Makkah Kota Suci Yang Dirindukan

Share

“Ya Allah sesungguhnya tanah haram Makkah ini, negeri ini, ketenteraman yang ada di dalamnya dan hamba yang ada padanya, semuanya milikMu. HambaMu ini datang menyahut panggilanMu dari negeri yang jauh dengan dosa yang banyak dan amalan-amalan yang buruk. Aku mohon kepadaMu belas kasihan kerana takutkan seksaMu, terimalah aku dengan keluasan kemaafanMu dan masukkanlah aku ke dalam syurgaMu Jannati Na’im. Ya Allah sesungguhnya Makkah ini adalah tanah haramMu, maka haramkanlah dagingku, darahku dan tulang sendiku daripada api neraka.”

Makkah adalah sebaik-baik bumi Allah dan yang paling dikasihiNya. Semoga kita diberi kesempatan untuk menuju ke Kota Suci ini yang sesungguhnya terdapat banyak kelebihan dimana di sinilah tempat umat Islam menjalani ibadah umrah dan haji. Di sinilah seluruh umat Islam berhimpun untuk menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu mengerjakan haji di Makkah (bagi yang berkemampuan).

Antara kelebihan, keistimewaan dan fadilat apabila kita melakukan ibadah di Kota Suci Makkah adalah:

1. Solat di Masjidilharam adalah menyamai 100 000 solat di tempat lain.

“Bersolat di AlMasjid Al Haram itu mempunyai kelebihan dengan 100 000 solat, bersolat dimasjidku (yakni masjid nabawi di Madinah) mempunyai kelebihan dengan 1000 solat. Sementara bersolat di Masjid Al aqso (Baitulmaqdis) mempunyai kelebihan dengan 500 solat.” (Diriwayatkan oleh Al tabrani daripada Abi Darda’)

2. Merupakan kota kelahiran Rasullulah SAW sebagai nabi akhir zaman.

3. Kaabah yang merupakan arah kiblat bagi umat Islam dan dipahalakan bagi sesiapa yang melakukan tawaf yang merupakan salah satu rukun haji dan umrah untuk tawaf Kaabah.

Sabda Nabi SAW:

“Bahawa Allah menurunkan 120 rahmat atas rumah ini (Kaabah) pada setiap hari dan malam, 60 untuk mereka melakukan tawaf, 40 bagi mereka yang mendirikan solat dan 20 bagi mereka yang hanya memandang Kaabah.”

(Riwayat Al-Baihaqi daripada Ibnu Abbas RA)

4. Terdapat telaga zam zam yang mana airnya adalah berkat dan mengenyangkan serta penyembuh kepada penyakit.

5. Hajar Aswad untuk kita mengucupnya.

6. Tempat di mana tidak ada seorang pun yang masuk kedalamnya kecuali dengan kerendahan hati, kusyuk, berfikiran terbuka dan meninggalkan segala perhiasan dan kemewahan dunia.

7. Tempat yang paling aman, yang tiada pertumpahan darah dan tiada yang boleh mendakwa adanya tempat yang lebih suci lebih dari Makkah.

8. Tempat untuk menghapus dosa masa lalu sepertimana Allah mengampunkan dosa Adam dan isterinya yang melanggar arahanNya.

9. Keberkatan Makkah terserlah dengan doa Nabi Ibrahim yang akhirnya menjadikan penduduk Makkah diberi rezeki yang melimpah ruah.

10. Doa dimakbulkan Allah.

Sabda Nabi SAW:

“Orang -orang yang mengerjakan ibadah haji dan orang-orang yang mengerjakan umrah adalah utusan Allah. Jika mereka berdoa nescaya Allah menerima doa mereka dan jika mereka meminta ampun, nescaya Allah mengampuni mereka.”

(Riwayat Ibnu Majah)

11. Peluang untuk berdoa di tempat-tempat istijabah (mudah makbul doa) seperti:

– Semasa Tawaf

– Semasa Sai di antara bukit Sofa dan Marwah.

– Di atas bukit Sofa

– Di atas bukit Marwah

– Di bawah Muzab (Pancur Emas)

– Di dalam Baitullah

– Di dalam Hijr Ismail

– Di sisi telaga zam zam

– Di belakang Maqam Ibrahim.

– Di Multazam

Published by
wan erni