Mak Pesan Kalau Boleh Nak Kebumi Sebelah Abah, Rezeki Cinta Mereka Hingga Hujung Nyawa – Achey

Share

Ramadan semakin ke penghujungnya dan pasti ramai yang akan merindui bulan penuh keberkatan ini. Dalam pada itu, ada sebahagiannya sudah berkira-kira keseronokan meraikan hari raya yang bakal disambut seminggu lagi.

Disaat kegembiraan itu mula muncul, pasti ada yang bersedih terutama diuji dengan kehilangan orang tersayang. Pasti sunyi kerana ia kali pertama meraikannya tanpa kehadiran insan kita sayangi ini.

Diuji dengan kehilangan ibu tersayang yang dijemput Allah akibat kanser pancreas semalam, pelawak Mohd Nasir Hamzah atau Achey berkongsi momen sedih. Masa yang sama cemburu kerana impian ibunya yang mahu dikebumikan sebelah ayahnya tercapai.

Cemburu pun ada kat dua orang ni,”kongsinya di Instagram sambil memaparkan kubur mak dan arwah bapanya yang sudah meninggal setahun lebih diletakkan bersebelahan di Tanah Perkuburan Kampung Usaha Jaya, Labis, Johor.

Memetik Harian Metro, Achey berkata, dirinya tidak menyangka pusara ibunya, Ngaisah Hassan, 74 terletak bersebelahan kubur arwah bapanya.

“Sebulan selepas arwah abah pergi mak memang pernah beritahu kalau boleh nak kuburnya bersebelahan dengan arwah abah.

“Jika diikutkan dalam tempoh setahun sebulan arwah abah pergi terdapat tiga kematian, tapi tak tahu kenapa ketiga-ketiga jenazah tidak dikebumikan bersebelahan kubur abah sehinggalah ke akhir hayat mak.

“Memang rezeki mak dapat bersebelahan dengan kubur abah. Kami semua cemburu waktu dia dikebumikan. Walaupun kami semua tak nampak wajahnya ketika proses pengebumian dilakukan, tapi kita dapat rasakan dia ibarat sedang duduk ‘dating’. Harapnya mereka bertemu di syurga.

“Kami adik-beradik bersyukur kerana segala urusan sehingga proses pengebumian berjalan dengan mudah. Orang nak datang melawat pun senang,” kata anggota kumpulan Bochey itu.

Menurut Achey, meskipun tidak berada di sisi arwah pada saat akhir, namun dia dan seluruh adik-beradik berpuas hati apabila dapat menjaga ibunya dengan baik selama ini.

“Pada mulanya memang rasa tak seronok apabila tak dapat bersama arwah. Tapi bila saya kenang semula, saya sudah cuba sehabis baik berbakti dengannya. Malah adik-beradik lain juga berpuas hati dapat menjaga arwah dengan baik.

“Alhamdulillah walaupun tak dapat berada di sebelahnya, namun kami memberi ruang kepada kakak dan adik-beradik perempuan yang lain menjaga mak. Memang mak sendiri nak anak perempuan yang menjaganya.

“Saya berasa bangga dikurniakan seorang ibu yang sangat hebat. Saya puas kerana dapat berbakti kepadanya walaupun apa yang sudah dia lakukan tidak mampu dibalas. Namun sekurang-kurangnya kita dapat balas jasa baiknya,” katanya.

Dalam pada itu, semasa berkongsi berita menimpa ibunya, Achey memaklumkan dirinya masih di atas motor baru balik dari kerja.

YA Allah, permudahkan perjalanan mak di sana. Kami redha ya Allah. Achey atas moto lagi mak, baru balik kerja. Mak baik, mak pergi bulan yang baik. Moga mak jalani waktu yang indah.

Published by
almaswa Haji Che Ros