
Makan bufet Ramadan di hotel atau kafe setiap kali bulan puasa seakan acara wajib ramai kalangan kita. Meski ada harga hidangan mencecah hampir RM100 untuk seorang tetap juga ada yang membelinya.
Disebabkan harga buffet Ramadan yang agak mahal ini, sebolehnya kita mahu merasa setiap hidangan yang disediakan. Malah ada juga yang dalam diam bawa pulang atau ‘tapau’ makanan ini untuk dinikmati sampai di rumah nanti.
Tambahan pula ramai yang berfikiran makanan yang berbaki jika tidak dibawa pulang akan dibuang juga. Sudah tentu membazir.
Timbul persoalan apa hukum ‘tapau’ makanan bufet ini kerana kebiasannya syarat hidangan ini ia tidak boleh dibungkus atau dibawa pulang. Hidangan hendaklah dimakan di tempat tersebut saja.
‘Tapau’ makanan bufet Ramadan dilarang syarak
Menjawab persoalan ini Mufti Wilayah Persekutuan melalui portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan meski syarat hidangan bufet hanyalah untuk makan dan minum di premis perniagaan ini tidak ditulis dan dipamerkan namun ia adalah satu kebiasaan.
Justeru itu, amalan kebiasaan seperti yang dinyatakan ini juga boleh dianggap sebagai satu syarat yang dipersetujui bersama, seperti yang disebutkan oleh para fuqaha:
المعروف عرفًا كالمشروط شرطًا
Terjemahan: “Sesuatu yang diterima secara adat kebiasaan, adalah dikira sebagai sesuatu syarat yang dipersetujui”.
Pelanggan juga tidak wajar untuk menganggarkan bahawa makanan itu akan dibuang, bagi menjustifikasikan tindakannya membawa pulang makanan tersebut.
Tindakan membawa pulang makanan yang disajikan pastinya akan menyebabkan pengusaha perniagaan tersebut berisiko untuk rugi, apatah lagi sekiranya makanan dan minuman itu adalah dari kategori yang boleh disimpan semula, dan dihidangkan pada hari berikutnya.
Dari sudut pandang ini, jelaslah menunjukkan bahawa perbuatan membungkus makanan di hidangan bufet adalah perbuatan yang dilarang oleh syarak.
Dikira mengambil harta orang lain secara batil
Selain itu tindakan untuk membawa pulang makanan atau minuman dari hidangan bufet tanpa kebenaran juga dikira sebagai mengambil harta orang lain secara batil.
Allah SWT, seperti firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ
Terjemahan: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu…” (Al-Nisā’, ayat 29)
Oleh kerana pengambilan makanan dan minuman daripada hidangan bufet itu tidak mendapat kebenaran, maka nilai makanan atau minuman yang diambil itu mestilah dipulangkan semula kepada pemiliknya seandainya makanan atau minuman yang diambil tersebut telah habis dimakan, ataupun perlu mendapatkan kebenaran daripada pemiliknya.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Baca Lagi: ‘Pelanggan Bayar Harga Yang Sama, Ambil Makanan Kuantiti Berbeza.’ Ini Hukum Jual Beli Bufet Ramadan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI