saudara
i) Ahli-ahli keluarga berikutnya.
Turutan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang menegaskan;
ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا
“Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu”
(Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a.. al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 46).
Berkata Imam an-Nawawi mengulas hadis ini; di antara kesimpulan dari hadis ini ialah; hendaklah pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut (dalam hadis).
(Syarah Soheh Muslim, juz 7, Kitab az-Zakah, bab al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah).
Sumber: Ustaz Wadi Annuar
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Bernikah Dua Kali, Perkahwinan Lesti Kejora & Rizky Billar Terkait Kontroversi
Di negara seberang kecoh bila mana media mengutarakan isu perkahwinan penyanyi dangdut terkenal Lesti Kejora dan suaminya, Rizky Billar yang juga seorang pelakon yang didakwa sudah menikah awal tahun ini namun menikah buat kali kedua pada 19 Ogos lalu. Hal perkahwinan ini mula menjadi bualan ramai bila mana Rizky memuat naik berita kehamilan isterinya yang perutnya dilihat agak besar berbanding usia pernikahan mereka yang masih baru.
Pasangan ini disatukan pada 19 Ogos lalu dalam satu majlis pernikahan dan perkahwinan serba mewah yang mana ia disiarkan secara langsung di stesen television negara tersebut dan disaksikan jutaan peminat mereka kerana keduanya sama cantik dan tampan di majlis penuh gilang gemilang itu.
Namun segalanya berubah bila mana “baby bump” Lesti mula kelihatan dan setelah diasak Rizky membuat pengakuan dalam tayangan eksklusif di “The Secret Of Leslar” bahawa mereka sudah bernikah awal tahun ini kerana mahu menghalalkan dan mengelak fitnah kerana sering berdua-duaan dalam urusan kerja dan menikah kali kedua pada 19 Ogos lalu.
Bagaimana pun pengakuan pasangan ini mendapat reaksi negetif dari masyarakat bila mana ada pihak melaporkan kepada pihak berkuasa bahawa keduanya mempermainkan agama dan memperbuat penyataan palsu termasuk dengan pemalsuan dokuman syarat nikah untuk pernikahan kali kedua itu. Jika sabit kesalahan di negara tersebut, hukuman penjara 4 tahun menanti pasangan ini.
Apa hukum bernikah dua kali? Adakah ia dibenarkan dalam Islam khususnya jika talak belum dilafazkan?
Dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Al Khafi #1036 dinyatakan hukum bernikah dua kali tanpa talak yang dijawab oleh Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang ketika itu menjadi Mufti Wilayah Persekutuan berdasarkan soalan diajukan pembaca.
Assalamualaikum wrm. wbt.
Ke hadapan Ustaz Dr. Zul. Saya ada soalan berkenaan status perkahwinan seseorang yang bernikah dua kali, yang pertama secara senyap-senyap dan kemudian yang betul-betul, macam mana tu Dr? Thanks.
Jawapan:
Waalaikumussalam wrm. wbt.
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi ﷺ, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.
Kami memahami soalan di atas dengan maksud seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita secara rahsia, seperti berkahwin di luar negara menggunakan wali hakim, kemudian berkahwin semula di Malaysia untuk pendaftaran.
Isu pendaftaran pernikahan adalah isu yang sangat penting dalam pentadbiran undang-undang keluarga Islam di Malaysia, khususnya di Wilayah Persekutuan. Ini bagi memastikan pasangan yang berkahwin memiliki dokumen yang sah dan diiktiraf oleh Mahkamah Syariah khususnya apabila timbul isu yang berkait dengan perkahwinan, seperti perceraian, hak hadhanah, harta pusaka dan lain-lain. Justeru, menjadi tanggungjawab orang Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan untuk mendaftarkan perkahwinan mereka supaya tidak berlaku mudarat kepada mana-mana pihak. Ini selaras dengan peruntukan dalam Seksyen 12(2) dan Seksyen 25 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Walau apa pun sebab yang digunakan oleh pasangan berkenaan untuk bernikah dua kali, hukum pernikahan yang kedua itu tidak memberi kesan apa-apa kepada kesahihan nikah yang pertama. Nikah di negeri-negeri di Malaysia hanya boleh dibubarkan dengan cara berikut:
- Perceraian dengan lafaz talaq
- Pengesahan lafaz talaq
- Fasakh
- Cerai Ta’liq
- Tebus Talak/Khulu’
- Anggapan mati[1]
Ini termasuk juga hukum li`an. Tiada satu pun perkara tersebut yang merujuk kepada nikah kali kedua yang dilakukan individu-individu sebagai membatalkan pernikahan kali pertama.
Justeru, pasangan yang dimaksudkan dalam soalan itu adalah pasangan suami isteri yang sah dan pernikahan kali kedua itu tidak membatalkan pernikahan yang pertama. Wallahua’lam.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Adakah Makna Di Sebalik Mimpi Dikejar Binatang Buas, Ini Penjelasan Mufti
Mimpi itu mainan tidur tapi ada juga yang mempercayainya. Antaranya mimpi gigi patah, petanda orang terdekat meninggal dunia.
Tak kurang juga ada yang bermimpi binatang berulang kali hingga merasakan ada makna di sebaliknya. Inilah yang pertanyaan yang dilontarkan oleh netizen kepada Mufti Wilayah Persekutuan
Soalan: Saya mimpi dikejar ular dan dimakan buaya atau harimau. Adakah itu mimpi mainan tidur atau disebabkan syaitan?
Jawapan:
Maaf,kami tidak mengetahui maksud mimpi dikejar ular ataupun dimakan buaya dan harimau.
Adapun jika berkenaan mimpi bertemu harimau, kami nukilkan pandangan al-Imam ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi:
“Barangsiapa yang melihat harimau dalam mimpinya, hendaklah dia beristighfar kepada Allah atas dosa-dosanya. Dalilnya adalah ia melambangkan raja-raja Parsi yang bertakwa. Harimau itu juga melambangkan kegagahan dan manusia ketakutan yang amat sangat kepadanya. Ia juga melambangkan seorang yang mempunyai pelbagai kebolehan dalam pelbagai bidang.”[1]
Pada pandangan kami, ia merujuk kepada kehebatan seseorang. Justeru, istighfar itu adalah sebagai satu saranan untuk menginsafi kekurangan diri dan membuang sikap berbangga dengan diri.
Jika mimpi bertemu buaya pula, Imam ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi menyatakan:
“Melihatnya (buaya) dalam mimpi adalah simbolik kepada polis. Buaya di dalam laut merujuk kepada seseorang yang tidak boleh dipercayai, samada dianya kawan atau lawan. Buaya juga adalah merujuk kepada peniaga yang zalim dan tidak boleh dipercaya. Sesiapa yang melihat buaya menariknya ke dalam air dan membunuhnya, sesungguhnya dia akan ditangkap polis yang akan mengambil hartanya dan membunuhnya. Sekiranya dia selamat daripadanya, maka dia terselamat.
Melihat buaya dalam mimpi juga merujuk kepada kebiadaban, dosa, perompak, pendapatan yang tidak menepati syarak, ketakutan dan tekanan. Ia juga bermaksud meninggalnya seseorang, digambarkan dengan keadaannya yang lemas. Melihat buaya di laut menandakan keburukan dan melihatnya di daratan menunjukkan buaya tersebut lemah dan kehinaan.
Sekiranya buaya menarik seseorang ke dalam air di dalam mimpi, ia bermakna seseorang yang berkuasa akan memaksanya melakukan sesuatu yang dia benci. Jika seseorang melihat dirinya sendiri sedang makan daging buaya, atau sekiranya seseorang melihat dirinya menarik buaya keluar daripada air, ia bermakna dia akan berjaya mengatasi musuhnya.”[2]
Secara asasnya, Ibn Hajar al-‘Asqalani membahagikan mimpi kepada dua bentuk:
1. Mimpi yang benar (al-sadiqah). Ini adalah mimpi para Nabi dan orang-orang soleh. Jarang-jarang berlaku kepada selain daripada mereka. Ia boleh berlaku secara sedar (yaqazah) bertepatan apa yang berlaku dalam mimpi.
2.Dikenali dengan istilah al-adghath. Ia berlaku tiba-tiba tanpa sebarang perlakuan yang membawa kepada datangnya mimpi tersebut. Ia boleh datang dalam beberapa bentuk:
-Mainan syaitan untuk menyebabkan orang yang bermimpi menjadi sedih atau risau.
-Melihat malaikat yang mengarahkannya melakukan perkara yang diharamkan atau mustahil dilakukan
-Sesuatu yang difikir-fikirkan oleh orang yang bermimpi semasa sedar dan ia terbawa-bawa sehingga ke dalam mimpi. Ini adalah kebiasaannya.[2]
Antara panduan ringkas sekiranya berhadapan dengan mimpi buruk adalah:
- Meludah 3 kali ke kiri
Sabda Nabi SAW:
إِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ الرُّؤْيَا يَكْرَهُهَا، فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا وَلْيَسْتَعِذْ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ ثَلَاثًا، وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِي كَانَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Ketika kalian mengalami mimpi buruk, hendaknya meludah ke kiri 3 kali, dan memohon perlindungan kepada Allah dari kejahatan syaitan sebanyak 3 kali serta menukar rusuknya ke arah berlawanan (menukar posisi tidur).”
(Riwayat Muslim, no. 2262)
- Tidak menceritakan kepada orang lain, bangun tidur dan laksanakan solat
Sabda Nabi SAW:
الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ: حَدِيثُ النَّفْسِ، وَتَخْوِيفُ الشَّيْطَانِ، وَبُشْرَى مِنَ اللَّهِ، فَمَنْ رَأَى شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلاَ يَقُصَّهُ عَلَى أَحَدٍ وَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ
Mimpi itu ada tiga jenis: “Bisikan hati, ketakutan kepada syaitan dan berita gembira daripada Allah. Barangsiapa yang melihat (di dalam mimpinya) sesuatu yang tidak disukai, usah menceritakannya kepada orang lain. Dia wajar bangun dan laksanakan solat.”
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ini Hukumnya Jual Durian Sekali Dengan Kulit. Untuk Yang Was-Was Wajib Ambil Tahu!
SOALAN:
Jualan durian pada hari ini diperhargakan secara timbang kilo. Kadangkala, isinya tidak berbaloi dengan berat kulit. Berbeza dengan buahan lain, isi durian tidak berpadanan dengan kulitnya.
Adakah kaedah jualan durian (timbang kilo) termasuk jual beli yang dilarang kerana melibatkan unsur-unsur gharar (penipuan)?
JAWAPAN:
الحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلاةُ وَالسَّلامُ عَلَى نَبِيَّنا مُحَمَّدٍ؛ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِين
*Gharar* sebagaimana yang dicatat di dalam kitab *Mukjam Isra* ( ISRA COMPENDIUM ) ialah sesuatu yang tidak diketahui keadaannya yang sebenar. *Contoh* gharar dalam belian ialah membeli ubi kayu yang masih berada di dalam tanah, yang hanya dapat dilihat sebahagiannya sahaja. Pembeli tidak mengetahui adakah ubi kayu tersebut elok semuanya atau sebahagian sahaja.
*Gharar* terbahagi kepada *tiga keadaan*;
1. *Gharar yang banyak* . Ijmak fuqaha memutuskan *tidak sah* jualbeli yang unsur ghararnya banyak.
2. *Gharar yang sedikit*. Ijmak fuqaha memutuskan *sah jualbeli* melibatkan gharar yang sedikit serta tidak dapat dielakkan.
3. *Gharar yang pertengahan*. Fuqaha berbeza pendapat adakah gharar pertengahan menyebabkan jual beli sah atau sebaliknya.
Berkaitan menjual *durian di dalam kulitnya*, *Syeikh Ahmad Khotib* pernah ditanya berkenaan hukum menjual buah durian yang masih berada di atas pokok yang sudah penuh isinya, sebahagiannya sudah masak dan sebahagiannya masih putik. Beliau memberi jawapan berikut:
*Sah* menjualnya kerana yang dimaksud daripadanya tertutup dengan lebatnya yang bermula kekal isinya padanya setengah daripada muslihatnya ( maslahat durian ) . Tetapi jika dilihat segalanya ( maka sahlah-penulis ). Dan *jika ada yang tersembunyi* daripadanya maka *tiadalah sah* menjualnya. Wallahua’lam.
Lihat *Kitab Masail dan Qawaid* himpunan *Ishak Adam* Tualang Kedah di Mekah al Mukarramah ( 1967).
Jawapan ini memberi faham bahawa sejak dahulu buah durian dijual dalam kulitnya yang jika tanpa kulit isinya menjadi cepat rosak atau mutunya menjadi berkurangan.
Jelas di sini menjual durian di dalam kulitnya adalah sah dan gharar yang terdapat padanya adalah gharar yang sedikit.
Walau bagaimanapun, perlu diambil perhatian oleh pembeli, pembeli mestilah mempunyai maklumat tentang durian yang berada di dalam kulit yang membolehkannya membuat anggaran kasar tentang mutu dan bilangan isinya serta jenisnya.
Jika pembeli tidak mempunyai pengetahuan tentang isi durian yang berada di dalam kulit, maka pembeliannya tidak sah kerana antara syarat sah jual beli ialah penjual dan pembeli mengetahui tentang barang jualan.
Begitu juga penjual mesti jujur memberi penjelasan kepada pembeli tentang durian yang dijualnya supaya jualannya sah.
*Berkenaan jualan secara timbangan* pula, ianya *tidak termasuk* gharar yang dilarang *jika penjual dan pembeli mampu* membuat anggaran kasar tentang isi durian tersebut.
Sebaliknya *jika pembeli atau penjual tidak mempunyai pengetahuan, dan tidak mampu membuat anggaran kasar* maka jualbeli durian secara timbangan adalah tidak sah kerana tidak memenuhi syarat sah jualbeli iaitu terdapat padanya *gharar yang banyak.*
Bagi pembeli yang merasa ragu tentang sah jualbeli durian secara timbangan, hendaklah menjauhi diri daripada terlibat dengan pembelian durian secara timbangan.
وصَلَّى اللهُ على مُحَمَّدٍ وعلى آلهِ وصَحْبهِ الأَكْرَمِينَ والحمدُ لله رَبِّ العَالِمينَ
INTAHA
وَاللَّهُ أَعْلَم
Pusat Talaqqi Batu Rakit
fb.com/PTBR.Official
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI