Allah memuliakan orang yang bersedekah sehingga Nabi SAW telah bersabda dalam satu hadis :-
ما نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِن مالٍ، وما زادَ اللَّهُ عَبْدًا بعَفْوٍ، إلَّا عِزًّا
Maksudnya: “Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya.” Riwayat Muslim.
Mereka yang suka bersedekah di dunia sangat disukai oleh penghuni langit hingga nama mereka selalu disebut-sebut oleh para malaikat.
Dalam satu kisah diceritakan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:-
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Nabi SAW pernah bersabda: “(Pada suatu hari) ketika seorang lelaki berada di sebuah tanah lapang yang sunyi, dia terdengar satu suara dari awan, “Siramlah air (hujan) kepada kebun si fulan itu!” Awan itu pun bergerak lalu mencurahkan airnya pada sebidang tanah yang berbatu hitam.
Saluran air pada tanah tersebut kemudiannya menampung semua curahan air hujan (dan mengalirkannya ke suatu arah). Lelaki itu pun mengikuti air itu dan menemui seorang petani yang berdiri di kebunnya sedang mengubah aliran air dengan cangkulnya.
Lelaki itu bertanya, “Wahai hamba Allah, siapa namamu?” Petani itu menjawab, “Nama saya fulan” iaitu nama yang baru didengarnya dari angkasa. Si petani bertanya kepadanya, “Wahai hamba Allah, mengapa anda tanyakan nama saya?”
Kata lelaki itu, “Sebenarnya, sekejap tadi saya dengar satu suara dari awan yang baru menurunkan air ini. Suara itu berkata, “Siramilah air pada kebun si fulan!” menyebut nama anda. Apa yang anda buat dengan kebun ini?”
Petani itu berkata, “Baiklah, kalau anda katakan begitu. Sebenarnya, saya selalu perhatikan apa yang keluar dari kebun ini, lalu saya sedekahkan 1/3 daripadanya, 1/3 berikutnya saya makan bersama keluarga saya, dan 1/3 lagi saya kembalikan (untuk modal cucuk tanam),” – Sahih Muslim.
Berdasarkan hadis itu, amalan yang disukai malaikat di langit adalah sedekah! Pemilik kebun itu dikenali para malaikat kerana sedekahnya.
Dalam hadis lain, orang yang kuat sedekah turut mendapat doa para malaikat. Sabda Rasulullah SAW:
Abu Hurairah r.a. menyebut bahawa Nabi SAW bersabda: “Tiada suatu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa “Ya Allah! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat satu lagi berdoa “Ya Allah! Berikan kepada orang yang menahan (sedekah dan kedekut) kemusnahan,” – Sahih Bukhari dan Muslim.
Di setiap kesempatan dan waktu serta diberi kelebihan rezeki, sentiasalah bersedekah agar ia memudahkan urusan kita di dunia dan akhirat kelak.